YB PKR dipersoal

YB PKR dipersoal


YB PKR dipersoal

Posted: 27 Jan 2014 01:25 PM PST

ADUN Kajang Lee Chin Cheh letak jawatan tanpa alasan

Shah Alam: Peletakan jawatan ADUN Kajang, Lim Chin Cheh semalam, menguatkan lagi spekulasi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid akan digugurkan dan diganti dengan pemimpin lain.

Orang yang disebut-sebut bukannya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, sebaliknya Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan akan bertanding kerusi itu pada pilihan raya kecil.

Nama lain yang timbul ialah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, sekali gus mungkin menutup terus peluang Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa untuk menjadi Menteri Besar.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

RM100j bantu usahawan muda Bumiputera

Posted: 27 Jan 2014 01:22 PM PST

RM100j bantu usahawan muda BumiputeraDari kiri Muhyiddin, Najib dan Abdul Wahid menunjukkan geran SUPERB selepas mempengerusikan mesyuarat MEB di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

Kuala Lumpur: Permohonan bantuan kewangan dalam bentuk geran menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), khusus untuk usahawan muda membangunkan idea kreatif dan inovatif, akan dibuka mulai Ahad ini.

Tempoh 3 tahun

Geran dengan peruntukan dana RM100 juta bagi tempoh tiga tahun itu, terbuka kepada usahawan Bumiputera berumur antara 18 tahun hingga 40 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata menerusi SUPERB, syarikat permulaan Bumiputera berpeluang menerima kemudahan geran sehingga RM500,000 untuk mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Pelantikan Menteri Besar perlu persetujuan 3 parti

Posted: 27 Jan 2014 01:14 PM PST

Kuala Lumpur: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, proses pelantikan Menteri Besar memerlukan persetujuan bersama tiga parti pakatan pembangkang PAS, DAP dan PKR.

Selain itu, individu yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti itu perlu mendapat perkenan Sultan.

"Pelantikan saya sebagai Menteri Besar Selangor ditandatangani pemimpin ketiga-tiga parti, jadi ketiga-tiganya perlu buat keputusan (jika perlu diganti). Proses (melantik MB) banyak tatacaranya dan spekulasi juga terlalu banyak kebelakangan ini," katanya, semalam.

Itu boleh dilakukan kerana ketiga-tiga parti kena duduk bersama, tetapi itu pun kalau ada perbincangan" Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar


Ditanya sama ada beliau sanggup melepaskan jawatan jika diminta PAS dan DAP bagi menenangkan kemelut politik di Selangor, Abdul Khalid berkata: "Itu boleh dilakukan kerana ketiga-tiga parti kena duduk bersama, tetapi itu pun kalau ada perbincangan. Setakat ini saya tengok tiada lagi," katanya.

Mengulas peletakan jawatan Lee Chin Cheh, beliau mengakui tidak terkejut kerana ura-ura mengenainya sudah tersebar.

"Saya pun pun tak tahu kenapa dia resign (letak jawatan). Biasanya, perkara ini akan dibincangkan dalam Biro Politik PKR sebab dia mewakili PKR dan kita tengok apa yang akan diumumkan presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Mengenai kemungkinan Anwar bertanding mengisi kerusi itu, Abdul Khalid berkata, ia belum dibincangkan dan akan ditentukan biro politik parti.

Syor perkenal subjek Perlembagaan Persekutuan

Posted: 27 Jan 2014 01:10 PM PST

Kuala Lumpur: Subjek Perlembagaan Persekutuan perlu diperkenal dan diwajibkan kepada semua murid sekolah rendah, pelajar menengah hingga universiti.

Tokoh akademik yang juga Ketua Eksekutif Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata ia bertujuan memberi pemahaman khusus kepada rakyat terutama generasi akan datang mengenai semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan bagi mengelak polemik berterusan.

Katanya, mata pelajaran Sejarah semata-mata tidak mencukupi bagi mendidik seseorang itu menjadi warga yang menjunjung dan mendaulat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara, sekali gus memerlukan subjek Perlembagaan diperkenal dan diwajibkan, bukan saja kepada pelajar, tetapi juga mereka yang menceburi bidang politik.

"Kalau rakyat tiada ilmu mengenai Perlembagaan negara, ia sesuatu yang sukar dan memalukan. Itu yang berlaku apabila rakyat hari ini mempersoalkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya pada media selepas forum 'Relevansi Majlis Raja-Raja Melayu Sebagai Komponen Pentadbiran di Malaysia', di sini semalam.

Patuhi titah Sultan, fatwa

Mengulas tindakan pelbagai pihak mendakwa bukan Islam tidak perlu patuh kepada titah Sultan atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu kalimah Allah kerana Malaysia adalah negara sekular, beliau berkata, wajib setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama, taat kepada pemerintah kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang juga Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Seri Danial Syed Ahmad, berkata majlis berkenaan boleh membincangkan isu berkaitan agama seperti kalimah Allah dalam persidangannya, Februari ini jika Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mengusulkan perkara itu.

Noh Omar sah tak tarik diri debat kalimah

Posted: 27 Jan 2014 01:10 PM PST

Shah Alam: Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar tidak menarik diri daripada berdebat dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkaitan isu kalimah Allah menerusi program anjuran sebuah tabloid harian Melayu, semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata dakwaan penyokong PAS yang menabur fitnah kononnya UMNO 'pengecut' kerana menarik diri daripada program itu adalah tidak berasas, sedangkan debat 'Kalimah Allah dari perspektif perundangan' yang sepatutnya diadakan semalam, dibatalkan sendiri penganjur atas faktor keselamatan.

Hormati keputusan penganjur

"Mereka tabur fitnah, cakap saya tarik diri. Ini semua tidak benar kerana saya dan UMNO Selangor memang bersemangat berdepan mana-mana pihak demi menegakkan Islam.

"Malah, saya sendiri bertemu penganjur jam 2.30 petang (semalam) untuk minta penjelasan kenapa buat macam ini (batal). Apapun, saya hormat keputusan penganjur," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Di Kuala Lumpur, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin, berkata debat mengenai penggunaan kalimah Allah hanya akan mencemarkan imej Islam serta merugikan orang Melayu, apatah lagi ia membabitkan kepentingan politik selain dibicarakan oleh mereka yang tiada kepakaran dalam bidang terbabit.

'Kesepakatan nasional helah terancang Anwar'

Posted: 27 Jan 2014 01:07 PM PST

Kuala Lumpur: Kesepakatan nasional yang dicadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai helah terancang Ketua Pembangkang itu yang tidak perlu dilayan oleh kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata UMNO sepatutnya meneruskan cadangan muzakarah dengan PAS berbanding saranan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang akan melontarkan apa saja idea serta saranan bagi menutup kelemahan sendiri, sekali gus mengalih perhatian rakyat daripada kemelut dihadapinya.

"Konsesus nasional itu tercetus kerana tekanan dihadapinya akibat kemelut dalaman PKR serta insiden di Jepun, baru-baru ini. Bagi menutup kelemahannya, dicadangkan perkara itu. Jika Anwar berminat, beliau boleh kemukakan perkara itu di Parlimen dan semua ahli Dewan boleh membahasnya.

Konsesus nasional itu tercetus kerana tekanan dihadapinya akibat kemelut dalaman PKR serta insiden di Jepun, baru-baru ini. Bagi menutup kelemahannya, dicadangkan perkara itu. Jika Anwar berminat, beliau boleh kemukakan perkara itu di Parlimen dan semua ahli Dewan boleh membahasnya." Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO


"Jika kita perhatikan taktik Anwar, apabila timbul sesuatu isu berkaitannya, akan ada cadangan bagi menutup kelemahannya," katanya mengulas ajakan Anwar kelmarin supaya PKR bekerjasama dengan kerajaan dan BN, berdialog dan membentuk kesepakatan nasional untuk mendepani cabaran masa kini.