Kongsi hidup dengan ayam |
- Kongsi hidup dengan ayam
- Lelaki tergamam buaya baham kail
- Wanita dirogol bekas suami
- Penyair negara meninggal sakit tua
- Gadis trauma dituduh hamil
- Serang guru guna kerambit: Pelajar disyaki samseng
Posted: 03 Jan 2014 03:27 PM PST Arau: "Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga esok kerana tanah di tepi tali air tempat kami berteduh ini pun milik orang lain." Demikian kata Azman Ahmad, 44, isteri serta anak perempuannya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal buruk di pinggir sawah di Kampung Behor Mentaloon, di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah pusaka keluarganya berikutan selisih faham, dua tahun lalu. Pendapatan RM200 sebulan Selain tinggal di bangsal yang buruk dan tidak berdinding, Azman serta isteri, Noor Azah Abdullah, 43, serta anak perempuan mereka, Nur Fatiha, 16, terpaksa berkongsi hidup dengan ayam kampung yang turut berteduh di situ. Malah, sudut yang dijadikan ruang memasak di pondok itu juga hanya berlantai pasir dan berselut selain tompokan najis ayam. Azman berkata, pendapatannya RM200 sebulan hasil mengutip dan menjual barang lusuh dan mengambil upah menabur baja padi tidak cukup untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anaknya. "Di sinilah kami mandi, tidur, tukar baju malah masak pun atas tanah, Kami makan sekali saja sehari, iaitu pada waktu tengah hari, itu pun nasi lauk ikan kering. Kalau ada rezeki lebih boleh kami beli sayur dan ikan," katanya. Tak mampu sekolah anak Ditanya mengenai anak perempuannya, Azman berkata Nur Fatiha sudah lama tidak ke sekolah kerana kesempitan wang dan kali terakhir anaknya itu ke sekolah ialah ketika belajar di Tahun Enam. "Kami bernasib baik sebab ada juga orang kampung yang datang membantu, ada yang bagi beras, perkakas dapur, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami sekeluarga," katanya. Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi mengesahkan keadaan keluarga terbabit sememangnya berada dalam pemerhatian mereka dan pihaknya kini sedang menyiapkan laporan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan. |
Lelaki tergamam buaya baham kail Posted: 03 Jan 2014 03:25 PM PST Sibu: Tapah dicari, sang bedal pula yang mengena. Itu pengalaman menggerunkan seorang pemancing apabila kailnya dibaham buaya sepanjang 1.8 meter di Sungai Jemoreng, Matu, semalam. Zainal Abidin Mersait, 50, berkata ketika menarik tali pancingnya kira-kira jam 9 pagi semalam, beliau terasa sesuatu yang berat tersangkut pada pancingnya itu. "Saya tergamam kerana ini kali pertama buaya memakan umpan kail saya. Walaupun lebarnya kurang semeter, reptilia ini cukup berat dan agresif. Minta bantuan anak "Saya terpaksa meminta bantuan anak lelaki untuk menarik tali kail," katanya. |
Posted: 03 Jan 2014 03:23 PM PST Kuala Terengganu: Malang menimpa seorang wanita apabila dia bukan saja diceraikan suaminya Oktober lalu, malah turut dirogol dan kakinya diikat lelaki terbabit, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam di rumah mangsa di Kampung Pengadang Baru di sini, wanita berkenaan berada dalam bilik tidur ketika suspek menceroboh masuk ke rumahnya sambil membawa sebilah pisau. Acukan pisau ke leher Sumber berkata, mangsa yang berusia 30-an terkejut dengan kedatangan suspek ke rumahnya tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana suspek berusia 40-an mengacukan pisau ke lehernya. Beliau berkata, suspek turut menampar mangsa berkali-kali, sambil mengugut mahu membunuh wanita itu jika enggan melakukan hubungan seks. "Suspek kemudian mengikat kaki mangsa dan memukulnya sehingga lemah. "Mangsa yang bimbang suspek mengulangi perbuatannya kemudian membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis sedang memburu suspek. |
Penyair negara meninggal sakit tua Posted: 03 Jan 2014 03:09 PM PST Kuala Lumpur: Penyair dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1995, Suhaimi Muhammad, 80, meninggal dunia kerana sakit tua di rumahnya di Jalan Tempua, Kampung Manjoi, Ipoh, pagi semalam. Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir jam 4.15 pagi di hadapan beberapa ahli keluarganya selepas mengadu sakit perut, meninggalkan balunya, Jariah Hassan, 59, dan 12 anak. "Beliau ketika itu ditemani ibu kami dan dua anaknya yang lain, Lela Iskandar dan Permudia Alfian, sebelum menghembuskan nafas terakhir. "Sebenarnya ayah kami sudah biasa bangun kira-kira jam 3 pagi setiap hari untuk berkarya dengan menggunakan mesin taip. Tambahan pula, beliau dalam proses menyiapkan kumpulan puisi ke-34," katanya. Mohd Shaharuddin berkata, Suhaimi yang banyak menghabiskan masa dengan menulis dan beribadat, sangat gembira apabila menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada World Academy of Arts and Culture (WAAC), California, Amerika Syarikat (AS) sempena Kongres Penyair Sedunia (WCP) Ke-33 di Ipoh, baru-baru ini. Hasilkan 34 kumpulan puisi Beliau yang menulis seawal 1950, terkenal dengan karya aliran realisme, surelisme, mistikisme dan eksistensialisme, sebelum beralih kepada karya yang mengungkapkan dunia sufi. Diiktiraf banyak pihak Kepengarangan Suhaimi diiktiraf melalui pelbagai pengiktirafan seperti Hadiah Sastera Nasional pada 1971, 1987 dan 1998; Hadiah Sayembara Puisi Berunsur Islam (1981); Hadiah Sayembara Drama Berunsur Islam (1981) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000, 2006 dan 2007). Beliau turut diberikan Anugerah Sasterawan Perak (1987) dan Karyawan Perak Sepanjang Zaman (1998) serta dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat Kesusasteraan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2010. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurab, Jalan Kuala Kangsar, selepas solat Jumaat petang, semalam. |
Posted: 03 Jan 2014 02:57 PM PST Langkawi: Seorang gadis trauma dan menanggung malu susulan tindakan Hospital Langkawi (HL) di sini, yang didakwa cuai mengendalikan pemeriksaan ke atasnya sehingga menyebabkan dirinya dituduh mengandung anak luar nikah. Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, berkata dia kecewa dengan tindakan doktor yang merawatnya ketika itu yang menuduhnya mengandung anak luar nikah sedangkan berlaku kesilapan pada ujian dijalankan. Mengulas kejadian itu, beliau berkata, pada 24 Disember lalu, dia ke Klinik Kesihatan Kuah, di sini, bagi merawat kesakitan dialami pada bahagian kanan perut, sebelum dirujuk kepada seorang doktor. Katanya, hasil pemeriksaan, doktor terbabit memaklumkan ada sedikit masalah pada ovari kanannya yang dikesan lebih besar berbanding saiz di sebelah kiri dan doktor berkenaan mengesyaki mungkin disebabkan bengkak, sebelum dia diberikan ubat. Pada masa sama, doktor terbabit turut mengambil sampel darahnya, sebelum dia dibenarkan pulang tetapi selepas seminggu, kesakitan itu masih dirasai. Rujuk pakar sakit puan "Pada 31 Disember, saya sekali lagi ke klinik sama, sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan di HL. "Saya menjalani ujian imbasan pada perut dan ujian air kencing di Unit Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum doktor memberitahu ada masalah pada saluran kencing, namun puncanya tidak dapat dikenal pasti. "Saya dimasukkan ke wad dan keesokan harinya jam 10 pagi, tiga pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PAIDL) datang menemui dan bertanyakan pelbagai soalan tidak masuk akal. "Paling mengejutkan, pegawai terbabit menuduh saya mengandung anak luar nikah. Ketika itu, jiwa saya luluh dan dunia rasa gelap, apatah lagi kata-kata pegawai terbabit turut didengar pesakit lain dalam wad sama," katanya. Hidayah berkata, ketika soal siasat dilakukan, beliau beberapa kali cuba meminta penjelasan jururawat dan doktor mengenai status ujian air kencingnya yang dikatakan positif mengandung, tetapi tidak dilayan kakitangan terbabit. Perlu siasatan lanjut "Saya tertekan apabila pegawai agama itu menyerahkan notis supaya hadir di PAIDL untuk siasatan lanjut dan meminta saya berdiam diri. "Saya hanya menangis dan kemudian meminta ujian air kencing kali kedua dilakukan," katanya. Hidayah berkata, hasil ujian kedua itu menunjukkan beliau tidak mengandung dan dibenarkan pulang selepas tiga hari berada di wad. "Saya rasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga menjatuhkan maruah sebagai gadis yang belum berkahwin. Saya mahu mereka memohon maaf dan kini berbincang dengan keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya. Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan berjanji mengambil tindakan sewajarnya jika aduan itu benar. |
Serang guru guna kerambit: Pelajar disyaki samseng Posted: 03 Jan 2014 02:55 PM PST Kangar: Pelajar Tingkatan Lima yang dilapor mencederakan guru sekolahnya menggunakan kerambit di sini, kelmarin, disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan samseng atau kongsi gelap. Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, susulan penahanan pelajar terbabit, selepas hampir 18 jam diburu polis sebaik mencederakan seorang guru lelaki berusia 50 tahun di sebuah sekolah di Kuala Perlis, di sini. Senjata dihasilkan sendiri Katanya, senjata berkenaan dikesan dihasilkan sendiri pelajar itu dengan mengubahsuai gunting kepada senjata berbahaya seperti kerambit dan pihaknya yakin ia sering dibawa pelajar terbabit ke mana saja. "Hasil pemeriksaan, polis percaya senjata berkenaan dibawa pelajar itu bukan bertujuan mempertahankan diri, sebaliknya lebih kepada niat mencederakan pihak lain atau digunakan sebagai senjata ketika pergaduhan. Tumbuk guru Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi kelmarin, seorang pelajar lelaki dengan gaya rambut ala punk dikatakan mencederakan seorang guru menggunakan kerambit selepas guru terbabit menegur penampilannya yang kurang sesuai dan menyalahi peraturan sekolah. Tindakan ganas itu dilakukan pelajar itu di hadapan ibunya sendiri, sebelum pelajar berkenaan meninggalkan lokasi kejadian. Satu laporan polis kemudian dibuat guru berkenaan. Ismail berkata, pelajar terbabit ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 pagi semalam dan kini direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. "Polis memandang serius kejadian ini kerana suspek membawa senjata berbahaya ke sekolah dan mencederakan guru tanpa rasa bersalah. "Kita bimbang jika guru sanggup dicederakan, apatah lagi pelajar lain di sekolah berkenaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |