Liat bayar PTPTN jejas pelajar baharu

Liat bayar PTPTN jejas pelajar baharu


Liat bayar PTPTN jejas pelajar baharu

Posted: 19 Jun 2014 02:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Lebih 50,000 pelajar baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi sesi Julai, September dan Disember depan, berdepan kemungkinan tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Difahamkan masalah itu berlaku berikutan kegagalan sebahagian besar peminjam membayar balik pinjaman sehingga agensi itu berdepan kekurangan dana yang teruk, sekali gus tidak dapat membuat pusingan semula untuk diagihkan kepada pelajar baharu.

Sumber PTPTN memberitahu,walaupun Kementerian Kewangan meluluskan dana RM4 bilion untuk tahun ini, namun ia hanya cukup untuk membiayai 75 peratus peminjam baharu dan peminjam sedia ada, manakala baki 25 peratus lagi tidak akan mendapat pinjaman.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

5 hari lulus permit kerja

Posted: 19 Jun 2014 12:57 PM PDT

Putrajaya: Proses kelulusan permit pekerjaan bagi pegawai dagang asing dipendekkan kepada lima hari bekerja bermula semalam, berbanding lebih sebulan sebelum ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menjelaskan, proses itu dapat dipercepatkan melalui kewujudan Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD), Jabatan Imigresen, yang akan menjadi pusat sehenti untuk pegawai dagang berurusan secara atas talian.

"Melalui proses yang baharu diperkenalkan ini, pelabur dan perniagaan utama di negara ini akan menikmati kemudahan yang ditambah baik bagi urusan kelulusan permit pekerjaan. Sebelum ini, syarikat perlu menunggu lebih sebulan untuk mendapatkan kelulusan permit pekerjaan.

"Jabatan Imigresen komited untuk melaksanakan proses terbabit dalam tempoh lima hari bekerja bagi syarikat berdaftar dengan ESD," katanya ketika merasmikan ESD, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Johan Mahmood Merican.

ESD, yang bertujuan menarik dan mengekalkan bakat asing tertinggi di negara ini, menawarkan perkhidmatan bersepadu merangkumi keperluan pegawai dagang, termasuk Pas Pekerjaan, Tanggungan, Lawatan Sosial, Lawatan Profesional dan Residen- Bakat. Ia dilaksanakan melalui kerjasama antara KDN, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

TPM nafi khabar angin letak jawatan

Posted: 19 Jun 2014 12:56 PM PDT

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menaf ikan khabar angin kononnya beliau akan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat, bagi memberi sepenuh perhatian kepada UMNO.

Muhyiddin berkata, beliau akan terus memberikan perkhidmatan dan memegang jawatan nombor dua itu selagi khidmatnya diperlukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rombakan hak PM

"Rombakan Kabinet kemungkinan ada kerana itu adalah hak Perdana Menteri dan beliau sudah menyatakan akan membawa masuk beberapa pemimpin politik dari MCA dan GERAKAN dalam Kabinetnya.

"Apa pun dari segi kedudukan saya terserah kepada beliau (Najib). Bagaimanapun, selama berada dalam Kabinet, biasanya saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Perdana Menteri sebelum membuat sebarang keputusan.

"Setakat hari ini (semalam) soal kedudukan saya selaku Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dibincang atau dibangkitkan," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa Majlis Sains Asia Ke-14, di sini, semalam.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Dapatkan arahan mahkamah

Posted: 19 Jun 2014 12:54 PM PDT

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya segera merujuk kepada Pendakwa Raya bagi mendapat perintah mahkamah sama ada melupus atau memulangkan naskhah Bible al-Kitab yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata titah Sultan Selangor itu kerana baginda mahu keputusan melupus atau memulangkan Bible dalam bahasa Malaysia menggunakan kalimah Allah itu diselesaikan mengikut proses undang-undang.

Sehubungan itu katanya, baginda juga bertitah supaya ahli politik tidak menggunakan isu berkenaan untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti masing-masing.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

JAKIM mahu kuasa penuh Akta Halal

Posted: 19 Jun 2014 12:51 PM PDT

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yakin pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal di negara ini akan lebih berkesan apabila agensi itu diberi kuasa penuh melalui Akta Halal yang bakal digubal tidak lama lagi.

Pengenalan akta itu nanti bukan bermakna Akta Perihal Dagangan yang ada kini tidak berkesan, sebaliknya ia memperkemaskan lagi peranan JAKIM dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang melalui enakmen baharu.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata draf akta itu sudah digubal oleh jawatankuasa khas yang dilantik jabatan berkenaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Dapat sijil terlebih dulu "Akta Halal akan memastikan semua produk yang masuk negara ini mendapat pensijilan halal terlebih dulu, bukan saja makanan, produk farmasi atau kosmetik, tetapi diperluaskan lagi.

Sekarang kita hanya guna Akta Perihal Dagangan yang memperuntukkan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan, tapi melalui akta baharu nanti, dendanya lebih tinggi.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Agong berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

Posted: 12 Jun 2014 09:09 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi penghormatan kepada perbarisan Kawalan Kehormat Utama ketika hadir pada Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dataran Perdana Kem Sungai Besi di sini, hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

Foto

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tangah) diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memberi penghormatan kepada Panji-Panji Diraja semasa memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama pada Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dataran Perdana Kem Sungai Besi di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Foto

PEMBAWA Panji-panji Diraja melintasi perbarisan Kawalan Kehormat Utama pada Istiadat Mengarak Panji-Panji Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dataran Perdana Kem Sungai Besi di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi di sini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 8.30 pagi disambut dengan iringan lagu Negaraku serentak dengan 21 das tembakan meriam kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat/Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Hashim Muda.

Seri Paduka Baginda kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Acara terbang lintas turut diadakan yang disertai lima buah helikopter milik ATM iaitu tiga EC 725 Cougar, sebuah Agusta A-109 LOH dan sebuah Fennec yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 22 pegawai dan 560 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Megat Ahmad Najib Megat Yunus.
Selesai acara pemeriksaan perbarisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Kapten Mohd Subri Mohd Isa dari TUDM masuk membuka medan dengan memainkan alunan lagu-lagu patriotik.

Sejurus kemudian istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat di hadapan Seri Paduka Baginda, para pegawai dan hadirin.

Lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diarak iaitu Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM.

Laungan bergemuruh 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali kemudiannya dipersembahkan oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.

Tuanku Abdul Halim sekali lagi menerima tabik hormat daripada barisan kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM serentak dengan alunan lagu Negaraku dimainkan sebelum Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan majlis.

Istiadat turut disaksikan menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa Suruhanjaya Tinggi serta kedutaan asing.

Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong merupakan istiadat gilang-gemilang kepada ATM.

Panji-Panji pula merupakan lambang kemegahan, semangat dan taat setia yang tidak berbelah bahagi ATM terhadap Raja dan Negara. - BERNAMA