Label ayam halal

Label ayam halal


Label ayam halal

Posted: 02 Mar 2014 02:25 PM PST

Kerajaan perlu wajibkan pengusaha tanpa sijil halal isytihar status sembelihan

Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan pusat sembelihan yang tidak memiliki sijil halal mengisytiharkan ayam yang dikeluarkan dari pusat berkenaan sebagai tidak halal.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengemukakan cadangan itu untuk melindungi kepentingan pengguna Islam yang kini dibelenggu masalah kesahihan ayam halal.

Ayam syubhah diedar

Ketika mengulas pembongkaran BH mengenai kelompangan dalam penguatkuasaan sehinggakan ayam yang diproses secara syubhah diedar kepada pengguna Islam, mereka berpendapat sudah sampai masanya kerajaan melihat semula peraturan mengenai pengedaran ayam sembelihan di negara ini.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Industri terus digalak amal teknologi hijau

Posted: 02 Mar 2014 02:23 PM PST

Industri terus digalak amal teknologi hijauMuhyiddin melawat tapak pameran sambil diiringi Ongkili (kiri) dan Musa (kanan) selepas majlis pelancaran YaHijau di Kota Kinabalu, semalam.

Kota Kinabalu: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Negara secara menyeluruh dan berterusan bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara yang mampan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi amalan yang praktikal dengan kos minimum bertujuan mewujudkan kesedaran, perubahan sikap dan mentaliti kakitangan awam dalam melaksanakan amalan hijau atau mesra alam.

Katanya, kerajaan menggalakkan pihak industri, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus memperkasa agenda kecekapan teknologi hijau seperti terkandung dalam Pelan Induk Industri Kecil Sederhana 2012-2020.

"Ini merangkumi usaha mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti perniagaan menggunakan tenaga dan sumber asli secara intensif dan bertukar kepada amalan serta proses pengeluaran dan mekanisma cekap tenaga dan air, serta lebih mesra alam.

Perkenal pembiayaan

"Bagi membantu pihak industri, kerajaan memperkenalkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi meningkatkan amalan kelestarian dan mesra alam dalam operasi perniagaan serta pengeluaran," katanya ketika pelancaran Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau), di sini semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalannya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Penubuhan YaHijau diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014 pada Oktober lalu dengan dana RM15 juta bagi mempromosi serta meningkatkan kesedaran awam berkaitan teknologi dan gaya hidup hijau.

Mendahului usaha dalam Dasar Teknologi Hijau Negara ialah kementerian dan agensi kerajaan melaksanakan penjimatan kos utiliti sebanyak lima peratus bermula tahun ini.

Muhyiddin berkata, sehingga Februari lalu, GTFS memberi manfaat kepada 124 projek berasaskan teknologi hijau diusahakan IKS tempatan dengan pembiayaan pinjaman mudah RM1.66 bilion daripada RM3.5 bilion disediakan kerajaan.

"Melalui inisiatif itu sebanyak 1,729 pekerjaan hijau dapat diwujudkan menerusi pelaksanaan projek terbabit," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Bajet 2014 turut memperkenalkan insentif galakan elaun cukai pelaburan bagi pembelian peralatan teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan untuk penggunaan perkhidmatan serta sistem teknologi hijau.

"Saya percaya keberkesanan usahawan menghasilkan produk dan perkhidmatan tempatan menerusi amalan teknologi hijau dapat meningkatkan daya saing dan membuka ruang memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan serta pasaran antarabangsa," katanya.

Kedudukan 25 EPI

Beliau berkata, kerajaan kini berada di landasan betul dalam membangunkan teknologi hijau yang dibuktikan menerusi peningkatan Indeks Pencapaian Alam Sekitar (EPI) dalam laporan dwi tahunan Universiti Yale, menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-25 dari 132 negara pada 2012 berbanding ke-54 pada 2010.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara YaHijau dengan Kementerian Pendidikan dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi kerjasama menggalak dan menyebarluaskan amalan hidup hijau dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Ongkili berkata, kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan sekolah bagi mempromosi serta menerapkan amalan teknologi hijau sebagai budaya hidup.

4 kementerian bantu hantar bekalan air

Posted: 02 Mar 2014 02:22 PM PST

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerja Raya bergabung menggerakkan anggota dan aset masing-masing menghantar bekalan air ke kawasan yang mengalami krisis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata persetujuan dicapai hasil pertemuannya dengan dua menteri terbabit, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Fadillah Yusof, baru-baru ini.

Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar sembilan trak tangki air kapasiti 10,000 liter setiap satu, manakala Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia menggerakkan enam trak kapasiti 5,000 hingga 15,000 liter air ke kawasan kritikal.

"Sekiranya bantuan disalurkan ATM dan persatuan masih tidak mencukupi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula akan menggerakkan anggota dan asetnya," katanya semalam.

SYABAS uji kualiti air

Hishammuddin berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan menguji kualiti air dalam trak terbabit terlebih dulu sebelum diagihkan kepada penduduk.
Pada masa sama, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedia menghantar ahli Bridged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) ke pusat bantuan bekalan air.

"Selain itu, pelatih PLKN boleh digerakkan membantu orang ramai kerana dalam tempoh dua minggu ini mereka sedang mengikuti modul khidmat komuniti," katanya.

Hishammuddin berkata, pada 13 Februari lalu, ATM menghantar tiga trak tangki air ke Dengkil membabitkan Kampung Selangor Dredging, Taman Arked dan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Paya Indah.

Beliau berkata, sepanjang 10 hari operasi, 1,015,00 liter air diagih kepada 950 rumah dan premis serta 2,750 penduduk.

"Bantuan kemudian diperluaskan ke Balakong membabitkan pengagihan 85,000 liter air kepada 450 rumah dan 2,250 penduduk," katanya.

Syor Abdul Taib ikon transformasi Sarawak

Posted: 02 Mar 2014 02:20 PM PST

Syor Abdul Taib ikon transformasi SarawakAbdul Taib bersama Ragad tiba pada Majlis Jamuan Negeri yang turut disertai Adenan dan Jamilah di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Petra Jaya: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata Yang di-Pertua Negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud layak diiktiraf sebagai ikon transformasi Sarawak hasil kejayaannya membawa perubahan negeri ini sepanjang 33 tahun pemerintahannya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, Sarawak mengalami pembangunan pesat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

Berjaya ubah Sarawak

Beliau berkata, pandangan jauh Abdul Taib, terutama dalam melaksanakan politik pembangunan, berjaya mengubah Sarawak daripada negeri mundur menjadi semakin maju dan menghampiri taraf ekonomi berpendapatan tinggi.

"Beliau membangunkan Sarawak dengan cara yang konsisten dan meninggalkan warisan yang progresif menerusi pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang akan ditakrifkan fasa seterusnya dalam pembangunan negeri sehingga 2030.

"Usaha yang beliau tinggalkan itu akan membolehkan Sarawak terus bersaing untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa depan," katanya dalam Majlis Jamuan Negeri, di Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), di sini malam kelmarin.

Ucapan Adenan itu adalah yang pertama selepas dilantik Ketua Menteri pada Jumaat lalu bagi menggantikan Abdul Taib yang berkhidmat selama 33 tahun.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; isteri Ketua Menteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Puan Sri Empiang Jabu; Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamed Asfia Awang Nasar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamed Morshidi Abdul Ghani serta barisan Kabinet negeri.

Bukan tugas mudah

Adenan mengakui, bukan satu tugas yang mudah untuk beliau menggantikan Abdul Taib yang sinonim dengan politik pembangunan Sarawak.

"Beliau berpandangan jauh, mempunyai kebijaksanaan luar biasa yang mendorong rakyat Sarawak untuk hidup dalam harmoni walaupun berbeza kaum dan agama.

"Oleh itu, beliau boleh dianggap sebagai ikon transformasi Sarawak kerana berjaya membawa negeri ini melalui fasa transformasi boleh dilihat dengan jelas," katanya.

Kesalahan besar tipu pelajar

Posted: 02 Mar 2014 02:19 PM PST

Kesalahan besar tipu pelajarMuka depan akhbar BH mengenai sindiket tipu pelajar.

Kuala Krai: Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dua sindiket menipu pelajar yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi kemasukan ke universiti awam dan swasta.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementeriannya memandang serius isu berkenaan kerana ia membabitkan masa depan pelajar terbabit yang amat mengharapkan untuk memasuki pusat pengajian tinggi.

"Ini kesalahan besar kerana menipu pelajar dan kementerian saya tidak akan berdiam diri dalam menangani isu ini demi kepentingan masa depan pelajar terbabit.

"Saya akan mengarahkan pegawai kementerian ini melakukan siasatan segera serta mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan supaya ia tidak berleluasa sehingga menjejaskan masa depan pelajar.

Pandang serius

"Kita memandang serius perkara ini kerana sindiket sudah berani menyalahgunakan logo kementerian. Siasatan akan dimulakan esok (hari ini) sebaik pegawai terbabit memulakan tugas," katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Pendidikan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan BH semalam, yang membongkar kegiatan dua sindiket menipu pelajar yang menunggu keputusan SPM untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran bagi menghadiri temu duga kemasukan universiti awam dan swasta.

Sindiket terbabit turut menggunakan logo Kementerian Pendidikan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelbagai agensi lain dalam surat panggilan temu duga yang diedar kepada pelajar.

Mengikut surat itu, pelajar yang lulus temu duga akan terpilih menerima pembiayaan belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.

Idris berkata, kini banyak penipuan berlaku dalam sektor pendidikan, cuma caranya banyak berubah mengikut peredaran zaman dan kementeriannya akan memastikan perkara itu tidak merebak.

Beliau berharap pihak media terus memberi kerjasama dengan menghebahkan pelbagai bentuk penipuan sindiket agar masyarakat lebih berhati-hati, selain sedar bahawa kementeriannya tidak terbabit dalam hal seperti itu.

Pemuda BN bersedia hadapi PRK Kajang

Posted: 02 Mar 2014 02:16 PM PST

Georgetown: Pemuda Barisan Nasional (BN) mengenal pasti 14,000 pengundi muda untuk didekati sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mac ini.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin, berkata jentera Pemuda BN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRK itu dengan menyusun pelbagai program dan pendekatan relevan untuk mendekati golongan muda kawasan terbabit.

Beliau berkata, ahli jentera pemuda akan turun padang untuk bersama-sama membantu parti berkempen selepas penamaan calon 11 Mac ini.

Dekati pengundi muda

"Walaupun kempen belum bermula secara rasmi, tetapi persediaan sudah dibuat dengan baik dan kita berharap strategi serta program diatur dalam tempoh kempen ini benar-benar dapat menarik pengundi muda kawasan itu.

"Kita sudah ada semua maklumat mengenai pengundi muda yang perlu didekati dan menunggu hari penamaan calon bagi meneruskan program yang sudah dirancang," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra, Pelancaran Wheels For All dan Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di Kompleks Cahaya Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.
PRK DUN Kajang diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh, meletak jawatan secara mengejut pada 27 Januari lalu.

BN mengumumkan pencalonan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, sebagai calon untuk mencabar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kerusi terbabit.

Sementara itu, Khairy yang melancarkan program 'Wheels For All' turut memuji usaha USM menganjurkan program seumpama itu.