RM45j bantu peniaga bazar Ramadan

RM45j bantu peniaga bazar Ramadan


RM45j bantu peniaga bazar Ramadan

Posted: 05 Jun 2014 02:53 PM PDT

RM45j bantu peniaga bazar RamadanORANG ramai berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

Lebih 15,000 berpeluang dapat pinjaman hingga RM3,000 seorang sebagai modal berniaga

Putrajaya: Lebih 15,000 penjaja dan peniaga kecil berpeluang mendapat pinjaman tanpa faedah sehingga RM3,000 seorang sebagai modal perniagaan ketika Ramadan pada bulan depan.

Pinjaman berlandaskan syariah di bawah Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan itu, diberikan menerusi peruntukan RM45 juta oleh kerajaan dan diuruskan oleh Bank Rakyat.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pelancaran skim itu di sini semalam.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Tabung Generasi Global bantu pelajar miskin

Posted: 05 Jun 2014 02:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Tabung Generasi Global kendalian Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga susah peringkat sekolah rendah di sekolah pilihan seluruh negara.

Dalam sesi lawatan kerjanya ke Nu Sentral dan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) semalam, Najib turut mendepositkan cek MRCB sebagai penaja kumpulan bernilai RM500,000 ke dalam tabung berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Mohamad Salim Fateh Din, berkata simbolik cek itu adalah sebagai inisiatif untuk kumpulan yang bernaung di bawah MRCB untuk terus memastikan nilai dana tabung tidak berkurangan daripada jumlah itu.

"Seramai 15,000 pelajar dari lapan sekolah dibantu sejak lima tahun lalu merangkumi bantuan pendidikan pantas, uniform sekolah, bengkel dengan tumpuan kepada pelajar yang datang dari keluarga susah," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja Perdana Menteri itu.

Tahun ini, sekolah yang tersenarai adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya dan SK Kuala Perai di Pulau Pinang, SK Iskandar Perdana (Perak), SK La Salle 1 dan 2 (Kuala Lumpur) serta SK Indera Shahbandar dan SK Serandu (Pahang).

Sekolah angkat

Mengulas lanjut, Mohamad Salim berkata, MRCB memilih beberapa sekolah untuk dijadikan sekolah angkat dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat.
"Tumpuan bantuan kepada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Selain mencari sekolah yang memerlukan bantuan, ada sekolah tampil memohon dimasukkan dalam senarai penerima," katanya.

Terdahulu, Najib yang tiba di Nu Sentral iaitu sebuah projek di bawah MRCB yang dibuka kepada umum Mac lalu, melawat stesen berkenaan serta pusat beli belah itu.

Beliau kemudian mendengar penerangan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MRCB, Mohd Imran Mohamad Salim, mengenai perkembangan KL Sentral untuk menjadi hab pengangkutan bertaraf dunia.

TANAH RUNTUH RAGUT 2 NYAWA

Posted: 05 Jun 2014 02:42 PM PDT

TANAH RUNTUH RAGUT 2 NYAWASebahagian 21 buah rumah di Kampung Haji Ngah, Bedong ditenggelami air akibat banjir kilat. - Foto Omar Osman

Bencana akibat hujan lebat, ribut landa beberapa negeri

Kuala Lumpur: Hujan lebat disertai ribut yang melanda beberapa negeri kelmarin dan semalam, menyebabkan berlaku tanah runtuh sehingga meragut dua nyawa.

Beberapa rumah turut rosak akibat dihempap pokok, selain seorang penghuni tercedera. Seorang kanak-kanak pula terperangkap hampir 30 minit apabila kereta datuknya ditimbus runtuhan tanah.

Di Tenom, dua pekerja kem balak maut selepas lebih 15 jam tertimbus ketika melakukan pemantauan kayu di kawasan Kem Makmuran, Ulu Tomani, kira-kira 100 kilometer dari pekan Tenom, kelmarin.

Ikuti berita penuh beserta gambar juga info grafik bencana hujan lebat, ribut yang melanda beberapa negeri dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Tujuh kampung sekitar Kampar, Tapah dilanda banjir kilat

Posted: 05 Jun 2014 02:38 PM PDT

Kampar: Kira-kira 500 penduduk di tujuh kampung di Kampar dan Tapah, terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin.
Berikutan itu, 51 keluarga dari lima kampung sekitar sini dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar. Lima kampung yang terjejas ialah Kampung Baru Kuala Dipang, Kampung Nyior, Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir dan Kampung Malaya.Dua kampung di Tapah yang terjejas ialah Kampung Baru Chenderiang dan Kampung Batu 3 Temoh.

Ini kali keenam rumah saya dilanda banjir kilat yang berpunca daripada longkang yang tak diselenggara" Ruhaini Ahmad, Penduduk

Tinjauan mendapati penduduk mulai membersihkan rumah apabila air surut sejak awal pagi semalam dan kebanyakan mereka menyifatkan kejadian itu paling buruk kerana air naik sehingga hampir satu meter.

Pesara, Mohd Naim Kufrun, 50, dari Taman Seri Chenderiang, berkata banjir kilat berikutan hujan lebat tanpa henti hampir lima jam sejak petang kelmarin.

"Apabila air semakin naik, saya menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat serta mengalihkan barangan berharga serta peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi.
"Selepas air surut sekitar jam 3 pagi, saya bersama penduduk meninjau rumah masing-masing bagi membersihkan lumpur. Walaupun kawasan ini pernah dinaiki air beberapa kali, tetapi kejadian ini paling teruk," katanya.

Ruhaini Ahmad, 64, dari Kampung Pasir, Chenderiang, berkata air naik dengan cepat dan banyak barangannya gagal diselamatkan.

"Apa yang saya kesalkan, ini bukan kali pertama dilanda banjir kilat, sudah 38 tahun tinggal di sini. Ini kali keenam rumah saya dilanda banjir kilat yang berpunca daripada longkang yang tak diselenggarakan," katanya.

Tiada tindakan selepas aduan dibuat

Ruhaini mendakwa sudah beberapa kali anaknya membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Tapah supaya membina longkang yang lebih sempurna tetapi tiada tindakan lanjut.

Azmi Daud, 73, yang ditemui di pusat pemindahan sementara di Kuala Dipang, berkata dia tinggal sehelai sepinggang kerana segala barangan keperluan termasuk pakaian dihanyutkan air.

"Tidak sampai 10 minit, air mula memasuki ruang tamu. Saya dan isteri cuba berpindah ke tempat yang lebih tinggi, namun air naik mendadak hingga paras pinggang.

"Saya diselamatkan oleh pasukan keselamatan dan ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kuala Dipang," katanya.

Syor naik gaji tak dilaksana

Posted: 05 Jun 2014 02:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya gaji penjawat awam dinaikkan 30 peratus tidak mungkin dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang tinggi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata permintaan kenaikan itu selaras pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai April tahun depan juga sama sekali tidak rasional.

Katanya, ini kerana sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat berikutan pelbagai barangan dan perkhidmatan juga masih dikecualikan GST.

Sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat" Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan


Bukan alasan munasabah

"Saya tak rasa ia alasan munasabah untuk meminta menaikkan gaji kakitangan awam sehingga 30 peratus dengan memberi perbandingan GST.

"Jika itu dimaksudkan CEUPACS, mungkin elok jika mereka menghadiri lebih banyak majlis penerangan GST supaya lebih faham," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Ke-57 di sini, semalam.

CUEPACS sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati agenda dan transformasi kerajaan dengan baik selain persediaan kepada pengenalan GST.
Mengulas lanjut, Ahmad menggesa penjawat awam lebih proaktif dengan mencari maklumat yang benar mengenai cukai berkenaan.

"Kalau penjawat awam sendiri tiada inisiatif untuk kaji dan teliti mengenai GST, macam mana pula dengan rakyat? Sepuluh tahun tidak mahu ambil tahu, maka selama itulah mereka tidak akan faham apa itu GST," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tindakan JPPH memulakan usaha penilaian Harta Intelek pada Jun tahun lalu telah menjadikan Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara dalam menerajui bidang berkenaan.

Katanya, penubuhan Unit Penilaian Harta Intelek bertujuan menilai kepentingan aspek paten, reka bentuk industri dan hak cipta, sekali gus mampu memberi peningkatan kepada ekonomi negara.

Empat elemen utama kukuh keselamatan ESSCOM

Posted: 05 Jun 2014 02:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Bagi memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), empat elemen utama akan diberi penekanan oleh kerajaan dalam pelan keselamatan jangka panjang.

Melalui empat elemen membabitkan polisi, aset, latihan dan risikan, keupayaan pasukan keselamatan dalam Zon ESSCOM masih boleh ditingkatkan dan diguna pakai dalam memperkuatkan usaha mengekang sebarang unsur pencerobohan di sepanjang 1,400 kilometer kawasan Pantai Timur Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata empat elemen yang dalam peringkat cadangan itu akan diusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selepas pihaknya menerima persetujuan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kita juga akan menjalankan risikan yang turut membabitkan perisik antarabangsa" Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan


Tugas dilakukan dengan baik

"Saya rasa lebih banyak perkara boleh dilakukan tetapi hakikatnya sehingga sekarang tiada sebarang pemberontakan berlaku di Lahad Datu dan ini adalah bukti bahawa kita melakukan tugas dengan sebaiknya.

"Justeru, penting untuk kita mengenal pasti polisi dalam memastikan keselamatan di rantau ini dan menggerakkan segala aset yang dimiliki selain mengadakan latihan membabitkan pasukan tentera, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kita juga akan menjalankan risikan yang turut membabitkan perisik antarabangsa," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.
Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat ESSCOM, yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohamad Mantek.

Hishammuddin berkata, selain Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri, pihak ketiga yang akan bekerjasama dalam memastikan keselamatan di kawasan ESSCOM adalah PETRONAS.

Melalui kerjasama itu, katanya, kerajaan mempertimbang untuk menukar pelantar minyak yang tidak digunakan lagi di perairan Sabah kepada pangkalan hadapan bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

"Kalau pelantar minyak ini boleh digunakan untuk pangkalan hadapan kita, ia bukan saja dapat menjimatkan kos operasi tetapi juga meletakkan kita pada kedudukan pertahanan yang strategik dalam memantau sebarang cubaan pencerobohan," katanya.