KECOH SAMBUT 2014

KECOH SAMBUT 2014


KECOH SAMBUT 2014

Posted: 31 Dec 2013 12:26 PM PST

KECOH SAMBUT 2014PESERTA demonstrasi merempuh sekatan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memasuki ke perkarangan Dataran Merdeka, malam tadi. - Foto Khairull Azry Bidin

Peserta perhimpunan haram tak peduli amaran, rempuh kawalan pasukan keselamatan di Dataran Merdeka

Kuala Lumpur: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2014 di Dataran Merdeka malam tadi, terpaksa dihentikan jam 11.30 malam, selepas peserta perhimpunan haram bertindak ganas termasuk merempuh sekatan pihak berkuasa.

Berikutan pemberhentian itu, persembahan artis yang sedang berlangsung dan pertunjukan bunga api, yang dijadual sebagai kemuncak acara, dibatalkan.

Perhimpunan itu disertai beberapa pemimpin pembangkang, mula mengganggu acara, kira-kira setengah jam selepas merempuh kawalan pasukan keselamatan, terdiri polis dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Sambutan 2014 di negeri lain lancar tanpa gangguan

Posted: 31 Dec 2013 12:20 PM PST

Sambutan ambang tahun baharu 2014 yang berlangsung di luar Kuala Lumpur malam tadi, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Suasana aman itu membolehkan semua acara disusun penganjur, disertai orang ramai yang keluar meraikannya sambil membawa bersama ahli keluarga masing-masing.

Selain persembahan artis, keindahan pertunjukan bunga api yang menjadi acara kemuncak detik tengah malam di setiap lokasi saat dinantikan setiap pengunjung.Sempena ketibaan 2014, penganjur turut menjadikan acara sama sebagai pelancaran program Tahun Melawat Malaysia 2014.

Sambutan di seluruh negeri

Di Shah Alam, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan Karnival Ambang 2014 sebagai simbolik permulaan tahun baharu dengan pertunjukan bunga api mewarnai kemuncak acara malam tadi.

Di Ipoh, lebih 2,000 orang membanjiri Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi meraikan sambutan tahun baharu yang diserikan dengan persembahan nyanyian dan pelbagai tarian tradisional serta moden.
Di Georgetown, kira-kira 15,000 pengunjung memenuhi kawasan Padang Kota, meraikan ketibaan sambutan Tahun Baru anjuran kerajaan Pulau Pinang.

Di Melaka, lebih 5,000 orang meraikan sambutan tahun baharu dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 yang diadakan di padang Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Pelancaran sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan hiburan dan kebudayaan pelbagai etnik di samping pertunjukan bunga api.

Di Alor Setar, kira-kira 10,000 rakyat Kedah membanjiri Stadium Sultan Abdul Halim, menyaksikan acara yang bermula dengan perlawanan bola sepak antara pasukan veteran Kedah menentang Perlis, sebelum disusuli persembahan artis tempatan dan bunga api.

Tanpa konsert dan bunga api di Kota Bharu, rakyat Kelantan tetap membanjiri kawasan Stadium Sultan Muhamad ke IV dan Menara Tambatan Diraja yang terletak di tepi Sungai Kelantan bagi menanti detik tengah malam dan sambutan Tahun Baru 2014.

Di Port Dickson, seramai 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Telok Kemang dan PD Waterfront untuk memeriahkan sambutan tahun baru anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan kerjasama Tentera Darat dan syarikat swasta.

Di Johor Bahru, Program Malam Cinta Rasul, Johor Bahru Berselawat mewarnai sambutan tahun baru di Dataran MBJB bermula jam 7.30 malam.

Permulaan baik pupuk budaya jimat cermat

Posted: 31 Dec 2013 12:20 PM PST

Kuala Lumpur: Langkah penjimatan sektor awam yang dilaksanakan kerajaan adalah satu permulaan baik memupuk budaya berjimat cermat dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat beberapa elaun termasuk keraian perlu lebih banyak dikurangkan berbanding kira-kira 10 peratus.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap ketirisan dan pembaziran perbelanjaan awam seperti dalam Laporan Audit 2012.

"Jika kerajaan benar-benar serius untuk berjimat, banyak cara boleh dilaksanakan termasuk mengurangkan perbelanjaan dalam penganjuran majlis.

"Namun, aspek penyelenggaraan kemudahan awam tidak boleh dikurangkan bagi memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan selesa," katanya dalam kenyataan, semalam.

Pantau pengurusan kewangan

Lam Thye turut menggesa kementerian dan agensi kerajaan meningkatkan pemantauan pengurusan kewangan bagi memastikan ia disalurkan secara munasabah.
"Semua agensi dan jabatan perlu serius meningkatkan sistem audit dalaman supaya kelemahan dalam pengurusan kewangan dapat dikesan lebih awal," katanya.

Sementara itu, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Sheikh Abd Kareem S Khadaied turut menyambut baik langkah Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah pengurangan perbelanjaan sektor awam itu.

Katanya langkah itu selari dengan prinsip Perdana Menteri yang dilihat konsisten dalam memastikan rakyat diutamakan dalam agenda pembangunan negara.

"Ini bukan sesuatu yang baharu. Memang menjadi objektif Malaysia sejak dulu dalam memastikan perbelanjaan negara dilakukan secara berhemah," katanya.

Sedia SOP lebih kemas tangani banjir

Posted: 31 Dec 2013 12:17 PM PST

Sedia SOP lebih kemas tangani banjirMuhyiddin bersama Adnan dan Khair (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar yang bakal menduduki Tahun 1 pada sesi persekolahan 2014 di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, Kuantan, semalam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kuantan: Jawatankuasa Bencana Negara akan menyelaras beberapa langkah lebih berkesan, termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih kemas dan terancang dalam menangani bencana banjir di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat Jumaat ini, dengan disertai wakil kerajaan negeri serta agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Menerusi mesyuarat ini nanti, kita akan koordinasi secara lebih berkesan termasuk mengambil kira penggunaan sistem amaran awal banjir.

"Walaupun kadang-kadang susah untuk kita ramal, tetapi mungkin ada satu cara menggunakan teknologi terkini untuk meramalkan bagi tempoh seminggu akan datang bentuk atau carta hujan di sesuatu kawasan.

"Kalau di Barat menggunakan teknologi untuk meramalkan bila salji akan turun, jadi kenapa tidak kita gunakan teknologi secanggih itu bagi meramal kemungkinan banjir," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan.

Penambahbaikan lain
Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu juga akan melihat semua langkah penambahbaikan lain termasuk meningkatkan kemudahan di pusat pemindahan dan pusat penempatan stok bekalan makanan.

"Ada beberapa langkah yang perlu kita lakukan selepas mengambil kira pengalaman banjir di beberapa negeri baru-baru ini, antaranya pusat penempatan stok bekalan bahan serta keadaan logistik... waktu bila tidak boleh gunakan jalan raya dan perlu gunakan laluan udara dan juga laut (hantar bantuan bekalan makanan).

"Selain itu, di kawasan penempatan pemindahan, perlu ada banyak kemudahan contohnya tempat memasak, menambah tandas serta peralatan disediakan lebih awal," katanya.

Kajian SPNB bantu bina rumah mampu milik

Posted: 31 Dec 2013 12:09 PM PST

Alor Setar: Hasil kajian pakej perumahan baru mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang dijangka akan diumumkan kerajaan pada suku kedua tahun ini.

Presidennya, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh, berkata kajian yang dibuat berikutan kenaikan harga rumah terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat khususnya di kawasan bandar itu kini masih berada di peringkat akhir.

Bagaimanapun katanya, kelulusan membina projek perumahan masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kajian ini bagi mencari penyelesaian untuk SPNB membina rumah mampu milik berharga antara RM150,000 hingga RM250,000 seunit untuk penduduk di kawasan bandar.

"Masalah utama yang dikenal pasti kini ialah harga tanah di kawasan bandar terlalu tinggi, justeru satu mekanisme perlu dicari bagi membolehkan harga tanah itu dapat diserapkan dalam kos pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan program motivasi kepada 100 murid daripada keluarga miskin dan ibu bapa mereka dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah anjuran Kelab Profesional dan Usahawan Malaysia (MYPEC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Ismail di sini.

Kamarul Rashdan yang juga Pengerusi Kelab MYPEC berkata, buat masa ini SPNB juga mengenal pasti beberapa kaedah iaitu membina rumah pasang siap dalam tempoh lebih singkat atau membina unit rumah dalam tempoh kurang daripada 24 bulan.
Katanya, kaedah itu secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kos rumah, sekali gus membantu mencapai sasaran ditetapkan.

"Di Kuala Lumpur saja setakat ini seramai 10,000 pemohon sudah mendaftar dengan SPNB bagi memiliki rumah.

"Justeru kita berharap pelan kajian yang akan diumumkan nanti mampu membantu penduduk kawasan bandar terutama golongan muda yang terdiri daripada pembeli rumah pertama untuk memilik rumah pada harga mampu milik," katanya.

Tambang baru bas sekolah muktamad Mac

Posted: 31 Dec 2013 12:07 PM PST

Tambang baru bas sekolah muktamad Mac

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memuktamadkan skim tambang bas sekolah baru pada Mac depan.

SPAD dalam satu kenyataan semalam berkata, penentuan skim baru itu akan dibuat selepas mengambil kira tiga ketetapan utama antaranya pandangan dan persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah.

Selain itu katanya, SPAD juga akan mencari kaedah baru menerusi skim itu bagi menambah pendapatan pemandu bas sekolah dengan memaksimumkan waktu bekerja mereka.

Tiga perkara ini perlu dikaji dengan teliti supaya sebarang keputusan kerajaan nanti tidak akan membebankan ibu bapa" Kenyataan SPAD


"Ia tidak seperti amalan semasa di mana pemandu bas sekolah atau pengendalinya hanya beroperasi pada waktu tertentu saja dalam sehari (waktu sekolah) yang mengurangkan keperluan untuk menaikkan tambang bas sekolah," katanya.

Ketetapan ketiga pula katanya, adalah mengkaji kemungkinan menggunakan kuasa pasaran untuk menambah baik industri bas sekolah dengan menggalakkan persaingan lebih sihat dalam kalangan pengendali terutama dari segi harga serta tahap perkhidmatan ditawarkan.

"Tiga perkara ini perlu dikaji dengan teliti supaya sebarang keputusan kerajaan nanti tidak akan membebankan ibu bapa dan pada masa sama memastikan daya maju industri bas sekolah dalam menyediakan perkhidmatan bermutu," katanya.

Dalam pada itu, SPAD juga tidak meluluskan permohonan tambang baru dan mana-mana surcaj ke atas bas sekolah seperti diminta Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) sebelum ini.
Adakan pertemuan

Katanya, SPAD juga sudah mengadakan pertemuan dengan PPPBSM dan Gabungan Ahli Perniagaan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) pada 24 Disember lalu bagi mencari mekanisme terbaik dalam mendepani tuntutan mereka.

"Oleh itu, semua pengendali perlu mengekalkan struktur tambang bas sekolah semasa seperti yang diluluskan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan pada Ogos 2009," katanya.

Dilaporkan sebelum ini bahawa PPPBSM tidak berganjak dengan keputusan untuk menaikkan kadar siling tambang bas sekolah sehingga 40 peratus, mulai bulan depan.

Ketika ini, ada 9,769 pengusaha bas sekolah berdaftar dengan SPAD membabitkan keseluruhan 14,365 bas sekolah yang terbahagi kepada van sekolah, bas mini, dengan kapasiti 18 penumpang dan bas sekolah besar 44 penumpang.