Bot bawa kelapa bocor

Bot bawa kelapa bocor


Bot bawa kelapa bocor

Posted: 30 Nov 2014 01:25 PM PST

am@hmetro.com.my .

Pekan: Seorang lelaki yang terselamat dalam kejadian bot karam di Sungai Pahang berhampiran Kampung Pulau Jawa, di sini, petang kelmarin sempat meminta dua rakannya berpaut kepada bot berkenaan sebelum dia berenang kira-kira 50 meter ke tebing sungai meminta bantuan.

Said Harun, 31, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana bapa saudaranya, Zuhair Sulong, 42, dan rakannya, Azizul Mohd Ali, 28, tidak pandai berenang.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di darat, saya melihat Zuhair sudah terkapai-kapai sambil menjerit meminta pertolongan. Manakala, Azizul sudah tidak kelihatan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mayat Zuhair ditemui terapung oleh orang kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, kira-kira jam 9.50 pagi semalam. Manakala, Azizul masih belum ditemui.

Said berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mereka bersama-sama ke Pulau Che Abbas kira-kira 100 meter dari jeti Kampung Pulau Jawa, dengan menaiki bot gentian kaca untuk mengambil kelapa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

'Hanya fikir mati'

Posted: 30 Nov 2014 01:03 PM PST

mohd.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: "Saya hanya terfikir akan mati apabila pokok sebesar lebih empat pemeluk itu tumbang menimpa teksi yang kami naiki," kata mangsa, Kamarizezatul Nadia, 21.

Dalam kejadian jam 1.30 petang kelmarin, mangsa cedera di muka dan tangan manakala rakannya, Norfarida Adnan, 23, patah tangan kiri selepas kenderaan dinaiki ditimpa pokok berhampiran Jalan Raja Chulan di sini.

Kejadian itu turut menyebabkan pemandu teksi berkenaan cedera di kepala dan tubuh.

Kamarizezatul berkata, tragedi berlaku ketika dia bersama seorang rakan dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini.

"Saya sempat mendengar bunyi dentuman kuat sebelum teksi yang kami naiki bergegar akibat ditimpa batang pokok besar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Ikrar buru dalang serangan masjid

Posted: 30 Nov 2014 01:02 PM PST

Kano, Nigeria: Presiden Goodluck Jonathan semalam berikrar akan memburu pihak yang melakukan serangan terhadap sebuah masjid dan mengorbankan sekurang-kurangnya 120 orang.

Kata Jonathan, dia mengarahkan semua agensi keselamatan Nigeria menjalankan siasatan menyeluruh dan memburu dalang serangan berkenaan untuk diadili.

"Kerajaan akan memastikan semua ejen pengganas dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Dua pengebom berani mati meletupkan diri kelmarin dan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang jemaah solat Jumaat di Masjid Besar Kano.

Kano ialah bandar terbesar paling ramai didiami penduduk beragama Islam di utara Nigeria.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Dollah resah

Posted: 30 Nov 2014 01:01 PM PST

sukan@hmetro.com.my

Sepang: Pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh mengakui ketiadaan kapten Shukor Adan dan Amri Yahyah menimbulkan kebimbangannya terutama membabitkan aspek kepimpinan dalam padang.

Kedua-dua pemain berpengalaman itu tidak dapat diturunkan untuk aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam, Ahad ini selepas mengumpul dua kad kuning dalam saingan peringkat kumpulan.

"Saya agak terkilan dengan ketiadaan mereka, namun mempunyai masa untuk melakukan persediaan. Saya yakin pemain gantian berkemampuan menggantikan tempat mereka namun khuatir mengenai aspek kepimpinan dalam padang.

"Shukor sentiasa bersuara dan memberi arahan. Itu yang saya tidak ada (untuk aksi separuh akhir pertama)," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sejak perlawanan pertama Shukor dilihat memainkan peranan penting sama ada sebagai pemain tengah atau pertahanan tengah manakala aksi lincah Amri membolehkan Malaysia membenam cabaran Singapura 3-1 malam kelmarin untuk melangkah ke separuh akhir Piala AFF buat kali ketiga berturut-turut.

Ketiadaan Shukor dilihat membuka ruang kepada Mohd Fadhli Shas untuk bergandingan bersama Mohd Muslim Ahmad dengan beberapa pemain seperti Indra Putra Mahayuddin, Baddrol Bakhtiar dan S Kunanlan turut berkemampuan mengisi kekosongan ditinggalkan Amri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Berkampung sebulan di Uzbekistan

Posted: 30 Nov 2014 01:00 PM PST

Kini, selepas yakin hala tujunya dalam bisnes, barulah Ainul, 29, bersedia untuk kembali menyemarakkan persada hiburan, sekali gus mengubat rindu pada bidang lakonan.

"Bidang seni sudah sebati dalam diri sejak dulu. Justeru, selepas tiga tahun memperlahankan aktiviti seni kerana menimba ilmu dalam dunia bisnes, barulah saya bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kembali aktif berlakon," katanya.

Pada sesi fotografi baru-baru ini, finalis kategori Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke 20 (FFM) ini mengakui dia tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon ketika ini.

"Alhamdulillah, ramai penerbit dan pengarah di luar sana yang masih memberi kepercayaan pada saya untuk berlakon dalam projek drama dan telefilem mereka. Pada masa sama, saya juga dapat banyak watak yang mencabar kemampuan lakonan saya," katanya.

Terbaru, Ainul beraksi sebagai watak utama dalam drama Fajar Di Bukhara arahan Zul Ar'shad bergandingan dengan pendatang baru Azrel Ismail, Maria Farida dan Sasha Saidin terbitan Aquila Emas Sdn Bhd untuk saluran RTM.

Demi merealisasikan cerita ini, Ainul dan barisan pelakon serta kru produksi berkampung selama sebulan di Uzbekistan.

"Saya bawa watak wanita bertudung iaitu Citra yang sanggup meminang wanita lain untuk kebahagiaan suaminya. Selain tertarik dengan naskhah ini, Citra antara watak berat yang saya impikan untuk memantapkan prestasi lakonan.

"Jika dulu, saya takut untuk melakonkan karakter berat seperti Citra tetapi kini tidak lagi. Malah, saya menanti lebih banyak watak berat dan mencabar lakonan seperti watak hitam dan psiko," katanya.

Bagaimanapun, kata pelakon yang menempa nama dalam filem Nana Tanjung dan Histeria ini, dia turut berdepan dengan cabaran menjiwai watak Citra.

"Maklumlah, saya belum berkahwin dan tidak ada pengalaman hidup bermadu. Saya juga banyak menangis untuk menjiwai watak Citra kerana bukan mudah seorang isteri untuk berkongsi kasih suaminya dengan wanita lain.

"Saya berharap cerita ini akan dapat mengembalikan nama saya dalam bidang lakonan selepas sekian lama berehat," katanya.

Selepas filem Pilot Cafe, Ainul berpeluang bekerjasama lagi dengan pengarah hebat Osman Ali dalam drama Tol Gate Asmara bergandingan dengan pelakon Izara Aishah dan Keith Foo untuk slot cerekarama TV3.

Selain itu, dia turut berlakon dalam Sitkom Cakap Melayulah bergandingan dengan Nabil Raja Lawak, Shahrol Shiro dan Jasmin Hamid untuk saluran Astro.

Tidak ketinggalan, dia bergandingan dengan Aktres Terbaik FFM26 yang juga pelakon cilik Putri Balqish dalam drama Bidadari Walid arahan Along Kamaludin untuk saluran TV9.

Menyusul selepas itu, dia bergandingan pula dengan pelakon Kamal Adli dalam Sitkom Pesona. Bukan saja dunia modelling dan lakonan, Ainul turut meminati dunia nyanyian dan pernah muncul dengan single The Old Him sebelum ini.

Dia turut mencuba bakat sebagai pengacara untuk segmen 'outdoor' dalam program Primadona untuk saluran Astro.

Bisnes semakin berkembang

Dalam tempoh tiga tahun, Ainul mengakui dia sibuk mengembangkan bisnes yang diceburi sebagai jaminan masa depannya dan keluarga.

Ternyata, kerja kerasnya itu berbaloi kerana bisnes Tutti Fruitti yang diusahakannya bersama keluarga juga semakin berkembang.

Pada masa sama, pemegang ijazah jurusan Creative Multimedia (pengiklanan) dari Universiti Multimedia ini juga sibuk mengusahakan bisnes biskut Ainul A Cookies yang dijual di laman Instagram.

Tidak cukup dengan itu, Ainul turut melancarkan koleksi baju dengan jenamanya sendiri iaitu A Love KL yang turut dijual secara online.

"Saya memang minat berniaga yang juga sebagai persediaan masa depan. Sebagai anak kedua dari empat beradik, saya dididik untuk belajar hidup berdikari dan keluarga mengharapkan saya untuk mengembangkan bisnes sedia ada.

"Walaupun sudah menceburi bisnes, saya tetap meneruskan minat dalam bidang lakonan dan pastikan ia bergerak seiringan," katanya.

Ainul cari kekasih lebih matang

Sebelum ini Ainul pernah mensasarkan usia 30 tahun untuk menamatkan zaman bujangnya. Namun, sampai hari ini dia masih belum bernasib baik dalam dunia percintaan.

Selepas putus cinta dengan pemain bass kumpulan underground, Ojoe, cinta barunya dengan Ben Daniel juga putus di tengah jalan.

"Selepas putus dengan Ben, saya berkawan rapat pula dengan seorang jejaka. Tidak perlu saya sebut namanya di ruangan ini untuk menjaga hati keluarganya.

"Namun, saya terpaksa menerima hakikat kami tidak ada jodoh kerana dia meninggal dunia baru-baru ini. Saya reda dengan pemergiannya itu kerana Allah SWT lebih menyayanginya," katanya.

Ditanya kriteria calon suami pula, kata Ainul, dia mencari lelaki yang lebih bijak dan matang darinya.

"Sudah setahun saya hidup solo tanpa insan bernama kekasih. Saya juga tidak serik untuk bercinta lagi tetapi belum bertemu calon yang sesuai," katanya.

Doa seorang ayah

Posted: 30 Nov 2014 12:55 PM PST

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: "Ayah dan ibu mana sanggup melihat anaknya menderita. Ini ketentuan-Nya dan pasti ada hikmah di sebalik dugaan yang diberikan.

"Saya berharap Sharuddin sembuh dan mampu untuk meneruskan hidup," kata Mohd Ali Hitam, 75, ayah kepada Sharuddin, 31, yang menderita kanser lidah dan kelenjar tahap tiga, namun masih sanggup menjaga ibu bapanya yang uzur.

Kisah mengenai anak soleh dari Kampung Jeram Batu 20, dekat sini, itu disiarkan dalam laporan muka depan Metro Ahad semalam.

Menurut Mohd Ali, selepas mengetahui anak tunggalnya disahkan menghidap kanser lidah dan kelenjar, dia serta isteri, Aminah Sukir, 63, sedih mengenangkan nasib mereka sekeluarga.

Katanya, sejak dia tidak berupaya bekerja disebabkan faktor usia, Sharuddin mengambil alih tanggungjawab itu sejak 14 tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.