Kubah berlian diserbu |
- Kubah berlian diserbu
- 15 minit tahan sakit
- Ajal bantu rakan bina rumah
- Bencana pokok timpa kontena
- Tiga sukan bakal gugur
- Selamat tinggal dunia remaja
Posted: 12 Oct 2014 02:17 PM PDT Butterworth Bersolat sejam lebih awal selain turut mengucap dua kalimah syahadah hanya separuh. Itu yang dilakukan seorang lelaki bergelar bomoh yang juga dikatakan ketua kepada ajaran sesat. Selain itu, lelaki terbabit yang berusia 48 tahun turut menjadikan sebuah rumah di atas bukit dalam kawasan hutan yang agak terpencil untuk menyebarkan ajarannya kepada pengikutnya. Rumah itu yang dikenali sebagai 'Kubah Berlian' oleh pengikutnya turut dijadikan sebagai tempat mengubati pesakit yang kononnya terkena ilmu sihir dan pelbagai kelengkapan perubatan seperti keranda, tembikar, keris serta kain tertera tulisan jawi disimpan dalam rumah terbabit. Malah, bomoh itu yang tinggal bersama seorang wanita berusia 42 tahun mendakwa wanita terbabit isterinya dan meminta pengikutnya memanggil isterinya itu dengan gelaran puteri seawang-awangan. Bagaimanapun, perbuatan bomoh itu terbongkar baru-baru ini apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas kedua ibu bapanya tidak pulang selama dua bulan sejurus mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit kerana mendakwa terkena sihir. Susulan laporan itu, polis melakukan serbuan awal pagi Jumaat lalu dan menahan lima individu bagi membantu siasatan dan kes mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), untuk tindakan selanjutnya. Mereka kini dibebaskan namun apa yang mengecewakan apabila ibu bapa lelaki terbabit langsung tidak mahu mengaku yang dia anak kandung mereka selepas dipercayai terpengaruh dengan kata-kata bomoh berkenaan selain terlalu taksub dengan ajaran yang disebarkan lelaki terbabit. Difahamkan, bomoh terbabit sebelum ini mempunyai kira-kira 30 pengikut, namun sedikit demi sedikit mereka sudah beredar dan meninggalkan perkampungan berkenaan. Ini berikutan mereka sudah mengetahui taktik bomoh itu yang dikatakan hanya mengaut keuntungan dengan meminta wang untuk menampung perbelanjaan hidupnya dan wang mereka akan dikikis tanpa disedari hingga licin. Seorang bekas pengikut bomoh terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Kassim, 32, berkata, sebelum ini dia pernah terpengaruh dan menjadi mangsa bomoh berkenaan ketika cuba mengikut ajaran lelaki terbabit. Menurutnya, pada mulanya dia memang mempercayai ajaran bomoh berkenaan yang tidak lekang membaca ayat suci al-Quran, namun apa yang pelik apabila tiba waktu solat lelaki terbabit pasti akan bersembahyang sejam lebih awal. "Malah, saya juga agak pelik kerana dia mengucap dua kalimah syahadah hanya separuh dan lama kelamaan saya mula menyedari yang dia sebenarnya hanya menipu dan mengamalkan ajaran songsang. "Selain itu, setiap pesakit yang mendapatkan rawatan daripadanya pasti akan diminta menjalani kaedah perubatan pelik dengan badan akan dikapan dan ditanam dalam sebuah lubang yang dikorek depan rumah," katanya. Menurutnya, dia turut menyedari yang bomoh itu hanya mengamalkan ajaran songsang dan sebenarnya mengutip wang kepada mereka dengan mengenakan pengeras yang tidak masuk akal. "Malah sesiapa yang tidak mahu mendengar kata-katanya disumpah seperti badan akan terbakar dan juga dipanah petir. "Selain itu, saya juga dimaklumkan yang bomoh terbabit sebelum ini pernah ditahan JAIPP dan dia mempunyai kira-kira 20 pertuduhan kerana mengamalkan ajaran songsang," katanya. Sementara itu, sumber JAIPP berkata, setakat ini polis sudah menyerahkan kes berkenaan kepada mereka dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. |
Posted: 12 Oct 2014 02:15 PM PDT Melaka Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 15 minit selepas kasut dan jari kaki kanannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini, semalam. Menurut sumber, dipercayai dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama ibunya berusia 30-an sedang menuruni eskalator berkenaan untuk ke tingkat bawah sebelum kasut kaki kanan mangsa tersepit. "Walaupun orang awam membantu, tetapi gagal mengeluarkan kaki mangsa. Beberapa pengawal keselamatan kemudian membantu dan mengeluarkan kaki mangsa. Kejadian itu mengakibatkan tiga jari kaki kanan mangsa cedera," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, Ketua operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Arshad Mail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12.32 tengah hari. Katanya, sebuah lapan anggota bersama sebuah jentera dan jentera jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba jam 12.36 tengah hari. "Sebaik tiba di lokasi, kaki kanak-kanak itu sudah berjaya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan namun kami memberikan rawatan awal kepadanya. "Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kasut kain yang dipakai kanak-kanak berkenaan tersepit di tepi eskalator berkenaan sebelum ia turut membuatkan tiga jari kaki kanannya tersepit," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. |
Posted: 12 Oct 2014 02:15 PM PDT Jerlun Niat murni seorang lelaki membantu rakannya menanam tiang konkrit bagi kerja pembinaan sebuah rumah, berakhir dengan tragedi apabila dia maut akibat dihempap bakul jengkaut dalam kejadian di Kampung Seberang, Kuala Jerlun, di sini, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, mangsa, Azemi Senawi, 55, pesara perkhidmatan awam maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Difahamkan, kejadian berlaku berikutan hos hidrolik jengkaut itu tiba-tiba pecah menyebabkan bakul berkenaan hilang kawalan dan terjatuh sebelum menimpa mangsa yang sedang memegang tiang konkrit. Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku pada hari pertama mangsa datang membantu membuat kerja pembinaan. "Kerja pembinaan ini sudah berjalan selama tiga hari dan ketika kejadian, seorang daripada kami sedang mengendalikan jengkaut, manakala seorang lagi menggerudi lubang di kawasan lain. "Pada masa sama mangsa pula ditugaskan untuk memegang tiang konkrit yang digantung pada bakul bagi memudahkan kerja mengalih dan menanam tiang berkenaan. "Bagaimanapun, tiba-tiba hos hidrolik jengkaut pecah dan pada masa sama bakul berkenaan terjatuh dan menimpa mangsa menyebabkan badannya bengkok," katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam. Menurutnya, dia dan rakannya yang lain tergamam dan hanya mampu menjerit memanggil nama mangsa, namun mangsa sudah tidak sedarkan diri kerana dipercayai meninggal dunia. "Kami hanya mampu menangis melihat arwah terkulai di bawah bakul dan terpaksa menunggu sehingga bantuan tiba untuk mengalihkan bakul menggunakan jengkaut," katanya. Sementara itu, kakak mangsa, Aishah Senawi, 60-an, berkata dia tidak menyangka hari pertama Azemi bekerja kelmarin berakhir tragedi apabila adiknya itu maut dihempap mesin berkenaan. "Azemi memang jenis tak boleh duduk diam sejak bersara sebagai penjawat awam, sebab itu dia mahu menolong rakannya melakukan kerja pembinaan rumah di kawasan berdekatan. Kejadian menimpa Azemi benar-benar mengejutkan saya," katanya. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan. "Keterangan daripada rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian sudah diambil dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat," katanya. Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut akibat kecelakaan. Jenazah Azemi yang juga bapa kepada lima anak dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jerlun, pagi semalam. |
Posted: 12 Oct 2014 02:14 PM PDT Kuala Lumpur Dua anggota polis maut selepas pondok kawalan stor simpanan barang kes di Jalan Belfield, Kampung Attap di sini dihempap pokok dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang malam tadi. Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48, dan Konstabel Sharil Hisham Hashamdi, 25, yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL). Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah yang ditemui di lokasi kejadian berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang bertugas menjaga pos kawalan stor itu yang menyimpan barang kes disiasat IPKKL. Menurutnya, Sharil Hisham disahkan maut di lokasi kejadian manakala Dzulkhairi yang berasal dari Sabah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Pondok kawalan itu adalah kontena yang diubah suai yang terletak berhampiran beberapa pokok besar. Akibat cuaca hujan lebat dan angin kencang sebatang pokok tumbang dan menghempap kontena berkenaan," katanya. Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.09 malam dan sebaik tiba di situ mendapati dua mangsa terbabit terperosok di bawah runtuhan. "Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi yang kritikal meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya. Seramai 28 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sungai Besi dikejarkan ke tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang berada di bawah runtuhan. |
Posted: 12 Oct 2014 02:12 PM PDT Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membayangkan sekurang-kurangnya tiga jenis sukan dalam program Road To Rio mungkin akan digugurkan. Beliau berkata, semua pihak dan persatuan perlu realistik dengan pencapaian atlet masing-masing dan kementerian hanya mahu memberi tumpuan kepada sukan prospek pingat saja pada Sukan Olimpik Rio 2016. "Program Road To Rio akan dibuat semakan semula berdasarkan pencapaian atlet pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia baru-baru ini, kita kena ingat Sukan Olimpik dua tahun lagi dan bukan semua sukan boleh meraih pingat. "Jadi saya perlu membuat pemilihan dan keutamaan adalah sukan prospek pingat saja," katanya kepada pemberita semalam. Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. |
Posted: 12 Oct 2014 02:10 PM PDT Jodoh memang tidak mengenal siapa dan mengira usia. Jika seseorang itu memang sudah ditakdirkan bertemu pasangan sejatinya, tidak perlu menunggu lama untuk mengikat pertalian yang sah. Pada usia 20 tahun, pelakon Erin Malek atau nama penuhnya Nur Arina Abdul Malek akhirnya menamatkan zaman solonya bersama lelaki pilihan seorang ahli perniagaan, Mohd Farriz Mohd Fauzy, 30. Jelas tiada penyesalan bahkan cukup berseri pada majlis pernikahan serta resepsi, Jumaat dan kelmarin, pelakon Misiku Kuza itu nyata sudah bersedia menempuh alam berumah tangga. Apatah lagi, Farriz adalah jejaka yang ditunggu-tunggunya selama ini. Menukar lokasi pernikahan pada saat akhir daripada Hotel Intercontinental Kuala Lumpur ke rumah ibunya di Duta Residency, Ampang, juga nyata tidak menggugat kelancaran majlis. Indah dalam persalinan rona kelabu rekaan Azura Couture serta sentuhan tata rias oleh Syedewa, dengan sekali lafaz saja, Erin dan Farriz sah bergelar suami isteri tepat jam 9.12 malam, Jumaat lalu. Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Perkahwinan Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd Yusof. Diwalikan bapa kandungnya sendiri Abdul Malek Mari, Erin menerima mas kahwin RM10,000 dan wang hantaran RM30,000 sambil disaksikan ahli keluarga terdekat serta sahabat handai kedua-dua pihak dalam majlis sederhana itu. Pihak lelaki menyerah tujuh dulang, sirih junjung, al-Quran dan sepasang telekung, seutas jam, beg tangan dan sepasang kasut, barangan kosmetik, set wangian dan manisan. Pihak perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk tapak sirih, cincin, al-Quran dan sejadah, seutas jam, sepasang sut, beg dan tali pinggang, set wangian, sepasang kasut dan kek. Terpancar kelegaan pada wajah Erin sebaik saja Farriz sah lafaz nikah. Mana tidaknya, sepanjang tempoh persiapan selepas mengikat tali pertunangan 21 Jun lalu, pelakon itu mengakui tidak senang hati. "Sepanjang tempoh sebelum majlis ini saya sangat berdebar bimbang yang dirancang tidak menjadi. Lokasi pun ditukar pada saat akhir, namun syukur ibu menguruskannya dengan baik dan sempurna. "Saya sudah bersedia menjadi isteri meskipun pada usia begini. Bagaimanapun, saya akan tetap berlakon dan suami pun sentiasa menyokong kerjaya saya," katanya. Bulan madu di Los Angeles Masih berbaki satu majlis yang bakal berlangsung Sabtu ini untuk majlis menyambut menantu sebelah keluarga lelaki, jelas Erin rancangan menimang cahaya mata dia menyerahkannya kepada ketentuan Allah SWT. Kini dia dan Farriz tidak sabar untuk pergi berbulan-madu di mana Erin sendiri juga akan berehat dalam satu tempoh masa selepas tamat semua majlis dan barulah kembali bekerja semula. "Sekarang belum terfikir mengenai perancangan lain kerana mahu fokuskan terlebih dulu kepada perjalanan majlis. Selepas selesai di sebelah pihak saya, minggu seterusnya pula akan menyusul majlis sebelah pihak lelaki. "Beberapa hari selepas majlis itu, kami akan terus terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk berbulan madu sehingga awal November. Mulanya kami memilih untuk melawat New York namun menukar fikiran," katanya dengan nada gembira. Antara artis yang hadir memeriahkan majlis pernikahan pasangan itu termasuklah Fasha Sandha, Faralyna Idris, Sari Yanti, Nelydia Senrose, Ika Nabella dan Ainul Aishah serta beberapa kenamaan. Farriz harap Erin jadi isteri solehah Bagi Farriz pula, dia cuma berharap Erin akan menjadi isteri yang terbaik dan solehah. Dia juga nyata lega apabila akhirnya disatukan bersama pelakon itu, sekali gus menepis dugaan remeh yang menguji mereka sebelum majlis berlangsung. "Tiada lain yang saya pinta hanya mengharapkan Erin akan selalu menjaga makan minum, kesihatan dan perkara lain dalam rumah tangga kami. Soal berlakon, saya tiada masalah dan semestinya akan sentiasa menyokong kariernya. "Syukur, akhirnya kami sah bergelar suami isteri memandangkan sebelum majlis ada juga cakap-cakap negatif di luar sana membabitkan kami. Mulanya kami tidak endahkan pun namun ia memberi kesan kepada ahli keluarga lain yang tidak faham situasi itu," katanya. Pada malam resepsi yang diadakan di Hotel Intercontinental pula, majlis diadakan cukup ringkas namun meriah apa tah lagi dengan kehadiran lebih ramai jemputan termasuk rakan artis seperti Fasha Sandha, Datin Paduka Eina Azman, Dynas Mokhtar, Sharifah Sakinah, Hairul Azreen dan Hanis Zalikha. Tampil anggun dengan gaun merah rekaan Azura Couture dan tata rias oleh Tiar Zainal manakala Farriz menyarung sut putih seluar hitam dipadankan 'bow tie' merah, pasangan itu berarak masuk dewan tepat jam 9 malam. Acara malam itu terus dimulakan dengan acara bergambar dengan ahli keluarga serta tetamu istimewa di pelamin indah rekaan Zaha Wedding Planner sebelum acara santapan kemudian memotong kek. |
You are subscribed to email updates from utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |