Melaka tolak perakuan Sultan Melaka

Melaka tolak perakuan Sultan Melaka


Melaka tolak perakuan Sultan Melaka

Posted: 08 Jan 2014 03:04 PM PST

Melaka tolak perakuan Sultan MelakaIdris menunjukkan surat dihantar kepadanya oleh individu yang mendakwa sebagai Sultan Melaka. - Foto Amir Mamat

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka menolak perakuan mana-mana individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri, semalam, sekali gus tidak mengiktiraf mereka yang kononnya mempunyai hak memerintah negeri ini menerusi sistem beraja.

Kita sudah membuat keputusan secara berfakta untuk menolak sebarang usaha mendapatkan pengiktirafan oleh mana-mana pihak mengenai kesultanan Melaka termasuk pihak yang baru-baru ini menggemparkan masyarakat dengan upacara pertabalan raja Melaka kepada seorang individu.

Apa juga bentuk dokumen yang ditunjukkan kepada kita adalah tidak sahih dan tidak boleh diterima pakai, termasuk sehelai kertas yang kononnya surat pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini semalam.

Ambil tindakan

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang mengaku dirinya sebagai Sultan Melaka mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Saya hairan mengapa ada lagi individu yang kurang siuman sekarang ini, malah individu yang mengaku sebagai Sultan Melaka ini tidak dilahirkan di Melaka pun dan saya difahamkan beliau turut menuntut untuk menjadi sultan di beberapa negeri lain.
Bagaimanapun, saya yakin perkara ini berlaku berikutan Melaka kini sudah nampak kemajuannya dan insiden ini tidak berlaku ketika negeri ini digelar Sleepy Hollow satu ketika dulu. Mungkin kerana Melaka pada ketika itu tidak nampak kualitinya, tetapi sekarang bila dah cantik dan menarik, ramai pula yang hendak tuntut.

Beliau mengulas dakwaan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah yang mengaku sebagai Sultan Melaka ke-44, dan dikatakan berjaya mendapat pengiktirafan daripada ICJ mengenai tuntutannya menduduki takhta raja di negeri itu.

Bantuan mangsa banjir: RM10j bantu petani terjejas

Posted: 08 Jan 2014 02:59 PM PST

Bantuan mangsa banjir: RM10j bantu petani terjejasIsmail Sabri menunjukkan kadar bantuan pada sidang media bantuan ehsan kerosakan pertanian akibat bencana banjir di Putrajaya, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengagihkan RM10 juta sebagai bantuan ehsan kepada penternak, petani dan pengusaha industri asas tani di negeri terjejas akibat banjir awal bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hanya mangsa yang membuat laporan mengenai kerugian akibat banjir kepada kementerian sebelum ini, layak menerima bantuan itu.

Katanya, nilai bantuan tertakluk kepada kadar ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk agihan kepada mangsa banjir khususnya di Johor, Terengganu, Pahang serta Kelantan, bagi meringankan beban mereka.

Bayaran tunai

Ia akan dibayar secara tunai dalam tempoh satu atau dua minggu lagi dan mangsa boleh menuntut wang berkenaan di Pejabat Pertanian Daerah setiap negeri.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Peluang naik pangkat di restoran makanan segera

Posted: 08 Jan 2014 02:58 PM PST

Kuala Lumpur: Peluang kenaikan pangkat yang terbuka luas, menanti belia tempatan yang menyertai kerjaya di restoran makanan segera negara ini.

Sekali pun bermula dengan tugas sebagai krew, mereka yang dedikasi berpeluang menikmati kenaikan pangkat sehingga sebagai pengurus di restoran dan pegawai dalam perkhidmatan pentadbiran.

Nadia Abdullah, 27, yang menyertai sebagai krew sebuah restoran makanan segera sejak tujuh tahun lalu, kini boleh berbangga dengan pencapaian apabila dilantik sebagai pengurus cawangan sama sejak dua tahun lalu.

Asalkan ada minat, komited dan dedikasi dalam tugas, peluang untuk dinaikkan pangkat sentiasa ada, walaupun tidak berlatar belakang pendidikan tinggi.

Banyak insentif

Banyak insentif dinikmati sepanjang berkhidmat dengan restoran makanan segera ini. Soalnya, mahu atau tidak saja menyertai kerjaya ini, katanya.

Nadia berkata, belia tempatan wajar merebut peluang tersedia susulan langkah kerajaan mulai kelmarin, yang melarang pengambilan pekerja asing untuk berkhidmat dengan restoran makanan segera.
Dalam perkembangan berkaitan, pekerja asing yang sedang berkhidmat dengan restoran makanan segera ketika ini dibenarkan terus bekerja sehingga tamat tempoh permit masing-masing, manakala pengambilan baru tidak dibenarkan.

Jurucakap Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata, permit semua pekerja asing sedia ada di restoran makanan segera ketika ini tidak akan diperbaharui sesuai dengan dasar baru kerajaan itu.

Langkah ini pada asasnya bagi memberi peluang pekerja tempatan mengisi keperluan industri itu. Jawatankuasa Kabinet berpendapat, ramai pekerja tempatan berminat menyertai sektor ini.

Walaupun ada permohonan sub sektor bagi membawa masuk pekerja asing mengisi sektor makanan segera, tetapi keputusan ini adalah jelas untuk memberi ruang buat tenaga tempatan, katanya ketika dihubungi.

Tak benar pekerja asing

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI), kelmarin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat keputusan tidak lagi membenarkan restoran makanan segera menggaji pekerja asing.

Peraturan itu dikuatkuasakan kerana ramai warga tempatan minat bekerja dalam industri pemakanan terutama belia, lepasan sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi untuk mendapat pendedahan serta sumber pendapatan sementara atau sepenuh masa.

Plaza Tol Sungai Buaya dirasmi hari ini

Posted: 08 Jan 2014 02:22 PM PST

Plaza Tol Sungai Buaya dirasmi hari iniRuslee di hadapan Plaza Tol Sungai Buaya yang siap sepenuhnya, semalam. - Foto S Sugumaran

Bukit Beruntung: Projek pembinaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya susur keluar di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bernilai RM86 juta, kini siap sepenuhnya.

Projek berkenaan antara janji Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April 2010, sebagai hadiah kepada penduduk di kawasan itu memilih calon BN, P Kamalanathan mewakili Parlimen Hulu Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan pembukaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya yang turut dihadiri 5,000 penduduk di kawasan Hulu Selangor hari ini.

Projek pembinaan itu bermula pada Jun 2011 dan siap sepenuhnya pada November lalu, bagi memberi kemudahan kepada 20,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Bekas Yang Dipertua, Persatuan Penduduk Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim, berkata hanya kerajaan BN mampu menunaikan permintaan rakyat dan pembinaan persimpangan itu sebagai bukti kerajaan mendengar keluhan rakyat.

Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana sedia mendengar selain menyelesaikan masalah besar rakyat.

Sebelum ini, kami terpaksa menggunakan persimpangan bertingkat di Bukit Beruntung ke ibu negara sejauh 25 kilometer (km) dan mengambil masa hingga 45 minit.
Bagaimanapun, dengan adanya persimpangan Sungai Buaya, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 15 minit saja, katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Iran haram sembang sosial bukan mahram: Majlis Fatwa digesa turut wartakan pengharaman

Posted: 08 Jan 2014 02:20 PM PST

Kuala Lumpur: Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei, semalam mengeluarkan fatwa terbaru bahawa perbualan atau bersembang di media sosial antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah haram kerana boleh mendorong perbuatan maksiat.

Fatwa itu disokong Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, yang menurut mereka perbualan bukan muhrim menerusi media sosial tanpa batasan hingga mendorong perlakuan maksiat, adalah haram.

Sehubungan itu, mereka mahu Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa dan menyediakan garis panduan mengenai perbuatan ini bagi mencegah penularan pelbagai kegiatan bertentangan Islam yang turut dikesan menjadi faktor keruntuhan institusi perkahwinan umat Islam.

Langgar hukum Islam

Abdul Rahman berkata, masyarakat hari ini berpandangan pergaulan bukan muhrim di media sosial tanpa batasan tidak melanggar hukum Islam kerana ia tidak membabitkan pertemuan secara fizikal.

Namun, katanya, pergaulan tanpa tujuan dan asas yang kukuh sehingga mendorong kepada perlakuan maksiat atau gejala bertentangan Islam juga dilarang dalam Islam walaupun di media sosial.

Contoh mudah adalah memberi salam. Jika tidak ada tujuan dan disalah guna untuk permulaan perbualan kurang berfaedah, ia tidak wajib dijawab.
Melihat pasangan yang bukan muhrim tanpa ikatan sah di media sosial juga tidak dibenarkan. Perbuatan ini dilarang dalam Islam kerana boleh mengundang nafsu, katanya ketika dihubungi BH, semalam bagi mengulas fatwa terbaru Khamenei itu.

Hassan pula berkata, wujud keperluan untuk melarang perbualan bukan muhrim terutama menerusi media sosial jika isi kandungannya berbaur maksiat.

Malah, katanya, perbualan yang bertujuan untuk menyebarkan dakyah dan perkara yang bercanggah dengan Islam juga wajar diberi perhatian supaya mengekang penularan ajaran sesat yang dilihat semakin berleluasa.

Haram bibit maksiat

Kalau perbualan antara lelaki dan perempuan bukan mahram itu ada bibit-bibit maksiat memang wajib difatwakan haram. Tetapi jika ia sekadar untuk bertukar pendapat dan ke arah kebaikan, tiada masalah.

Sebaiknya, fatwa untuk melarang gejala maksiat dan bertentangan dengan Islam seperti ini dilaksana dengan terperinci supaya masyarakat tidak keliru dan boleh mempraktikkannya, sejajar dengan seruan Allah supaya menentang kemungkaran, katanya.

Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji keperluan untuk mewartakan fatwa supaya melarang perbualan berbaur maksiat.

Perhimpunan di Putrajaya: Tindakan tegas jika sertai

Posted: 08 Jan 2014 02:17 PM PST

Perhimpunan di Putrajaya: Tindakan tegas jika sertai

Kuala Lumpur: Polis memberi amaran akan bertindak terhadap penganjur dan peserta perhimpunan yang dirancang pihak tertentu di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur jika menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012 .

Perhimpunan itu dirancang selepas pihak berkaitan dikatakan tidak puas hati apabila demonstrasi sama yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam tahun baru sehingga menimbulkan kacau-bilau gagal mendapat sokongan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata penganjuran setiap perhimpunan perlu mematuhi akta berkenaan, termasuk memberi notis kepada polis 10 hari lebih awal daripada tarikh dirancang, manakala kelulusannya bukan automatik.

Kaji setiap permohonan

Setiap permohonan untuk mengadakan perhimpunan akan dikaji dan kita akan panggil penganjur supaya menjelaskan matlamat perhimpunan.

Namun, setakat ini polis tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya, katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Beliau diminta mengulas gerakan pihak tertentu menghasut rakyat menerusi media sosial supaya mengundi tiga lokasi tertentu, termasuk Putrajaya untuk menganjurkan perhimpunan kononnya untuk menuntut keadilan dan membela hak rakyat termasuk membantah kenaikan kos sara hidup.

Pengundian lokasi perhimpunan itu dikesan giat dijalankan sejak kelmarin dengan Putrajaya mendahului carta, diikuti KLIA dan plaza tol Sungai Besi, manakala tarikh penganjurannya dipercayai awal Mac ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya akan memantau aktiviti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Pihak terbabit juga dilihat menyasarkan golongan belia dan mahasiswa untuk menyertainya.