klia2 mercu kejayaan negara |
- klia2 mercu kejayaan negara
- 2 beradik ditinggal penjenayah tepi jalan
- Tiga langkah atasi penipuan pakej umrah
- Kesihatan bertambah baik
- Bergelut dengan buaya 10 minit
- Elak kekeliruan isu anak tak sah taraf
Posted: 24 Jun 2014 03:07 PM PDT Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kedua (klia2) adalah mercu tanda pencapaian negara dalam industri penerbangan dan menjadi kebanggaan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri juga yakin klia2 akan menjadi pemangkin kepada perkembangan berterusan dalam industri penerbangan yang penuh cabaran. Penanda aras global "Bagi saya, klia2 adalah contoh kemampuan kita sebagai sebuah negara, bukan dengan hanya kemampuan membina infrastruktur bertaraf dunia, malah menjadi penanda aras global dalam pembinaan terminal seumpamanya pada masa akan datang. "Ia kebanggaan kerana pembangunan klia2 menjadi tanda perkembangan dan kepemimpinan kita dalam industri penerbangan bukan sahaja di rantau ini, malah juga di dunia," katanya ketika merasmikan Terminal klia2, di sini, semalam. Najib berkata, klia2 juga dijangka dapat menampung keperluan perkembangan industri penerbangan negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi. 25 juta penumpang 2014 "Terminal mega ini berupaya mengendalikan 45 juta penumpang setahun, lebih tiga kali ganda berbanding Terminal Tambang Murah (LCCT). Berdasarkan sasaran pengendalian penumpang bagi tahun ini, klia2 dijangka menerima 25 juta penumpang sehingga hujung tahun ini," katanya. Beliau berkata sebagai infrastruktur ikonik, klia2 juga mampu membantu menarik lebih ramai pelancong dengan membantu kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. |
2 beradik ditinggal penjenayah tepi jalan Posted: 24 Jun 2014 02:47 PM PDT Subang Jaya: Sebaik saja ditinggalkan penjenayah yang mencuri kereta ibunya di tepi jalan, seorang budak lelaki berusia 9 tahun memberanikan diri berjalan lebih 500 meter sambil mendukung adiknya berusia empat bulan, sebelum diselamatkan orang ramai di Taman Perindustrian Puchong, semalam. Muhamad Naqiuddin Rashid, berpakaian seragam Sekolah KAFA Integrasi Madrasatul Ikhwan (SKIMI) mendukung Muhamad Thaqiff selain menggalas beg sekolahnya dan berjalan tanpa haluan sebelum ditemui dua lelaki yang menyelamatkannya. Pada kejadian itu, dua beradik berkenaan menaiki kereta bersama ibu mereka, Karniyurtini Ishak, 35, serta dua lagi adik beradik berusia 3 dan 5 tahun dari kediaman mereka di Taman Putera Perdana ke rumah pengasuh mereka di Puchong Perdana, pada jam 7.15 pagi. Tugas menghantar tiga anaknya ke rumah pengasuh berkenaan rutin harian Karniyurtini sebelum memulakan tugas sebagai pengajar di SKIMI yang terletak kira-kira 300 meter dari Puchong Perdana. Bagaimanapun, kealpaan wanita itu tidak mematikan enjin kereta dan tidak menguncinya ketika menghantar dua dari tiga anaknya ke rumah pengasuh mengundang padah apabila kenderaannya dilarikan seorang lelaki sebelum sempat beliau berpatah balik untuk mengambil bayinya. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Tiga langkah atasi penipuan pakej umrah Posted: 24 Jun 2014 02:44 PM PDT Kuala Lumpur: Kerajaan semalam mengumumkan tiga langkah drastik bagi menangani masalah penipuan pakej umrah di negara ini, termasuk penubuhan majlis kawal selia umrah. Majlis itu akan diterajui Bahagian Pelesenan Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Pada masa sama, kementerian itu juga akan menamakan semua syarikat yang disenaraihitamkan dalam laman web sama. Semua langkah itu diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Ia bertujuan menangani isu penipuan pakej umrah yang disifatkan semakin kritikal oleh kementerian berkenaan susulan beberapa siri pendedahan BH mengenainya sejak 5 Mei lalu. BH melalui laporan khasnya mendedahkan peningkatan hampir 100 peratus kes tuntutan penipuan umrah di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang difailkan tahun lalu, iaitu 761 kes berbanding 381 kes pada tahun 2012 serta meningkat setiap tahun. Mohamed Nazri berkata, kerajaan memandang serius isu penipuan pakej umrah yang turut dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini. Menyifatkan penipuan pakej umrah sebagai 'perbuatan hina', beliau berkata, majlis kawal selia umrah itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat, manakala pengeluaran lesen khas umrah akan membabitkan pindaan kepada Akta Industri Pelancongan 1992. "Selain semua langkah ini, kita juga akan meningkatkan kesedaran masyarakat kerana tidak ada gunanya tindakan tanpa kesedaran masyarakat," katanya merujuk kepada kes penipuan harga pakej umrah yang terlalu rendah. Mohamed Nazri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Hadir sama Presiden BUMITRA, Mohd Ayub Hassan; Timbalannya, Ayob Mat Aris dan Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan, Kudratullah Fatimy Afandi. Peralat imam Akhbar ini baru-baru ini melaporkan ramai umat Islam diperdaya dengan tawaran pakej umrah serendah RM1,400, selain memperalatkan imam, tokoh agama dan selebriti serta bergerak dari surau ke masjid untuk menipu mangsa. Susulan laporan BH, banyak pihak termasuk BUMITRA mencadangkan kerajaan menubuhkan badan khas untuk mengawal selia pengendalian jemaah umrah yang melebihi 200,000 setiap tahun, selain penetapan harga minimum pakej dan lesen khas untuk syarikat pengendali umrah. Mengulas lanjut, Mohamed Nazri, berkata pihaknya masih mengkaji keanggotaan majlis itu, termasuk cadangan penetapan harga minimum pakej umrah. "Kita juga sedang meminda akta untuk mengenakan hukuman lebih tinggi," katanya merujuk kepada hukuman denda RM50,000 ke atas mereka jika sabit kesalahan menipu pakej pelancongan, termasuk pakej umrah. |
Posted: 24 Jun 2014 02:38 PM PDT
Rohani (tengah) bersama Norhayati menyuapkan coklat kepada Firdaus ketika melawat remaja itu di HTJS, semalam. - Foto Hazreen Mohamad Sejak dimasukkan ke HTJS Sabtu lalu, dia hanya terbaring di atas katil, tetapi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang mengunjunginya berpeluang melihat perubahan drastik yang menggembirakan itu. Sebelum itu, jururawat membantu Firdaus untuk duduk, tetapi hanya sekejap dan dia kemudian merebahkan semula badannya ke atas katil. Bagaimanapun, bungkusan hamper yang dibawa rombongan Rohani, dipercayai menarik perhatian Firdaus menyebabkannya bangun sendiri dan duduk. Dia kelihatan berminat dengan coklat dalam hamper menyebabkan Rohani memberikan sedikit demi sedikit kepada remaja kurang upaya berusia 15 tahun itu. Rohani bersyukur dengan kemajuan kesihatan Firdaus yang kini mempunyai selera makan menyebabkan berat badannya bertambah dua kilogram sejak dimasukkan ke hospital, Sabtu lalu, menjadikan berat badan terkini, 17 kilogram. |
Bergelut dengan buaya 10 minit Posted: 24 Jun 2014 02:37 PM PDT Rompin: "Saya melihat dengan jelas, kepala buaya berukuran 0.5 meter lebar itu, menggigit kaki kiri, sebelum berusaha menyelamatkan diri secara menendang dan menumbuk kepala reptilia terbabit bertubi-tubi. "Mujur adik ipar datang membantu, selepas hampir 10 minit bergelut, reptilia itu akhirnya melepaskan gigitan, membolehkan saya ditarik naik ke dalam rumah rakit," imbas Ewa Judak, mangsa serangan buaya yang pertama berlaku di Sungai Rompin. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Elak kekeliruan isu anak tak sah taraf Posted: 24 Jun 2014 02:35 PM PDT Petaling Jaya: Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran (Akta 299) dan Kematian 1957 perlu dipinda bagi mengelak anak tidak sah taraf beragama Islam didaftarkan atas nama individu yang mengaku bapa. Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod Jabatan Kehakiman Syariah, Abas Nordin berkata akta itu yang masih terpakai sehingga kini menimbulkan kekeliruan dan memberi kesan besar ke atas umat Islam. Terputus nasab "Ia memberi kesan seolah-olah mengiktiraf anak tidak sah taraf ini dari segi undang-undang, sebenarnya anak itu terputus nasab dengan keluarga, malah bapa yang didaftarkan pada sijil kelahiran boleh berkahwin dengan anak biologinya itu," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Anak Tak Sah Taraf: Isu dan Mekanisme Penyelesaian Menurut Undang-Undang Syariah. Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen Pemerkasaan Ummah Kebangsaan 2014 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dekat sini. Abas berkata, pindaan itu dijangka dapat membantu membendung kes kelahiran luar nikah bagi masyarakat Islam yang semakin meningkat setiap tahun. "Jumlah itu bersamaan seramai empat bayi dilahirkan dalam tempoh sejam. "Anak tak sah taraf ini merujuk kepada bayi luar nikah yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua saat dari tarikh pernikahan sama ada akibat zina atau rogol," katanya. Selain pindaan, Abas berkata penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang syariah, termasuk mengenakan hukuman denda dan penjara yang lebih tinggi kepada pesalah zina atau khalwat juga perlu dilakukan. "Ia adalah penyelesaian jangka pendek, hukuman hudud adalah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |