Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misi

Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misi


Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misi

Posted: 27 Mar 2014 04:38 PM PDT

Tragedi MH370: Kabus, angin kencang halang misiMacSween (kiri) tiba di pangkalan RAAF Pearce di Perth, Australia, selepas diarah berpatah balik ekoran cuaca buruk.

Kabus tebal, angin kencang dan ombak ganas di selatan Lautan Hindi tengah hari semalam, menyebabkan semua 11 pesawat peninjau pelbagai negara yang menyertai gerakan mencari MH370 diarah berpatah balik.

Pihak berkuasa Australia mengeluarkan arahan itu berikutan keadaan cuaca di lokasi pencarian semakin buruk dan boleh membahayakan anggota pasukan yang menyertai operasi berkenaan, kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth, lokasi sama penerbangan MH370 dikatakan terjunam.

Bagaimanapun, lima kapal laut yang turut menyertai operasi itu masih meneruskan gerakan mencari membabitkan kawasan seluas 78,000 kilometer persegi.

Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya memaklumkan, semua pesawat itu yang berlepas pada sebelah pagi, diarah kembali ke pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, dekat sini, berikutan keadaan kabus tebal, hujan ribut dan hampir tiada jarak penglihatan.

Tak temui sebarang objek

Bagaimanapun, semua pesawat dan kapal berkenaan yang dihantar ke lokasi itu selepas satelit Perancis mengesan 122 imej dipercayai milik MH370, tidak menemui sebarang objek.

Laporan AFP dari Bangkok pula menyatakan...
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Tragedi MH370: Tuntutan insurans dipermudahkan

Posted: 27 Mar 2014 04:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) memaklumkan ahlinya menyatakan persetujuan untuk memberi keutamaan dan mempermudahkan urusan bagi membolehkan pembayaran tuntutan untuk penumpang dan anak kapal MH370.

LIAM dalam kenyataan semalam berkata, beberapa syarikat daripada 14 anggotanya sudah mula memproses tuntutan insurans hayat kepada waris penumpang dan anak kapal yang berada dalam Boeing 777-200ER milik MAS itu.

Bantuan terbaik

Presiden LIAM, Vincent Kwo, berkata syarikat insurans hayat di negara ini komited menyediakan sokongan dan bantuan terbaik kepada ahli keluarga mangsa ketika tempoh sukar dan menyedihkan itu.

Beliau berkata, waris penumpang atau anak kapal pesawat malang itu sudah boleh memfailkan permohonan mereka sekarang tanpa perlu menunggu sijil kematian di keluarkan.

Sebaik saja tuntutan yang wajar dikenal pasti, pembayaran boleh diproses dalam masa seminggu dan hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa 47 daripada 50 warga negara ini yang juga 38 penumpang dan 12 anak kapal memiliki polisi insurans hayat dengan 14 syarikat insurans hayat di negara ini, katanya.

Katanya, LIAM juga mengenal pasti enam penumpang dalam pesawat itu yang juga bukan warga negara ini turut dilindungi oleh anggota LIAM.
Kwo berkata, anggota keluarga pemegang polisi boleh menghubungi LIAM di talian 03-26916628 atau e-mel kepada liaminfo@liam.org.my sekiranya ingin mengenal pasti syarikat insurans yang melindungi pemegang polisi terbabit

Di Beijing, syarikat insurans China mula membayar pampasan kepada keluarga penumpang MH370.

Agensi Berita Xinhua melaporkan keluarga tujuh penumpang menerima pampasan sebanyak 4.17 juta yuan (RM2.24 juta) Selasa lalu. Syarikat insurans terbesar China, China Life berkata, 32 penumpang dalam penerbangan itu melanggan polisi insuran di syarikatnya dengan pampasan dianggarkan sebanyak 9 juta yuan (RM4.84 juta).

China Life amat bersedih dengan berita itu dan akan memastikan pampasan diberikan kepada semua ahli keluarga termasuk memberikan semua perkhidmatan yang berkaitan, kata jurucakap syarikat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam New China Life Insurance Co Ltd memberitahu Reuters, pihaknya akan membayar pampasan kepada keluarga sembilan penumpang MH370 membabitkan pembayaran berjumlah 1 juta yuan (RM540,000).

Xinhua pula melaporkan, syarikat China Pacific Insurance berpangkalan di Shanghai turut menawarkan pembayaran pampasan pertama berjumlah 525,000 yuan (RM280,000) bermula kelmarin.

Tragedi MH370: Masih menaruh harapan

Posted: 27 Mar 2014 04:33 PM PDT

Melaka Tengah: Bapa ketua pramugari, Goh Sock Lay, 45, yang terbabit dalam tragedi penerbangan MH370 masih menaruh harapan anak perempuan sulungnya itu akan pulang ke rumah mereka di Perkampungan Portugis, di Ujong Pasir, di sini.

Goh Kheng Huat, 74, ketika ditemui di rumahnya kira-kira jam 8.30 malam kelmarin, berkata walaupun kerajaan dan Penerbangan Malaysia (MAS) sudah mengumumkan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, sehingga kini belum ada bukti sahih mengenainya.

Saya masih yakin dia akan pulang ke rumah kami di sini kerana tiada bukti sahih yang ditemui, sekali gus memberi harapan kepada saya, katanya dengan wajah tenang dan tetap menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wartawan meskipun menolak untuk ditemu bual lanjut.

Beliau berkata, Sock Lay yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu kali terakhir pulang ke rumahnya di sini, pada Tahun Baharu Cina, Januari lalu, bersama-sama suami dan anaknya.

Tak dapat beri jawapan

Ketika ditanya sama ada dia akan ke Perth, Australia bagi mendapatkan perkembangan mengenai pencarian pesawat MH370 dengan lebih dekat susulan tawaran pihak MAS membawa keluarga penumpang dan anak kapal ke sana, dia dilihat sukar dan tidak mampu memberikan jawapan.

Biar saya pertimbangkan dulu (tawaran ini) sama ada mahu pergi atau tidak. Saya tidak dapat memberi jawapan sekarang, katanya.

Tragedi MH370: Kurangkan aktiviti berunsur hiburan

Posted: 27 Mar 2014 04:32 PM PDT

Kuantan: Kerajaan negeri meminta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengurangkan aktiviti berunsur hiburan sebagai tanda simpati serta menghormati tragedi MH370 yang dipercayai terhempas di Lautan Hindi.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata mereka seharusnya sensitif dengan nasib menimpa ahli keluarga mangsa pesawat berkenaan yang masih bersedih dengan kehilangan insan tersayang.

Musibah melanda negara

Katanya, sebarang bentuk hiburan harus dikurang atau dihentikan sementara berikutan tragedi itu adalah musibah yang melanda negara ketika ini dan seterusnya diiringi dengan doa serta solat hajat, bukannya menerusi aktiviti melalaikan.

Ketika kita menghadapi saat genting ini, orang ramai terutama NGO perlu mengadakan aktiviti berfaedah seperti solat hajat dan berdoa supaya dipermudahkan operasi mencari pesawat MH370 dilaksanakan, katanya ketika ditemui selepas melawat tapak masjid Lapang Besar, di sini, semalam.

Beliau juga berkata, inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang membatalkan Festival Muzik 2014 adalah bertepatan dalam situasi terkini supaya orang ramai terutama belia tidak terlalai dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Kita tidak menolak hiburan namun jangan sampai melalaikan dan paling utama adalah bersesuaian dengan keadaan semasa. Jadi, tidak sesuai aktiviti hiburan ketika kita sedang bersedih dengan tragedi MH370, katanya.

Tragedi MH370: Kerajaan tak arah guna bomoh

Posted: 27 Mar 2014 04:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat semalam diberitahu kerajaan tidak mengarahkan mana-mana pihak untuk menggunakan bomoh dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata malah kerajaan menyelar usaha pihak menggunakan khidmat bomoh yang melanggar batas syariat dalam usaha mengesan pesawat berkenaan.

Sentiasa pantau di KLIA

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama negeri sedang dan akan sentiasa membuat pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) supaya perkara itu tidak berulang.

Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja, di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam Selangor sudah membuka kertas siasatan mengenai pembabitan bomoh berkenaan.

Mengulas dakwaan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) bahawa bomoh itu turut mengaitkan nama pemimpin BN, beliau berkata, nama pemimping pembangkang turut disebut oleh individu berkenaan.

PRK Balingian: BN sasar majoriti lebih besar

Posted: 27 Mar 2014 04:23 PM PDT

Mukah: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memperoleh kemenangan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, esok, berikutan keyakinan pengundi terhadap keupayaan kerajaan membawa lebih banyak kemajuan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan kepada sokongan penduduk, khususnya 13,366 pengundi termasuk pengundi awal, calon BN, Yussibnosh Balo mampu memperoleh majoriti lebih besar.

Katanya, keyakinan itu didorong oleh kepercayaan rakyat terhadap keupayaan BN untuk membawa lebih banyak kemajuan ke DUN Balingian dan kawasan sekitarnya, sekali gus meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

BN adalah juara rakyat dalam menyelesaikan pemasalahan setempat dan di seluruh negara, begitu juga di DUN Balingian. PKR atau mana-mana parti pembangkang tidak mampu mempengaruhi rakyat dan mengikis keyakinan mereka terhadap kerajaan BN.

Sepanjang 12 hari berkempen, kita boleh melihat pembangkang ketandusan modal untuk meraih sokongan rakyat. Bagi BN, kita tahu pemasalahan setempat dan pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengatasinya atas dasar prihatin terhadap keperluan rakyat, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Program Inap Desa Tanjung Pedada, Kampung Tanjung dan Kampung Bunut di Kampung Seberang Alo di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Yussibnosh.
Muhyiddin berkata, walaupun Balingian dilabelkan antara kubu BN Sarawak, terutama ketika diwakili bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, jentera parti BN tidak boleh mengambil mudah kerana pembangkang sentiasa mencari peluang untuk bertapak.

Kita (BN) memang boleh menang (PRK DUN Balingian)... ini memang kawasan kita. Bagaimanapun, apa yang kita mahukan dalam pilihan raya kali ini ialah kemenangan dengan majoriti lebih besar. Sebabnya, kita tahu sebahagian besar daripada 13,366 pengundi di kawasan ini adalah penyokong tegar BN, katanya.