KPTB bina pintu gerbang sambut Hari Merdeka |
- KPTB bina pintu gerbang sambut Hari Merdeka
- Malaysia harus sambut merdeka pada 16 September
- Rakyat harus bersemangat pertahan diri daripada anasir luar gugat kesejahteraan
- Buskers Merdeka program mendekati golongan muda
- Sambutan merdeka di bandar raya Kuching suram
- Beg berisi wang RM35,000 dilarikan, telefon bimbit dikebas
KPTB bina pintu gerbang sambut Hari Merdeka Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT MIRI: Jawatankuasa Rukun Tetangga (RT) Kampung Pujut Tanjong Batu (KPTB) membina pintu gerbang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak sebagai menggambarkan semangat patriotisme penduduk meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. Pengerusinya Ishak Baijuri memberitahu, pembinaan pintu gerbang itu juga sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Miri. "Pertandingan ini diadakan bertujuan meningkatkan semangat patriotisme, semangat kekitaan dan jati diri rakyat Malaysia serta menggalakkan orang ramai menghormati dan mengibar Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan ini," katanya. Beliau berkata, kempen diadakan bermula awal bulan ini sehingga 16 September sempena meraikan Hari Malaysia. Penolong Pegawai Perpaduan Miri Ikhwan Hanapi hadir menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ishak petang semalam sebagai simbolik kempen berkenaan. Hadir sama Ketua Kaum Usman Sulaiman, ahli-ahli Jiran Wanita, Jiran Muda dan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS). We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules. |
Malaysia harus sambut merdeka pada 16 September Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT KUCHING: Malaysia seharusnya menyambut Hari Kemerdekaan negara pada 16 September setiap tahun bukannya pada 31 Ogos. Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata Malaya terlepas daripada tangan penjajah dan mengisytiharkan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan manakala pada 16 September adalah penggabungan Singapura, Sarawak, Sabah dan Semenanjung Tanah Melayu yang mewujudkan gagasan Malaysia. Beliau berkata dalam isu ini sejarah harus diperbetulkan dan melihat bahawa Hari Kemerdekaan Malaysia wajib dirayakan pada 16 September. "Ramai berpendapat bahawa Sarawak dan Sabah harus memperingati Hari Kemerdekaan pada 16 September, berbanding sekarang dan diisytiharkan hari tersebut cuti umum," katanya di sini baru-baru ini. Menurutnya, tanpa gabungan Sarawak dan Sabah tidak wujud Malaysia dan kerajaan persekutuan tidak mempunyai pilihan selain perlu menghormati sentimen rakyat Sarawak dan Sabah. Di samping itu, kerajaan persekutuan mesti menghormati Perjanjian MA 63 supaya berlaku keseimbangan belanjawan yang munasabah untuk pembangunan negeri-negeri terbabit terutama Sarawak dan Sabah. "Tanpa Sarawak dan Sabah sudah tentu Barisan Nasional (BN) tidak mampu menubuh kerajaan. Memberi kerusi yang lebih dalam kabinet tidak bermakna jika wakil tidak berani bersuara untuk kepentingan negeri," ujarnya. Wan Zain menarik perhatian bahawa keputusan MLNG untuk memberi 10 peratus kepada Sarawak tidak mencukupi berbanding pendapatan hasil sumber alam selama ini yang mencecah berbilion ringgit oleh Petronas. Justeru katanya, rakyat Sarawak ingin melihat Belanjawan 2015 yang bakal dibentangkan menunjukkan lebih banyak dana untuk pembangunan negeri ini. "Inilah masanya untuk wakil rakyat dan menteri dari Sarawak bersuara lantang memperolehi peruntukan yang lebih. Hadir bermesyuarat dan bersuaralah. "Sarawak memerlukan dana besar untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, klinik, sekolah, rumah mampu milik, bekalan air bersih dan sebagainya," kata beliau. |
Rakyat harus bersemangat pertahan diri daripada anasir luar gugat kesejahteraan Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT KUCHING: Rakyat harus mempunyai semangat mempertahankan diri daripada anasir-anasir luar yang boleh menggugat kesejahteraan negara dan pada masa sama mengekalkan semangat bersatu padu. Residen Bahagian Samarahan Abdul Rahman Senusi berkata perkara itu amat penting supaya pelabur-pelabur luar dapat melabur di negara ini dan memberi keuntungan kepada negara. Rakyat Malaysia tambahnya, harus menyokong program-program dianjurkan kerajaan serta memahami dasar-dasar kerajaan yang disampaikan dalam acara-acara program tersebut sebagai tanda mencintai negara. "Kita harus mencintai negara kita walau di mana pun kita berada tanpa ada sempadan dan untuk tunjukkan kecintaan kita kepada tanah air ini bukan sahaja masa kita menikmati kesenangan malah dalam negara kita menghadapi kesusahan kita tetap mencintainya," katanya. Beliau berkata demikian pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Program Penghayatan 1Malaysia Peringkat Daerah Samarahan/Asajaya di pekan Sadong Jaya petang Ahad lalu. Selain itu katanya, masyarakat perlu mematuhi undang-undang negara dan saling menghormati antara satu sama lain serta hormat pada pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat. Semangat mencintai negara katanya perlu dizahir serta diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan paling penting generasi muda dapat mewarisi semangat cintakan tanah air. Selepas majlis itu, Abdul Rahman menyempurnakan upacara pelepasan konvoi KMJG bagi menamatkan program jelajah KMJG bagi fasa pertama bermula 21 hingga 24 Ogos 2014 melibatkan kawasan Kuching dan Samarahan dengan perjalanan sejauh 550km. Program KMJG bermula pada awal pagi iaitu di Kampung Endap dan upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Wahab. Pelepasan konvoi KMJG diketuai Pegawai Penerangan Bahagian Kuching dan Samarahan Aziz Abdul Rahman bermula dari Kuching seterusnya mengunjungi beberapa destinasi terpilih di negeri ini. Ia dibahagikan kepada bebarapa fasa iaitu fasa pertama bermula pada 21 hingga 24 Ogos 2014, fasa kedua (28 hingga 30 Ogos 2014) dan fasa ketiga (11 hingga 17 September 2014) iaitu destinasi pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Miri. |
Buskers Merdeka program mendekati golongan muda Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT LAWAS: Program Buskers Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Lawas memberi lebih fokus kepada golongan muda pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 tahun ini. Pegawai Penerangan Bahagian Limbang Koh Kumbong berkata program itu penting dalam usaha menyemai jati diri di kalangan golongan muda yang semakin pupus. Menurutnya, program itu selaras dengan usaha kerajaan memberi maklumat jelas kepada ganerasi muda agar mereka mendapat fakta sebenar. "Buskers Merdeka merupakan program mendekati golongan muda untuk lebih prihatin kepada nilai serta makna sebenar kemerdekaan," katanya di sini Ahad lalu. Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Lawas Syahrulizan Madian dan Ketua Pemuda PBB Bukit Sari Kaunselor Semie Nasip. Koh berkata melalui pendekatan santai ini ganerasi muda akan berasa didampingi seterusnya memastikan mereka menggunakan saluran betul dalam menyuarakan pandangan dan pendapat. "Golongan remaja dan belia perlu sentiasa dilihat sebagai aset negara dan melalui pendekatan seperti ini mereka turut memberi sumbangan kepada pembangunan negara," ujarnya. Sejumlah lima kumpulan buskers terdiri daripada lebih 20 pemuzik menyertai program yang julung kali diadakan di Tebingan Sungai Lawas dan mendapat perhatian ramai pemuzik tempatan. Malah, usaha ini selaras dengan hasrat Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mahu peranan serta tanggungjawab membangunkan daerah ini dipikul bersama. Selain dihiburkan dengan pemuzik jalanan, turut diadakan Pertandingan Kuiz Merdeka, agihan Jalur Gemilang, cabutan bertuah dan jualan gerai-gerai usahawan tempatan. "Perkumpulan secara baik melalui muzik ini mampu membina sahsiah ganerasi muda dan mengelak mereka terjebak dalam gejala yang tidak baik," katanya. Koh berterima kasih kepada Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan Semie atas sokongan dan sumbangan menjayakan program itu. Lebih 400 orang hadir menyaksikan program berkenaan yang turut diserikan dengan pelbagai jualan. |
Sambutan merdeka di bandar raya Kuching suram Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT Oleh Agnes Tugong KUCHING: Hari Kemerdekaan kurang daripada seminggu lagi namun suasana sambutan di sekitar bandar raya ini nampak suram berbanding sambutan pada tahun-tahun sebelumnya. Kurangnya program berbentuk patriotik ditambah dengan negara yang masih bersedih dengan tragedi pesawat MH17 dan MH370 mungkin antara sebab mengapa sambutan agak dingin kali ini. Meskipun nampak suram di pandangan umum namun ia tidak bererti detik-detik penuh bersejarah 31 Ogos ini dilupakan oleh rakyat seluruh negara. Ini kerana setiap insan atau individu tertentu pasti mempunyai cara tersendiri untuk meraikan dan memperingati hari penuh bersejarah negara ini. Bagi Ivy Romeo, 29, sambutan Hari Kemerdekaan tidak semestinya diraikan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seperti keramaian dan sebagainya. Apa yang lebih penting menurut Ivy ialah pengertian mengenai kemerdekaan itu sendiri difahami oleh setiap rakyat Malaysia terutama di kalangan generasi muda masa kini. Sebab itu menurut Ivy, setiap kali menjelang 31 Ogos, dia akan pulang ke kampungnya di Sri Aman untuk berkumpul bersama ahli keluarganya. "Setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan orang tua saya di kampung akan menceritakan kisah-kisah lama mereka ketika zaman konfrontasi. "Paling saya tidak dapat lupa ialah kisah ibu saya yang setiap hari perlu berjaga-jaga daripada musuh ketika keluar bekerja sebagai seorang jururawat di Sri Aman. "Saya sering membayangkan jika ibu saya menjadi mangsa kekejaman musuh ketika itu, tidak mungkin saya akan wujud di dunia ini. "Sebab itu, setiap kali Hari Kemerdekaan saya pasti pulang ke kampung untuk berjumpa dengan orang tua saya dan menikmati sepenuhnya hari tersebut bersama keluarga," katanya. Berbeza pula dengan Abdul Hafis Abdul Khalid, 26, dari Kampung Sungai Cina di Lundu, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan dia pasti terkenangkan zaman kanak-kanaknya. "Saya akui suasana sambutan Hari Kemerdeka ketika ini amat berbeza berbanding ketika zaman kanak-kanak saya kira-kira 20 tahun lalu. "Dulu ketika saya berumur enam tahun saya bersama ahli keluarga sanggup menaiki perahu selama satu hari satu malam untuk ke Tebingan Kuching semata-mata untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan. "Ketika itu masih belum ada jalan untuk menghubungkan Kampung Sungai Lundu dengan bandar raya Kuching dan satu-satunya jalan yang ada adalah melalui jalan sungai. "Saya amat rindukan saat-saat tersebut dan ia akan kekal dalam ingatan saya setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan," katanya. Dalam pada itu sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat negeri akan diraikan di Kapit dengan tema 'Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'. Angka 57 membawa maksud Ulang Tahun Ke-57 Kemerdekaan Malaysia sekali gus menjadi lambang kematangan negara di bawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan. |
Beg berisi wang RM35,000 dilarikan, telefon bimbit dikebas Posted: 26 Aug 2014 09:12 AM PDT KUCHING: Seorang penyelia berusia 41 tahun terpaksa berputih mata sebanyak dua kali dalam beberapa minit sahaja apabila bukan sahaja kehilangan beg sandang yang mengandungi wang tunai kira-kira RM35,000, malah telefon bimbit yang 'dipinjamkan' kepada individu yang ingin membantunya turut dilarikan dalam satu insiden berhampiran Taman Semariang di sini, kelmarin. Dalam insidien sekitar jam 1 petang itu, difahamkan kenderaan dipandu lelaki dari Batu 8, Jalan Penrissen Lama itu dihalang dua lelaki bermotosikal yang kemudian menyuruhnya keluar dari kereta. Salah seorang daripada lelaki itu dikatakan menumbuk muka mangsa, sebelum mengambil beg sandangnya lalu melarikan diri. Tidak lama kemudian, difahamkan seorang lagi lelaki dan wanita bermotosikal menghampiri mangsa yang kononnya cuba membantu mangsa. Lelaki itu dikatakan meminjam telefon bimbit daripada mangsa bagi menghubungi rakannya namun dia kemudian melarikan diri. Mangsa yang cedera di bahagian kepala kemudian membuat laporan polis untuk siasatan. Dalam kes berasingan, seorang jurutera dari Johor Bahru berhadapan detik mencemaskan apabila disamun tiga lelaki bersenjata di Jalan Song Thian Cheok, kelmarin. Difahamkan, lelaki-lelaki berkenaan turut mengarahkan mangsa mengeluarkan duit daripada ATM untuk diserahkan kepada mereka. Bimbang dirinya dicederakan, mangsa menurut kata suspek-suspek berkenaan sebelum mereka melarikan diri. |
You are subscribed to email updates from BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |