Tragedi MH370: Cari objek serpihan

Tragedi MH370: Cari objek serpihan


Tragedi MH370: Cari objek serpihan

Posted: 26 Mar 2014 06:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah mencari serpihan atau objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan membolehkan kehilangan pesawat di kawasan berkenaan dapat disahkan tanpa ragu.

Seperti kenyataan terdahulu, katanya negara memperoleh tanda bahawa pesawat berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis satelit yang dianggap konklusif.

"Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu ini dan bulan-bulan akan datang ialah mencari segala serpihan, rangka serta objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya kita boleh mengesahkan tanpa ragu bahawa pesawat itu hilang di selatan Lautan Hindi," katanya ketika membentangkan usul khas mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) di Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri berkata, Dewan Rakyat menzahirkan dukacita terhadap tragedi malang yang menimpa penumpang dan kru MH370 dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga yang terbabit.

Komitmen SAR dihargai

Katanya, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya kepada negara luar yang banyak memberi bantuan, selain merakamkan setinggi penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan anggota SAR.
Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah yang selaras dengan semua agensi yang terbabit dalam operasi SAR, di samping berpegang pada prinsip bahawa sebarang kenyataan perlu disahkan sebelum dikeluarkan secara rasmi.

"Kita tidak ada niat sama sekali untuk menghalang atau menutup sebarang maklumat kepada keluarga mangsa atau pengetahuan umum... berkali-kali kita nyatakan bahawa insiden atau kes ini tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

"Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa langkah kita amatlah sesuai dan tepat... saya sedar bukan mudah keluarga penumpang dan anak kapal MH370 menghadapi insiden ini dan kita sedar bahawa kita perlu memberikan kepuasan kepada mereka dengan secepat mungkin," katanya.

Najib berkata, kerajaan menerima pelbagai cadangan, antaranya untuk berkabung dengan menurunkan bendera separuh tiang dan dalam isu ini kerajaan berpendapat bahawa perkara itu akan dilakukan selepas penemuan objek dan serpihan pesawat terbabit.

Menurutnya, segala persoalan mengenai misteri kehilangan pesawat hanya akan terjawab apabila kotak hitam pesawat yang mengandungi data control recorder (DCR) dan voice control recorder (VCR) ditemui.

"Saya mengambil keputusan membuat kenyataan rasmi malam tadi supaya tidak disalah anggap kita tidak menyampaikan maklumat yang diperoleh secepat mungkin meskipun berita itu amat buruk," katanya.

Rakan sejawatan kongsi sedih

Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi rasa sedih dialami Malaysia bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Dalam pos Twitter terbaharunya @NajibRazak berkata: "Malaysia menghargai sokongan sahabat serantau @SBYudhoyono," katanya yang kemudian turut disebarkan 338 pengguna laman sosial itu dalam tempoh kurang sejam.

Susilo dalam tweetnya berkata: "Kepada bangsa Malaysia & Perdana Menteri @najibrazak, kami juga menyampaikan dukacita atas tragedi ini."

Hsien Loong dalam akaun Twitter @leehsienloong yang turut disebarkan Najib berkata: "Rasa simpati yang paling dalam kami kepada keluarga dan sahabat penumpang pesawat #MH370."

DBKL komited selesai segera aduan

Posted: 26 Mar 2014 12:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Pusat Panggilan Hotline 1 800 88 3255 DBKL menerima sejumlah 20,826 panggilan daripada orang ramai pada sepanjang 2013 yang lalu dengan panggilan terbanyak diterima membabitkan 6,622 aduan berkaitan kemudahan awam di bandar raya Kuala Lumpur.

Aduan kedua terbanyak, iaitu sebanyak 2,842 panggilan membabitkan masalah pokok, halangan (2,336 panggilan), binatang (1,807 panggilan), perancangan dan pembangunan (1,357 panggilan), sistem saliran dan perparitan (1,241 panggilan) dan masalah kebersihan (1,234 panggilan).

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr Ismail Stapa, berkata aduan lain diterima termasuk perihal pelesenan (980 panggilan), perumahan awam DBKL (684 panggilan), alam sekitar (576 panggilan), lain-lain masalah (466 panggilan), kes kecemasan (319 panggilan), penguatkuasaan (182 panggilan), undang-undang dan pendakwaan (133 panggilan), pilihan raya (30 panggilan), urusan pentadbiran (lapan panggilan), masalah sosial (tujuh panggilan), hal-ehwal pelancongan dan halehwal perpustakaan, masing-masing satu.

"Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan DBKL pada bila-bila masa apabila berdepan dengan sebarang masalah berkaitan DBKL.

"Operasi Pusat Panggilan 1 800 88 3255 dibuka kepada orang ramai sepanjang masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu," jelasnya. Panggilan dikelaskan Dr Ismail menambah, setiap panggilan diterima akan dikelaskan mengikut kategori di atas dan kebiasaannya aduan kecemasan diberikan keutamaan untuk tindakan pada kadar segera.

Bagaimanapun, ada juga aduan atau panggilan membabitkan penyelesaian kes mahkamah terpaksa menunggu sehingga masalah pertikaian itu diselesaikan oleh mahkamah lebih dulu.

Pada sepanjang 2013 juga, daripada 20,826 panggilan dan aduan diterima, sebanyak 20,712 aduan berjaya diselesaikan. "Ini menunjukkan kadar kejayaan adalah 99 peratus," ujarnya.
Fungsi Pusat Panggilan adalah melayani aduan dan memberi penerangan perkara berkaitan perkhidmatan DBKL kepada pemanggil tanpa prasangka. Pusat Panggilan Hotline DBKL beroperasi di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur. Selain talian 1 800 88 3255, orang ramai juga boleh menggunakan e-mel di callcentre@dbkl.gov.my.

Tragedi MH370: Kesan Doppler rumus lokasi terakhir

Posted: 25 Mar 2014 04:51 PM PDT

Kuala Lumpur: Lokasi MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi dirumuskan menerusi penggunaan kesan Doppler oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom dan Satelit Inmarsat.

Menerusi kaedah itu, lokasi kasar mana-mana pesawat boleh dikenal pasti berdasarkan komunikasi automatik yang berlaku antara pesawat dengan salah sebuah satelit Inmarsat dalam laluan tertentu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika membuat penjelasan itu semalam, berkata ia adalah analisis data satelit, Inmarsat serta AAIB dan diserahkan kepada Malaysia yang kemudian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi siaran langsung televisyen ke seluruh dunia malam kelmarin.

Penjelasan oleh Hishammuddin semalam berikutan persoalan yang ditimbulkan pelbagai pihak mengenai kaedah rumusan dan apa yang berlaku kepada MH370 sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati waris penumpang di China.

Isyarat log masuk

Menurutnya, berdasarkan kelaziman, stesen satelit darat akan menghubungi pesawat jika tiada maklum balas diterima dalam masa satu jam, yang sering digambarkan sebagai 'ping', iaitu isyarat log masuk atau log keluar, dihantar menggunakan identiti pengenalan khas pesawat yang akan dibalas sebaik pesawat menerima isyarat itu.

"Proses itu turut dikenali dengan handshake dan berlaku secara automatik. Teknologi itu juga menetapkan bahawa enam handshake perlu diterima stesen satelit darat sebaik Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) berhenti menghantar isyarat," katanya.
Hishammuddin berkata, maklumat berkaitan posisi pesawat dan waktu isyarat dihantar serta diterima melalui stesen satelit darat adalah elemen utama dalam menentukan jarak pesawat dan satelit.

"Berdasarkan elemen itu, Inmarsat menggunakan teknologi khas yang mengambil kira had laju pesawat secara relatif kepada satelit. Frekuensi berbeza yang diterima dan dipancarkan akan berlainan daripada biasa, seperti bunyi dihasilkan oleh sebuah kereta yang saling berselisih," katanya.

Perbezaan dikenali sebagai Kesan Doppler itu akan menentukan kelainan antara frekuensi yang patut diterima oleh stesen darat dan frekuensi sebenar yang diukur.

"Perbezaan dalam kesan Doppler ini dikenali sebagai Burst Frequency Offset yang berubah mengikut lokasi pesawat dalam kawasan (arc) yang berkemungkinan menjadi tempatnya berada, arah pergerakan dan kelajuannya.

"Untuk meyakinkan teorinya, Inmarsat menyemak ramalan itu dengan maklumat daripada enam pesawat B777 lain yang terbang pada hari sama di pelbagai arah dan mendapati ada persamaan yang meyakinkan.

Hantar mesej peringkat awal

"Ketika berada di bumi di lapangan terbang Kuala Lumpur dan pada peringkat awal penerbangannya, MH370 menghantar beberapa mesej. Pada peringkat itu, lokasi pesawat berkenaan dan satelit telah dikenal pasti, maka oleh itu perkiraan bolehlah dibuat mengenai ciri-ciri sistem pesawat, satelit dan stesen bumi," katanya.

Hishammuddin berkata, isyarat dipancarkan secara automatik setiap jam dari pesawat selepas semua sistem komunikasi berhenti menunjukkan MH370 terus terbang beberapa jam selepas hilang dari laluan asal dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Saintis Inmarsat kemudian menyiasat 'ping' berkenaan menggunakan teknik Doppler yang menjelaskan bagaimana perubahan frekuensi gelombang relatif kepada pergerakan pemantau atau satelit.

"Pada peringkat awal, MH370 ada memberikan beberapa isyarat dan pada masa itu lokasi pesawat serta satelit telah diketahui. Oleh itu mudah untuk mengira ciri-ciri sistem untuk pesawat, satelit dan stesen di darat.

"Analisis menunjukkan 'ping' itu lemah di koridor utara, tetapi kuat di koridor selatan. Berdasarkan kelajuan pesawat, adalah tidak mustahil untuk menjangkakan kedudukan pesawat di mana pertukaran isyarat terakhir," jelasnya.

Katanya, dalam kes kehilangan MH370, analisis dihasilkan Inmarsat mempunyai asas bagi mengkaji kedudukan terakhir pesawat, sekali gus membolehkan Malaysia menubuhkan pasukan penyiasat antarabangsa yang turut membabitkan kerjasama pakar komunikasi satelit dan prestasi pesawat untuk menentukan apa yang berlaku.

Tragedi MH370: ‘Hati saya hancur luluh’

Posted: 25 Mar 2014 04:47 PM PDT

Sepang: "Hancur luluh hati saya apabila mengenangkan kesedihan tidak tertanggung yang dialami keluarga terbabit dan tiada kata-kata yang dapat meredakan kesedihan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Sejurus selepas sidang media mengenai MH370 awal semalam, Ahmad Jauhari berkata beliau bukan berkata demikian kerana kedudukannya sebagai CEO MAS, tetapi sebagai bapa dan anak.

"Setiap anggota keluarga MAS mendoakan kesejahteraan 239 roh mereka yang menaiki MH370 dan orang yang mereka sayang pada hari yang memilukan ini. Kami (MAS) mendoakan kesejahteraan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," kata Ahmad Jauhari yang mengalirkan air mata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman mengenai nasib pesawat itu, malam kelmarin.

Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof, turut hadir dalam majlis berkenaan.

Beliau berkata, seluruh warga MAS turut bersedih dengan tragedi yang menimpa pesawat malang terbabit.

"Sedih kerana semua yang menaiki penerbangan MH370 pada 8 Mac tidak akan dapat lagi berjumpa dengan keluarga masing-masing.

Dan kini, keluarga terbabit terpaksa menjalani kehidupan tanpa orang yang mereka sayangi. Satu lagi perkara yang tidak patut dilupakan ialah 13 rakan kami dan rakyat Malaysia lain juga menaiki pesawat itu.
"Izinkan saya menyatakan dengan sejelas-jelasnya mengenai peristiwa petang semalam (kelmarin) satu-satunya motivasi bagi kami (MAS) ialah untuk memastikan bahawa dalam tempoh yang amat singkat, keluarga berkenaan dapat mendengar berita sedih itu sebelum dunia mendengarnya," katanya.

Sampai berita secara peribadi

Beliau berkata dengan sedapat mungkin, MAS menyampaikan berita itu secara peribadi kepada keluarga terbabit atau melalui telefon dan menggunakan SMS hanya sebagai langkah susulan untuk memastikan hampir 1,000 anggota keluarga terbabit mendapat berita itu dari syarikat penerbangan tersebut sendiri, bukan dari media.

Katanya, seperti orang lain, MAS juga menunggu berita itu daripada pihak berkuasa.

"Kita tahu bahawa walaupun terdapat banyak petunjuk ketara, namun tiada pengesahan mengenai identiti serpihan yang diperkatakan itu. Sukar meramalkan berapa lama masa perlu diambil.

"Bagaimanapun, selepas 17 hari, pengumuman yang dibuat malam tadi dan dikongsi dengan keluarga terbabit adalah hakikat yang perlu kita terima sekarang," katanya.

Sementara itu, Ahmad Jauhari berkata, soal mengenai peletakan jawatannya hanya akan dilihat selepas ini kerana pencarian pesawat MH370 masih diteruskan.

"Adakah saya akan letak jawatan, itu keputusan peribadi, kita akan (bincang) kemudian," katanya.

Md Nor pula berkata, MAS meneruskan tanggungjawab sosial, termasuk menjaga kebajikan ahli keluarga penumpang dan kru MH370.

Katanya, bantuan yang terus diberikan MAS bukan saja membabitkan sokongan emosi tetapi bantuan kewangan kepada setiap keluarga pesawat malang itu.

Tragedi MH370: ‘Mama....adik nak pegi dulu’

Posted: 25 Mar 2014 04:44 PM PDT

Bera: "Mama....adik nak pegi dulu" ungkapan manja itu kekal dalam ingatan sepanjang hayat Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, seorang daripada 239 penumpang pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang nahas di Lautan Hindi.

Kata-kata itu diungkapkan Khairul Amri yang juga jurutera sebuah syarikat swasta sebelum menaiki pesawat berkenaan ke Beijing, China, pada 8 Mac lalu, tetapi disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia, malam kelmarin selepas hilang selama 17 hari.

Bagi Normah, 56, sukar baginya untuk melupakan ungkapan itu kerana tidak menyangka ia menjadi petanda akan berpisah dengan anak bongsunya.

Masih ralat

"Kak Nor masih ralat dengan kata-kata adik (panggilan manja Khairul Amri)...biasanya kami berborak lama sekurang-kurangnya satu jam sebelum dia pergi ke mana-mana tetapi hari berkenaan (8 Mac) lain sangat.

�"Mak rindu sangat kat adik, dia baik, ceria dan tidak pernah sakiti hati ibu," katanya sambil menangis ketika ditenangkan beberapa jiran dan ahli keluarga di rumahnya dekat Jalan Kerayong Makmur 2, Taman Kerayong Makmur, di sini, semalam.

�Jiran dan saudara-mara mula berkumpul di rumah Normah yang juga guru TADIKA KEMAS di taman itu sejak malam kelmarin, sejurus pengumuman mengenai nasib malang menimpa MH370 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
�Khairul Amri adalah seorang daripada 239 penumpang anak kapal pesawat MH370 yang mahu ke Beijing, China atas urusan kerja.

�Anak bongsu daripada tiga beradik itu, berkahwin dengan Erni Artila Mustafa, 29, dan dikurniakan seorang anak lelaki yang baru berusia 16 bulan.

�Normah yang pengsan dua kali selepas pengumuman Perdana Menteri berhubung nasib malang pesawat berkenaan malam kelmarin, berkata beliau cuba untuk menjadi tabah demi anaknya tetapi tidak berjaya.

"Kak Nor tidak sangka begini noktahnya (pesawat MH370) selepas menanti dengan penuh harapan selama 17 hari...berita malam tadi (kelmarin) amat mengejutkan.

Hanya minum air

"Kak Nor tidak makan sejak balik dari Hotel Everly di Putrajaya, Khamis lalu, hanya minum air saja kerana mengenangkan nasib anak, sebab itu badan jadi lemah dan doktor pesan suruh rehat�serta makan selepas ini," katanya yang turut dikejarkan ke klinik kesihatan.

Beliau juga menaruh harapan dapat pergi ke lokasi pesawat MH370 terhempas dan sedang�menunggu panggilan MAS selepas semua proses mengesan�oleh pihak berkuasa selesai dilakukan.

"Saya bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan pasrah dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Normah juga menyatakan penghargaan kepada kerajaan, MAS, saudara dan rakan-rakan yang memberi�sokongan dan kekuatan kepadanya untuk berdepan dengan dugaan berkenaan.

Tragedi MH370: Media Prima ucap takziah

Posted: 25 Mar 2014 04:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan Media Prima Berhad (Media Prima) berkongsi kesedihan tragedi yang menimpa MH370.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Kumpulan Media Prima merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga penumpang dan kru pesawat malang itu.

"Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan yang luar biasa ini. Tragedi ini turut menyatupadukan rakyat Malaysia dalam berdoa dan mengharapkan keajaiban. Sebagai manusia kita hanya mampu berdoa dan berharap.

"Bagaimanapun, kami percaya bahawa keyakinan dan keprihatinan rakyat Malaysia amat besar maknanya bagi anggota keluarga yang terbabit sejak hari pertama berlaku peristiwa kehilangan pesawat MH370," kata kenyataan itu.

Media Prima juga merakamkan penghargaan tinggi kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat MH370.

Menurut kenyataan itu lagi, kejadian malang yang menimpa MH370 belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan negara termasuk gerakan mencari dan menyelamat yang menyeluruh membabitkan petugas dan kelengkapan serta peralatan seluruh dunia.

"Rakyat Malaysia seluruhnya menghargai sumbangan negara lain dalam usaha itu. Semua platform Media Prima merangkumi rangkaian TV, radio, media cetak dan digital menganggap usaha melaporkan tragedi ini sebagai satu cabaran yang besar.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu bagi memastikan laporan terkini, tuntas dan bertanggungjawab sepanjang berlakunya peristiwa ini. Terlalu banyak yang kami pelajari daripada tragedi MH370," katanya.

Sementara itu, semua stesen Rangkaian Televisyen Media Prima menggantikan program hiburan dengan laporan khas tragedi MH370 serta menyusun semula program siaran, sejak semalam bagi menghormati tragedi berkenaan.

Rombak susunan program

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, berkata pihaknya berkongsi kesedihan dan bersimpati dengan tragedi membabitkan penumpang dan anak kapal MH370.

"Susulan pengumuman Perdana Menteri malam tadi (kelmarin), kami di TV3, ntv7, 8TV dan TV9 sepakat merombak susunan program dengan menggugurkan rancangan hiburan seterusnya memanjangkan laporan khas dan berita terkini, selain melebihkan pengisian agama serta ilmiah," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Izham berkata, Karnival Jom Heboh 2014 yang sepatutnya berlangsung di Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini, ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan nanti.