JAKIM sah dua coklat halal

JAKIM sah dua coklat halal


JAKIM sah dua coklat halal

Posted: 02 Jun 2014 04:50 PM PDT

JAKIM sah dua coklat halalJamil Khir bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha melihat keputusan yang dikeluarkan makmal Jabatan Kimia untuk dua produk coklat Cadbury pada sidang media di Bangi, semalam.

Bangi: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond halal untuk dimakan oleh umat Islam kerana tidak mengandungi DNA babi.

Ia berdasarkan ujian oleh Jabatan Kimia terhadap sampel produk sama yang diambil terus daripada kilang di Shah Alam pada 26 Mei lalu walaupun makmal Kementerian Kesihatan sebelum ini menemui DNA babi dalam produk berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika mengumumkannya semalam berkata walaupun ada banyak makmal, JAKIM hanya mengiktiraf makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya bagi tujuan pengesahan penemuan DNA babi.

"Keputusan yang diterima daripada Jabatan Kimia pagi ini (semalam) mendapati kedua-dua sampel yang diambil JAKIM itu adalah jenis Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no) 221013 N01RI1 dan jenis Hazelnut dengan nombor kelompok 200813 M01HI2, negatif DNA babi dan halal dimakan.

"Ujian makmal Jabatan Kimia terhadap empat sampel produk lain dan lima bahan mentah berpotensi mengandungi unsur haiwan dalam rantaian pemprosesan sama juga didapati tiada DNA babi," katanya pada sidang media khas mengenai isu itu semalam.

Pada 24 Mei lalu, JAKIM menggantung sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury selepas disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi (porcine), berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan pengesanan DNA Porcine dalam dua sampel coklat Cadbury, iaitu coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam – Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01R, tarikh luput 15 Januari 2015.

Makmal kompeten

Jamil Khir berkata, makmal Jabatan Kimia diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menganalisis makanan, selain mendapat akreditasi Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA, termasuk pengujian produk makanan terproses.

Namun, Jamil Khir tidak menolak kemungkinan sampel yang dianalisis oleh makmal Kementerian Kesihatan bukan diambil terus dari kilang dan dicemari DNA babi sama ada ketika proses penyimpanan dan penghantaran.

"Pencemaran mungkin boleh berlaku daripada peti ais. Malahan, kalau seseorang makan makanan yang ada unsur DNA babi dan kemudian bersin di hadapan makanan lain, makanan itu juga boleh tercemar dengan DNA babi," katanya.

Namun, beliau menegaskan kerajaan tidak berhasrat melindungi sesiapa dan tidak pernah menyembunyikan status sebenar kerana tidak mahu menanggung dosa.

Pemeriksaan menyeluruh

Katanya, laporan pemeriksaan menyeluruh akan dibentangkan sebelum Sijil Pengesahan Halal Malaysia dua produk itu dikembalikan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan berhubung isu halal boleh menghubungi pegawai Bahagian Hab Halal JAKIM, Nadia Zammil Md Nasir (03-8892 5048), Najibah Abdul Mutalib (03-8892 5078), Mazlina Jalani (03-8892 5032) dan Fakarudin Mas'od (03-8892 5031), mulai 10 pagi hingga 4 petang.

Isu cermin gelap: Kadar telus cahaya mungkin turun 20 peratus

Posted: 02 Jun 2014 04:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Bengkel dua hari kajian semula peraturan cermin gelap kenderaan yang berakhir hari ini dijangka membuat ketetapan mengurangkan kadar telus cahaya sehingga 20 peratus daripada kadar semasa.

BH difahamkan kadar telus cahaya cermin sisi dijangka diturunkan kepada 30 peratus berbanding 50 peratus sekarang, manakala cermin hadapan kepada hanya 50 peratus daripada 70 peratus sekarang.

Walaupun tidak disahkan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata akan ada berita baik seperti yang diharapkan oleh pengguna yang mahu peraturan itu dikaji semula kerana ia dianggap sudah lapuk.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Pusat kaji naik royalti Sarawak

Posted: 02 Jun 2014 04:29 PM PDT

Pusat kaji naik royalti SarawakNajib bersama Abdul Taib, isteri Abdul Taib; Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin selepas menyaksikan Perayaan Gawai Dayak Malaysia 2014 di Dataran Kipas Miri, malam tadi.

Negeri mohon tambah bayaran lima kepada 20 peratus

Miri: Kerajaan bersedia menimbangkan permohonan Sarawak supaya royalti minyak dan gas dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, tidak wujud sebarang halangan atau kekangan untuk merundingkan permohonan itu.

"Ini tidak semestinya dalam bentuk royalti (minyak dan gas), yang penting dana masuk (ke akaun kerajaan negeri), khusus bagi membiayai agenda pembangunan di Sarawak.

"Pertimbangan dan perundingan ini jelas membuktikan keakraban Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, ter-utama dalam merangka pelbagai inisiatif demi kepentingan rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap dalam Perayaan Gawai Dayak Malaysia 2014, di Dataran Kipas Miri, di sini, malam tadi.

Yang hadir sama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Sokong kepemimpinan
Najib juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Adenan untuk terus memajukan Sarawak.

"Rakyat Sarawak membuat keputusan tepat menyertai Malaysia. Justeru, kita akan memastikan pembangunan mapan, terutama dalam usaha mengimbangi jurang pembangunan di bandar dan luar bandar," katanya.

Sementara itu, Adenan menghargai kesediaan Kerajaan Persekutuan menimbangkan permohonan kenaikan royalti minyak dan gas negeri yang disifatkannya akan memberi kesan signifikan kepada ekonomi negeri bagi tempoh jangka panjang.

"Kita harap Perdana Menteri bermurah hati (meluluskan permohonan itu) seperti keputusan meluluskan banyak projek pembangunan untuk rakyat Sarawak," katanya.

Ketika di Baram, Najib berkata, peruntukan untuk pembangunan luar bandar dapat ditambah bagi manfaat penduduk apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan.

Katanya, melalui GST, kerajaan dapat meningkatkan hasil yang seterusnya disalurkan untuk pembangunan negara, khususnya di luar bandar.

Jaminan GST

"Masyarakat luar bandar tidak perlu bimbang dengan dakyah pembangkang yang cuba menghasut mereka menentang pelaksanaan GST. Saya memberi jaminan barang keperluan harian rakyat dikecualikan daripada GST," katanya pada majlis sambutan Gawai Dayak di Long Silat, sebuah perkampungan masyarakat Kenyah.

Ketibaan Perdana Menteri disambut penuh adat istiadat kaum itu. Beliau diarak atas sebuah perahu tradisional yang ditarik oleh masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan beberapa Menteri Persekutuan dan negeri ialah antara kira-kira 3,000 yang hadir.

Ulangi sejarah 46 tahun lalu

Posted: 02 Jun 2014 04:27 PM PDT

Ulangi sejarah 46 tahun laluNajib disambut meriah oleh penduduk Rumah Panjang Jarek Klambu, Lambir di Miri, semalam bagi meraikan Rumah Terbuka 1Malaysia Gawai Dayak 2014.

Penghuni Jarek Klambu teruja sambut lawatan Najib

Miri: Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Panjang Jarek Klambu, Lambir di sini, semalam memberi makna tersendiri kepada penghuni rumah panjang itu.

Kunjungan itu mengulangi sejarah lawatan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke penempatan berkenaan pada tahun 1960-an.

Tuai Rumah, Jarek Klambu, berkata kunjungan Najib adalah lawatan pemimpin tertinggi negara kedua selepas Perdana Menteri pertama, 46 tahun lalu.

"Ini peristiwa yang amat dibanggakan kerana bukan senang kami mendapat peluang bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin negara," katanya ketika ditemui BH, semalam.

Rumah Panjang Jarek Klambu terpilih sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka 1Malaysia Gawai Dayak 2014 sempena lawatan kerja Najib ke wilayah utara Sarawak.

Jarek berkata, seluruh penduduk rumah panjang turut teruja, malah ada yang menitiskan air mata sebaik dimaklumkan mengenai kehadiran Najib.

"Kami sebenarnya berasal dari Oya, sebelum berpindah ke Baram dan Sungai Ukong sebelum menetap di sini pada tahun 1966," katanya yang juga generasi ketiga menetap di kampung itu.
Bagi meraikan kunjungan itu, Perdana Menteri turut dihadiahkan parang Ilang sepanjang 2.5 meter oleh penduduk Rumah Panjang Jarek Klambu.

"Ini parang Ilang terpanjang pernah dihasilkan dalam sejarah yang dibuat khas untuk Perdana Menteri. Ia melambangkan semangat kepahlawanan kaum Iban dan lambang seorang lelaki yang gagah.

Najib dianggap pahlawan

"Ia dihadiahkan sebagai penghormatan kepada beliau sebagai pejuang dan pahlawan tertinggi dalam komuniti kami," katanya yang enggan mendedahkan harga parang itu.

Beliau juga berkata, kehadiran Perdana Menteri adalah hadiah Gawai paling berharga bagi penduduk rumah panjang berkenaan.

Kekal kerjasama serantau

Posted: 02 Jun 2014 04:17 PM PDT

Kekal kerjasama serantauAhmad Zahid (dua dari kiri) beramah mesra dengan delegasi Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-28 diringi Mohamed Jawhar (kiri), di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu amalan kerjasama negara di rantau ini dikekalkan dan dipertingkatkan, membabitkan semua isu dan bukan saja terhad kepada operasi keselamatan semata-mata.

Mengambil contoh kerjasama dalam insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu, Perdana Menteri menyatakan ia berjaya mencerminkan nilai kerjasama antara negara terbabit.

Beliau menjelaskan, aspek keselamatan di rantau ini amat bergantung kepada kemampuan pelbagai negara untuk terus mengeratkan usaha kerjasama.

"Asasnya (jalinan kerjasama itu) sudah ada, seterusnya ia boleh diperkukuhkan menerusi penubuhan institusi serta nilai yang boleh diterima semua.

"Contohnya dalam kita memerangi ancaman keganasan, memerlukan perkongsian risikan dan penyelarasan antara agensi keselamatan.

Serangan pengganas
"Hampir tiga minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam perancangan serangan pengganas ke atas konsulat di India.

"Maklumat daripada cawangan khas Malaysia berjaya menahan tiga suspek berkenaan pada April lalu.

"Insiden ini sekali lagi menekankan mengenai kepentingan kerjasama bersama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-28 di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan serta Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clara Joewono.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia juga memainkan peranan untuk mencegah perkembangan senjata pemusnah besar-besaran menerusi Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI) bagi memastikan generasi akan datang tidak hidup di bawah ancaman senjata.

Beliau juga mengingatkan semua pihak berwaspada terhadap semua ancaman sambil menegaskan bahawa Malaysia tetap dengan pendirian dan penegasan kepada pegangan dunia tanpa ancaman nuklear.

Generasi muda masih sokong BN

Posted: 02 Jun 2014 04:17 PM PDT

Putrajaya: Kejayaan merampas kerusi Parlimen Teluk Intan, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu, membuktikan Barisan Nasional (BN) masih gagah walaupun menerima saingan hebat daripada calon generasi muda.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata pengendalian dan penyelarasan jentera yang begitu baik juga menyumbang kepada kejayaan itu.

"Walaupun berdepan dengan calon generasi muda, kita tetap mampu memberi saingan hebat dan mendapat kepercayaan pengundi di Teluk Intan.

BN kekal relevan

"Saya lihat, ini adalah peluang terbaik untuk buktikan kepada pengundi bahawa BN kekal relevan untuk membantu rakyat khususnya dalam meneruskan agenda pembangunan yang membawa pulangan berganda dalam hidup mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara ke-10 yang menyaksikan seramai 4,678 graduan IKBN dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara menerima sijil dan diploma mereka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Selain itu, katanya ini adalah peluang terbaik BN terutamanya GERAKAN untuk membuktikan kepada pengundi dan masyarakat Teluk Intan bahawa pilihan mereka tidak salah.