Bakar kereta bapa teman wanita

Bakar kereta bapa teman wanita


Bakar kereta bapa teman wanita

Posted: 09 Jan 2014 02:46 PM PST

Segamat: Gara-gara hubungan cinta dihalang, seorang lelaki sempat mengejutkan teman wanitanya daripada tidur sebelum meminta melihat dia membakar kereta milik bapa wanita berkenaan, kelmarin.


Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi di Taman Seri Chaah, Chaah di sini, lelaki berusia 25 tahun itu memanggil nama teman wanitanya sebelum wanita berkenaan menjenguk melalui tingkap bilik.


Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, lelaki terbabit kemudian meminta wanita itu menyaksikan dia membakar kereta PROTON Wira berkenaan dengan sejenis bahan bakar.

Foto

KERETA PROTON Wira milik bapa seorang wanita dibakar teman lelakinya di Taman Seri Chaah, Segamat. FOTO AHMAD ISMAIL

"Wanita berusia 20-an yang terkejut dengan tindakan itu terus mengejutkan keluarganya.

"Usaha keluarga berkenaan memadamkan api gagal manakala pasukan bomba dan penyelamat yang tiba kemudian tidak sempat menyelamatkan kenderaan berkenaan yang hangus keseluruhannya," katanya, semalam.

Wanita berkenaan berada di rumah keluarganya kerana sedang bercuti daripada pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di utara tanah air.

Menurut Mohd Kamil, bapa wanita berkenaan yang berusia 50-an dan bekerja di sebuah syarikat swasta di pekan Chaah melaporkan kejadian di Balai Polis Chaah.

Mohd Kamil berkata, pihaknya menahan suspek di sekitar pekan itu tidak lama kemudian.

"Suspek warga tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia kini direman bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa tidak puas hati dengan tindakan keluarga wanita berkenaan yang tidak merestui hubungan mereka," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan bahan bakar.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Gegaran bukan kesan tremor

Posted: 09 Jan 2014 02:45 PM PST

PONTIAN: Gegaran dan keretakan pada rumah kedai di di Lorong Zamrud 3 Kukup Laut di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada masalah teknikal bukan kesan tremor atau gegaran bawah tanah, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah.

Majlis Daerah Pontian (MDP) juga tidak menolak kemungkinan keretakan tiang bangunan itu kesan kerja ubah suai pemilik bangunan dan mendapan tanah di pinggir laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, gegaran yang dirasai penghuni di bangunan terbabit berkemungkinan berpunca daripada empat tiang premis yang meretak dan hampir patah.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Foto

KEDAI tiga tingkat di Kukup Laut yang rosak.

Foto

KEADAAN kedai tiga tingkat di Kukup Laut yang rosak.


"Kami memastikan tiada penghuni di dalam bangunan manakala siasatan akan dilakukan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Yang Dipertua MDP Miswan Yunus berkata, pihaknya sudah mengarahkan bangunan berkenaan dikosongkan dan anggota penguatkuasa akan berkawal di lokasi.

"Kami sedang mengkaji struktur bangunan terbabit dengan kerjasama JKR Daerah Pontian untuk tentukan langkah yang akan diambil selanjutnya.

"MDP juga dalam proses melantik pakar forensik bangunan untuk menentukan secara terperinci tahap keselamatan struktur premis ini dan langkah lain yang perlu diambil," katanya.

"Ada kemungkinan retakan itu berlaku akibat kerja ubah suai pemilik bangunan dan mendapan tanah di pinggir laut," katanya.

Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Pontian Ir Ismail Ibrahim berkata, pihaknya akan menunggu maklumat daripada IKRAM untuk mengenal pasti punca sebenar keretakan bangunan terbabit.

"Sementara IKRAM menjalankan siasatan, semua penghuni di situ diminta tidak masuk ke dalam bangunan kerana dikhuatiri perkara tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Calon sudah ada

Posted: 09 Jan 2014 02:44 PM PST

Kelana Jaya: Spekulasi mengenai kedudukan jurulatih kelahiran Perancis Phillipe Troussier bersama Harimau Malaya akan diketahui pada Februari depan.

Walaupun nama bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun 2002 itu dikatakan calon pilihan untuk menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih enggan membuat pengesahan buat masa ini.

Namun Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan sudah meneliti senarai lima calon yang disenarai pendek bagi menduduki kerusi panas itu sebelum diumumkan selewat-lewatnya bulan depan.

"Apa yang boleh saya katakan, kami sudah semakin hampir untuk menandatangani kontrak dengan jurulatih baru, sama ada import atau tempatan, kita tunggu dan lihat. Kami mungkin mengumumkan nama calon itu dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya Februari nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Arena Metro sebelum ini melaporkan Troussier yang turut mempunyai pengalaman mengendalikan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Paso, Afrika Selatan dan Qatar berada dalam perhatian FAM untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan apabila Exco FAM memutuskan tidak menyambung kontrak Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Hafiz juara musim pertama

Posted: 09 Jan 2014 02:44 PM PST

KUALA LUMPUR: Juara Mimbar Pencetus Ummah musim pertama menjadi milik Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, ataju lebih dikenali sebagai PU Hafiz apabila menewaskan tiga peserta lain, malam tadi.

Gelaran juara itu melayakkan PU Hafiz menerima hadiah wang tunai RM50,000, sebuah Yoyota Prius C, pakej umrah untuk dua orang dan percutian halal ke China.

Tempat kedua menjadi milik Shahrul Hameed MPH Seeni Md, 38, diikuti Mohd Zinudin Mohamed Zaini, 32, dan Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, 20.

PU Shahrul pula meraih wang tunai berjumlah RM30,000 manakala PU Zinudin dan PU Rahmat, masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000.

Foto


Program disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Selangor itu di saluran Astro Oasis dan tayangan serentak di saluran Maya HD, bermula 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10