Isu cermin gelap: Susulan laporan BH dapat perhatian

Isu cermin gelap: Susulan laporan BH dapat perhatian


Isu cermin gelap: Susulan laporan BH dapat perhatian

Posted: 03 Jun 2014 04:57 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Laporan akhbar BH 17 Mei.

Foto

Kuala Lumpur: Kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin penumpang belakang dan bahagian belakang kenderaan dikurangkan sehingga 25 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.

Ia termasuk lima peratus toleransi atau kelonggaran diberikan untuk penguatkuasaan dengan mengambil kira ketidaktepatan alat pengukur ketelusan cahaya.

Bagaimanapun, VLT 70 peratus untuk cermin depan dan 50 peratus untuk cermin sisi pemandu dikekalkan. Peraturan baru itu dijangka berkuat kuasa bulan ini selepas mendapat persetujuan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata keputusan meminda peraturan itu dirumuskan dalam bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap kenderaan selama dua hari yang berakhir semalam.

"VLT untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang diturunkan kepada 30 peratus, namun, penguatkuasaan akan beri toleransi lima peratus lagi kerana mengambil kira alat yang mungkin tidak tepat sepenuhnya.

"Esok (hari ini) saya akan jumpa pemangku Menteri Pengangkutan dan jika beliau setuju untuk luluskan, peraturan baharu ini akan berkuat kuasa serta-merta.

"Mungkin penguatkuasaan oleh polis yang dijangka 16 Jun ini akan mengguna pakai peraturan baharu. Ia bergantung kepada menteri sama ada terus lulus atau mahu bawa ke Kabinet," katanya.

Maklum balas baik

Beliau bagaimanapun mengakui rumusan itu sudah sampai ke pengetahuan Hishammuddin dan secara dasarnya mendapat maklum balas baik untuk diluluskan.

Bengkel di Shah Alam itu dihadiri pelbagai agensi kerajaan dan persatuan berkaitan kenderaan serta pengguna seperti polis, JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Pengimport Kenderaan Melayu (PEKEMA), Yayasan Pencegahan Jenayah dan Kelab MPV Malaysia.

Ia susulan laporan BH mengenai peraturan penggunaan cermin gelap yang digunakan sekarang dianggap orang orang ramai sebagai lapuk dan perlu dipinda.

Sementara itu, Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berkata persatuan menerima keputusan itu, namun meminta ruang untuk dibenarkan rayuan bagi situasi khas kereta import yang datang dengan cermin sedia ada lebih gelap.

Presiden Kelab Pemilik MPV, Mohd Faizal Ismail, pula berkata keputusan pindaan itu melegakan ramai pemilik kenderaan MPV yang selama ini berdepan risiko keselamatan barangan.

"Kereta MPV tak ada but. Pengurangan VLT akan bolehkan pemilik MPV menggelapkan lagi bahagian belakang yang dilihat paling perlu diberi perhatian. Kebanyakan negara tidak menetapkan had untuk cermin belakang dan penumpang," katanya.

Siasat pegawai sebar laporan

Posted: 03 Jun 2014 04:54 PM PDT

Siasat pegawai sebar laporanCoklat Cadbury jenis kacang hazel dan buah badam disahkan halal. - Foto Mohd Adam Arinin

Makmal tiada akreditasi tentukan status halal produk

Kuala Lumpur: Isu status halal coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond selesai apabila Kementerian Kesihatan mengakui kesilapan seorang pegawainya menyebarkan hasil ujian yang belum disahkan.

Kementerian itu juga mengakui semua 15 makmalnya tiada akreditasi menentukan status halal produk makanan, sebaliknya terhad kepada kandungan bahan makanan seperti ikan dan daging, bebas daripada pencemaran kimia dan racun.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, berkata hasil ujian dua sampel coklat yang dikesan mempunyai DNA babi pada Februari lalu, disebarkan seorang pegawai kementerian dalam laman sosial sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk pengesahan.

Timbulkan kekeliruan

"Kementerian sedang menyiasat pegawai yang membocorkan laporan itu kerana sikap terburu-burunya menimbulkan kekeliruan masyarakat. Laporan awal yang dibocorkan tidak tepat dan penyebarannya mengakibatkan kekecohan umat Islam di negara ini," katanya.

Pada sidang media selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Kesihatan Antarabangsa ke-22, di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, semalam, Dr Hilmi berkata, siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengesan kemungkinan unsur sabotaj.
"Kementerian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), iaitu jika sesuatu produk dikesan tercemar DNA babi, perlu rujuk kepada JAKIM. Mulai sekarang, keputusan berhubung status halal produk makanan ditentukan oleh JAKIM bagi mengelak kekeliruan," katanya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha yang menegaskan, ujian oleh Jabatan Kimia tidak menemui sebarang DNA babi dalam sampel produk diambil dari kilang pengeluar coklat itu di Shah Alam, sekali gus memberi jaminan dua produk itu halal untuk dimakan oleh umat Islam tanpa sebarang keraguan.

Periksa ikut prosedur

"Pihak kami memeriksa produk terbabit mengikut prosedur tanpa prejudis bagi memastikan umat Islam mendapat produk yang benar-benar halal. Walaupun berbeza dengan hasil ujian Kementerian Kesihatan, keputusan halal haram sesuatu produk di negara ini hanya ditentukan oleh JAKIM.

"Apabila JAKIM menggantung pengesahan halal dua produk berkenaan, bukan bermakna kita mengesahkan ia haram, sebaliknya untuk ujian. JAKIM ambil sampel produk dari kilang, ambil bahan digunakan untuk menghasilkannya bagi memastikan halal atau sebaliknya. Kita tak ambil produk dari luar yang mungkin tercemar atau produk tiruan," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zain, meminta umat Islam tidak menyalahkan JAKIM dalam isu terbabit kerana jabatan itu sudah menjalankan tugasnya sebaik mungkin, sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap agensi terbabit.

"Umat Islam tidak sepatutnya mudah melatah, sebaliknya memperhalusi tindakan JAKIM sebelum membuat kesimpulan. Apa yang dilakukan JAKIM untuk menyelesaikan masalah ummah. Jika kita tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada JAKIM, bagaimanapun pula produk lain yang ada logo halal jabatan itu di pasaran," katanya.

Kadar baharu tol belum muktamad

Posted: 03 Jun 2014 04:52 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai cadangan penstrukturan semula kadar tol, sebaliknya perlu diteliti kerana ia memberi impak besar kepada kewangan negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata maklum balas daripada syarikat konsesi pada mesyuarat khas bulan lalu mendapati ia perlu dipertimbangkan sewajarnya bagi menjamin situasi menang-menang kepada semua pihak termasuk kerajaan, syarikat konsesi dan rakyat.

"Kita buat banyak perbincangan dan syarikat konsesi juga kemukakan cadangan berkaitan penstrukturan semula perjanjian konsesi di seluruh negara khususnya di Semenanjung.

"Cadangan syarikat konsesi sudah pasti akan memberi kesan kepada kewangan negara. Itu yang kita diperincikan dan kemukakan kepada Kabinet.

"Keputusan muktamad belum ada, tapi kita akan kemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara bagi mengenal pasti jika ada cadangan menguntungkan semua pihak," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kerja Raya 2013, di sini semalam.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat khas membabitkan beberapa syarikat konsesi lebuh raya yang meminta kerajaan menimbang semula kadar tol berikutan lebuh raya beroperasi di Lembah Klang mengalami kerugian.

Implikasi kewangan

Mengenai rayuan UMNO Selangor kepada Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan dua plaza tol Lebuh Raya Persekutuan di Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor, Fadillah berkata rakyat berhak meminta kerajaan menimbang menghapus atau mengurangkan kadar tol bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Namun, kerajaan perlu mempertimbang pelbagai faktor termasuk kemampuan dan implikasi kewangan yang timbul jika pemansuhan dilakukan.

"Oleh itu, banyak pertimbangan harus diambil kira, setuju atau tidak, saya harap rakyat akan terima (keputusan) dengan terbuka," katanya yang memaklumkan Perjanjian konsesi Lebuh Raya Persekutuan dijangka tamat pada 2038.

Mengenai tiga projek yang dikategorikan sebagai 'projek sakit', beliau berkata kementerian memandang serius dan memantau rapi projek tertangguh membabitkan pembinaan blok Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, Pusat Latihan dan Ketenteraman Awam di Bentong, Pahang dan Muzium Polis di Bukit Kepong, Muar.

UMNO arah ibu Dyana jawab

Posted: 03 Jun 2014 04:50 PM PDT

UMNO arah ibu Dyana jawab Tengku Adnan (dua dari kiri) sambil diperhatikan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalananthan (tengah) pada majlis Hari Guru anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy Samat, semalam kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, baru-baru ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Yammy perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam perlembagaan parti.

"Kita ada proses dan sistem sendiri sebelum ambil tindakan terhadap mana-mana ahli. Justeru, kita beri dia (Yammy) surat tunjuk sebab untuk dibalas dalam tempoh 14 hari, kita akan beri peluang untuk dia jawab kenapa dirinya tidak boleh digantung atau dipecat.

"Selepas tempoh itu, sama ada dia balas atau tidak surat berkenaan, perkara ini akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pengurusan untuk dipertimbangkan sebelum status keahliannya dalam parti diputuskan Majlis Tertinggi UMNO," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Guru anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini, semalam.

Desak ambil tindakan

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu tindakan diambil terhadap Yammy yang didakwa berkempen untuk Dyana.
Yammy sebelum ini dilaporkan berkata, beliau berharap kekal bersama UMNO dan terpulang kepada parti itu bagi menentukan kedudukannya.

Pada PRK Teluk Intan Sabtu lalu, Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53. Siew Keong memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya yang mendapat 19,919 undi.

Tengku Adnan berkata, UMNO mempunyai prosedur dan tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap mana-mana ahli dengan sewenang-wenangnya.

"Kita bukan macam pembangkang kalau mereka rasa nak pecat orang, mereka pecat... kalau nak ambil orang, mereka ambil. Tetapi UMNO ada sistem sistematik sebelum sesuatu tindakan diambil terhadap ahli," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan turut merayu lebih ramai guru untuk kembali membabitkan diri secara aktif dalam politik bagi membantu kerajaan terutama dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

‘Henti salahkan pihak lain’

Posted: 03 Jun 2014 04:50 PM PDT

‘Henti salahkan pihak lain’ Zambry bersama Siew Keong (dua dari kanan) beramah mesra bersama penduduk Kampung Baru Batu 12 sempena lawatan ke beberapa kawasan di Teluk Intan, semalam.

Teluk Intan: Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong, meminta pembangkang terutama DAP berhenti menyalahkan pihak lain berhubung kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada Sabtu lalu.

Siew Keong yang juga Presiden GERAKAN berkata, mereka seharusnya menerima dan menghormati keputusan yang sudah dibuat oleh pengundi dengan hati terbuka.

"Apabila saya kalah (pilihan raya) pada 2008 dan 2013, saya terima dan menghormati keputusan dibuat oleh pengundi di Parlimen ini.

"Tetapi, sekarang saya lihat pihak lawan tidak berhenti-henti menyalahkan pihak lain (disebabkan kalah) kecuali diri sendiri," katanya pada sidang media selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, melakukan lawatan ke beberapa kawasan di sini, semalam.

Lawatan itu dilakukan di sekitar Batak Rabit, Selabak dan Changkat Jong bagi menzahirkan ucapan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama petugas dan pengundi dalam memastikan kemenangan BN dalam PRK itu.

Siew Keong memenangi pilihan raya itu selepas mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.

Siew Keong berkata, PRK sudah berakhir dan semua pihak seharusnya menumpukan usaha untuk bekerja bagi memenuhi hasrat dan aspirasi pengundi di Parlimen berkenaan, bukannya berpolitik sepanjang masa.
Beliau berjanji akan bekerja kuat untuk memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di Parlimen berkenaan manakala kebajikan penduduk sentiasa terjaga.

Katanya, tugasan pertama sekarang ialah memastikan segala masalah kemudahan asas seperti ketiadaan lampu jalan, longkang tersumbat serta jalan berlopak yang diadukan kepadanya ketika kempen PRK lalu, dapat ditangani segera.

Cap jari sahkan mayat suspek penggal budak

Posted: 03 Jun 2014 04:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan lelaki yang mayatnya ditemui di Sungai Klang berhampiran Plaza Tol Sunway, Subang Jaya, Sabtu lalu, adalah suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan berusia 30 bulan di ibu negara, dua hari sebelum itu.

Ia disahkan menerusi pemeriksaan cap jari dan berdasarkan laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam kejadian jam 9 malam Khamis lalu, kanak-kanak malang berkenaan, Siti Soffea Emelda, dibunuh kejam dengan kepalanya dipenggal di tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan, di sini.

4 rekod jenayah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata suspek yang berusia 27 tahun berasal dari Kulim, Kedah dan menetap di Lorong Tiong Nam, Jalan Raja Laut, di sini, mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes memiliki dadah, mencuri dan memiliki senjata berbahaya.

"Suspek juga baru dibebaskan dari penjara dua bulan lalu selepas selesai menjalani hukuman berhubung kesalahan memiliki senjata berbahaya. Kita akan menghubungi warisnya di Sungai Petani dan Kulim, Kedah untuk membuat pengecaman," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Kong Meng berkata, pihaknya setakat ini masih meneliti semua aspek dalam melengkapkan siasatan, termasuk memanggil beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian pembunuhan untuk mengenal pasti motif sebenar jenayah kejam terbabit.

"Kita turut menyiasat aspek kesalahan pihak penjaga mangsa seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011 (Akta 611) kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan," katanya sambil menambah, penjaga boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Mayat suspek ditemui jam 4 petang Sabtu lalu, lengkap berbaju kotak-kotak berwarna merah, berseluar panjang biru gelap dan bertali pinggang, namun tidak memakai kasut dan tiada dokumen pengenalan diri.