Wanita OKU kena kurung 10 tahun

Wanita OKU kena kurung 10 tahun


Wanita OKU kena kurung 10 tahun

Posted: 27 Jun 2014 07:00 PM PDT

Wanita OKU kena kurung 10 tahunRubiah (kanan) melawat Nazitah dipercayai dikurung lebih 10 tahun di bawah rumahnyadi Kampung Pasir Pekan Hulu. - Foto Syamsi Suhaimi

Kota Bharu: Lagi orang kurang upaya (OKU) diabaikan dan kali ini membabitkan seorang wanita yang dipercayai tinggal seorang diri serta dikurung dalam sebuah bilik di bawah rumah lebih 10 tahun lalu.

Wanita berusia 30-an dikenali sebagai Nazitah itu ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan badan kurus kering, berbau busuk serta tiada kemudahan elektrik di Kampung Pasir Pekan Hulu, di sini, semalam.

Dia berjaya diselamatkan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila ditemui pada kira-kira jam 3.30 petang. Bilik yang tidak ubah sepertilokap itu dikunci dari luar turut mempunyai katil usang dan bilik mandi. Beberapa bungkusan makanan ringan dan botol kosong juga kelihatan berada berhampiran katil mangsa.

Penemuan wanita malang itu hasil maklumat Ketua Pemuda Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Aiman Yusri Mohd Yusof, yang memaklumkannya kepada pihak polis dan JKM, sebelum pemeriksaan dijalankan.

Pasukan penyelamat dan pihak media yang tiba di lokasi kejadian sempat mendengar rintihan wanita berkenaan, yang mendakwa lapar kerana tidak makan seharian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap kediaman berkenaan selepas mendapat maklumat.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis terkejut melihat keadaan wanita malang yang dikurung itu dalam keadaan gelap dan tidak terurus.

Dapatkan akhbar BH hari ini untuk berita lanjut

Kerajaan disaran perkukuh keselamatan siber negara

Posted: 27 Jun 2014 07:00 PM PDT

Petaling Jaya: Kerajaan perlu meletakkan keutamaan bagi memperkukuhkan sistem pertahanan keselamatan siber selepas dilihat ada kekurangan yang boleh mengancam pencerobohan maklumat dalam sistem keselamatan negara.

Pengasas dan Presiden EC-Council, Jay Bavisi, berkata kekurangan persediaan terutama dari aspek pertahanan keselamatan siber boleh menyebabkan negara berdepan pelbagai ancaman baharu, terutama pencerobohan sistem rangkaian komputer.

Sistem bersepadu

Beliau yang berpengalaman luas membangunkan sistem pertahanan keselamatan siber, termasuk diiktiraf Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat (AS) berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia bergerak ke depan dengan mewujudkan satu sistem bersepadu bagi pertahanan keselamatan siber membabitkan rangkaian di pelbagai kementerian berkaitan.

"Ancaman baharu boleh wujud dalam pelbagai cara terutama selepas berlaku tragedi 11 September 2001.

"Sebab itu perlu ada kesedaran tinggi terutama kepada agensi keselamatan kerajaan bagi mempertingkat sistem keselamatan siber," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Phileo Damansara 1 di sini, semalam.
Terdahulu, sidang media itu diadakan bagi meraikan kejayaan Bavisi selaku rakyat Malaysia dan ASIA pertama yang dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Informasi Pendidikan Sistem Keselamatan Kolokium NSA-DHS (CISSE).

EC-Council yang ditubuhkan pada tahun 2003 dengan modal AS$5,000 (RM16,065) bertanggungjawab memberi pendidikan kepada golongan profesional berkaitan latihan pencegahan dan keselamatan siber.

Penumpang tanggung sendiri risiko

Posted: 27 Jun 2014 06:43 PM PDT

Penumpang tanggung sendiri risikoKeratan akhbar BH pada 23 Jun lalu.

KTMB tangguh penutupan laluan walaupun disahkan bahaya

Kuala Lumpur: "Gunakan laluan kereta api Gemas-Gua Musang atas risiko sendiri," itu kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung keputusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menangguhkan penutupan laluan itu.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata penumpang perlu tanggung sendiri risikonya kerana pihaknya sudah memutuskan landasan kereta api laluan itu tidak selamat dan sepatutnya ditutup mulai semalam.

Bagaimanapun, KTMB dalam kenyataannya, kelmarin, mengumumkan laluan itu tidak jadi ditutup mulai semalam seperti diputuskan sebelum ini dan menangguhkannya sehingga 15 Ogos.

Syed Hamid berkata, KTMB sepatutnya mengumumkan status sebenar tahap keselamatan landasan di sektor itu kepada orang ramai supaya mereka boleh membuat pilihan atas risiko sendiri.

"KTMB juga perlu memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung keadaan perkhidmatan yang disediakan mereka, termasuk langkah keselamatan yang diambil bagi mengurangkan risiko berlaku insiden yang tidak diingini.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Pantau kegiatan jihad rakyat kita: Muhyiddin

Posted: 27 Jun 2014 04:03 PM PDT

Pagoh: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kegiatan jihad dalam kalangan rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai pelampau di Syria dipantau bagi mengelak ia menular ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan rakyat Malaysia dalam kegiatan itu cukup membimbangkan dan pihaknya sudah menerima laporan menerusi polis antarabangsa (INTERPOL).

"Kita pantau perkara ini. Kita sudah menerima laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi hubungan INTERPOL. Kita dapat maklum balas mengenai keadaan sebenar tetapi belum dapat menentukan secara terperinci tetapi ia sesuatu yang agak cukup membimbangkan.

Latihan bentuk ketenteraan

"Ini berikutan tindakan mereka dianggap sebagai pelampau, mungkin tujuan mereka untuk berjihad fisabilillah tetapi mereka dilatih dalam bentuk ketenteraan oleh pasukan bersenjata.

"Jadi ini sesuatu yang kita harus pantau, walaupun ia berlaku di luar negara, kemungkinan kalau mereka pulang ke tanah air. Kalau tak pantau, kumpulan ini boleh menimbulkan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan 15 rakyat Malaysia terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad terbunuh di Syria pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Untuk Masjid dan Surau serta Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Pagoh, di sini semalam.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Malaysia meminta pihak Syria mengesahkan dakwaan pegawai Syria yang berpusat di New York, Amerika Syarikat, pada sidang media 18 Jun lalu.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Malaysia tidak mahu timbul keadaan huru-hara, walaupun perkara itu berlaku di luar negara seperti Syria atau mana-mana negara sekalipun.

"Kita tidak boleh memandang ringan isu itu. Pihak kerajaan membuat pemantauan menerusi hubungan kita dengan jabatan dan pihak berkuasa peringkat antarabangsa," katanya.

PM ucap tahniah ahli akademik diiktiraf dunia

Posted: 27 Jun 2014 04:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada tiga ahli akademik Malaysia kerana diiktiraf sebagai antara minda saintifik terkemuka dunia.

"Tahniah kepada tiga profesor Malaysia yang disenaraikan antara minda saintifik paling berpengaruh! Kita perlu orang seperti anda dalam media sosial," katanya dalam kiriman terbaharu Twitter beliau.

Beliau mengulas laporan pautan berita theStar.com bertajuk Malaysia has three professors on world's most influential scientific minds list (Malaysia mempunyai tiga profesor dalam senarai minda saintifik paling berpengaruh di dunia), yang dikeluarkan kelmarin.

Kajian berimpak tinggi

Berita itu memetik laporan The World's Most Influential Scientific Minds: 2014, oleh firma maklumat perniagaan Thomson Reuters, yang menyebut penyelidik menamakan mereka yang menghasilkan kerja berimpak tinggi yang diputuskan komuniti saintifik sebagai sangat bermakna dan berguna dalam bidang mereka.

Sarjana tempatan yang menerima penghargaan itu ialah Prof Dr Abdul Latif Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ishak Hakim dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof Dr Saidur Rahman dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.

Senarai global itu, yang juga dikenali sebagai Laporan Penyelidik Paling Tinggi Dipetik, menampilkan 3,200 individu yang menghasilkan pelbagai penerbitan paling tinggi dipetik penyelidik lain dari tahun 2002 hingga 2012. - BERNAMA

TPM bimbang jenayah culik

Posted: 27 Jun 2014 03:55 PM PDT

TPM bimbang jenayah culikMuhyiddin menyampaikan sumbangan kepada Ahmad Shafran Marsin dari Surau Kampung Sri Tanjung, Panchor di Kompleks Pekembar, Pagoh, semalam.

Pagoh: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangan mengenai kejadian culik dan jenayah membabitkan pelajar sekolah dan meminta semua pihak tidak memandang mudah kes seumpama itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun kejadian tidak berlaku di kawasan sekolah, perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kes jenayah yang menjadikan pelajar atau murid sekolah sebagai mangsa.

Bersatu tangani kejadian

"Memang kita cukup bimbang dan prihatin perkara itu dan dari segi kerajaan, kita tidak boleh pandang mudah, pihak berkuasa seperti polis menyiasat peristiwa itu dan kita juga harap masyarakat dapat bersama-sama untuk membantu.

"Di sekolah, kita sudah ada beberapa program untuk mengingatkan pelajar mengenai keselamatan diri supaya jangan mudah ikut orang luar yang nak pujuk atau membuat apa-apa perkara untuk memikat mereka sebagai tipu helah yang digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Untuk Masjid dan Surau dan Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Pagoh, di sini semalam.