Ancaman jerebu

Ancaman jerebu


Ancaman jerebu

Posted: 03 Mar 2014 08:32 AM PST

Ancaman jerebuBEBERAPA pelajar sekolah di ibu negara memakai penutup mulut dengan berlatar belakang bangunan KLCC diselubungi jerebu. - Foto Khairull Azry Bidin

  • TPM arah Majlis Keselamatan Negara gerak aset
  • 500 kebakaran setiap hari sejak Sabtu
  • 5 kawasan catat IPU tidak sihat semalam
  • Sekolah sekitar Pelabuhan Klang diarah hentikan aktiviti luar

    Kuala Lumpur: Jerebu melanda negara yang setakat ini menyebabkan lima kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, dikesan berpunca kebakaran terbuka susulan kemarau yang sedang dialami.

    Sehingga jam 10 malam tadi, sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, Pelabuhan Klang merekodkan IPU tertinggi dengan 143, diikuti Seri Manjung, Perak (110), Shah Alam (110), Banting (108), Petaling Jaya (108), Muar (105) dan Kuala Selangor (104).

    Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Rasionalisasi subsidi lonjakkan ekonomi

Posted: 03 Mar 2014 08:32 AM PST

Rasionalisasi subsidi lonjakkan ekonomiNajib berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan dari kiri Mohamad Zabidi, Ali, Abdul Wahid dan Muhyiddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Dasar inklusif catat nilai dagangan RM1.36 trilion

Putrajaya: Kerajaan membuat tindakan tepat menerusi rasionalisasi subsidi bagi membantu melonjak ekonomi negara, dengan penjimatan digunakan menambah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dasar bersifat inklusif dan mampan itu turut membantu perkembangan ekonomi apabila mencatat nilai dagangan RM1.36 trilion tahun lalu."Kita berada pada landasan betul termasuk rasionalisasi subsidi, namun tidak mampu bertahan tanpa penambahbaikan dan pembangunan pada diri serta negara.

"Negara membelanjakan RM22 bilion untuk subsidi minyak, RM40 bilion subsidi dan insentif lain, manakala RM46 bilion untuk pembangunan, ini tidak seimbang.

"Perbelanjaan subsidi berlebihan mendatangkan ketirisan, pembaziran dan ketidakadilan. Ini menghalang kerajaan menyalurkan peruntukan lebih bagi pembangunan," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Peruntukan pembanguna

Najib berkata, berdasarkan teori ekonomi, pengurangan subsidi boleh digunakan untuk menambah peruntukan pembangunan negara.

"Saya berharap dalam RMK-11 kita boleh tambah peruntukan bagi pembangunan sebab banyak lagi yang perlu kita lakukan membina lebih banyak sekolah, loji air, tebatan banjir dan jalan raya di kawasan bandar serta luar bandar.

"Semua ini memerlukan kos besar. Jadi, kita tidak boleh tambah melalui tambahan hutang, sebab kalau hutang bertambah ia menyebabkan ekonomi merudum," katanya.
Selain itu, langkah kerajaan mengurangkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar juga memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, terutama pemberian BR1M.

"BR1M 3.0 kita beri kepada 7.9 juta isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan peruntukan RM4.6 bilion. Saya dapat maklumat banyak yang pergi ke Sogo pada Sabtu dan Ahad, pasar tani selain pasar minggu. Jadi, ekonomi tempatan berkembang dan ini memberi manfaat secara langsung berbanding subsidi pukal," jelas beliau.

Najib berkata, kerajaan peka terhadap masalah dihadapi rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Kita sensitif dengan isu ini. Kerana itu, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ditubuhkan bertujuan mengambil langkah mengurangkan beban rakyat selain turun padang memantau harga," katanya.

Kerajaan negeri sedia rujuk timbang tara

Posted: 03 Mar 2014 08:32 AM PST

MOU penstrukturan semula syarikat konsesi air Selangor

Shah Alam: Sebahagian terma dan syarat perjanjian persefahaman (MoU) penstrukturan semula syarikat konsesi air Selangor pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Ketua Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI), Faekah Husin, berkata kerajaan negeri sentiasa jujur dalam proses pengambilalihan, terutama tawaran RM9.65 juta untuk mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air berkenaan.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri menawarkan kemungkinan untuk merujuk perkara itu kepada timbang tara antarabangsa jika syarikat terbabit merasakan saham mereka mempunyai lebih nilai berbanding apa yang ditawarkan.

"Semua ini dan fakta lain, termasuk bagaimana badan khas di bawah Kumpulan Darul Ehsan Bhd akan membiayai pengambilalihan itu, pernah didedahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui kenyataan akhbar, temubual dengan media dan taklimat kepada pegawai kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.

Ikut terma dan syarat

"Malah, bukan rahsia lagi bahawa kerajaan negeri hanya akan membenarkan pembinaan Langat 2 dengan terma dan syarat tertentu jika ia dijadikan sebahagian daripada pelaksanaan penstrukturan semula industri air.
"Kerajaan negeri sentiasa konsisten dan tidak pernah berganjak dengan semua syarat dan terma ini sehinggalah MoU ini ditandatangani pada 26 Februari lalu," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Faekah berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail adalah antara yang akan terbabit dalam penstrukturan semula pengurusan kanan syarikat konsesi air di Selangor.

Selain Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Sdb Bhd (PNSB) itu, beberapa pengurusan kanan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) akan turut diganti atau ditukarkan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan amalan pengurusan yang lebih baik, profesional dan cekap.

"Kerajaan negeri sudah mengenal pasti calon tempatan dan dari negara luar yang dianggap layak untuk mengisi kekosongan yang ada," katanya.

Namun, Faekah berkata, kakitangan bukan pengurusan tidak akan terjejas dengan proses penstrukturan semula syarikat konsesi air itu.

Katanya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) yang mewakili kerajaan negeri sudah mengeluarkan surat pembelian tawaran kepada PNSB, SYABAS, SPLASH dan ABASS pada 27 Februari lalu.

Selepas tertangguh hampir enam tahun, projek Loji Rawatan Air Langat Dua (Langat 2) disambung semula berkuat kuasa serta-merta selepas Kerajaan Persekutuan dan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung penstrukturan semula industri bekalan air negeri itu.

UMNO berdepan pelajar perjelas isu

Posted: 03 Mar 2014 08:30 AM PST

UMNO berdepan pelajar perjelas isuAsyraf Wajdi (kanan) pada program The First Malaysian Initiative ), di London, semalam.

London: UMNO dan kerajaan sentiasa bertemu pelajar di dalam dan luar negara untuk menjelaskan isu secara bersemuka, walaupun mungkin berhadapan dengan kritikan pedas dan menyakitkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata ini kerana pelajar mempunyai idealisme yang tinggi, namun berkecenderungan memberontak apabila menerima maklumat tidak benar, terutama daripada media sosial.

Katanya, ada sesetengah media sosial yang hanya mengemukakan kelemahan pentadbiran kerajaan menyebabkan pelajar di luar negara menerima input yang salah.

Perlu bimbingan

"Oleh itu, generasi muda perlu didampingi dan dibimbing agar kerangka pemikiran mereka dibentuk berasaskan sudut pandangan yang sahih berteraskan prinsip ilmu yang benar," katanya yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel program The First Malaysian Initiative bertajuk Reviving The Malaysian Spirit anjuran Kelab UMNO Luar Negara (United Kingdom) bagi memberi penjelasan mengenai isu di Malaysia, di sini, semalam.

Tajuk topik perbincangan bagi sesi Dr. Asyraf Wajdi ialah berkaitan Melayu dan Islam.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang juga ahli panel sesi bertajuk Hak Asasi Manusia Dalam Konteks Islam, turut hadir.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan, Dr Hanizu Mohd Nor dan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (United Kingdom), Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

Khairul Anwar pula berkata, sumber perundangan berkaitan hak asasi manusia adalah dari al-Quran dan kekal sejak diturunkan, merentasi setiap masa, bangsa dan sempadan geografi.

Katanya, ia berbeza dengan perundangan hak asasi ciptaan manusia yang berdasarkan nafsu dan kepentingan peribadi serta berubah-ubah bagi memenuhi kehendak kelompok tertentu saja.

Kaji skim pekerja di bawah MOSTI

Posted: 03 Mar 2014 08:29 AM PST

Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mengkaji semula skim pekerja membabitkan tiga institusi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata ia membabitkan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm), Institut Agro-Bioteknologikal Malaysia (ABI) dan Institut Genom Malaysia (MGI) yang bakal digabung di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).

"Antara skim yang dilihat tidak memberi keadilan kepada pekerja tiga institusi ini ialah gaji, persaraan, kelayakan gratuiti dan skim perubatan yang tidak sama sebelum dikorporatkan," katanya dalam sidang media di Universiti Putra Malaysia malam tadi.

Pada 17 Februari lalu, Azih meminta MOSTI menangguhkan pelaksanaan pengkorporatan tiga institusi miliknya sehingga 1 Mac dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam permasalahan itu demi menjaga kebajikan kakitangan, namun langkah itu tetap diteruskan.

Justeru, CUEPACS meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, mengambil perhatian terhadap permasalahan itu kerana membabitkan kebajikan kakitangan institusi berkenaan untuk jangka panjang.

Azih berkata, pihaknya Cuepacs kesal dengan tindakan pengurusan tertinggi institusi terbabit yang dilihat seperti memaksa 71 kakitangannya untuk menandatangani skim korporat pada hujung Februari lalu.

"Selepas menerima tekanan pengurusan tertinggi, sama ada menerima tawaran atau diberhentikan kerja dan tidak dibayar gaji, kakitangan tiada pilihan selain menandatangani skim berkenaan," katanya. - BERNAMA

UPM, UTM nafi sesi temu duga terbuka program diploma

Posted: 03 Mar 2014 08:27 AM PST

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menafikan pembabitan dalam sesi temu duga terbuka melanjutkan pengajian bagi program diplomanya yang dijadualkan di Petaling Jaya, Sabtu ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, (gambar) berkata penggunaan logo UPM dalam surat tawaran temu duga atas nama Unit Pengambilan Khas Pelajar, Kementerian Pendidikan, adalah satu penipuan.

Beliau menegaskan, proses permohonan dan pengesahan penawaran tempat bagi semua program pengajian IPTA hanya dilakukan menerusi sistem dalam talian Unit Pengambilan Universiti (UPU) tanpa sebarang temu duga atau bayaran.

Tak lantik agensi

"UPM tidak terbabit dalam hal ini dan tidak pernah melantik mana-mana agensi untuk menjalankan temu duga bagi pihak kami. Logo UPM disalah guna untuk melakukan penipuan.

"Proses yang betul bagi memohon dan memastikan penawaran tempat ke IPTA adalah menerusi UPU. Surat tawaran dikeluarkan universiti dengan kepala surat UPM akan dihantar kepada calon yang berjaya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ketua Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa UPM, Rosdi Wah, berkata ada banyak keraguan pada surat tawaran itu, antaranya syarat kelayakan kemasukan yang lebih rendah daripada IPTA serta ketiadaan nama pegawai yang menandatangani surat.

"Syarat kelayakan masuk bagi program diploma adalah minimum lima kredit bukan tiga kredit seperti dinyatakan dalam surat. Pada bahagian tandatangan juga tiada nama dinyatakan, sekadar diletakkan jawatan Ketua Unit Pengambilan Khas Pelajar.

Salah guna logo

"Tambah meragukan apabila logo agensi yang tiada kaitan dengan institusi pendidikan, contohnya, SIRIM, disertakan dalam surat itu," katanya.

Di Johor Bahru, UTM tidak menerima sebarang aduan mengenai sindiket menipu pelajar lepasan SPM dengan mengenakan bayaran bagi menghadiri sesi temu duga kemasukan.

Bagaimanapun, Penolong Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Korporatnya, Sabri Ahmad, berkata UTM memandang serius perkara itu dan akan menyiasat jika ada aduan daripada ibu bapa atau pelajar.

"Penggunaan logo dan nama UTM tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan kami akan melakukan siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.