‘Makin berat boh’ |
- ‘Makin berat boh’
- Mayat bayi dalam beg
- Mortar punya angkara
- Bomba gadai nyawa, mangsa masak air lumpur
- Bah kian parah
Posted: 25 Dec 2014 08:29 AM PST Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Pantai Timur, Perak dan Perlis naik mendadak kepada 103,745 orang pada 12 tengah malam ini berbanding 97,702 petang tadi. Di KELANTAN, Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 38,030 mangsa sehingga 12 tengah malam berbanding 34,699 orang pada 6 petang tadi. Di TERENGGANU, angka mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 29,707 membabitkan 7,338 keluarga sehingga 12 tengah malam ini, berbanding 29,082 daripada 7,172 keluarga pada 6 petang tadi. Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 30,235 daripada 7,652 keluarga pada 11 malam tadi berbanding 28,578 orang daripada 7,244 keluarga pada 6 petang tadi. Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 18,668 orang dari 4,988 keluarga. Di PERAK, bilangan mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 5,512 mangsa daripada 1,382 keluarga pada 10 malam tadi berbanding 5,065 mangsa daripada 1,282 keluarga pada 5 petang tadi. Di PERLIS, sehingga 11 malam tadi satu daripada lima PPS di Perlis ditutup dan jumlah mangsa yang ditempatkan di empat PPS di negeri ini menurun kepada 261 orang daripada 79 keluarga berbanding 286 orang daripada 86 keluarga sehingga 7 malam tadi. |
Posted: 25 Dec 2014 03:34 AM PST Kuala Lumpur: Mayat bayi lelaki yang baru 36 jam dilahirkan ditemui di dalam tandas wanita kompleks membeli-belah di Kepong 3.20 petang tadi. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mayat itu ditemui tukang cuci yang terhidu bau busuk ketika masuk ke tandas berkenaan. "Dia kemudiannya menemui beg di hujung tandas sebelum memaklumkan kejadian kepada pengawal keselamatan. Selepas beg dibuka ada mayat bayi di dalamnya. "Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mayat bayi ini diletakkan di dalam beg kanvas berwarna merah hitam," katanya. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut anggota forensik mendapati bayi berkenaan cukup sifat namun masih belum dapat dipastikan bangsanya. "Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya. Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 7:34 PM |
Posted: 24 Dec 2014 10:30 PM PST Alor Setar: Bukan tong gas atau bom tangan tetapi letupan daripada mortar dipercayai meragut tiga nyawa termasuk anggota tentera dan anaknya di Taman Ria Mesra, Gurun, di sini, semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, berikutan itu polis sedang mengenal pasti bagaimana anggota berusia 37 tahun terbabit boleh memiliki bahan letupan berkenan di rumahnya. Menurutnya, siasatan juga memberi tumpuan terhadap motif lelaki terbabit cuba menggergaji objek berbentuk bom mortar berikutan terdapat saksi melihat anggota tentera itu berbuat demikian di belakang rumahnya sebelum kejadian. "Siasatan juga menemui beberapa serpihan bahan letupan bertanda kegunaan pasukan keselamatan negara di lokasi kejadian dalam radius satu meter, selain penemuan sejumlah besar mercun di belakang rumah anggota tentera terbabit. "Malah, kejadian berkenaan bukan disebabkan letupan tong gas seperti laporan awal, tetapi akibat letupan yang kuat daripada bahan letupan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Katanya, kejadian itu turut menyebabkan 40 rumah rosak, termasuk 10 teruk dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah kecederaan serta kerosakan sebenar. Dalam kejadia 4.45 petang itu, anggota tentera Koperal Ayob Hassim dari Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani yang bertugas di Kem Hobart, Gurun dan anaknya Hidayah, 8, maut di lokasi kejadian. Anak jiran mereka, Afiq Luqman Shahrizal, 4, pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Guar Chempedak, di sini. Mangsa lain, Sharifah Haslinda, 30, isteri Ayob kini mengandung enam bulan dan Zuraida Mat Robete, 30, kini dirawat dalam Zon Merah Wad Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani. Jenazah Afiq Luqman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Lama, Paya Mengkuang, Padang Lembu, Gurun selepas solat Zohor, manakala jenazah Ayob dan Hidayah dijangka dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Masjid Tok Kepak, Kampung Lana Bulu, Ayer Itam. |
Bomba gadai nyawa, mangsa masak air lumpur Posted: 24 Dec 2014 09:10 PM PST Kota Bharu: Kira-kira 500 mangsa banjir yang terperangkap di SMK Manek Urai sejak kelmarin kini dalam keadaan terkawal selepas empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di sana, 10 malam tadi. Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata, empat anggota itu mengambil masa hampir lapan jam untuk tiba di pusat pemindahan sementara itu berikutan menempuh beberapa halangan termasuk arus deras. "Mereka menggunakan bot beroda dan bertolak dari Kota Bharu pada 2 petang semalam. "Memang agak sukar untuk ke sana disebabkan ada kawasan yang tidak berair dan ada pula kawasan yang tenggelam, perjalanan mereka tersekat-sekat. "Tetapi akhirnya mereka berjaya dan kini masih berada bersama mangsa banjir di sana untuk membantu terutama beri kaunseling dan sokongan moral yang sangat diperlukan ketika ini," katanya ketika dihubungi, di sini. Kisah pilu mengenai mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan yang dianggarkan 500 orang menjadi perhatian sejak semalam dan dilaporkan Harian Metro. Ini berikutan gambar 'mengerikan' air banjir menenggelamkan bangunan di situ sehingga tingkat tiga menyebabkan mereka berlindung di tingkat empat, malah tersebar di laman sosial rintihan mereka. Azmi berkata, mengikut laporan diterimanya juga, mangsa tidak lagi ketakutan seperti awal kejadian sebaliknya mereka lebih rasa selamat apabila anggota keselamatan tiba. "Laporan diterima juga dapati trend air di situ menunjukkan penurunan sejak pagi tadi. "Kemungkinan besar mereka tidak berpindah ke tempat lain," katanya. Beliau turut menasihati mangsa lain yang berada di kawasan tanah tinggi mahupun bukit supaya bertahan di situ kerana ia tempat paling selamat ketika ini selepas kebanyakan lokasi tenggelam. Sementara itu, seorang mangsa banjir di situ yang dihubungi Harian Metro memaklumkan, mereka terpaksa memasak air lumpur untuk minum menggunakan dapur gas yang sempat dibawa dan kelaparan kerana tiada bekalan makanan sejak dua hari lalu. "Anak kecil menangis, orang tua ada yang sakit, malah kami tidur bergelap kerana terputus bekalan elektrik," kata Mohamad Daniel Mohamad, 26, Menurut Mohamad Daniel , anggota bomba sudah tiba di situ kira-kira 10 malam tadi menggunakan bot. "Mereka sedang berusaha menyelamatkan kami," katanya. |
Posted: 24 Dec 2014 08:51 PM PST Kuala Lumpur: Bah semakin parah apabila bilangan mangsa banjir di Pantai Timur, Perak dan Perlis yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 92,733 orang sehingga 11 pagi ini berbanding 66,029 orang petang semalam. Di KELANTAN, 32,383 mangsa di tempatkan di 152 PPS pagi ini, berbanding 31,808 mangsa pada 12 tengah malam tadi. Memori 2004 turut kembali diperkatakan apabila air sungai Kelantan mula 'singgah' di beberapa kawasan di bandar Kota Bharu, malam tadi. Menurut portal eBanjir Kelantan, jajahan Gua Musang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,385 mangsa yang ditempatkan di 18 PPS. Sebanyak 37 jalan ditutup kepada semua kenderaan dan empat sungai di negeri ini berada pada paras bahaya. Sementara itu, bulatan Tuan Padang (Bulatan Jam Besar), satu kilometer dari tebing sungai di Tambatan Diraja mula banjir dengan paras air 0.5 meter, tengah malam tadi. Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 29,005 daripada 6,979 keluarga ditempatkan di PPS berbanding 27,736 orang (6,601 keluarga) tengah malam tadi. Di PAHANG, meningkat hampir sekali ganda kepada 26,795 mangsa banjir di tempatkan di PPS dari lapan daerah berbanding 15,944 orang tengah malam tadi. Di PERAK, 4,335 orang daripada 1,079 keluarga di tempatkan di PPS berbanding 2,755 orang daripada 627 keluarga tengah malam tadi. Di PERLIS, mangsa banjir yang di tempatkan di PPS tidak berubah iaitu 255 orang daripada 75 keluarga berbanding 143 orang petang kelmarin. |
You are subscribed to email updates from utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |