Seludup kereta guna kontena ‘perabot’

Seludup kereta guna kontena ‘perabot’


Seludup kereta guna kontena ‘perabot’

Posted: 10 Jun 2014 03:54 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Nazirah (kiri) bersama Rakob Srisupaat melihat kenderaan yang dicuri di Malaysia sebelum diseludup ke Thailand melalui Singapura, di Bangkok, semalam. - Foto BERNAMA

Foto

Antara kereta di dalam kontena yang diisytiharkan sebagai perabot.

Kenderaan dicuri dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga

Bangkok: Jabatan Kastam Thailand merampas 30 buah kereta bernilai 21.6 juta Baht (RM2.125 juta) dengan 13 daripadanya disahkan dicuri di Malaysia, yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan dokumen palsu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Thailand, Rakob Srisupaat, berkata kenderaan yang dibawa dari Singapura itu dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga.

"Kontena yang membawa kenderaan itu disenaraikan sebagai mengangkut perabot atau kereta baharu," katanya dalam taklimat media di sini pada Ahad yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Seorang pegawai kastam memberitahu BERNAMA, Thailand akan menyerahkan 25 kereta curi kepada pihak berkuasa Malaysia pada hujung bulan ini.

Guna jalan laut

Sementara itu, Nazirah yang dihubungi BH, berkata kebanyakan kenderaan curi dari Malaysia yang dirampas itu diseludup dari Singapura menggunakan jalan laut dan dibawa ke Bangkok sebelum disembunyikan di beberapa gudang.
Katanya, kebanyakan kenderaan curi itu adalah pacuan empat roda (4x4) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubah suai dari segi warna supaya kelihatan seperti baharu selain tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Kenderaan terbabit katanya, disembunyikan di gudang berhampiran sempadan sebelum diseludup keluar ke negara ketiga antaranya ke Asia Barat serta Afrika melalui jalan laut dan Kemboja melalui jalan darat.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Turkmenistan puji kepakaran PETRONAS

Posted: 10 Jun 2014 03:48 PM PDT

Turkmenistan puji kepakaran PETRONASNajib dan Gurbanguly bertukar dokumen selepas menandatangani kenyataan bersama di Istana Presiden, Ashgabat, semalam. - Foto BERNAMA

Malaysia komited sedia latihan teknikal menerusi kerjasama

Ashgabat, Turkmenistan: Pembabitan PETRONAS menerokai kawasan minyak dan gas di Turkmenistan sejak 18 tahun lalu, mendapat pujian dan penghargaan tinggi daripada Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Presiden Turkmenistan menganggap PETRONAS sebagai sebuah organisasi yang unggul dan disegani oleh pelbagai pihak.

"Dedikasi dan komitmen yang diperlihatkan membanggakan. Saya ucapkan tahniah kepada PETRONAS dan kakitangannya yang berjaya menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi dan menjadi warga korporat yang mematuhi undang-undang tempatan.

"Negara ini juga memerlukan keperluan khusus seperti anak mereka diberikan latihan dan pengalaman terutama dalam bidang minyak dan gas. Kita mesti faham bahawa sebagai sebuah negara yang bercita-cita besar seperti Malaysia, Turkmenistan juga perlu mempunyai strategi global," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di sini, semalam.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian beramah mesra dengan kira-kira 100 rakyat Malaysia yang hadir di majlis itu. Kira-kira 350 rakyat Malaysia berada di negara ini.

Strategi global
Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mempunyai strategi global apabila menerokai kawasan Asia Tengah yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

"Kawasan ini juga adalah pintu antara Asia, Eropah dan Russia serta pembabitan kita termasuk di Turkmenistan, memberi peluang baharu dan akses pasaran untuk tingkatkan eksport kita, selain mampu memajukan bidang lain seperti pendidikan, pembinaan, perhotelan dan perbankan Islam," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia sentiasa mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi serta cekal dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran seperti ditunjukkan orang Jepun dan Korea yang berani membuat pelaburan di serata dunia.

Sementara itu, Najib berkata, dalam pertemuan empat mata dengan Gurbanguly, beliau memaklumkan hasrat Malaysia untuk menerokai bidang baharu seperti makanan halal dan perbankan Islam selain berminat berkongsi kepakaran dalam sektor lain seperti pembinaan, perlombongan, pelancongan, kimia, dan telekomunikasi.

"Saya berterima kasih kepada Presiden Gurbanguly yang mahu melihat pembabitan PETRONAS secara lebih besar di Turkmenistan. Kami komited untuk terus menyediakan latihan teknikal kepada penuntut negara ini menerusi usaha sama," katanya.

Perdana Menteri dan isteri diraikan pada majlis santapan negara di Istana Presiden, sebelum berlepas pulang ke tanah air, malam tadi.

Dalam acara berasingan, Rosmah mengunjungi Kompleks Kecergasan Kanak-kanak di Gokdere, kira-kira 45 minit perjalanan dari sini.

Beliau bertemu sebahagian daripada 325 pelajar berusia antara 6 hingga 14 tahun, yang mengikuti pelajaran jangka pendek sempena cuti persekolahan musim panas selama tiga bulan bermula bulan ini.

Khazanah teliti pelan pemulihan semula MAS

Posted: 10 Jun 2014 03:44 PM PDT

Khazanah teliti pelan pemulihan semula MASAzman menunjukkan laporan Khazanah 2013 pada sidang media sempena Invest Malaysia 2014, di Kuala Lumpur, semalam.

Kaji semua opsyen untuk tempoh enam hingga 12 bulan

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd akan mengemukakan pelan perniagaan baharu untuk memulihkan semula kedudukan Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan lagi.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata sayap pelaburan kerajaan itu sedang meneliti semua opsyen yang ada untuk menstruktur semula syarikat penerbangan negara yang sedang berdepan masalah itu.

"Semua opsyen sedang diperhatikan dan kajian mengenainya masih berjalan," katanya pada sidang media di persidangan tahunan Invest Malaysia 2014 di sini, semalam.

Azman berkata, MAS mempunyai modal yang mencukupi untuk meneruskan kelangsungan operasinya untuk tempoh setahun lagi, namun beberapa opsyen jangka panjang sedang dinilai untuk membolehkannya terus beroperasi melangkaui tempoh itu.

"Dalam jangka terdekat iaitu 12 bulan, MAS mempunyai (modal) mencukupi untuk terus beroperasi. Opsyen yang ada sama ada untuk menjual, memfailkan kebankrapan, atau menyuntik lebih banyak dana semuanya terus dikaji.

"Pada masa dan ketika ini, adalah masih terlalu awal untuk menyatakan apakah opsyen yang akan digunakan.

"Saya merasakan keputusan akhir akan dibuat oleh kerajaan dan tugas kami ialah menasihatkan apa yang perlu dilakukan," katanya.
Khazanah ketika ini menguasai 69.4 peratus kepentingan MAS.

Usaha syarikat penerbangan itu untuk pulih daripada kerugian selama tiga tahun berturut-turut pula diburukkan lagi oleh tragedi kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac lalu.

Pada suku pertama tahun ini, MAS melaporkan kerugian lebih besar sebanyak RM443 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan jualan tiket selepas tragedi MH370 turut terjejas.

Tragedi MH370 beri kesan

Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 warga China daripada 239 penumpangnya pada 8 Mac lalu memberikan kesan terhadap pasaran perniagaan MAS di republik itu.

Ia kehilangan sehingga 60 peratus jualan di China sejak tragedi itu.

Mengulas lanjut, Azman berkata tiga perkara perlu dinilai oleh Khazanah dalam menstruktur semula mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk MAS.

Katanya, tiga perkara itu ialah budaya dan produktiviti kerja dalaman MAS, sokongan luar daripada kerajaan dan yang ketiga ialah kepemimpinan serta pengurusan syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula berkenaan.

"Ini satu isu yang serius, isu yang mana kami di Khazanah perlu menyeimbangkan antara sebuah institusi nasional yang penting dengan menguruskan wang pembayar cukai," katanya.

Ditanya sama ada dana berjumlah RM5 bilion yang disuntik Khazanah ke dalam MAS sejak 10 tahun lalu digunakan secara berkesan, Azman berkata, daripada aspek kewangannya ia gagal kerana MAS terus mencatatkan kerugian.

"Namun (ia membantu) daripada aspek ekonomi dan pembangunan negara, menghubungkan rakyat serta kegiatan perdagangan," katanya.

Saham MAS jatuh sehingga 28 peratus sejak tragedi MH370, dengan keyakinan pelabur dijejaskan oleh penurunan trafik MAS serta perkembangan tidak menentu mengenai bagaimana Khazanah dan kerajaan merancang untuk menyelamatkan syarikat itu.

MAS perlu dipecah

Nilai pasarannya menjunam 85 peratus dalam tempoh lima tahun lalu kepada RM3 bilion ketika ini.

Sementara itu, penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank Bhd, Mohshin Aziz, berkata Khazanah Nasional perlu menyediakan pelan pemulihan secepat mungkin atau berhadapan kemungkinan situasi lebih buruk.

"Kami berpendapat MAS perlu dipecahkan kepada entiti yang lebih kecil seperti cabang kejuruteraan, Firefly, perkhidmatan terminal dan syarikat penerbangan induk. Ia tidak mungkin meneruskan kelangsungan hidupnya dalam bentuk semasa," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Seorang lagi penganalisis berkata, MAS perlu mampu bertahan sehingga Khazanah Nasional menyediakan penyelesaian bagi menstrukturkan semula syarikat penerbangan negara itu.

"Merancang satu perkara dan memulihkan syarikat penerbangan itu cerita lain pula," katanya.

‘Bihun masjid’ tiada sijil halal JAKIM

Posted: 10 Jun 2014 03:43 PM PDT

Kilang didakwa kotor menjijikkan

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk 'Bihun Istimewa' yang menggunakan lambang masjid tidak mempunyai sijil halal.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai isu kilang bihun kotor dan jijik guna logo halal yang tersebar di laman sosial.

"Produk ini didapati menggunakan logo halal sendiri pada pembungkusan yang bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Syarikat terbabit bukanlah pemegang sijil pengesahan halal Malaysia dan tidak pernah mempunyai sijil halal," katanya dalam kenyataan disiarkan di laman sosial Facebook milik JAKIM, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin, berkata syarikat yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan kerana mengelirukan pengguna Islam.

Denda maksimum RM5j

Ini termasuk denda maksimum RM5 juta ke atas syarikat terbabit, atau denda maksimum RM1 juta atau hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu jika terbukti menggunakan logo halal tanpa kelulusan JAKIM.
Katanya, siasatan dilakukan sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun itu kotor di laman sosial semalam.

Katanya, siasatan KPDNKK tertumpu kepada aspek memberi kenyataan palsu mengenai status halal dan penggunaan logo halal yang tidak dikeluarkan oleh JAKIM.

"Undang-undang tidak membenarkan mana-mana pihak mengeluarkan kelulusan halal kecuali JAKIM. Kita juga lihat dari aspek syarikat terbabit beri gambaran palsu bahawa produknya adalah halal.

"Saya masih tunggu laporan penuh pegawai penyiasat yang dihantar ke kilang itu petang tadi (semalam), jika ada kesalahan tindakan tegas akan diambil," katanya.

33 peratus pensyarah IPG ada PhD menjelang 2020

Posted: 10 Jun 2014 03:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan 33 peratus pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) memiliki Ijazah Kedoktoran (PhD) menjelang tahun 2020, menerusi pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Profesional Pensyarah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu mampu meningkatkan kualiti graduan IPG, setanding institusi pengajian tinggi lain.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan, berkata tujuh aspek utama sudah dikenal pasti dalam usaha transformasi IPG ke arah lebih berwibawa serta memenuhi keperluan serta kehendak pedagogi abad ke-21.

"Aspek itu termasuk memperkukuh saluran pengambilan guru pelatih, memantapkan kurikulum IPG, meningkatkan kualiti pensyarah dan kepemimpinan IPG," katanya ketika menjawab soalan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) di Dewan Rakyat, semalam.

Zainuddin mahu mengetahui perancangan dan gerak kerja yang dilakukan kerajaan dalam usaha memastikan bidang perguruan menjadi profesion pilihan.

Muhyiddin berkata, kerjaya guru masih menjadi pilihan utama rakyat dengan 53,335 permohonan dalam talian diterima.

3,000 ikuti PISMP
Beliau berkata, hanya 3,000 tempat diperuntukkan untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

"Disebabkan terlalu ramai berminat menjadi guru, kementerian melaksanakan pemilihan calon cemerlang antara yang cemerlang, melalui proses pemilihan mengikut syarat dan kriteria pengambilan yang sangat ketat serta mengadakan ujian saringan," katanya.

5,000 guru dapat peluang

Mengenai skim baharu yang menyediakan pelbagai laluan kenaikan pangkat kepada semua guru berasaskan kecemerlangan, katanya, dianggarkan 5,000 guru bakal menikmati peluang kenaikan ke gred baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Menjawab soalan tambahan dakwaan kononnya guru didoktrin supaya menjadi penyokong kerajaan, Muhyiddin berkata, tiada usaha khusus dilakukan terhadap guru supaya menjadi penyokong kerajaan.

Beliau berkata, guru adalah tenaga profesional berpendidikan tinggi yang faham mengenai tugas dan tanggungjawab, bukan sahaja terhadap kerjaya mereka tetapi kepada sekolah dan negara.

"Yang penting, kita hendak lihat ialah keupayaan mereka melaksanakan tanggungjawab, kemampuan memberikan ilmu, membentuk sahsiah perwatakan peribadi dan membimbing pelajar untuk menilai soal kenegaraan, kebangsaan dan berkaitan dengan patriotisme," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tempoh persaraan yang dipanjangkan daripada 58 kepada 60 tahun menyebabkan tiada kekosongan jawatan selepas guru yang sepatutnya bersara masih mengisi jawatan masing-masing.

Beliau berkata, bagaimanapun langkah wajar sudah diambil bagi mengatasi masalah penempatan guru.

"Sesi temu duga guru sudah dijalankan dan kini menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menempatkan mereka di sekolah," katanya ketika menjawab soalan Siti Zaleha Mohd Yusuf (PAS-Rantau Panjang) yang ingin tahu sejauh mana keutamaan pengambilan guru lepasan ijazah.

Garis panduan baharu kadar yuran IPTS

Posted: 10 Jun 2014 03:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan baharu berhubung kadar yuran institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan ia berpatutan dengan perkhidmatan ditawarkan.

Timbalan Menterinya, P Kamalanathan, berkata garis panduan baharu itu bertujuan mengawal IPTS daripada menawarkan program pengajian yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Beliau berkata, kadar baharu itu nanti akan memastikan yuran ditawarkan adalah berpatutan, mengikut kemampuan pelajar serta selari dengan kos pengajian ditawarkan.

Perkemas yuran pengajian

"Garis panduan baharu akan diwujudkan untuk memperkemaskan lagi yuran pengajian IPTS supaya bertepatan dan sesuai dengan mutu perkhidmatan ditawarkan pusat pengajian terbabit," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang bagi pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai pengawasan terhadap pensyarah dari luar negara yang menyebarkan fahaman negatif di IPTS.
Kamalanathan berkata, kementerian sentiasa memantau pensyarah dari luar yang cuba menyebarkan fahaman ataupun ajaran lain di IPTS dan tindakan tegas akan diambil terhadapnya.

Katanya, pensyarah yang menyebarkan ajaran negatif di pusat pengajian seperti fahaman Syiah, akan dibatalkan permit mengajarnya serta-merta.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, kerajaan juga bercadang memperketatkan lagi syarat minimum kemasukan ke pusat pengajian tinggi bagi program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Katanya, kerajaan perlu mengetatkan syarat terbabit kerana permohonan bagi program itu terlalu ramai, namun tempat yang ditawarkan adalah terhad, selain bagi memastikan graduan dihasilkan betul-betul berkualiti.