Tragedi MH370: Kawasan pencarian diperluas

Tragedi MH370: Kawasan pencarian diperluas


Tragedi MH370: Kawasan pencarian diperluas

Posted: 04 Jun 2014 05:11 PM PDT

Tragedi MH370: Kawasan pencarian diperluasHishammuddin bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di sini, semalam. - Foto Khairull Azry Bidin

Kuala Lumpur: Kawasan pencarian pesawat MH370 yang hilang, akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa juga kepakaran yang ada.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lokasi berakhirnya pesawat itu di Koridor Selatan, tidak pernah diragui dan dipertikaikan kerana disahkan pakar dari seluruh dunia.

"Kalau tidak jumpa kotak hitam, kita kena cari lokasi baharu dan guna apa juga kepakaran yang ada untuk mengenal pasti lokasi berkenaan. Apa yang penting sekarang lokasi itu kekal di Koridor Selatan, itu yang tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.

Disah pakar dunia

"Malah ia telah disahkan oleh pakar seluruh dunia. Persoalannya di mana di Koridor Selatan. Ia besar, tapi di situlah kita akan memasuki fasa baharu," katanya yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di sini, semalam.

Pihak berkuasa Australia sebelum ini memutuskan kawasan seluas 850 kilometer persegi yang menjadi lokasi tumpuan Bluefin-21 bukan lokasi terakhir pesawat itu.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), menyatakan keputusan itu dibuat selepas Bluefin-21 menamatkan operasi pencarian di dalam laut, di lokasi isyarat yang dipercayai dari kotak hitam MH370 sejak awal April lalu.

Diminta mengulas dakwaan seorang pelayar British kononnya ternampak pesawat itu terbakar ketika menyeberangi Lautan Hindi pada pagi ia dilaporkan hilang ketika dia bersama suaminya dalam perjalanan ke Phuket, Thailand, Hishammuddin berkata, ia perlu disahkan dahulu.

Mengenai satu bunyi misteri berfrekuensi rendah bawah laut yang dikesan pada masa sama MH370 dikesan kali terakhir oleh radar satelit, beliau berkata, belum mendapat maklumat lanjut.

Enam syarikat hulur dana

Dalam pada itu, beliau berkata, sekurang-kurangnya enam syarikat tempatan seperti PETRONAS, Boustead dan Deftech sudah menyumbang dana, aset dan perkhidmatan dalam tender terbuka bagi pencarian pesawat itu.

Beliau berkata, satu pasukan yang diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, dan tiga timbalan menteri akan ke Canberra untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan pencarian MH370 termasuk kos.

"Sehingga hari ini tiada kos yang dibiayai Malaysia tetapi tidak adil kepada pihak terbabit seperti Australia dan China yang ingin memberikan sumbangan. Kita perlu mencari jumlah yang berpatutan dan munasabah dibiayai pihak berkenaan," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Hishammuddin berkata, PETRONAS setuju untuk menghantar aset bagi membantu misi pencarian MH370.

Katanya, syarikat itu akan menyediakan dana bagi penunda alat sonar laut dalam, dilengkapi sistem yang menyokong kelengkapan kapal dan kru.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat iaitu Boustead, sedang memuktamadkan terma bagi aset dan perkhidmatan khusus yang akan digerakkan termasuk Kapal Pemantau Oseanografi yang mampu membuat pemetaan dasar laut, alat pengesan sonar bergerak untuk pencarian laut dalam dan kenderaan automatik bagi tujuan pemulihan.

Pekebun kecil getah terima dana RM130j

Posted: 04 Jun 2014 05:02 PM PDT

Pekebun kecil getah terima dana RM130jDATUK Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (kanan) pada sidang media di sini semalam bagi mengumumkan seramai 260,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima RM500 di bawah bantuan khas kejatuhan harga getah mulai pertengahan Jun ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Putrajaya: Seramai 260,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima bantuan khas RM500 mulai pertengahan bulan ini berikutan kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebanyak RM130 juta diperuntukkan kerajaan untuk pengagihan bantuan khas berkenaan secara sekali bayaran (one-off ) kepada pekebun kecil yang layak.

"Ia adalah langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah SMR yang mencatatkan paras terendah tahun ini, RM5.44 per kilogram.

"Kerajaan memandang berat isu kejatuhan harga getah di pasaran dunia yang antara lain dipengaruhi faktor cuaca tidak menentu sehingga memberi kesan secara langsung kepada pendapatan pekebun kecil," katanya pada sidang media di sini semalam.

Mohd Shafie berkata, bantuan akan disalurkan oleh RISDA secara berperingkat kepada semua penerima yang layak.

"Bantuan akan dikreditkan terus dalam akaun pekebun dan semua penerima akan dimaklumkan melalui surat. Ini bantuan kali kedua yang disalurkan kerajaan selepas memperuntukkan RM127.3 juta kepada 254,672 penerima tahun lalu.

"Kita juga menerima maklum balas yang memuaskan daripada penerima bantuan tahun lalu yang menghargai usaha kerajaan meringankan beban mereka," katanya.
Beliau berkata, walaupun bantuan yang diberikan dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek, bantuan jangka panjang tetap diteruskan.

"Kerajaan bantu bukan saja dengan beri imbuhan, tetapi teruskan pemberian kemudahan lain seperti baja dan benih percuma kepada mereka," katanya.

e-baucar GST RM150 juta insentif PKS

Posted: 04 Jun 2014 05:01 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Najib bersama penerima Anugerah Inovasi 2014 pada majlis pembukaan Pameran Tahunan PKS di ibu negara, semalam. Turut serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi SME Corp, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid (tiga dari kanan) dan Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim (dua dari kanan).

Foto

Najib menaiki motosikal Zet 3 Wheeler ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan SMIDEX 2014.

Baucar boleh dimanfaat naik taraf perisian perakaunan

Kuala Lumpur: SME Corp Malaysia memperuntukkan RM150 juta dalam bentuk e-baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM1,000 sebagai insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Baucar itu boleh dimanfaatkan untuk membeli atau menaik taraf perisian perakaunan yang mematuhi pelaksanaan GST.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan permohonan e-baucar itu dibuka semalam, berkata ia bagi memastikan peralihan kepada GST dalam kalangan PKS berjalan lancar.

"Apa yang PKS perlu lakukan ialah menghantar permohonan e-baucar secara dalam talian dan kemudian menggunakannya untuk membeli perisian daripada vendor yang dilantik.

"Saya minta PKS supaya tampil dan mengambil peluang daripada bantuan yang disediakan kerajaan demi memastikan peralihan lancar dalam pelaksanaan GST," katanya berucap pada pembukaan Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 2014, di sini, semalam.

Permohonan bagi e-baucar dibuka sehingga 31 Disember dan boleh ditebus sebelum 28 Februari 2015. Kementerian Kewangan melantik 55 vendor yang menjual perisian perakaunan diperlukan oleh PKS.

Syarat layak mohon e-baucar

Tiga kriteria yang melayakkan sesebuah syarikat memohon e-baucar ialah mesti mematuhi definisi PKS yang ditetapkan oleh SME Corp, mempunyai nombor pendaftaran GST serta sekurang-kurangnya 51 peratus ekuiti syarikat dimiliki rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh mempelajari daripada 160 negara yang sudah berdepan pelbagai cabaran ketika melaksana serta memahami sistem GST.

"Kerajaan sudah memperuntukkan RM100 juta untuk melaksanakan program latihan serta kesedaran (GST) di seluruh negara melalui pelbagai saluran," katanya.

Najib juga mengumumkan SME Corp akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menubuhkan Plat- form Dagangan Tidak Tersenarai Malaysia (MyULM) untuk membuka akses peluang pembiayaan baharu kepada PKS.

Katanya, platform itu bagi menggalakkan pertumbuhan serta pengembangan PKS melalui pasaran modal.

"Syarikat kecil berdepan cabaran memasuki pasaran modal berikutan ada banyak keperluan serta kos untuk disenaraikan. Bagi menjadikannya lebih mudah, SC pada tahun lalu mengumumkan penubuhan MyULM untuk menyediakan akses kepada modal serta maklumat yang memudahkan urus niaga," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan membelanjakan RM13 bilion untuk program pembangunan PKS tahun ini berbanding RM12 bilion tahun lalu.

"Dana ini bukan saja daripada kerajaan tetapi disumbangkan sektor swasta. Malah, hampir 50 peratus dana daripada program tahun ini dari sektor swasta," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan Anugerah Perdana dan wang tunai bernilai RM1 juta kepada KLSMC Stem Cells Sdn Bhd yang dipilih menjadi PKS Paling Inovatif. Sebelum itu, Perdana Menteri menyaksikan beberapa kerjasama awam-swasta melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp dan Jabatan Standard Malaysia, Padiberas Nasional Bhd dan Malaysian Debt Ventures Bhd.

Isu cermin gelap: Pemilik diberi masa

Posted: 04 Jun 2014 05:01 PM PDT

Isu cermin gelap: Pemilik diberi masaPekerja kedai aksesori kereta memasang filem penapis cahaya pada kenderaan pelanggan dalam tinjauan yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan diberi tempoh untuk mematuhi kadar ketelusan cahaya (VLT) cermin kenderaan sebelum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memburu mereka yang degil dan terus mengekalkan cermin gelap melebihi had.

Bagaimanapun, tiada tempoh diberikan setakat ini bagi memberi masa kepada pemilik kenderaan memastikan cermin gelap kenderaan mematuhi peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan dalam bulan ini.

Perlu dimaklum awal

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, orang ramai perlu dimaklumkan terlebih dahulu perubahan peraturan itu, selain mengelakkan beban bagi menyambut Aidilfitri akhir bulan Julai depan.

"JPJ akan memastikan pengguna tahu dan sedar mengenai perubahan kadar VLT dan akan memberi notis mengenai perkara itu sebelum menjalankan operasi.

"Operasi boleh dijalankan pada bila-bila masa, tetapi bukan dalam masa terdekat kerana tidak lama lagi orang ramai sibuk dengan Aidilfitri, bagi mengelakkan bebanan ke atas pengguna dari segi kos," katanya kepada BH semalam.

Operasi bermusim bebankan rakyat

Posted: 04 Jun 2014 04:59 PM PDT

Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan operasi cermin gelap secara besar-besaran oleh polis trafik mulai 16 Jun ini sebagai tindakan bermusim yang hanya membebankan rakyat.
Operasi itu dianggap agak mengejutkan kerana undang-undang tidak dikuatkuasakan secara tegas biarpun sudah wujud sejak tahun 1992. Larangan tak tetap

Pengerusi PPIM, Datuk Jamal Md Yunos, berkata penguatkuasaan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara tetap selama ini menyebabkan rakyat menganggap tiada halangan untuk menggunakan cermin gelap pada kereta masing-masing.

"Kenyataan polis trafik untuk menyaman mereka yang menggunakan cermin gelap dalam operasi besar-besaran menyebabkan rakyat melahirkan perasaan resah dan takut," katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah wakil Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (PERKIB), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Pertubuhan Pakatan Setia 1Malaysia (PPS1M) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).

Jamal yang juga Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor berkata, rakyat terpaksa menanggung kerugian selepas mengeluarkan kos RM300 hingga RM1,000 untuk memasang cermin gelap.

Keselesaan pemilik

"Penggunaan cermin gelap memberi rasa selesa dan selamat kepada pengguna kerana penjenayah tidak akan dapat lihat apa yang ada di dalam kereta dan secara tidak langsung mengelak jenayah daripada berlaku.

"Golongan wanita akan merasakan lebih selamat memandu di dalam kereta yang cerminnya gelap kerana risiko menjadi mangsa jenayah dapat dikurangkan," katanya.

Tragedi MH370: Siasat dakwaan pelayar Britain

Posted: 04 Jun 2014 04:55 PM PDT

Tragedi MH370: Siasat dakwaan pelayar Britain

Sydney: Australia kini menyiasat dakwaan pelayar warga Britain yang mendakwa melihat pesawat sedang terbakar ketika menyeberangi Lautan Hindi pada hari MH370 dilaporkan hilang, 8 Mac lalu.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai misi mencari pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu, kini sedang meneliti laporan yang dibuat oleh isteri pelaut warga British itu minggu lalu.

Jurucakap ATSB berkata pihaknya menerima mesej daripada orang awam melaporkan mereka melihat apa yang dipercayai sebuah pesawat dengan kepulan asap di belakang.

"Maklumat itu sudah diserahkan kepada Kumpulan Kerja Misi Mencari MH370 untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lihat pesawat terbakar

Beliau mengulas laporan Phuket Gazette, kelmarin bahawa Katherine Tee, 41, yang sedang dalam pelayaran dari Kochi, India ke Phuket bersama suaminya, Marc Horn, 50, mendakwa melihat kapal terbang terbang terbakar melintasi langit malam dengan kepulan asap di belakang pesawat itu.
Tee yang berasal dari Liverpool berada keseorangan di atas kapal layar miliknya ketika itu.

"Hanya saya yang menyaksikan kejadian pada malam itu. Suami saya tidur di dek bawah ketika itu, manakala seorang lagi anak kapal tidur di atas kapal.

"Saya melihat sesuatu seperti kapal terbang terbakar. Itu apa yang saya fikirkan. Kemudian saya sangka saya akan jadi gila. Ia menarik perhatian saya kerana saya tidak pernah melihat pesawat dengan lampu berwarna oren sebelum ini, jadi saya tertanya-tanya apa yang berlaku.

"Saya dapat lihat bentuk pesawat itu, ia kelihatan lebih panjang berbanding pesawat biasa. Malah terdapat kepulan asap hitam di belakangnya," katanya kepada Phuket Gazette, tetapi mereka menyembunyikan pertemuan itu sehinggalah tiba di Phuket 10 Mac lalu. - AGENSI