FBI MAHU AMBIL SIMULATOR

FBI MAHU AMBIL SIMULATOR


FBI MAHU AMBIL SIMULATOR

Posted: 19 Mar 2014 02:18 PM PDT

FBI MAHU AMBIL SIMULATOR

Pakar luar negara berusaha dapatkan log data hilang

Washington: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) secara rasmi menyertai siasatan kehilangan pesawat MH370 dan dijangka mula menganalisis komputer dan simulator yang diambil dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, minggu ini.

Menurut laporan USA Today, seorang pegawai penguat kuasa perundangan persekutuan Amerika Syarikat berkata, komputer dan simulator itu berkemungkinan besar dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia.

Sementara itu, Peguam Negara AS, Eric Holder, kedua-dua kerajaan sudah mengadakan "perbincangan berterusan mengenai bagaimana kita boleh membantu."
"Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa, tetapi kita tidak mempunyai sebarang teori (mengenai punca kehilangan pesawat itu)," katanya di sini semalam.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

MH370: 'Kita kena rahsia data satelit, radar negara lain'

Posted: 19 Mar 2014 02:14 PM PDT

Sepang: Malaysia sudah menerima data asal satelit dan radar dari sebuah negara di dua koridor pencarian pesawat MH370, namun maklumat data tidak boleh didedahkan kepada umum atas sebab keselamatan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata data yang diserahkan sangat sensitif kerana ia membabitkan maklumat radar negara berkenaan, dan hanya diberi untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

"Belum boleh lagi dedahkan (maklumat data). Tetapi saya boleh sahkan kerjasama dari negara yang dihubungi adalah petunjuk utama dalam operasi mencari pesawat ini, malah negara terbabit memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh.

Data diserah sangat sensitif

"Data yang mereka serah adalah sangat sensitif... kita tak boleh dedahkan," katanya pada sidang media hariannya di sini, semalam.

Kelmarin, Tentera Thailand berkata radarnya mengesan sebuah pesawat yang berkemungkinan MH370 beberapa minit selepas komunikasi pesawat itu dikatakan terputus.

Laluan yang digambarkan jurucakap Tentera Udara Thailand, Naib Marshal Udara, Montol Suchookorn membawa pesawat itu ke Selat Melaka di mana radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan MH370 pada awal pagi 8 Mac lalu.
Hishammuddin yakin maklumat data yang diperoleh mampu membantu dalam SAR membabitkan kawasan carian di dua koridor itu.

Diminta mengulas dakwaan radar tentera Thailand mengesan pesawat MH370, beliau berkata ia belum dapat disahkan lagi.

"Kawasan pencarian di koridor utara dan selatan sangat luas, tindakan kita adalah untuk mengecilkan kawasan pencarian.

"Untuk ini, kita meneliti satelit selain meminta data radar utama, data sekunder komersial dan tentera. Data yang diperoleh akan memutuskan bagaimana aset dikoordinasikan," katanya.

Laporan tidak benar

Sementara itu, mengulas laporan media asing bahawa ada pesawat dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives, Hishammuddin berkata, laporan itu tidak benar.

"Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefli Mohd Zin sudah menghubungi rakan sejawatnya di Maldives yang mengesahkan laporan itu tidak benar," katanya.

Hishammuddin juga memaklumkan beliau tahu ada spekulasi mengatakan maklumat laluan penerbangan (waypoints) ditambah kepada laluan asal MH370, tetapi mengesahkan pesawat itu terbang mengikut laluan ditetapkan sehingga Igari atau ruang udara sempadan Malaysia/Vietnam.

MH370: AS terus bantu tenaga pakar

Posted: 19 Mar 2014 02:12 PM PDT

MH370: AS terus bantu tenaga pakarTentera Laut AS dari Armada Ketujuh membantu Malaysia kesan pesawat di koridor selatan.

Kuala Lumpur: Amerika Syarikat akan terus membantu kerajaan Malaysia mencari pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk kru yang hilang sejak 8 Mac lalu, dengan penyediaan tenaga pakar dari pelbagai agensi.

Kerajaan Amerika Syarikat dalam kenyataan medianya di sini semalam, menegaskan atas permintaan Malaysia, pihaknya menyediakan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat serta penyiasatan yang lebih meluas.

Ia menyatakan bahawa sokongan penting terbabit adalah dari segi analisis kompleks, teknikal dan inovatif yang dilakukan untuk mengecilkan kawasan carian manakala Malaysia memimpin usaha penyiasatan berdasarkan Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa.

Antara bantuan ialah pembabitan tiga wakil Lembaga Pengangkutan dan Keselamatan Negara (NTSB) dari Amerika Syarikat dan dua wakil Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), yang tiba di Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Lima pakar terbabit disokong pakar dari Boeing dan syarikat lain, dari Kedutaan Amerika Syarikat dan jabatan lain kerajaan Amerika Syarikat serta dari ibu pejabat agensi Amerika Syarikat sendiri.

Beberapa pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan agensi penguat kuasa undang-undang lain yang berpangkalan di kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur turut menyediakan bantuan, malah pegawai penguatkuasaan undang-undang tambahan dari seluruh rantau ini sudah berada di Kuala Lumpur untuk memberi bantuan sokongan.

Seperti diminta oleh Malaysia, kata kenyataan itu, Amerika Syarikat turut menyediakan bantuan lain terhadap siasatan merentasi pelbagai agensi dan beberapa rakan kongsi antarabangsa.
Penyelarasan bersama kerajaan Malaysia dan Australia, Tentera Laut Amerika Syarikat kini mengerahkan pesawat miliknya, P-8A Poseidon ke Perth, Australia, untuk carian di koridor selatan berdasarkan permintaan Putrajaya.

PRK DUN Kajang: Keputusan dijangka jam 9 malam

Posted: 19 Mar 2014 02:06 PM PDT

Kajang: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dijangka dapat diumumkan seawal jam 9 malam, Ahad ini jika proses pengundian dan pengiraan undi berjalan lancar.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata PRK ini membabitkan penggunaan 240 botol dakwat kekal, termasuk tujuh botol untuk pengundian awal semalam, sama seperti dakwat kekal digunakan pada PRK DUN Kuala Besut dan Sungai Limau, tahun lalu.

Bercakap pada sidang media, di sini semalam, beliau berkata, pengundian awal yang dilangsungkan jam 8 pagi hingga 5 petang semalam berjalan lancar dengan 1,050 orang atau 88.39 peratus anggota polis dan pasangan mengundi, iaitu 308 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Anjung Forensik PDRM (101) dan Rumah PERKEP IPD Kajang (641).

Mengikut daftar pemilih DUN Kajang, jumlah pengundi awal adalah seramai 1,197, peningkatan 17 pengundi berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan pada sidang media berasingan, menjangkakan proses pengundian PRK DUN Kajang hujung minggu ini, berjalan lancar sambil diawasi kira-kira 3,700 anggota keselamatan termasuk 1,000 anggota trafik.

DUN Kajang jadi anak angkat jika BN menang

Posted: 19 Mar 2014 02:05 PM PDT

Kajang: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menjadikan DUN Kajang dan pihak berkuasa tempatannya 'anak angkat' andai Barisan Nasional (BN) diberi mandat mewakili kawasan itu, 23 Mac ini.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata jika calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun menang, pembangunan dan kemajuan kawasan Kajang dapat terus dipertingkatkan kerana Naib Presiden MCA itu terbukti mampu memberi khidmat dengan berkesan.

"Kerajaan BN akan sentiasa berada di belakang Mei Fun jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan di Kajang. Memilih calon yang mampu bawa perubahan dan membangunkan Kajang adalah perkara serius, bukan calon untuk meraih undi simpati atau menguji kesetiaan kepada suami," katanya.

Lebih banyak rumah mampu milik

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kepada 20 pemilik rumah mampu milik dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), di sini malam kelmarin, beliau berkata, kerajaan BN melalui SPNB akan membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah termasuk di Kajang memiliki rumah sendiri.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak memberi amanat kepada kementerian saya untuk membina 16,000 unit rumah rakyat dengan peruntukan RM1.04 bilion tahun ini. Kerajaan juga memperuntukkan RM300 juta untuk Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome, yang menawarkan subsidi RM30,000 seunit dan pada tahun ini sebanyak 10,000 unit akan dibina di seluruh negara.

"Bagi projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang juga dilancarkan tahun ini, pemaju diberikan geran sehingga 25 peratus atau membabitkan pendahuluan mencecah RM500 juta. Perdana Menteri juga berjanji jika program ini berjalan lancar, ia akan diteruskan dengan belanjawan lebih besar, tahun hadapan," katanya.

KISAS sekolah terbaik STPM

Posted: 19 Mar 2014 02:00 PM PDT

KISAS sekolah terbaik STPMMohd Noh (kiri) menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik kepada Abdullah di Auditorium MPM di Selayang, semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif I MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim (dua dari kiri).- Foto BERNAMA

Kolej Islam kekal prestasi enam tahun berturut-turut

Selayang: Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang menerima Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 kerana mencatat prestasi terbaik dalam peperiksaan itu dengan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 3.42.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata anugerah khas itu julung kali diberikan bagi mengiktiraf kecemerlangan KISAS mengekalkan prestasi terbaik dalam peperiksaan berkenaan selama enam tahun berturut-turut sejak tahun 2008 hingga tahun lalu.

Beliau menyampaikan ganjaran wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak kepada sekolah itu yang diwakili Penolong Kanan Tingkatan Enam KISAS, Abdullah Hassan, pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM di sini, semalam.

Abdullah berkata KISAS mampu meraih GPS terbaik seluruh negara sejak enam tahun lalu kerana mereka mengguna pakai 'tradisi' kolej berkenaan.

Dapat suntikan semangat

"Calon STPM kolej ini kebanyakannya bukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia KISAS, namun mereka mengikut cara belajar pelajar Tingkatan Empat dan Lima selain mendapat suntikan semangat menerusi program anjuran guru," katanya.
Terdahulu, Mohd Noh berkata seramai 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan STPM 2013 yang diumumkan semalam berbanding 47,910 calon (92.67 peratus) pada tahun sebelumnya.

Selain itu, purata nilai gred keseluruhan (PGNK) Negara bagi STPM 2013 juga meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 berbanding pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 1,898 calon lulus penuh lima mata pelajaran, 32,763 lulus empat mata pelajaran, 9,717 (tiga mata pelajaran), 5,234 (dua mata pelajaran) dan 3,810 lagi satu mata pelajaran.

Jumlah calon yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga mencatat peningkatan ketara seramai 10,155 calon, iaitu daripada 24,506 pada 2012 kepada 34,661 tahun lalu.

Seramai 55,214 calon kohort pertama STPM berasaskan sistem pentaksiran baharu iaitu secara modular tahun lalu menduduki peperiksaan bertulis pada tiga penggal serta kerja kursus sepanjang satu tahun setengah tempoh pengajian.

Beliau berkata prestasi calon berdasarkan mata pelajaran juga membanggakan apabila 22 daripada 23 mata pelajaran ditawarkan mencatat keputusan lebih 50 peratus lulus penuh iaitu mendapat gred C ke atas.