MH17: Duit empat mangsa dalam bank lesap

MH17: Duit empat mangsa dalam bank lesap


MH17: Duit empat mangsa dalam bank lesap

Posted: 13 Aug 2014 01:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak RM110,643 milik empat mangsa pesawat MH370, lesap daripada akaun bank mereka, dipercayai dipindahkan dan dikeluarkan oleh seorang kakitangan bank tanpa kebenaran.

Kejadian disedari pada 18 Julai lalu oleh seorang petugas bahagian perkhidmatan pelanggan bank asing itu selepas mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun itu.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, Ju Kun dan Tian Jun Wei; satu akaun penumpang warga Malaysia, Hue Pui Heng dan akaun pramugara warga Malaysia, Tan Size Hian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata siasatan awal mendapati wang daripada tiga akaun milik tiga mangsa dipindahkan ke akaun milik seorang lagi mangsa secara tanpa kebenaran melalui e-banking atau pemindahan melalui internet.

Keluar melalui mesin ATM

"Pemeriksaan awal bank mendapati semua wang yang dikumpulkan dalam akaun mangsa keempat kemudian dikeluarkan melalui beberapa kios mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa lokasi cawangan bank berkenaan.

"Selain itu, ada satu pemindahan sebanyak RM35,000 dikesan pada 14 Julai dari akaun sama ke satu akaun bank lain yang didaftarkan atas nama seorang lelaki," katanya semalam.
Zainuddin berkata pihaknya yang menerima maklumat daripada pihak bank berkenaan kelmarin turut mengesan satu tindakan mencurigakan oleh seorang kakitangan wanita bank berusia 33 tahun kerana meluluskan permohonan pembaharuan kad ATM akaun milik mangsa keempat.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

MH17: Bapa lega jenazah anak dibawa pulang

Posted: 13 Aug 2014 01:24 PM PDT

Pagoh: Penemuan jenazahnya, melegakan kami sekeluarga. Sekurang-kurangnya membuatkan kami tenteram kerana dapat melihat pusaranya kelak, kata Mohd Salim Sarmon.

Identiti anaknya, Mohd Ali, 30, yang juga mangsa tragedi MH17, dikenal pasti di antara 16 mangsa rakyat Malaysia menerusi siasatan forensik di Belanda.

Mohd Salim, 65, berkata beliau dimaklumkan status itu oleh dua pegawai Penerbangan Malaysia (MAS) yang datang ke rumahnya di Kampung Jayor, di sini, pada Sabtu lalu, bagi menyampaikan perkembangan terkini tragedi MH17.

Perkembangan terkini

Katanya, pengurusan MAS tidak memaklumkan tarikh jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Malaysia, namun memberi jaminan mereka akan sentiasa menyalurkan perkembangan terkini mengenai proses itu.

Mereka datang ke rumah jam 8.30 malam memaklumkan perkembangan mengenai anak saya.

Mereka mengesahkan jenazah anak saya sudah dikenal pasti hasil ujian forensik dan DNA yang dilakukan di Belanda.
Perkembangan ini sekali gus memberi kelegaan kepada saya dan ahli keluarga lain. Sebelum ini, saya dan isteri tidak dapat melelapkan mata kerana sentiasa mengenangkan arwah, selain mendengar pelbagai versi cerita di media sosial walaupun kebanyakan tidak benar, katanya.

Allahyarham Mohd Ali adalah calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda.

Mohd Salim berkata, beliau sekeluarga juga reda dengan pemergian Mohd Ali dan kini membuat persediaan menyambut kepulangan jenazah.

Katanya, setakat ini pengurusan MAS belum memberi apa-apa maklumat, sama ada beliau perlu ke Amsterdam, Belanda atau hanya menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut jenazah.

Jenazah arwah akan dibawa pulang ke rumah kami untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja dekat sini, katanya.

Mohd Salim berkata, beliau dijangka ke Amsterdam, Belanda sebaik semua urusan pengebumian jenazah anaknya disempurnakan bagi menguruskan beberapa perkara termasuk membawa pulang barangan peribadi, urusan rumah sewa serta pengajian Allahyarham.

Isu MB Selangor: 'Elak pilihan raya negeri'

Posted: 13 Aug 2014 01:24 PM PDT

Kuala Terengganu: PAS menyokong kepemimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak mahu melihat kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu tumbang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapa Ali, berkata kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor akan menyebabkan pilihan raya perlu diadakan dan menjejaskan rakyat, lantas perkara itu paling penting untuk dielakkan.

Beliau berkata, sokongan PAS adalah terhadap kerajaan negeri dan bukan atas dasar peribadi Abdul Khalid.

Tak mahu susahkan rakyat

Sokongan kita kepada kerajaan negeri, bukan atas dasar peribadi. Sebab kita tidak mahu kerajaan tidak berfungsi, menyusahkan dan menjejaskan rakyat.

Kalau EXCO PAS tak beri sokongan kepada kerajaan negeri, tumbanglah kerajaan pakatan. Kita nak elakkan pilihan raya. Kita tak mahu itu terjadi, sebab itu kita beri sokongan, katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas sokongan empat EXCO PAS terhadap Menteri Besar Selangor, berbanding lima EXCO dari PKR dan DAP yang dipecat.
Abdul Khalid dilaporkan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan membatalkan pelantikan EXCO berkenaan dengan nasihat Menteri Besar, secara bertulis.

Sementara itu, ditanya mengenai tawaran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS sebagai Timbalan Menteri Besar jika bersetuju dengan pelantikan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baharu, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam pertemuan kelmarin.

Mengulas mengenai kemungkinan pelantikan ADUN UMNO sebagai EXCO kerajaan negeri, Mustapa hanya menjawab ringkas bahawa PAS tidak akan bersetuju dan tidak akan menerima keadaan itu.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan yang tersebar di laman sosial yang didakwa dipetik daripada laman web portal berita PAS, Harakah Daily, kononnya Abdul Khalid sudah menyerahkan borang penyertaannya sebagai ahli PAS semalam.

Isu MB Selangor: Kenyataan makan diri

Posted: 13 Aug 2014 01:23 PM PDT

Isu MB Selangor: Kenyataan makan diri Abdul Khalid (tengah) hadir mempengerusikan mesyuarat EXCO Negeri bersama empat ahli EXCO Selangor di Shah Alam, semalam. - Foto GHAZALI KORI

Shah Alam: Kenyataan media yang diberikan lima bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) DAP dan PKR semalam memakan diri kerana tindakan itu bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata berikutan itu mereka dipecat selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan EXCO berkenaan dengan nasihat Menteri Besar, secara bertulis.

Abdul Khalid berkata, beliau berpendapat lima EXCO berkenaan tidak boleh meneruskan perkhidmatan mereka selepas mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu bekerjasama dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat EXCO bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti masing-masing.

Katanya, surat mendapatkan perkenan Sultan Selangor dihantar ke Istana Selangor, kira-kira jam 2 petang kelmarin dan Pejabat Menteri Besar menerima surat memaklumkan perkenan baginda, dua jam kemudian..

Cukup korum

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini mesyuarat EXCO diadakan seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat ahli EXCO dan tiga pegawai Ex-Officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan.

Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya empat ahli EXCO untuk mentadbir negeri secara sah, katanya ketika membaca kenyataan satu muka surat pada sidang media di Bilik Gerakan di Tingkat 22 Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, memandangkan surat pemecatan dikeluarkan ketika seorang lagi EXCO PKR, Rodziah Ismail berada di luar negara, beliau akan menunggu sehingga ADUN Batu Tiga itu pulang terlebih dulu.

Katanya, beliau akan membuat keputusan membabitkan kedudukan Rodziah selepas berbincang dengannya.

Jika beliau bersetuju bekerjasama dengan EXCO sekarang, khidmatnya akan diteruskan. Kalau tidak, beliau juga akan diberikan surat penamatan tanggungjawab. Rodziah sudah bertemu dengan saya sebelum ke luar negara, katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan mendedahkan butiran pertemuannya dengan Rodziah itu.

Ditanya, berapa lama tempoh diberikan kepada semua bekas EXCO dipecat itu untuk mengemas barangan peribadi masing-masing, Abdul Khalid berkata, pada kebiasaan mereka memerlukan tempoh satu hingga dua minggu untuk berbuat demikian.

Saya dimaklumkan, ada dua pejabat EXCO sudah dikosongkan sejak Ahad lalu, katanya.

Abdul Khalid berkata, semua EXCO yang dipecat itu diberikan tempoh mencukupi untuk membawa keluar barang masing-masing, selain mengalu-alukan jika mereka mahu menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor yang akan diadakan hari ini, walaupun bukan dengan kapasiti sebagai EXCO, sekiranya mereka ada masa dan mahu menghadirinya.

Pada masa sama, Abdul Khalid mengesahkan penggunaan Stadium Malawati untuk Konvensyen Nasional PKR pada 22 hingga 24 Ogos ini, masih dibenarkan.

Maidin meninggal kena serangan jantung

Posted: 13 Aug 2014 01:23 PM PDT

Maidin meninggal kena serangan jantungMaidin Ibrahim

Gurun: Pelakon dan pelawak Veteran, Maidin Ibrahim, 76, (gambar) meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menunaikan solat Zuhur, di rumahnya dekat Kampung Pokok Tai, di sini semalam.

Maidin yang terkenal menerusi lakonannya menggunakan loghat utara termasuk filem Mami Jarum, disahkan menghembuskan nafas terakhir jam 2 petang.

Isterinya, Habirah Rahim, 59, mengakui Maidin sudah lama berdepan penyakit jantung, namun tidak menunjukkan sebarang masalah atau petanda luar biasa sebelum kematian.

"Arwah sepatutnya ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat ini, bagi menjalani pemeriksaan berkaitan jantungnya, namun tidak kesampaian.

"Hari ini, saya dan Allahyarham sempat makan nasi kandar di Sungai Petani sebab sejak tiga hari lalu, dia sering merungut mahu makan lauk telur sotong.

"Bagi memenuhi hasrat itu, saya membawanya ke restoran mamak kegemarannya di Sungai Petani dan bersyukur kerana sempat memenuhi keinginan terakhir arwah.

"Selepas menikmati nasi kandar, kami pulang ke rumah sebelum arwah masuk menunaikan solat Zohor dalam bilik, sementara saya ke dapur," katanya.
Habirah berkata, beliau menyangka Allahyarham tidur dalam bilik seperti biasa selepas menunaikan solat Zohor, bagaimanapun terkejut sebaik saja melihat suaminya sedang terbaring di atas katil dalam keadaan nazak.

Jenazah Maidin dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Taman Seri Jerai, Gurun, selepas solat Isyak malam tadi.

MH17: Harap jasad 2 anak, cucu disemadikan

Posted: 13 Aug 2014 12:23 PM PDT

Muar: Warga tua yang kehilangan dua anak dan seorang cucunya dalam tragedi MH17, menaruh harapan agar jasad ketiga-tiga ahli keluarganya itu dapat dikenal pasti untuk disemadikan dengan sempurna.

Suri rumah, Tan Ah Chin, 62, berkata setakat ini mayat seorang daripada anaknya iaitu Ng Qing Zheng, 30, sudah dikenal pasti di antara 16 rakyat Malaysia, menerusi proses forensik di Amsterdam, Belanda.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai anak keduanya yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ng Shi Ing, 33, dan cucu, Benjamin Lee Jian Han, setahun, yang turut menaiki pesawat sama.

Ah Chin berkata, perkembangan terbaharu itu disampaikan kepada menantunya, Leftenan Komander Lee Vee Weng, 35, yang juga suami kepada Shi Ing.

Setakat ini hanya Qing Zheng sudah dikenal pasti. Nasib Shi Ing dan cucu, Jian Han, pula masih belum tahu. Mereka (forensik) masih menjalankan siasatan. Kami sekeluarga berharap mayat Shi Ing dan Lee Jian Han ditemui juga, seterusnya dapat disemadikan dengan sempurna.

Semua perkembangan ini disampaikan oleh pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS) kepada menantu saya beberapa hari lalu, katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Jalan Haji Jaib di sini, semalam.

Ah Chin berkata, berdasarkan perancangan keluarganya, mayat kedua-dua anak dan cucu itu akan dibakar di Amsterdam, Belanda, mengikut kepercayaan Buddha sebelum abu dibawa pulang ke Muar.
"Menantu saya dan beberapa anak saya yang lain akan menguruskan semua urusan berkaitan pengebumian kerana kesihatan saya dan suami, Ng Pae Soon, 67, kurang baik, katanya.