Takut dengar 'Allah'

Takut dengar 'Allah'


Takut dengar 'Allah'

Posted: 21 Sep 2014 03:05 PM PDT

"Jangan sebut nama Allah kuat-kuat, nanti saya takut dan tak jadi menyamun kakak." Itu kata seorang daripada dua penjenayah bertopeng kepada Ramlah Tahir, 53, ketika memecah masuk rumah mangsa yang juga ibu tunggal di Kampung Gelang Chin-Chin di sini, kelmarin.

Menurut Ramlah, seorang daripada dua lelaki yang turut bersenjatakan parang itu meminta dia berhenti menyebut perkataan Allah kerana mendakwa takut selain tahu perbuatannya itu menyalahi ajaran agama.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi, Ramlah berkata, dia terkejut apabila disergah seorang lelaki bertopeng sebaik membuka tingkap bilik tidurnya selepas curiga dengan bunyi bising di kaki lima rumahnya.

"Lelaki itu kemudian cuba masuk dengan mengumpil jeriji besi pintu depan.

Walaupun saya menjerit meminta tolong, tetapi tidak diendahkan mereka," katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, tanpa disedarinya, pada masa sama, seorang lagi rakan penjenayah sudah memasuki rumah melalui tingkap dapur dan bersembunyi di bawah meja makan.

Menurutnya, tiba-tiba penjenayah itu keluar dari bawah meja makan dan meluru membuka pintu depan bagi membolehkan rakannya masuk ke dalam rumah.

"Pada masa sama, anak perempuan (Norazila Aziz, 22) yang tidur di bilik bersebelahan terjaga selepas mendengar jeritan dan menyangkakan saya diserang asma," katanya.

Katanya, kedua-dua penyamun kemudian mengarahkan mereka berdua duduk di ruang tamu sambil memberi amaran tidak membuat bising.

"Kami berpelukan kerana ketakutan dan pada masa sama saya tidak putus menyebut Allah hingga seorang daripada penjenayah datang dan mengacukan parang ke leher anak supaya saya berhenti menyebutnya.

"Lelaki itu beritahu jika mahu menyebut 'Allah', lakukan dalam hati kerana dia takut mendengarnya selain bimbang tak jadi menyamun dan pulang tangan kosong," katanya.

Ramlah berkata, pada masa sama, seorang lagi penjenayah menggeledah bilik tidurnya dan mengambil barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai leher, satu komputer riba serta tabung syiling dari dalam almari membabitkan kerugian kira-kira RM6,000.

"Selepas menggeledah kira-kira 30 minit, kedua-dua mereka melarikan diri ke dalam belukar berdekatan rumah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan M Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Foto

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

'Kami mahu pulang'

Posted: 21 Sep 2014 03:03 PM PDT

"Kami merayu supaya kerajaan dapat membawa pulang semua penuntut di Yaman dengan segera kerana keadaan di sini tidak selamat lagi, malah kebanyakan kediaman kami sudah musnah terkena bom," kata Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) Md Irham Nori Abidin, 28.

Menurutnya, mereka kini terpaksa berlindung di kediaman sementara yang disewa khas Kedutaan Malaysia di Muassasah Darul Quran Kareem Malaysia Yaman di Sana'a menempatkan 440 orang iaitu 357 lelaki, 45 wanita dan 33 kanak-kanak.

"Buat masa ini kami semua selamat di sini, namun perasaan bimbang masih menyelubungi kami berikutan keadaan yang bergolak selepas berlakunya tunjuk perasaan dan pertempuran kumpulan pemberontak Houthis dengan kerajaan.

"Malah, pengajian kami juga tertangguh apabila semua universiti di Yaman sudah ditutup," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Md Irham yang juga penuntut Universiti Al-Iman berkata, buat masa ini makanan mencukupi hasil sumbangan orang ramai yang menyumbang wang ke dalam akaun bank PERMAYA.

"Kami hanya menjamah roti pada waktu pagi manakala tengah hari makan nasi disusuli sebelah malam biskut menjadi pengalas perut berikutan bahan makanan melambung tinggi.

"Sehubungan itu, saya merayu kerajaan dapat segera membawa kami pulang," katanya yang mengambil jurusan Pengajian Islam tahun akhir.

Menurutnya, seorang penuntut Malaysia dalam pengajian Bahasa Arab, Toriq Rahim, 20, kini sedang menerima rawatan di Hospital As Sauroh kerana tergelincir dan terjatuh dari tingkat tiga kediaman asramanya ketika tergesa-gesa mahu mengambil dokumen peribadi.

"Toriq dilaporkan ingin mengambil barangan peribadi termasuk pasportnya, namun asrama terbabit berkunci menyebabkan dia cuba memanjat, namun gagal masuk sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan di badan serta muka.

"Bagaimanapun, keadaan Toriq dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital, keluarganya tidak perlu bimbang," katanya.

Sementara itu, penuntut jurusan Syariah tahun pertama Mohammad Ezan Faliq, 24, berkata, walaupun mereka selamat tinggal di kediaman sementara itu, namun masih bimbang dengan keselamatan diri.

Menurutnya, dia juga merayu jika kerajaan sudi membawa mereka pulang ke Malaysia berikutan keadaan yang semakin meruncing di sini.

"Kami terpaksa menanggung perbelanjaan harian yang meningkat sekali ganda berikutan pergolakan yang berlaku dan terpaksa mengalas perut dengan makanan yang ringan," katanya.

Setiausaha Akhbar Wisma Putra Datin Nirvana Jalil Ghani ketika dihubungi berkata, setakat ini keadaan rakyat Malaysia di Yaman berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di kediaman sementara yang disediakan pihak kedutaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yaman menerusi talian 0096 7142 9781 dan 0096 7142 9782 atau e-mel kepada mwsanaa@kln.gov.my.

Foto

Foto

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

CHONG WEI TAK GENTAR

Posted: 21 Sep 2014 10:07 AM PDT

Datuk Lee Chong Wei tidak kisah siapa yang akan ditemuinya apabila Malaysia menentang China pada separuh akhir badminton berpasukan lelaki Sukan Asia Incheon di Gimnasium Gyeyang, hari ini.

Bagaimanapun, perseorangan utama negara itu meramalkan China tidak akan menurunkan musuh lamanya Lin Dan pada perseorangan pertama.

Pemain nombor satu dunia itu optimis negara Tembok Besar itu akan menampilkan juara dunia, Chen Long untuk berdepan dengannya kerana dua lagi pemain perseorangan Gao Huan dan Tian Houwei masih muda dan kurang pengalaman menggalas tugas sebagai perseorangan kedua dan ketiga.

"Saya yakin China bimbang untuk turun bertemu Malaysia apatah lagi selepas mereka tumpas mengejut kepada Jepun dan gagal mempertahankan Piala Thomas di New Delhi, Mei lalu.

"Tidak mungkin mereka akan mengambil risiko dengan menurunkan Lin Dan.

Tapi sama ada saya berdepan Chen Long atau Lin Dan, saya akan tetap memberikan yang terbaik untuk membantu mengutip mata pertama negara," katanya.

Sebelum itu, Chong Wei tidak bermasalah menewaskan Tamang Ratna Jit 21-10, 21-12 dalam masa 25 minit sekali gus membantu Malaysia dalam laluan menang 3-0 ke atas Nepal di suku akhir.

Chong Wei Feng meraih mata kedua dengan menewaskan Shreshta Bikash 21-10, 21-13 sebelum Iskandar Zulkarnain Zainuddin memastikan mata kemenangan mengalahkan Tamrakar Sajan Krishna 21-3, 21-4.

China yang diketuai Chen Long pula mengesahkan kemaraan dengan menewaskan Hong Kong 3-0.

Mengenai aksi bertemu Malaysia, Chen Long berkata: "Saya tidak pasti diturunkan.

Jika diturunkan, peluang untuk menang ke atas Chong Wei tetap 50-50.

Foto


"Saya percaya dia sudah mengkaji corak permainan saya selepas tewas di final Kejohanan Dunia bulan lalu."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Tuntut RM1.237 bilion

Posted: 21 Sep 2014 09:55 AM PDT

Berlin: Waris mangsa nahas Penerbangan Malaysia MH17 dari Jerman akan mendakwa Ukraine dan presidennya kerana membunuh akibat kecuaian, menurut peguam yang menwakili tiga keluarga mangsa Jerman.

Profesor undang-undang penerbangan Elmar Giemulla yang mewakili tiga keluarga dari Jerman itu berkata, mengikut undang-undang antarabangsa Ukraine sepatutnya menutup lauan udaranya jika tidak dapat menjamin keselamatan pesawat.

"Setiap negara bertanggungkawab bagi keselamatan ruangan udaranya," kata Giemulla dalam satu kenyataan.

"Jika ia tidak dapat menjamin keselamatan untuk sementara waktu, ruangan udara itu perlu ditutup.

Foto

FOTO Reuters


"Disebabkan Ukraine tidak menutup ruangan udaranya, ia boleh didapati bertanggungjawab untuk nahas itu," katanya.


Apabila ruang udara tidak ditutup, Ukraine menerima hakikat bahawa nyawa ratusan orang akan "terancam" dan ini adalah satu pelanggaran hak asasi manusia, kata Giemulla dalam akhbar Ahad Bild am Sonntag.

Giemulla akan membawa kes itu kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dalam masa dua minggu ini.

Dia akan mendakwa Ukraine dan Presiden Petro Poroshenko di atas 298 tuduhan membunuh akibat kecuaian.

Giemulla juga akan meminta pampasan sebanyak 1 juta euro (RM4.15 juta ringgit) bagi setiap mangsa, menurut laporan Bild am Sonntag itu.

Pesawat MH17 ditembak jatuk di kawasan pemberontak pro-Russia pada 17 Julai lalu dan kesemua 298 penumpang dan kru terkorban, termasuk empat penumpang Jerman.

Ukraine dan negara barat lain mendakwa puak pemberontak pro-Russia menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu dibuat oleh Russia.

Namun, Russia menafikan dakwaan ia telah memberi sistem peluru berpandu SA-11 Buk kepada puak pemberontak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Dua lagi kertas soalan didakwa bocor

Posted: 21 Sep 2014 07:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua laporan polis dibuat berhubung dakwaan kebocoran kertas soalan Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi mata pelajaran Bahasa Tamil dan Matematik, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu yang dibuat pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kedua-dua laporan terbaru itu akan disiasat oleh pasukan sama yang menyiasat kes kebocoran soalan Science dan Bahasa Inggeris sebelum ini.

Foto


Menurut jadual peperiksaan UPSR, calon menduduki kertas Bahasa Tamil dan Matematik pada 10 Sept lalu.


Sebelum ini, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan kertas
peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 didakwa telah bocor dan Lembaga Peperiksaan tetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baru peperiksaan kedua-dua mata pelajaran itu

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan 30 individu yang terdiri daripada pegawai LPM, guru, wartawan, ejen insurans dan jurutera bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Senjata makan tuan

Posted: 15 Sep 2014 05:51 AM PDT

Kuala Terengganu: Tiga anggota Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Seberang Takir, di sini cedera di kaki, perut dan dada akibat terkena peluru ketika sedang membersihkan senjata, petang ini.

Menurut sumber, kejadian dilaporkan berlaku di kem berkenaan selepas tiga anggota terbabit berusia 19 hingga 21 tahun dipercayai baru selesai menamatkan latihan menembak pada jam 3.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, seorang daripada anggota terbabit dikatakan sedang membersihkan senjata, manakala dua lagi rakannya berada tidak jauh dari tempat anggota terbabit.

"Ketika sedang mencuci senjata berkenaan, secara tiba-tiba senjata yang berada di tangannya meletup dan terkena bahagian kaki anggota terbabit sebelum mengenai bahagian perut dan dada dua lagi rakannya," katanya.

Katanya, ketiga-tiga anggota terbabit yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Difahamkan, sehingga kini, mangsa yang mengalami kecederaan pada kaki dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa manakala dua lagi rakannya masih dirawat di wad kecemasan HSNZ.

Pegawai Memerintah Batalion 18 RAMD Kem Seberang Takir Leftenan Kolonel Mahamad Fazli Mat Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun tidak dapat memberi sebarang keterangan lanjut termasuk jenis senjata terbabit.

Foto

caption image3

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15