4 hakim tolak permohonan

4 hakim tolak permohonan


4 hakim tolak permohonan

Posted: 23 Jun 2014 02:56 PM PDT

4 hakim tolak permohonan

Putrajaya: Majalah mingguan The Herald yang diterbitkan oleh Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan versi bahasa Melayu.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan bagi mendapat kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengeluarkan perintah larangan itu sebelum ini.

Panel tujuh anggota yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu mencapai keputusan majoriti 4-3 itu.

Arifin bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar menolak permohonan itu.

Tidak boleh membuat rayuan

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha membenarkan permohonan Gereja Katolik.

Keputusan semalam bermakna keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini kekal dan Gereja Katolik tidak boleh lagi membuat rayuan.
Dalam menolak permohonan itu, Arifin berkata keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung keputusan pengharaman penerbitan berkenaan adalah sah di sisi undang-undang dan munasabah.

Bagaimanapun, Malanjum berpendapat permohonan itu wajar dibenarkan dengan mengambil kira kepentingan umum berkaitan kes itu dan keperluan Mahkamah Persekutuan merumus penyelesaian bagi persoalan undang-undang yang dibangkitkan. Zainun dan Jeffrey juga membuat penghakiman memihak kepada Gereja Katolik.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini.

Firdaus cuma diberi makanan lembut, bubur

Posted: 23 Jun 2014 02:56 PM PDT

Firdaus cuma diberi makanan lembut, bubur

Seremban: Usaha memulihkan remaja terabai, Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan kurus kering pada Sabtu lalu akan membabitkan proses menambah lemak dan protein untuk menambah berat badannya.

Bagi tujuan itu, doktor dan jururawat Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) memberi perhatian khusus kepada remaja kurang upaya yang ketika dimasukkan ke hospital dua hari lalu hanya seberat 15 kilogram.

Firdaus terlalu ringan

Pengarah HTJS, Datuk Dr Jaafar Che Mat, berkata ini kerana berat Firdaus terlalu ringan untuk remaja berusia 15 tahun, dipercayai akibat pemakanan tidak sempurna bagi suatu tempoh lama yang menyebabkannya perlu menjalani pemulihan rapi.

"Bukan setakat doktor dan jururawat, pakar pemakanan akan memastikan berat badannya ditambah melalui pemakanan protein dan lemak. Proses penambahan berat badan dilakukan secara perlahan dengan memberi makanan lembut seperti bubur untuk mengelakkan dia muntah," katanya selepas lawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin semalam.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Syor peranan pegawai daerah ditambah baik

Posted: 23 Jun 2014 02:56 PM PDT

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menggariskan empat cadangan bagi menambahbaik peranan pegawai daerah supaya lebih relevan dengan cabaran masa kini termasuk kemampuan memperkukuhkan hubungan dengan rakyat.

Perdana Menteri menegaskan, pegawai daerah kini tidak terhad kepada tugas tradisional sebagai pentadbir semata-mata, sebaliknya perlu menjadi seorang yang memahami aspirasi rakyat, sekali gus merasai denyut nadi dan menyelami isi hati mereka.

"Kita perlu menghayati kehendak dan isi hati rakyat, jangan kita lihat berdasarkan kehendak yang datang dari Kuala Lumpur ataupun ibu negeri sahaja. Kita mesti melakukan 'engagement' (berhubungan) dengan pelbagai pihak.

Tak boleh anggap diri bos

"Rapatkan diri dengan masyarakat setempat, tidak boleh menganggap diri kita sebagai bos sehingga orang lain mesti tunduk pada kita.

"Kita mesti letakkan diri sebagai pemimpin serta pemudah cara dalam susah dan senang pada setiap masa," katanya ketika perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Persidangan bertema Pegawai Daerah Pemacu Transformasi Luar Bandar itu menghimpunkan semua pentadbir peringkat negeri dan daerah.
Selesai masalah rakyat

Najib berkata, pegawai daerah juga perlu menjadi pihak yang boleh menyelesaikan masalah rakyat termasuk bijak mencari mekanisme terbaik selain nasihat serta pandangan.

"Jangan kita jadi orang yang buat masalah, misalnya kalau ada konflik dalam melantik ketua kampung, kita mesti tahu menyelesaikannya bagi mengelak perpecahan dalam kalangan penduduk.

"Sebagai pegawai daerah, kuasa kita bukan sahaja bergantung kepada 'formal' atau kedudukan rasmi kita tapi juga 'informal' iaitu soal kepimpinan, tingkah laku, cara kita berurusan dengan orang, sekali gus mengasah mutu kepimpinan kita.

"Pegawai daerah juga usah terlalu protokol dan mementingkan ego sehingga sukar untuk rakyat berurusan, sebaliknya turun padang dan memahami masalah rakyat, jangan terlalu menjaga kedudukan.

Rakyat kena hormati keputusan

Posted: 23 Jun 2014 02:46 PM PDT

Putrajaya: Persatuan Peguam Muslim meminta masyarakat Islam atau bukan Islam menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Gereja Katolik, The Herald.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata keputusan larangan itu bermakna tiada lagi rayuan yang boleh dilakukan selepas ini.

"Alhamdulillah panel yang dianggotai tujuh hakim dan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria itu membuat keputusan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja itu.

Tiada rayuan lagi

"Kesannya, tidak ada sebarang rayuan lagi yang boleh dibuat oleh pihak gereja selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, semalam.

Perkara yang sama turut diluahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali yang berpendapat kes itu tidak harus dibangkitkan lagi.

"Kita bukan hendak bermusuh cuma hendak mempertahankan kalimah suci Allah dan berharap mereka menghormati agama kita seperti mana kita menghormati agama mereka," katanya
Bawa implikasi besar

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan semalam membawa implikasi besar kepada kes rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau, yang juga seorang peguam, berkata keputusan menolak rayuan The Herald itu akan mengukuhkan tindakan JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam tindakan merampas kitab Bible berbahasa Melayu pada Januari tahun lalu.

Katanya, tindakan merampas Bible sebelum ini didapati selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan dan juga bertepatan dengan enakmen Selangor yang menetapkan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di negeri itu.

"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini (semalam) mempunyai implikasi agak bagus dari segi penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam. Ini bermakna segala tindakan MAIS termasuk sama ada naskhah berkenaan dipulangkan kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) atau dilupuskan boleh merujuk keputusan ini," katanya.

Pada 2 Januari lalu, JAIS menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Bukan Islam) Selangor 1988.

Abu Bakar Chik maut dalam kemalangan

Posted: 23 Jun 2014 02:39 PM PDT

Hulu Terengganu: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, maut manakala pembantunya cedera selepas kereta mereka kemalangan di Kilometer 390 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), laluan Bukit Besi-Ajil, di sini awal pagi semalam.

Abu Bakar, 64, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit dari tahun 1999 hingga 2004, meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Hulu Terengganu, manakala pembantunya, Hasmizi Hassan, 18, dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman, berkata kejadian jam 3.50 pagi berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Bukit Besi ke Kuala Terengganu apabila kereta Toyota Camry dipandu Hasmizi dipercayai merempuh sebuah sebuah van dinaiki lima penumpang dari arah sama.

"Kita tidak menolak kemungkinan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbakar. Namun kedua-dua mangsa dikeluarkan sebelum kereta terbakar," katanya, semalam.
BERNAMA

Pindaan cermin gelap dijangka ambil masa

Posted: 23 Jun 2014 02:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelulusan pindaan peraturan penggunaan cermin gelap, dijangka mengambil masa kerana ada rayuan baharu supaya kadar ketelusan yang diputuskan pada bengkel khas baru-baru ini, dikurangkan lagi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dikatakan sedang meneliti semua cadangan itu, termasuk rayuan penurunan kadar ketelusan cahaya sebelum membuat keputusan akhir.

Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata hasil cadangan bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap pada 3 Jun lalu, belum dimuktamadkan.

"Ia mengambil sedikit masa kerana selepas bengkel itu, ada lagi pihak mengemukakan rayuan yang perlu diperhalusi. Justeru, keputusan bengkel belum diluluskan dan kita tunggu apa keputusan menteri yang pada dasarnya, boleh meluluskan pindaan itu dengan kuasa menteri.

Pandangan Kabinet

"Bagaimanapun, ada kemungkinan beliau akan meminta pandangan Kabinet. Jadi, kita sama-sama tunggu sebab semua cadangan dalam bengkel itu sudah sampai ke tangannya dan sedang diteliti," katanya kepada BH, semalam.

Bengkel anjuran Kementerian Pengangkutan yang dihadiri pelbagai agensi di Shah Alam baru-baru ini, mencapai kata sepakat mencadangkan penurunan kadar ketelusan cahaya daripada 50 peratus kepada 30 peratus untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang.
Kadar ketelusan cermin gelap kenderaan ketika ini 70 peratus untuk cermin depan dan 50 peratus untuk cermin sisi serta belakang. Cadangan dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti keadaan cuaca dan keselamatan barangan terutama untuk kenderaan tanpa but selain kebanyakan kenderaan import, dibawa masuk dengan cermin asal yang gelap.

Bengkel itu diadakan susulan laporan khas BH mengenai peraturan penggunaan cermin gelap yang dianggap sudah lapuk.

Kadar masih tinggi

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman, mengakui pihaknya mengemukakan rayuan kepada Hishammuddin mengenai ketelusan baharu kerana pindaan sebelum ini menyaksikan kadarnya masih tinggi untuk cermin kereta import.

"Kadar 30 peratus untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang masih tinggi. Kita sudah uji kebanyakan kereta import dan kadar ketelusan hanya 20 peratus. Jika dikekalkan 30 peratus, kami masih menghadapi masalah dan terpaksa naikkan harga kereta kerana perlu tukar cermin asal kepada yang lebih cerah.

"Kami harap menteri akan membuat pengumuman yang menggembirakan semua pihak," katanya.