Kepentingan negara atasi populariti diri

Kepentingan negara atasi populariti diri


Kepentingan negara atasi populariti diri

Posted: 07 Mar 2014 02:26 PM PST

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti dirinya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil masa dan berfikir panjang risiko dan kesan keputusan yang dibuat semata-mata untuk rakyat.

"Saya tidak memandang ringan keputusan seperti mengurangkan subsidi atau memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi menimbangkannya bagi menjamin masa depan, keselamatan, kebebasan dan pertumbuhan ekonomi yang mapan kepada negara," katanya pada Sidang Kemuncak Dialog Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di sini, semalam.

Najib berkata, soal mentadbir negara adalah mengenai membuat keputusan yang betul, bukan hanya untuk hari ini, tetapi masa depan.

"Sebagai ahli politik, mungkin mudah membuat janji, menawarkan apa yang rakyat mahukan dan menanggung akibatnya. Namun, kepemimpinan adalah membuat apa yang betul dan ia bukan mudah. Jika kita salah membuat keputusan, mungkin akan merencatkan pembangunan negara," katanya dalam ucapan bertajuk "Memacu Ekonomi Malaysia: Meneliti Punca Utama, di sini, semalam.

Rekod jadi bukti

Beliau yakin dengan perubahan yang dibuatnya kerana rekod ekonomi sedia ada dapat membuktikannya.
"Tindakan terkini kerajaan disambut baik pelabur dan agensi penarafan berikutan defisit bajet makin menurun, kini pada 3.9 peratus, rendah daripada sasaran. Kita sedang menuju kepada bajet seimbang menjelang 2020 walaupun sesetengah penganalisis politik meramalkan ekonomi Malaysia terus berkembang," katanya.

Najib berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.1 peratus pada suku terakhir tahun lalu, melebihi sasaran dengan lebih tinggi daripada dijangkakan.

"Jualan runcit, pembinaan, perdagangan dan eksport semakin meningkat. Tahun lalu, dagangan mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, begitu juga pelaburan asing yang mengembangkan perniagaan Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia," katanya," katanya.

‘Hidupkan roh tautan raja, rakyat’

Posted: 07 Mar 2014 02:21 PM PST

Kuala Kangsar: Institusi Kesultanan Melayu berdepan cabaran lebih besar untuk diletakkan sebagai institusi yang diterima secara positif, disokong, dihormati serta kekal relevan dan berfungsi kepada rakyat akibat perbuatan pihak tertentu mempersendakannya.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, kebelakangan ini semakin terdengar suara yang secara terbuka mencabar peruntukan tertentu dalam undang-undang negara, bersikap melanggar adat dan adab serta mempersendakan institusi berkenaan.

Sebagai contoh, baginda menyebut, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang didapati bersalah atas tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 6 Februari 2009.

Institusi kekal relevan

"Institusi Kesultanan Melayu berhadapan dengan cabaran lebih besar untuk meletakkan institusi itu di persada persepsi yang diterima secara positif lagi supportive (disokong), dihormati oleh rakyat sebagai institusi yang kekal relevan dan kekal berfungsi," titahnya pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-156 di Istana Iskandariah di sini, semalam.

Terdahulu, pada sebelah pagi baginda menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-86.

Raja Nazrin bertitah, bagi memperbaiki perkara itu, pelaksanaan program yang berupaya merapatkan hubungan raja dengan rakyat perlu difikirkan dengan bijak, memberi pengertian, impak dan keberkesanan, tidak hanya berwajah 'ceremonial' (istiadat) dan dihadiri lingkungan audien yang sama.
Justeru, titahnya bermula program sambutan hari ulang tahun keputeraan ayahandanya tahun ini, program yang dilaksanakan perlu disuntik dimensi baru dan ditiupkan 'roh' yang menghidupkan tautan hubungan di antara raja dengan rakyat dapat dipertingkatkan dan dapat mengimbangkan antara protokol dengan imej kemesraan raja pemerintah terhadap rakyat.

"Ia memerlukan perekayasaan semula beberapa perkara dari segi komposisi tetamu yang diundang, begitu juga susun atur tempat duduk agar raja tidak kelihatan bersemayam terlalu jauh dengan audien, diapit orang yang sama serta melihat wajah yang serupa.

Komposisi tetamu pelbagai kaum

"Program yang dianjurkan di peringkat daerah juga sewajarnya memberi peluang kepada lebih ramai tetamu di peringkat daerah mengenali raja dan raja juga berpeluang mengenali mereka. Untuk itu, ketua jabatan peringkat negeri memadai dijemput secara selektif dan bergilir-gilir agar ruang yang lebih dapat diberikan kepada tetamu di peringkat daerah," katanya.

Baginda turut menitahkan komposisi tetamu perlu berimej pelbagai kaum dan mewakili semua pihak, termasuk wakil pelbagai agama dan kaum, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela, yang dijemput secara bergilir-gilir supaya mereka berpeluang menghadiri acara di Istana Iskandariah.

Selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan pula, baginda menitahkan aspek kos penganjuran program dikawal agar berpatutan dan tidak berlaku pembaziran agar rakyat tidak mempunyai tanggapan salah terhadap institusi raja, selain memenuhi ajaran Islam.

Saya tak akan letak jawatan: Khalid

Posted: 07 Mar 2014 02:20 PM PST

Kuala Lumpur: "Saya tidak akan tandatangan." Itu yang ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) apabila ditanya sama ada beliau akan menandatangani surat peletakan jawatannya.

Sambil menggelengkan kepada, Khalid lantas menyanggah dan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menerima atau menandatangani surat berhubung perkara berkenaan, dipercayai bertarikh 23 Mac sebelum ini.

Penjelasan itu sekali gus mengesahkan kunjungan beliau ke istana menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain mengadakan pertemuan dengan EXCO dan kepemimpinan kerajaan negeri berhubung pendiriannya untuk mengekalkan jawatan berkenaan baru-baru ini.

Pergiat program, insentif

Berbaki 15 hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Khalid dilihat cuba membuktikan kredibilitinya sebagai Menteri Besar kepada rakyat negeri itu dengan mempergiatkan pelbagai program dan insentif.

"Ada orang akan bertanya, kenapa pilih Hulu Langat (sebagai perintis program Kemahiran Teknikal bagi Belia Luar Bandar dan Pemberian Insentif Bas Sekolah)?

"Kita menyelam sambil minum air juga, maknanya kita akan tunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan negeri ada program kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dua program itu sempena Program Khas Mesra Rakyat, di sini, semalam.
Perebutan jawatan Menteri Besar Selangor tercetus apabila ADUN Kajang, Lee Chin Cheh melepaskan jawatannya secara mengejut bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu.

Taktik sama dilakukan Anwar terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu yang juga isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila diarah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan beliau bertanding pada 2008. Ia disusuli DUN Penanti pada 2009 bagi memberi laluan kepada Datuk Dr Mansor Othman.

BN Sarawak dalam peringkat akhir teliti calon Balingian

Posted: 07 Mar 2014 02:16 PM PST

Petra Jaya: Barisan Nasional (BN) Sarawak sedang dalam peringkat akhir meneliti calon berpotensi dalam usaha mengekalkan penguasaannya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, 29 Mac ini.

Ia turut mengambil kira latar belakang calon berkenaan, selain penerimaan kalangan penduduk setempat serta sokongan terhadapnya pada peringkat akar umbi.

Difahamkan, proses penelitian itu dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi, seterusnya dikemukakan kepada pucuk pimpinan BN Pusat untuk dipertimbangkan sebelum diumumkan pada hari penamaan calon, 17 Mac ini. Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, berkata belum masa sesuai untuknya mengumumkan calon berkenaan dan keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana sebarang kesilapan boleh menjejaskan persiapan menghadapi pilihan raya itu.

"Tunggulah... saya akan mengumumkannya (nama calon) nanti. Sekarang masanya belum sesuai dan kita sedang sibuk buat persiapan," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis kesyukuran sempena pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Masjid Negeri, di sini anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMS).

Gurauan Shahrizat diperbesar PKR

Posted: 07 Mar 2014 02:14 PM PST

Kajang: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kenyataannya berhubung status bujang calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun, baru-baru ini, hanya gurauan semata-mata.

Bagaimanapun gurauannya 'Chew Mei Fun mungkin akan menamatkan status bujang sekiranya menang PRK Kajang' sengaja diperbesarkan oleh pihak pakatan pembangkang, terutama PKR, katanya.

Bukan penghinaan

"Ini kerana mereka tahu Chew adalah calon yang baik. Saya kenal rapat dengannya, ia (hanya) perbualan dalam satu keluarga tempoh hari, hanya untuk suka-suka... ini bukan satu penghinaan," katanya selepas menghadiri Program Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Hulu Langat di sini, semalam.

Rabu lalu, sebuah akhbar berbahasa Mandarin melaporkan bahawa Shahrizat ketika memperkenalkan calon BN untuk DUN Kajang itu, dalam program Wanita BN bersama penduduk, berkata dalam nada bergurau Chew mungkin akan menamatkan status bujangnya sekiranya menang dalam PRK 23 Mac ini.

Pembangkang terdesak

Gurauan itu kemudian diulas oleh anggota DUN Bukit Lanjan daripada PKR, Elizabeth Wong Keat Ping kononnya kenyataan mendiskriminasikan wanita bujang dan mencabar Chew supaya meminta Shahrizat tampil meminta maaf.
Shahrizat berkata: "Pada saya, apabila pembangkang memperbesarkan isu ini, ia menunjukkan mereka benar-benar terdesak, terutama Elizabeth Wong."

Sementara itu, Shahrizat berkata pihaknya yakin dengan pengalaman politik serta keperibadian Chew yang baik dapat menarik lebih banyak sokongan daripada penduduk di Kajang, terutama wanita.

"Beliau (Chew) seorang yang berintergriti dan berprinsip serta pernah bersama-sama dengan saya menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini... saya yakin dengan kepemimpinan beliau dapat memberi khidmat terbaik kepada penduduk Kajang," katanya. - BERNAMA

OKU kayuh 30km jaja sayur

Posted: 07 Mar 2014 02:08 PM PST

Tumpat: Kecacatan dialami dua beradik orang kelainan upaya (OKU) tidak mematahkan semangat mereka mencari rezeki halal, dengan mengayuh basikal sejauh 30 kilometer setiap hari.

Mohamad Yusof, 64, yang buta kedua-dua mata sejak berusia tujuh tahun dan adik iparnya, Hasnah Ngoh, 40, seorang yang kerdil sejak lahir, tetap gigih mengelilingi kampung untuk menjual buah-buahan dan sayuran.

Menariknya, Mohamad bertindak sebagai pengayuh basikal, manakala adik iparnya itu akan menjadi pemandu dengan memegang stereng basikal yang sudah diubah menjadi roda tiga, bagi memudahkan mereka.

"Saya tidak malu dan segan berdepan masyarakat walaupun kami insan buta dan kerdil demi mencari rezeki halal. Ia dianggap lebih memalukan sekiranya duduk di tepi jalan meminta sedekah.

"Setiap hari kami akan keluar rumah seawal jam 7 pagi dengan mengayuh basikal sejak 10 tahun lalu ke kampung berhampiran untuk menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran, sebelum pulang ke rumah jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendak Pak Yong.

Mohamad yang mempunyai tujuh anak berkata, hasil pendapatannya setiap hari tidak menentu diantara RM15 hingga RM30, namun sudah memadai untuk menampung kehidupan seharian sekeluarga.

"Saya berbangga dengan kecacatan diri dan pendapatan hasil menjaja, sekurang-kurangnya saya mampu membina dua buah rumah hasil dari titik peluh sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
"Selain berniaga, saya juga membuat kerja lain iaitu membuat wau sekiranya terdapat tempahan. Saya akan membuat rangka wau, manakala, bahagian menampal diserahkan kepada adik ipar," katanya.