Fauzi buka laluan Pahang

Fauzi buka laluan Pahang


Fauzi buka laluan Pahang

Posted: 11 Oct 2014 11:37 AM PDT

firdaushashim@hmetro.com.my

PAHANG muncul pasukan ketiga melangkah ke saingan separuh akhir kempen Piala Malaysia selepas menewaskan juara Liga Perdana, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), 3-2, secara agregat apabila menang 2-1, di suku akhir kedua, di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Biarpun skuad Tok Gajah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila tonggak pertahanan Damion Stewart dilayangkan kad merah susulan tindakannya menarik seluar penyerang PDRM, Ali Ashfaq di minit ke-84, ia tidak sedikitpun menggangu fokus anak buah Zainal Abidin Hassan untuk bangkit mencipta kemenangan.

Jaringan pertama perlawanan tercipta menerusi tandukan sipi ke belakang tonggak tengah PDRM, Mohd Fauzi Abdul Majid yang bijak menyambut sepakan percuma Ali Ashfaq buat menewaskan penjaga gol pelawat Khairul Azhan Khalid pada minit ke-18.

Tersentak dengan jaringan itu, Zainal melakukan beberapa pertukaran dengan membawa masuk Mohd Fauzi Roslan buat menambah sengat di jentera hadapan.

Hasilnya, dua jaringan diperoleh menerusi tandukan Zesh Rehman di minit ke-76 dan sentuhan pemusnah daripada pemain yang baru yang dibawa masuk, Fauzi Roslan pada masa kecederaan menerusi sepakan deras yang berjaya menewaskan penjaga gol PDRM Azizon Abdul Kadir.

Berdasarkan jadual aksi separuh akhir, Pahang bakal bertemu Kedah sementara FELDA terpaksa menanti lawan mereka sama ada Johor DT atau Terengganu yang akan hanya turun berentap, 16 Oktober ini.

PDRM 1 (1)

* Fauzi Majid, m-18

Pahang 2 (1)

* Zesh Rehman, m-76

* Fauzi Roslan, m-90

FAUZI menjaringkan gol kemenangan di minit akhir perlawanan yang membawa Pahang ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2, di Stadium Shah Alam. FOTO Osman Adnan

FAUZI menjaringkan gol kemenangan di minit akhir perlawanan yang membawa Pahang ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2, di Stadium Shah Alam. FOTO Osman Adnan

18,000 pesakit tunggu organ

Posted: 11 Oct 2014 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 18,493 individu yang mengalami kegagalan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru kini menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata jumlah besar itu berkait rapat dengan kadar rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai penderma organ iaitu kurang satu peratus daripada setiap sejuta penduduk.

"Kadar pendermaan organ di Malaysia hanya sekitar 0.8 penderma bagi setiap juta penduduk dan merupakan antara yang terendah di dunia.

"Walaupun ada peningkatan berbanding tahun sebelumnya, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit yang sedang menunggu," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Jalanan #DermaOrgan, di sini.

Dr Subramaniam berkata, kesemua pesakit itu kini bergantung harap kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan bersedia untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka melalui pendermaan organ.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, 266,583 rakyat Malaysia berikrar sehingga 30 September untuk menderma organ selepas kematian - 0.9 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Daripada keseluruhan pesakit menunggu pemindahan organ, 18,418 memerlukan buah pinggang, hati (12), paru-paru (enam) dan jantung (lima). Tiga orang lagi memerlukan jantung dan paru-paru.

Sebanyak 55 pembedahan transplan organ dilalukan bagi tempoh Januari hingga 30 Sept 2014.

Dr Subramaniam berkata, kesedaran rakyat Malaysia berkaitan pendermaan organ kini semakin meningkat terutama dalam kalangan belia.

Selain itu, katanya, kementerian sedang membangunkan sebuah sistem pendaftaran secara online bagi memudahkan rujukan maklumat semua pendaftar organ di seluruh negara. - Bernama

‘Ibu tak sayang kami’

Posted: 11 Oct 2014 11:23 AM PDT

Seremban: "Kami tidak mahu ikut ibu kerana dia tidak sayang kami. Jika dia sayang kami, sudah tentu dia takkan meninggalkan kami," kata Saifuldin Hakimie, 7 anak sulung kepada Sheikh Mahathir Hassan, 33 yang hidup dalam keadaan daif di sebuah rumah sewa di tapak bekas asrama pekerja sebuah pusat latihan di Paroi, di sini.

Sheikh Mahathir sebelum ini dilaporkan hidup dalam kemiskinan bersama Saifuldin Hakimie dan dua lagi anaknya, Saifuldin Nazamie, 3 dan Saifuldin Azimanie, 2.

Lelaki itu yang sebelum ini menyewa di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor bernasib malang kerana isterinya, Mahani Abd Kadir, 30 menghilangkan diri pada Julai tahun lalu menyebabkannya berpindah ke daerah ini.

Bagaimanapun, penderitaan ditanggung Sheikh Mahathir yang dilaporkan akhbar ini, kelmarin mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza yang hadir membantunya dengan menyerahkan sumbangan wang tunai daripada bekas pelajar kolej Tunku Kurshiah (TKC) dan orang perseorangan, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

SEREMBAN 11 Oktober 2014. (SBN894EE / NS261X) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza menyerahkan bantuan wang tunai dan pelbagai barangan kepada Sheikh Mahathir Hassan, 33 yang hidup dalam serba daif di sebuah rumah sewa di tapak bekas asrama pekerja di sebuah pusat latihan di Paroi. STR/Mohd Amin Jalil

SEREMBAN 11 Oktober 2014. (SBN894EE / NS261X) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza menyerahkan bantuan wang tunai dan pelbagai barangan kepada Sheikh Mahathir Hassan, 33 yang hidup dalam serba daif di sebuah rumah sewa di tapak bekas asrama pekerja di sebuah pusat latihan di Paroi. STR/Mohd Amin Jalil

Menangis cincin ‘gigit’ jari

Posted: 11 Oct 2014 11:19 AM PDT

Sungkai: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam selepas cincin lama yang dipakainya gagal ditanggalkan daripada jari manis tangan kanannya.

Dalam kejadian di kediamannya di Kampung Haji, di sini, kira-kira jam 5 pagi Selasa lalu, mangsa Nurhayatul Husna Mohd Najmulail, 3, mula berasa sakit selepas jarinya itu membengkak dipercayai kesan daripada pemakaian cincin terbabit.

Ibunya Wan Intan Dyana Othman, 28 berkata, perkara itu disedari selepas anak perempuannya itu meraung kesakitan kesan daripada jarinya yang mula membengkak.

"Cincin terbabit dibeli saya dan suami pada Aidilfitri lalu dan ingin memakainya semula untuk hari raya haji tempoh hari. Namun tidak sangka pula cincin itu tidak lagi muat untuk dipakai," katanya.

Menurutnya, anaknya kemudian dibawa ke kedai emas berhampiran untuk mengeluarkan cincin berkenaan, namun disarankan oleh pekerja di situ supaya membawa terus ke balai bomba berdekatan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

ANGGOTA bomba memotong cincin dipakai mangsa.

ANGGOTA bomba memotong cincin dipakai mangsa.

Suami “naik hantu”

Posted: 11 Oct 2014 11:06 AM PDT

Alor Setar: Seorang wanita menanggung kesakitan apabila dipukul dan ditolak sehingga jatuh oleh suaminya mengakibatkan tulang belakangnya patah dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Sentang, Utan Aji, Kangar, Perlis, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari ketika umat Islam menyambut Aidiladha, mangsa berusia 50 tahun yang juga kakitangan sebuah syarikat percetakan mendakwa bukan saja dipukul dengan kejam, malah turut diherdik serta dimaki hamun suaminya berusia 55 tahun yang tiba-tiba 'naik hantu'.

Difahamkan, kejadian berpunca selepas suami mangsa menjumpai peralatan digunakan untuk kerja memasang paip di tempat pembakaran sampah berhampiran rumah dipercayai dibuang anak tunggal lelaki mereka berusia tujuh tahun.

Lebih menyedihkan apabila pada jam 4 pagi keesokan harinya mangsa dipijak pula di muka, kaki dan tangan sehingga bengkak selain diseret keluar daripada bilik tidur hingga ke ruang tamu kerana dituduh mencarut walaupun ketika itu mangsa membaca surah Yasin.

Mangsa berkata, berikutan kejadian itu tulang belakangnya disahkan patah oleh doktor dan menjalani pembedahan yang menelan kos melebihi RM10,000 untuk memasukkan besi bagi memulihkan kesihatannya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

'Sunsilk penuhi keperluan saya'

Posted: 11 Oct 2014 10:53 AM PDT

Empat tahun bergelar model iklan syampu Sunsilk Lively Clean & Fresh, kini Heliza Helmi bergelar duta produk itu pula.

Bagi Heliza, bagai orang mengantuk disorong bantal, sesiapa pun pasti tidak akan melepaskan peluang baik yang diberi.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini akui sudah lama menggunakan syampu dirumus khas untuk wanita berhijab sebelum bergelar model untuk produk ini.

Katanya, bukan mudah mencari syampu sesuai dengan kulit kepala, apatah lagi bagi yang berhijab rambut tertutup sepanjang hari boleh menimbulkan masalah.

"Akhirnya saya menemui apa yang diperlukan. Saya gembira dan berpuas hati kerana Sunsilk Lively Clean & Fresh memberikan keselesaan kepada saya.

"Selepas sekian lama menggunakannya, saya berani mengesyorkan syampu ini kepada orang ramai kerana saya sendiri merasai keberkesanannya," katanya yang menjadi perhatian ketika di pentas AF5 kerana penampilannya yang sopan berhijab.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.