Persatuan bas ugut henti operasi

Persatuan bas ugut henti operasi


Persatuan bas ugut henti operasi

Posted: 02 Jan 2014 03:20 PM PST

Kuala Lumpur: Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) mengugut untuk menghentikan operasi sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan perundangan berikutan langkah menaikkan tambang bas sekolah sehingga 40 peratus sekarang.

Presidennya, Amali Munif Rahmat, berkata walaupun sedar tindakan itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM500,000 di bawah Akta Persaingan, mereka tiada pilihan lain untuk menampung kerugian sedia ada.

"Kenaikan ini hanya untuk menampung semula kerugian berikutan kenaikan harga diesel. Tetapi, sekiranya dikenakan tindakan, kami tidak teragak-agak untuk menghentikan operasi.

Tampung kos meningkat

"Kami tidak mampu untuk membayar kompaun terbabit, tambahan pula perlu menanggung kerugian sedia ada," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Sehubungan itu katanya, mulai semalam, tambang bas sekolah di seluruh negara dinaikkan sehingga 40 peratus, bagi menampung peningkatan kos operasi.

Keadaan itu menjadikan kadar tambang bas sekolah meningkat kepada RM38.70 bagi kilometer pertama berbanding RM27.43 sebelumnya bagi bas sekolah di bandar, manakala RM20.61 kepada RM28.85, di luar bandar. Namun, tindakan itu jelas mengingkari arahan SPAD supaya kadar sedia ada dikekalkan hingga Mac ini.
Amali Munif berkata, keputusan menaikkan harga itu dibuat ketika Mesyuarat Agung ke-41 persatuan terbabit di Muar, Johor, Disember lalu.

Tagih bantuan SPAD

Katanya, pengusaha bas sekolah sepakat menaikkan tambang sekiranya SPAD gagal mengemukakan bantuan kepada mereka selewat-lewatnya 31 Disember lalu.

"Pengusaha memerlukan peruntukan besar bagi memastikan operasi harian mereka tidak tergendala, selain perlu membawa bas sebanyak 22 hari dalam sebulan.

"Selain itu, mereka juga perlu memandu sekurang-kurangnya empat kali untuk menghantar pelajar ke sekolah bagi setiap sesi persekolahan harian. Proses itu menelan belanja banyak terutama penggunaan diesel.

"Subsidi bahan api diberikan sudah tidak lagi relevan ekoran kenaikan harga diesel September lalu yang memberi impak besar kepada kami," katanya.

'Wujud pakat naik harga ais, alat tulis'

Posted: 02 Jan 2014 03:19 PM PST

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat dakwaan kemungkinan wujud unsur pakatan dalam kenaikan harga ais dan alat tulis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shila Dorai Raj, berkata jika kenaikan harga adalah hasil perjanjian untuk menetapkan harga oleh mana-mana persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, perlakuan itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Seksyen itu memperuntukkan larangan kepada perusahaan termasuk persatuan daripada menetapkan secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan lain untuk barang dan perkhidmatan.

Penalti 10 peratus

Katanya, tindakan mana-mana persatuan atau kumpulan yang berpakat untuk menaikkan harga adalah salah laku yang serius dan penalti maksimum sebanyak 10 peratus boleh dikenakan jika didapati melanggar akta itu.

"Kenaikan harga bukanlah suatu perlakuan antipersaingan tetapi jika perusahaan ingin menaikkan harga oleh kerana faktor kos yang semakin meningkat, ia patut dilakukan secara bebas serta tidak terikat kepada apa-apa perjanjian," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini meminta MyCC untuk meneliti kemungkinan berlaku tingkah laku kartel (pakatan) oleh Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia.

Ais naik 50 sen

Tindakan MyCC itu juga diambil berikutan pengumuman pengeluar ais untuk menaikkan 50 sen setiap beg bagi ais tiub dan RM2.50 setiap blok ais. Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia pula mengumumkan akan menaikkan harga alat tulis pada suku pertama tahun ini.

Akta Persaingan 2010 diguna pakai terhadap semua aktiviti komersial yang ditanggung dalam dan luar negara yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Akta itu memberi satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenalkan penalti kepada pesalah.

Shila berkata, MyCC memberi mesej tegas kepada persatuan beberapa bulan lalu untuk menghentikan perlakuan pakatan sulit mahupun penetapan harga, tetapi tingkah laku persatuan yang semakin berleluasa baru-baru ini menyebabkan MyCC tiada pilihan selain mengambil langkah untuk menghentikan tingkah laku sedemikian.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana persatuan dan perusahaan perniagaan yang membabitkan diri dalam amalan penetapan harga atau berkelakuan seperti kartel boleh menghubungi MyCC di talian 03-22732277 atau e-mel complaints@mycc.gov.my

Budak mati ditinggal 9 jam dalam kereta

Posted: 02 Jan 2014 03:17 PM PST

Budak mati ditinggal 9 jam dalam keretaKakitangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) membawa keluar mayat Muhammad Ariff.

Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) bapanya di Indera Mahkota, dekat sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Ariff Mohd Yusof ditemui bapanya di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 5 petang.

Bapa mangsa berusia 41 tahun dikatakan terlupa untuk menghantar Muhammad Ariff yang sepatutnya memasuki taska di Indera Mahkota.

Menurut sumber, pasangan terbabit dipercayai keluar dari kuarters guru di Pandan, dekat sini kira-kira jam 7.30 pagi untuk menghantar lima anak mereka, termasuk mangsa ke sekolah dan taska.

"Selepas menghantar anaknya, bapa mangsa pergi minum di sebuah kedai di Taman Tas. Isteri lelaki terbabit menghubunginya pada waktu tengah hari sebelum mereka pergi mengambil dua anaknya di sekolah rendah di Indera Mahkota," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Lupa hantar anak ke taska
Pasangan suami isteri terbabit dikatakan berada di sekolah itu sehingga jam 5 petang bagi menunggu dua anaknya selesai Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sebaik mereka pergi semula ke kenderaan untuk pulang ke rumah, bapa terbabit baru menyedari dia terlupa menghantar Muhammad Ariff ke taska sebelum melihat mangsa berada di kerusi belakang kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasangan terbabit kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

Menongkah ombak ke sekolah

Posted: 02 Jan 2014 03:15 PM PST

Menongkah ombak ke sekolahMohd Ainif (kiri) dan Mohd Aidif (tengah) dihantar ke sekolah oleh bapa mereka dengan menaiki perahu di Sandakan, semalam.

Sandakan: Jarak antara rumah dan sekolah mereka tidak sampai satu batu nautika tetapi dua anak nelayan terpaksa menongkah ombak untuk ke sekolah.

Mohd Ainif Latif, 7, dari Pulau Berhala, yang baru memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 2, di sini bersama abangnya, Mohd Aidif, 8, murid Tahun Dua, perlu menaiki perahu setiap hari demi mengejar ilmu sambil ditemani ibu mereka, Saripah Razak, 26.

Mereka berpakaian biasa dari rumah dan akan menyalin seragam sekolah sebaik tiba di perkarangan sekolah kerana tidak mahu pakaian serta kasut dikotori lumpur.

Mahu jadi polis

Cabaran dilalui itu langsung tidak mematahkan semangat Mohd Ainif yang bercita-cita menjadi polis, sebaliknya berasa seronok kerana hari pertama ke sekolah bersama abangnya.

Saripah berkata, Mohd Ainif bangun seawal jam 6 pagi kerana berkobar-kobar untuk ke sekolah meskipun anak keduanya itu bersekolah pada sesi petang.
"Mungkin dia rasa sangat seronok mahu bersekolah sebab itu bangun awal. Saya harap semangatnya pergi sekolah sampai besar supaya dapat pendidikan sempurna dan kerja bagus.
"Ramai kanak-kanak di pulau yang berhenti sekolah awal sebab tidak sanggup naik bot setiap hari. Cuma beberapa orang saja yang meneruskan persekolahan ke sekolah menengah," katanya ketika ditemui BH di perairan Kampung Sim-Sim di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu sejak setahun lalu berulang-alik ke tanah besar empat kali sehari bagi memastikan anaknya sampai ke sekolah dan mendapat ilmu seperti kanak-kanak lain.

Katanya, sebahagian besar kanak-kanak di Pulau Berhala hanya bersekolah setakat Tahun Enam, manakala ada yang cuma mendapat pendidikan Kelas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) disediakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pos kawalan Pulau Berhala kerana faktor kemiskinan, selain tiada dokumen.

Ikuti kelas 3M

"Ada kelas 3M di pulau tapi kalau boleh saya mahu anak saya pergi ke sekolah dan dapat kerja lebih baik. Kerja nelayan pendapatan tidak tentu. Saya tidak mahu anak saya menyambung tradisi penduduk di pulau yang setakat jadi nelayan," katanya.

Selain menggunakan perahu sendiri, ada pelajar dari pulau berkenaan yang menaiki feri dengan tambang RM1 untuk pelajar sekolah menengah, manakala 50 sen bagi sekolah rendah dan berlabuh di jeti Pasar Besar di sini, sebelum menaiki bas sekolah.

Saripah berkata, jika suaminya, Latif Abdul Hamid, 34, tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah kerana turun ke laut mencari rezeki, dia sendiri perlu menemani mereka ke sekolah dengan menaiki feri atau menumpang perahu penduduk.

Murid kudung tangan, kaki dibenar pakai seluar

Posted: 02 Jan 2014 03:14 PM PST

Murid kudung tangan, kaki dibenar pakai seluarNur Damia Irsalina

Kuala Terengganu: Jabatan Pelajaran Negeri memberi kebenaran kepada Nur Damia Irsalina Daeng Malis, yang kudung tangan dan kaki memakai seluar ke sekolah, bagi memelihara aurat dan keselesaan murid berkenaan.

Pengarahnya, Zakaria Hussin, berkata pihaknya faham dengan kesulitan murid berkenaan dan membenarkan Nur Damia mengenakan seluar bagi menggantikan kain sekolah, berikutan keadaannya yang terpaksa berbaring untuk menulis.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini sudah berbincang dengan kerajaan negeri untuk memberi bantuan sewajarnya kepada kanak-kanak berkenaan, bagi memastikan dia dapat belajar dengan selesa dan menumpukan pelajaran dalam kelas.

"Kita beri kebenaran untuk Nur Damia memakai seluar ke sekolah, kerana kita faham dia terpaksa menulis sambil berbaring dan menggunakan jari kaki.
Justeru,tidak sesuai untuk dia memakai kain memandangkan keadaannya begitu.

Kaji kemudahan lain

"Kita merancang menyediakan kemudahan tertentu untuk Nur Damia, antaranya bagi membolehkannya belajar dalam keadaan duduk dan tidak perlu berbaring untuk menulis," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
BH semalam melaporkan, Nur Damia yang memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong (SKKT), Hulu Terengganu, terpaksa menulis menggunakan dua jari kaki sambil berbaring di atas lantai beralaskan tikar kerana kudung kedua belah tangan dan kaki. Hanya kaki kanan mempunyai tiga jari yang membolehkan kanak-kanak itu menulis.

Ketika ini, Nur Damia bergerak menggunakan kerusi roda elektronik yang dihantar oleh bapanya, Dr Daeng Malis Abd Kahar, 43, dan ibu, Rosnaini Mohamad, 35, yang tidak pernah berputus asa memberi semangat dan sokongan kepadanya.

Tempah seluar

Sementara itu Rosnaini berkata, beliau bersyukur dengan keprihatinan JPN terhadap kesulitan anaknya itu dan kini merancang menempah lima pasang seluar sekolah untuk Nur Damia.

"Ketika menulis kainnya terselak dan nampak seluar dalam. Sudah tentu ia tidak manis dan menimbulkan rasa tidak selesa kepadanya," katanya.

Rambo dilantik ketua darjah

Posted: 02 Jan 2014 03:13 PM PST

Rambo dilantik ketua darjahMohd Amar (tengah depan) kelihatan ceria pada hari pertama persekolahan walaupun kejadian pada 14 Oktober lalu itu dia hampir meragut nyawanya.

Seri Iskandar: "Saya seronok dapat bersekolah semula hari ini (semalam). Semua rakan panggil saya 'Rambo'," kata Mohd Amar Mohd Azizi, 10, kanak-kanak yang terkena peluru sesat pada 14 Oktober lalu.

Dia digelar oleh rakannya Rambo selepas BH menyiarkan kisahnya yang berjalan bersahaja sebaik keluar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, walaupun selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi mengeluarkan peluru tersangkut pada kerongkongnya selama enam hari.

Gelaran Rambo itu juga menyebabkan Mohd Amar semalam dilantik rakan sekelasnya, 5 Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Shah, Parit, dekat sini, sebagai ketua darjah.

Cedera tak sekolah

Mohd Amar berkata, dia memang menunggu sekolah dibuka semula selepas lebih dua bulan tidak bersekolah kerana kecederaan dialami akibat kejadian itu.

"Saya sangat bersemangat dan berasa seperti selebriti. Semua rakan teruja melihat saya kembali ke sekolah, apatah lagi kejadian terkena tembakan itu tersebar luas dalam akhbar," katanya ketika ditemui pada hari pertama persekolahan, semalam.
Mohd Amar terkena peluru sesat daripada pistol seorang anggota polis berpangkat Sarjan ketika mengosongkan pistol automatik jenis P99 Walther di tangga depan rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, Parit.

Anggota terbabit dikatakan tertekan picu lalu peluru menembusi hidung sehingga kerongkong Mohd Amar yang kebetulan melalui jalan di hadapan rumah mentua suspek dari jarak 40 meter.

Aktif selepas 6 bulan

Mohd Amar yang juga anak bongsu daripada empat beradik berkata, dia akan kembali aktif terutama menyertai sukan kriket sekolah selepas enam bulan doktor menasihatkannya tidak terlalu lasak akibat kecederaan dialami.

"Buat masa ini, mak atau ayah akan hantar dan ambil saya dari sekolah. Sebelum ini, saya hanya naik basikal bersama rakan, tetapi kali ini saya terpaksa dihantar dan diambil.

"Bagaimanapun, saya sudah boleh makan seperti biasa berbanding sebelum ini hanya makan bubur atau makanan lembut," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Amar, Nor Salina Mohd Nor, 48, ketika ditemui berkata, anak lelakinya itu kelihatan semakin aktif walaupun perasaan trauma akibat kejadian itu masih ada.