Sindiket tipu pelajar

Sindiket tipu pelajar


Sindiket tipu pelajar

Posted: 01 Mar 2014 09:52 AM PST

Sindiket tipu pelajarAntara mangsa yang hadir pada sesi temuduga ketika tinjauan BH mengenai sindiket penipuan pelajar menunggu keputusan SPM di Jalan Hutton, Pulau Pinang, semalam.

Caj RM500 untuk hadiri temuduga dan dijanjikan tempat ke universiti

Kuala Lumpur: Dua sindiket dikesan menipu pelajar menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi menghadiri temuduga kemasukan ke universiti awam dan swasta.

Sindiket itu turut menggunakan logo Kementerian Pendidikan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelbagai agensi lain dalam surat panggilan temuduga yang diedar kepada pelajar di seluruh negara.

Mereka turut menggunakan nama Jabatan Pengurusan Siswazah, Jabatan Pengurusan Biasiswa dan Unit Pengambilan Khas Pelajar Kementerian Pendidikan. Namun, siasatan BH mendapati jabatan dan unit itu tidak wujud di Kementerian Pendidikan.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Harga tong air naik

Posted: 01 Mar 2014 09:47 AM PST

Harga tong air naikPengguna membeli bekas air berikutan catuan air di kawasan Gombak yang dijadualkan bermula hari ini.

Gombak: Bekalan stok habis! Orang ramai berlumba-lumba membeli bekas simpanan air ekoran catuan air yang bermula hari ini menyebabkannya kehabisan bekalan.

Reaksi panik dalam kalangan masyarakat membuatkan ramai peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga bekas simpanan air sekali gus meraih keuntungan lumayan.

Tinjauan BH mendapati orang ramai rata-rata menyatakan mereka tiada pilihan, walaupun harga bekas air dijual pada harga yang tinggi.

Mereka terpaksa bagi membuat persiapan menghadapi catuan bekalan air yang dijangka selama sebulan.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Orang ramai kena waspada strok haba

Posted: 01 Mar 2014 09:44 AM PST

Kuala Lumpur: Rakyat diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah Celcius. Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah Celcius.

"Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh, walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

"Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.

Beliau berkata, suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa maut.

Jabatan Meteorologi sebelum ini menyatakan, keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Kurang minum air
Dr Noor Hisham berkata, pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas, di samping kurang minum air dan kekurangan air dalam badan antara punca strok haba.

Beliau menyarankan beberapa langkah segera diambil sekiranya ada individu terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.

"Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.

"Pesakit boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan dan menyejukkan badan," katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter satu hari. - BERNAMA

Program cegah rasuah ke IPTS

Posted: 01 Mar 2014 09:41 AM PST

Program cegah rasuah ke IPTSSutinah (tiga dari kiri) melancarkan Kempen Dan Pendidikan Antirasuah di Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Sekretariat PencegahanRasuah akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai tahun ini.

Program diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagai langkah awal menangani perbuatan jenayah dalam kalangan generasi muda.

Pada sama meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap nilai integriti ketikamenjalankan tugas di kampus atau selepas menamatkan pengajian.

Dapat sambutan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan, berkata untuk permulaan sebanyak 10 IPTS dipilih dengan ahli jawatankuasanya dianggotai pemimpin pelajar dan persatuan di situ.

"Usaha diperluaskan ke IPTS selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Pendidikan Anti Rasuah di sini, semalam.

Sutinah berkata, sekretariat itu juga bertujuan menjadikan pelajar sebagai penyampai mesej antirasuah kepada masyarakat kampus dan luar kampus.
"Kita sudah merangka pelbagai aktiviti untuk dilaksanakan termasuk program pencegahan rasuah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan wujud keadaan pekerja yang mempunyai
bebanan hutang tinggi antara individu yang cenderung melakukan penyelewengan
dan rasuah.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat berbelanja mengikut pendapatan bukan di luar kemampuan mereka.

Boleh guna e-Filing mulai semalam

Posted: 01 Mar 2014 09:35 AM PST

Kuala Lumpur: Pembayar cukai sudah mula menggunakan perkhidmatan e-Filing sejak semalam untuk memfailkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran 2013.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), dalam kenyataan yang diterbitkan di

sini, menyatakan pihaknya dalam proses mengeluarkan BNCP kepada pembayar cukai yang mempunyai pendapatan perniagaan dan/atau pendapatan selain perniagaan.

"BNCP yang dikeluarkan termasuklah Borang E, BE, B, BT, P, M, MT, TP, TF dan TJ untuk tahun taksiran 2013," katanya.

e-Filing adalah perkhidmatan disediakan LHDNM untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara dalam talian.

Semua BNCP yang dihantar menerusi aplikasi e-Filing akan dilindungi oleh teknologi Secure Socket Layer (SSL).

Sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan pada 2003, penggunaan perkhidmatan dalam kalangan pembayar cukai korporat dan individu meningkat berikutan pelaksanaannya mudah, tepat dan selamat.

Tahun lalu, sebanyak 2.376 juta BNCP diterima menerusi aplikasi e-Filing untuk tahun taksiran 2012. Jumlah meningkat berbanding 2.35 juta BNCP untuk tahun taksiran 2011.

Tarikh akhir menghantar borang dan membayar cukai pendapatan menerusi e-Filing adalah seawal 31 Mac bagi borang E (Borang Nyata oleh Majikan).

Tempoh paling lewat sebelum 30 Jun bagi borang M (Borang Nyata Individu Bukan Pemastautin).

Mulai 2013 pula, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM30,667 selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan dan dibuat menerusi aplikasi e-Daftar.

"Individu yang mempunyai jumlah pendapatan sebulan melebihi RM2,837, pula perlu mendaftar sebagai pembayar cukai. Pendapatan bulanan termasuk gaji dan elaun yang layak dikenakan cukai.

"Perlu diingat, tindakan melarikan diri atau mengelak daripada membayar cukai adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan," katanya.