Maut dihempap konkrit

Maut dihempap konkrit


Maut dihempap konkrit

Posted: 18 Aug 2014 03:11 PM PDT

Petaling Jaya: Tiga pekerja warga Bangladesh maut dalam runtuhan bahagian konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara, di sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Muhamad Faruk Khan, 38; Mohammad Elahi Hossain, 27 dan Mohammad Alauddin Mollik, 34.

Beliau berkata, ketika kejadian jam 8.30 malam itu, tiga lelaki terbabit sedang melakukan kerja-kerja pemasangan satu bahagian konkrit pada ketinggian 38 meter bersama seorang lagi pekerja apabila ia terlucut daripada tiangnya dan jatuh ke tanah.

"Semasa runtuhan berlaku seorang pekerja sempat menyelamatkan diri dengan terjun dari lokasi pemasangan konkrit dan mengalami kecederaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.

Foto

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat


Azhar berkata, tiga pekerja berkenaan dipercayai bekerja pada shif kedua sehingga awal pagi sebelum kejadian runtuhan berlaku.


Katanya, pihak MRT Corporation sudah menutup kawasan tapak projek selepas diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini kami terpaksa menutup tapak projek sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya.

Beliau memberitahu satu bahagian konkrit yang mempunyai 14 blok dianggarkan seberat 650 tan dan digunakan dalam pembinaan landasan MRT menuju ke arah selatan.

Beliau berkata, kawasan pembinaan yang mula beroperasi pada 2012 dan dijangka siap pada awal 2015.

Menurutnya, siasatan secara terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar runtuhan.

"Pihak MRT sentiasa mengutamakan keselamatan pekerja dalam mereka yang bekerja di tapak projek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Misi berjaya!

Posted: 18 Aug 2014 12:28 PM PDT

Kaherah (Mesir): "Tentera Mesir turunkan tingkap kereta perisai dan kami dengar bunyi tembak-menembak sedang berlaku."

Itu kata Ketua Misi Kemanusiaan Malaysia ke Gaza, Datuk Abdul Rahim Abdul Azeez yang berjaya masuk ke Gaza bersama dua wakil misi, pagi semalam selepas meredah pertempuran antara tentera Mesir dan militan dekat sempadan.

Konvoi yang turut diiringi dua kereta perisai berantai membawa 10 tan barang bantuan selamat melepasi sempadan Rafah jam 11 pagi semalam (3 petang waktu Malaysia).

Azeez bersama Duta Besar Malaysia di Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari serta Duta Besar Palestin di Malaysia, Dr Anwar Al-Agha berhubung dengan sekretariat Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di Kaherah dari semasa ke semasa untuk memberi maklumat terkini kepada petugas media dan juga rakyat Malaysia.

Foto

PENDUDUK tempatan bantu punggah barang bantuan.

Foto

AZEEZ (dua, kiri), Duta Malaysia di Palestin, Ku Jaafar (kanan) dan Duta Palestin di Malaysia Dr Anwar (kiri) disambut beberapa menteri Kabinet Palestin.


Menurut Timbalan Presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan, Azeez memberitahunya bahawa tentera Mesir bersungguh-sungguh membantu misi dengan menghantar mereka sehingga ke pintu sempadan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Jemput jenazah

Posted: 18 Aug 2014 12:21 PM PDT

Kuching: Waris kepada enam beranak yang terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sudah berlepas ke Amsterdam, Belanda malam tadi untuk mengiringi jenazah seorang daripada ahli keluarga mereka yang dibawa pulang, Jumaat ini.

Keempat-empat mereka, masing-masing dua daripada keluarga Tambi Jiee, 48, dan Ariza Ghazalee, 46, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) menaiki pesawat MH2517 pada jam 4.05 petang semalam.

Harian Metro difahamkan, mereka yang berlepas itu ialah Madzalina dan Zamuri yang mewakili keluarga Ariza serta Drahman dan Hori mewakili keluarga Tambi.

Bagaimanapun, Drahman dikatakan sudah tiba di Kuala Lumpur sehari lebih awal bagi menyelesaikan beberapa urusan termasuk menandatangani dokumentasi penting untuk kebenaran membawa pulang jenazah.

Foto

ZAMURI (kanan) bersama pegawai Penerbangan Malaysia di balai berlepas LTAK.


Semua mereka dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada jam 11.55 malam tadi menaiki pesawat MH16.


Jumaat nanti, mereka akan mengiringi jenazah seorang anak pasangan Tambi dan Ariza, Muhamad Afif, 19, yang dijangka dibawa pulang bersama 21 jenazah mangsa lain yang sudah dikenal pasti lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

'Jawab baru ikut'

Posted: 18 Aug 2014 11:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Drama minit akhir sekali lagi dimainkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mereka membenarkan ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek mengiringi pemain negara ke Kejohanan Dunia yang berlangsung di Copenhagen dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu disertakan dengan syarat, iaitu perlu menjawab surat tunjuk sebab sebelum berlepas dengan pasukan jam 11 malam ini.

Sebelum ini BAM menyerahkan surat tunjuk sebab kepada bekas pemain kebangsaan itu kerana membuat kenyataan secara terbuka untuk menarik diri sebagai ketua jurulatih ke Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

"Saya akan hantar kepada BAM melalui Pengurus Besar Kenny Goh tapi mungkin saya membuat salinan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata Rashid selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Foto

RASHID (kanan) berbincang bersama Hendrawan ketika sesi latihan.


Ditanya sama ada kandungan surat berkenaan lebih bersifat menjawab atau mempertahankan diri, Rashid berkata, ia lebih menerangkan kenapa beliau berbuat demikian (menarik diri sebagai ketua jurulatih).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Tiada hasrat bersara bidang lakonan

Posted: 18 Aug 2014 05:36 AM PDT

Bergelar tunangan orang membuatkan Faralyna Idris, 23, kekok, segan dan serba salah apabila diperlukan pengarah untuk melakonkan babak intim di lokasi penggambaran drama.

Biarpun tunangnya Muhammad Fikri Abdullah, 24, tidak pernah mengungkapkan sebarang kata, namun pelakon yang mesra membahasakan dirinya Fa sedar kedudukan dirinya yang bakal menjadi isteri yang sah kepada Fikri tidak lama lagi.

"Watak biasa tidak mengapa, tetapi apabila diberikan peranan suami isteri atau kekasih yang memerlukan aksi sentuhan hati saya jadi gundah," katanya.

Dia yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Puteri Bukan Nama Sebenar yang akan mengisi slot Zehra TV3, lega apabila pengarahnya Izma Yusof memahami gejolak hatinya itu, tetapi dia bimbang bekerja dengan pengarah lain andai mereka tetap dengan pendirian memintanya melakukan 'aksi berani' untuk adegan suami isteri.

Foto


"Pun begitu saya tidak berhasrat meninggalkan bidang lakonan, hanya mengharapkan pengarah memahami situasi diri saya yang bakal berkahwin. Saya percaya ada cara lain untuk menunjukkan kemesraan suami isteri dan kekasih di TV sebagaimana yang sering dipaparkan dalam filem Bollywood era 70-an dan 80an," katanya.


Bertuahnya Fa memilih Fikri sebagai 'rakan seumur hidup' kerana lelaki itu bukan jenis cemburu buta. Dia yang menguruskan perniagaan sendiri sering juga menemani Fa di lokasi jika penggambaran berlarutan hingga lewat malam dan melihat sendiri tunangannya membawakan watak.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19