Makin kurang ajar!

Makin kurang ajar!


Makin kurang ajar!

Posted: 06 Dec 2014 01:15 PM PST

azimfitri@mediaprima.com.my .

Kuala Lumpur: Malang berganda buat seorang penunggang motosikal apabila mangsa bukan saja dirempuh sekumpulan mat rempit hingga menyebabkannya patah kaki, malah turut disamun dalam kejadian di Lebuhraya Besraya menuju Balakong di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Cheras, sebelum secara tiba-tiba dirempuh daripada belakang oleh sekumpulan lima lelaki yang menunggang motosikal.

Katanya, sekumpulan mat rempit terbabit dipercayai baru saja melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dilakukan anggota polis di beberapa kawasan di lebuh raya berkenaan sebelum merempuh lelaki malang itu.

"Ekoran dirempuh daripada belakang, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh. Bagaimanapun sangkaan mangsa melihat kumpulan lelaki terbabit berhenti bagi membantunya ternyata meleset apabila mangsa disamun yang mengakibatkan dia kerugian RM500.

"Semua suspek segera beredar sebaik melarikan wang mangsa tanpa membantunya. Mangsa kemudian berjaya dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi ambulans," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Kantoi di masjid

Posted: 06 Dec 2014 01:15 PM PST

am@hmetro.com.my

Kuala Lipis: Ketika umat Islam khusyuk menunaikan solat Jumaat, sepasang suami isteri mengambil kesempatan mencungkil pintu kereta milik jemaah lalu menyelongkar sebelum mencuri barang berharga termasuk pemain cakera padat digital (DVD), di Masjid Kampung Sanlang, Penjom, dekat sini, jam 1.30 petang kelmarin.

Perbuatan lelaki berusia 31 tahun berasal dari Kuarters Pasir Mas Sawmill, Gua Musang, Kelantan, bersama isterinya berusia 30 tahun berasal dari Pantai Cahaya Bulan, Kelantan itu terbongkar selepas mereka ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Turut ditahan, enam anak pasangan terbabit berusia tujuh bulan hingga 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum itu anggota polis terserempak dengan pasangan terbabit berada di dalam sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di perkarangan masjid berkenaan sebelum menghampiri mereka untuk menjalankan pemeriksaan.

"Polis menemui lima senjata tajam, pelbagai peralatan pecah rumah, lima telefon bimbit, tiga utas jam tangan, seutas rantai leher, tiga gelang tangan dan empat resit surat pajak gadai," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

2 jam ditanam masih hidup

Posted: 06 Dec 2014 01:10 PM PST

Liaoning: Seorang bayi yang baru lahir disangka mati dan ditanam selama dua jam didapati masih hidup selepas kuburnya digali semula.

Lu Xiaoyun melahirkan bayi itu di sebuah ladang di sini, tetapi menyangka dia keguguran kerana percaya dia baru empat bulan hamil walaupun sebenarnya sudah enam bulan mengandung.

Selepas melahirkan anaknya itu, dia segera menghubungi suaminya, He Yong yang pulang dari tempat kerja dan mendapati isterinya berlumuran darah.

Ketika dalam perjalanan ke hospital, suaminya memberitahu kru ambulans bahawa tidak ada gunanya memeriksa bayi berkenaan yang dikatakannya sudah mati kerana lahir tidak cukup bulan.

Bagaimanapun, apabila doktor memberitahu bayi itu mungkin masih hidup, Yong bergegas pulang tetapi mendapati anaknya sudah ditanam ibu mentuanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Cari bekalan ampuh

Posted: 06 Dec 2014 01:05 PM PST

esme@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun tidak pernah berdepan Vietnam dalam mana-mana perlawanan Piala AFF sewaktu Malaysia bergelar naib juara kejohanan bola sepak terbesar rantau Asia Tenggara itu pada 1996, Zainal Abidin Hassan menganggap skuad negara 'mesti' mencari jaringan bagi mendapatkan bekalan selesa menghadapi perlawanan kedua di Hanoi.

Bekas penyerang kebangsaan dan jurulatih Pahang dalam Liga Super Malaysia menganggap kelebihan beraksi di tempat sendiri, sokongan padu penyokong tempatan dan rekod serangan semakin meningkat perlu dimanfaatkan sebagai kelebihan buat Malaysia menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014 di Stadium Shah Alam, malam ini.

"Bagi saya, tiga aspek itu perlu berada dalam fikiran pemain apatah lagi skuad negara dikendalikan bekas penyerang, Dollah Salleh pernah menjadi rakan serangan yang memiliki naluri sentiasa mahu menyerang kubu lawan.

"Dengan barisan serangan semakin meningkat dan mampu mencipta banyak peluang, bahagian depan perlu sentiasa mencipta peluang mendapatkan jaringan.

"Kita banyak mensia-siakan peluang pada dua perlawanan peringkat kumpulan ketika menentang Thailand dan Singapura dan berharap perkara sama tidak berlaku apabila menentang Vietnam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Lagu kisah putus cinta

Posted: 06 Dec 2014 01:01 PM PST

imran@hmetro.com.my

Dia memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi, namun Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 29, kini lebih menonjol dalam bidang lakonan.

Disebabkan wajahnya sering menghiasi televisyen, ramai peminat lupa bakat bintang genit kelahiran Johor Bahru, Johor ini pada awalnya dicungkil menerusi rancangan realiti nyanyian, Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

Ketika menjayakan fotografi baru-baru ini, Lufya mengakui perkara itu namun menegaskan, walaupun dia lebih dikenali sebagai pelakon, bidang nyanyian tidak sesekali dipinggirkan.

Impiannya dalam merencana kerjaya nyanyian juga besar. Lufya bukan sekadar mahu menyanyi tetapi turut meletakkan sasaran mahu bergelar komposer disegani satu hari nanti.

"Impian melebarkan sayap sebagai komposer terlaksana apabila lagu ciptaan saya sepenuhnya dan dibantu Abie Abdullah, Doaku diperdengarkan menerusi drama rantaian Ramadan Jangan Pergi pada Ramadan lalu.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Sepuluh tahun tak tergugat

Posted: 06 Dec 2014 08:03 AM PST

imran@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seperti dijangka penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mempertahankan kemenangannya bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) di majlis Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Ini berupa kemenangan ke-10 Siti Nurhaliza dalam kategori sama sepanjang penganjuran majlis Anugerah Industri Muzik.

Lebih manis apabila album terbaru Siti Nurhaliza, Fragmen turut mengungguli kategori utama Album Terbaik.

Begitupun lagu Jaga Dia Untukku nyanyian Siti Nurhaliza gagal memenangi Lagu Pop Terbaik. Sementara lagu rap pendatang baru Sona One, No More yang sebelum itu mengungguli kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik diangkat untuk memenangi kategori Lagu Terbaik.

Bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dimenangi bintang Akademi Fantasia, Akim Ahmad.

Lagu Pop Etnik Terbaik: Ihab Ismail (Akar Kita Zapin)

Lagu Hip Hop Terbaik: Joe Flizzow menampilkan Sona One (Apa Khabar).

Lagu Nasyid Terbaik: Iwan Syahman & Iwan Junior

Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu: Nora menampilkan Mosyi, Alif dan Putri.

Artis Baru Terbaik: Poova

Lagu Rock Terbaik: Rentak Laguku (Bunkface menampilkan Amy Search)

Lagu Pop Terbaik: Alyah (Sesal Separuh Nyawa)

Anugerah Video Muzik Terbaik: Yuna (Falling)