Dalang bukan Islam |
- Dalang bukan Islam
- ‘Ribut seperti puting beliung kecil’
- Sambut Deepavali atas tikar
- Janin dalam sampah
- Anak mohon sijil kematian Sosilawati
- Blind penyelamat United
Posted: 21 Oct 2014 05:42 AM PDT Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) sudah mengenal pasti seorang individu bukan Islam untuk membantu siasatan penyebaran ajaran Millah Ibrahim. Ia susulan tangkapan 22 individu, termasuk lima wanita, dan tujuh kanak-kanak dalam operasi di sebuah rumah kedai, Jalan Cheras, malam semalam. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, surat perintah hadir ke jabatan itu sudah dikeluarkan kepada individu terbabit bagi untuk membantu siasatan pihak berkuasa. "JAWI sudah mengenal pasti individu terbabit yang bukan beragama Islam untuk membantu siasatan. Kita mendapati ajaran sesat itu tersebar sejak tahun lalu di Lembah Klang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pengurusan Masjid/Surau dan Pegawai Masjid Wilayah Persekutuan 2014 di Masjid Wilayah, di sini. Mengulas operasi malam semalam, Jamil Khir berkata,JAWI turut merampasdua naskhah al-Kitab dan al-Kitab versi kanak-kanak, al-Quran dan terjemahan serta buku nota serta peralatan komputer ketika kesemua mereka sedang mendengar ceramah dalam sebuah kelas, dikendalikan seorang lelaki berusia 40-an. Katanya siasatan awal mendapati pengikut ajaran berkenaan turut mengaku adanya nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW. Katanya, JAWI akan terus memantau apa juga bentuk ajaran sesat yang didapati bertentangan dengan hukum syarak serta bersalahan dengan undang-undang. "JAWI sedang mengenal pasti jumlah sebenar pengikut ajaran sesat itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung individu yang mengamalkan ajaran tersebut boleh tampil ke pejabat Jawi untuk bantu siasatan," katanya. |
‘Ribut seperti puting beliung kecil’ Posted: 21 Oct 2014 04:11 AM PDT Pelabuhan Klang: Penduduk panik seketika apabila kawasan perumahan mereka dilanda ribut seolah-olah puting beliung dalam kejadian di Pandamaran, di sini, sebentar tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lebih 30 rumah membabitkan dua blok pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut mengalami kerosakan akibat daripada angin kencang berkenaan. Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Lee Fu Hae berkata, dalam tempoh hanya 30 minit banyak kawasan terutama di Jalan Banting dan Jalan Besar Pandamaran mengalami kerosakan teruk akibat ribut berkenaan, termasuk pokok tumbang dan rumah yang rosak. Katanya, ribut berkenaan kelihatan seperti puting beliung kecil, dan menerbangkan atap rumah di kawasan itu terutama di bangunan yang tinggi. |
Posted: 21 Oct 2014 01:27 AM PDT Hulu Selangor: "Raya Deepavali tahun ini sangat sedih, kami hanya dapat sambut atas tikar di pusat pemindahan ini," kata Abraham Isacca, 44, salah seorang penghuni Blok L, pangsapuri Teratai, yang terjejas akibat tanah runtuh, semalam. Menurutnya, segala persiapan Deepavali termasuk kuih-muih dan pakaian raya terpaksa ditinggalkan di rumah selepas mereka diarahkan supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya. Katanya, beberapa ahli keluarga yang datang dari jauh sempena perayaan ini juga terpaksa balik ke tempat mereka semula kerana tiada tempat tinggal untuk mereka. "Ini adalah kejadian kali kedua selepas berlaku pemendapan tanah pada tahun 2009, tetapi tidak seteruk sekarang sehingga kami terpaksa dipindahkan. "Kami penduduk di sini berharap supaya pihak berkuasa tempatan mempunyai perancangan untuk memastikan tiada lagi kejadian seperti ini berlaku dimasa hadapan," katanya ketika ditemui, hari ini. Menurutnya, mereka berharap supaya dapat kembali ke rumah mereka secepat mungkin kerana keadaan di pusat ini juga kurang selesa terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Seorang lagi mangsa yang dipindahkan Anbarasan Kupusamy, 44, berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi rekahan kuat sebelum melihat bukit berhampiran rumahnya runtuh selain beberapa pokok tumbang. Katanya, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka kejadian itu adalah biasa dan tidak menjejaskan kediaman mereka. "Sejurus selepas itu, satu pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa supaya mereka meninggalkan rumah dan dihantar ke pusat pemindahan sementara ini. "Saya terus membawa semua ahli keluarga saya keluar daripada rumah kerana risau dengan pengumuman itu dan bimbang kemungkinan rumah kami akan runtuh," katanya. Sementara itu, seorang lagi mangsa Normah Matnor, 38, berkata, selepas pengumuman dibuat, dia berasa cemas dan terus membawa keluar anaknya berusia enam tahun keluar daripada rumah. Katanya, dia yang tinggal di pangsapuri berkenaan sejak 14 tahun lalu berharap ada penyelesaian yang boleh diambil untuk mengelakkan perkara sama berulang. "Sekiranya perkara ini berterusan, saya risau untuk tinggal di rumah itu lagi. Kami sekeluarga bimbang keselamatan kami. "Sehingga kini, kami masih belum diterangkan mengenai situasi terkini pemendapan dan tanah runtuh ini," ujarnya. Menurutnya, dia tidak tahu sampai bila mereka perlu tinggal di pusat pemindahan ini yang jelasnya banyak kekurangan. |
Posted: 21 Oct 2014 12:47 AM PDT Kuala Lumpur: Seorang pekerja pembersihan sampah di Sungai Segambut terkejut apabila menemui satu janin yang tersangkut di perangkap sampah, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, pekerja terbabit terus mengangkat janin terbabit ke atas jalan sebelum melaporkan kepada pihak polis. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis forensik dikerah ke lokasi kejadian. Katanya, hasil siasatan awal mendapati janin terbabit berusia lingkungan lima hingga enam bulan tetapi jantina masih belum dapat dipastikan. "Janin yang ditemui ini sudah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat. "Polis masih menyiasat keturunan janin terbabit dan usaha mengesan saksi ataupun ibu kepada janin berkenaan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurut Munusamy, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit. Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. |
Anak mohon sijil kematian Sosilawati Posted: 20 Oct 2014 11:15 PM PDT Kuala Lumpur: Lima anak kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian wanita itu. Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 28; Md Erwan Nasri, 27; Erni Erinawati Sofea, 25; Erni Rineelawati, 24, dan Siti Nur Fatimah, 17, memfailkan permohonan itu pada 24 September lalu melalui Tetuan Basharuddin Fa'izie Iskandar. Di dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendaftar Diyana Md Razali menetapkan 25 November ini untuk pendengaran semakan kehakiman di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad. Kelima-lima mereka memohon perintah bagi membatalkan keputusan JPN bertarikh 25 Julai 2014 untuk tidak mengeluarkan sijil kematian Sosilawati. Mereka juga memohon suatu perintah supaya JPN mengeluarkan sijil kematian Sosilawati dalam masa 14 hari. Berdasarkan afidavit sokongan, Erwan Suwari Rizuwan mendakwa pihak JPN memberi alasan secara lisan bahawa sijil kematian tidak boleh dikeluarkan berikutan tiada mayat dijumpai dan individu itu akan dianggap hilang. Sekiranya tiada mayat dijumpai, seksyen 108 Akta Keterangan 1950 adalah terpakai di mana hanya selepas tujuh tahun surat anggapan kematian akan dikeluarkan. Menurut Erwan Suwari Rizuwan, terdapat keadaan khas bagi kes ibunya iaitu mahkamah masih boleh sahkan kematian berdasarkan keterangan dan bukti yang diberikan. Oleh itu dia memohon perintah deklarasi untuk mengesahkan kematian dan mengeluarkan sijil kematian Sosilawati. JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 memaklumkan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan selepas rayuan kes pembunuhan wanita itu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati dan tiga individu lain empat tahun lalu. Pathmanabhan, pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44. Mereka didakwa membunuh semua mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara jam 8.30 malam dan 9.44 malam 30 Ogos 2010. |
Posted: 20 Oct 2014 08:13 PM PDT London : Gol Daley Blind lewat pada separuh masa kedua menyelamatkan Manchester United yang sekadar seri 2-2 dengan West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris di The Hawthorns, awal pagi ini. United bermula dengan hambar dan gol Stephane Sessegnon membolehkan tuan rumah mendahului perlawanan pada awal babak pertama. Pemain ganti Marouane Fellaini menyamakan kedudukan buat United dua minit selepas bermulanya babak kedua namun West Brom sekali lagi mendahului perlawanan menerusi gol Saido Berahino pada minit ke-66. Dengan ketiadaan kapten United Wayne Rooney yang digantung, pengurus Louis van Gaal hanya menurunkan Robin van Persie sebagai penyerang namun dibantu Adnan Januzaj, Juan Mata dan Angel di Maria. West Brom mula megasak dari mula dan mendahului perlawanan pada minit ke-8 apabila Sessegnon berjaya menyempurnakan hantaran Andre Wisom dari luar kotak. Walau pun West Brom terus mendedahkan kelemahan United di tengah padang, United hampir menyamakan kedudukan tetapi cubaan Di Maria ditepis Boaz Myhill pada minit ke-19. Van Gaal membawa masuk Marouane Fellaini menggantikan Ander Herrera untuk separuh masa kedua dan pemain Belgium melepasi asakan Joleon Lescott sebelum merembat masuk gol penyamaan yang juga gol pertamanya buat United, dua minit selepas itu. Namun, West Brom kembali di depan pada minit ke-66 apabila penyerang muda Berahino melepasi pertahanan United sebelum menjaringkan gol kedua tuan rumah. United sekali lagi cuba mencari gol penyamaan dan hampir berjaya tetapi rembatan Radamel Farcao yang menggantikan Mata terkena palang. Nasib menyebelahi United apabila rembatan rendah Blind dari luar kotak gagal diselamatkan Myhil pada minit ke-87. Keputusan ini meletakkan United di tempat keenam dengan 12 mata daripada lapan perlawananan manakala West Brom meningkat ke tempat ke-14 dengan sembilan mata. Kepusan perlawanan hujung minggu: Man City 4-1 Spurs Arsenal 2-2 Hull City Burnley 1-3 West Ham Crystal Palace 1-2 Chelsea Everton 3-0 Aston Villa Newcastle 1-0 Leicester Southampton 8-0 Sunderland QPR 2-3 Liverpool Stoke City 2-1 Swansea |
You are subscribed to email updates from utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |