TAWAR RM70,000 BELI PASPORT

TAWAR RM70,000 BELI PASPORT


TAWAR RM70,000 BELI PASPORT

Posted: 04 Jul 2014 12:02 PM PDT

TAWAR RM70,000 BELI PASPORT

Putrajaya: Dua rakyat tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket menjual pasport Malaysia kepada warga asing ditahan ketika seorang daripadanya menyogok RM70,000 kepada pegawai Imigresen sebagai bayaran mengeluarkan satu pasport.

Serbuan dilakukan Jabatan Imigresen bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menahan dua lelaki itu di dua tempat berasingan di sekitar Puchong antara jam 10 malam hingga jam 12 tengah malam kelmarin.

Sindiket itu dikesan mempunyai rangkaian antarabangsa menguruskan dokumen perjalanan ke negara tertentu, hasil maklumat empat warga Sri Lanka dan tiga rakyat Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 1 Jun lalu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, dalam kenyataannya mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan penjualan pasport Malaysia yang mengandungi butiran yang dipalsukan untuk kegunaan warga asing.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Kadar pertumbuhan PKS perlu dipertingkat: Najib

Posted: 04 Jul 2014 11:56 AM PDT

Kadar pertumbuhan PKS perlu dipertingkat: NajibNajib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Yang turut hadir Mustapa dan Zeti Akhtar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Kadar pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu ditingkatkan kepada 9.3 peratus setahun berbanding 6.3 peratus sekarang bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 41 peratus pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi mencapai matlamat itu, empat Program Berimpak Tinggi (HIP) akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun secara berperingkat, selain peningkatan produktiviti oleh PKS melalui pembangunan bersifat inovasi dan penggunaan pengetahuan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata program diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) itu turut mewujudkan tetingkap tunggal untuk PKS membuat pendaftaran, selain memohon lesen perniagaan yang diperlukan.

Program Pelaburan PKS juga akan ditingkatkan supaya tidak hanya membabitkan penyediaan dana oleh kerajaan, sebaliknya turut menggalakkan sumbangan dana daripada sektor swasta untuk pembangunan PKS. Melalui Program GoEx, kita menggalakkan eksport bagi melonjakkan penyertaan PKS di pasaran antarabangsa.

Bantu syarikat PKS

Di bawah Program Pemangkin, kita akan kenal pasti dan mempromosi beberapa syarikat PKS setiap tahun yang boleh dibantu dan diberi galakan untuk menjadikan mereka juara tempatan. Kriteria menentukan syarikat PKS yang berpotensi tinggi ini adalah mereka mesti mencapai (peningkatan) jualan tahunan minimum 20 peratus.

Melalui inisiatif ini, kita dapat capai kadar pertumbuhan lebih tinggi secara keseluruhan, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Ke-16 di Perdana Putra, di sini, semalam.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib berkata, bagi tempoh antara tahun 2006 hingga tahun 2013, PKS sudah mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 6.3 peratus lebih tinggi daripada pertumbuhan purata ekonomi keseluruhan iaitu sebanyak 4.7 peratus.

Katanya, pada tahun ini kadar pertumbuhan PKS dijangka terus berkembang di antara 5.5 dan 6.5 peratus dan sasaran 9.3 peratus setahun mampu dicapai secepat mungkin melalui inisiatif yang dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Najib memaklumkan mesyuarat semalam turut bersetuju mengukuhkan tiga model kerjasama strategik berkaitan produktiviti dan inovasi sebagai Pusat Sehenti bagi pengkomersialan dan perkhidmatan PKS.

Katanya, kerjasama berkenaan membabitkan SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Fraunhofer Institute dan SIRIM Berhad serta Steinbeis Institute dan Agensi Inovasi Malaysia.

Perkukuh peranan PKS

Selain itu, katanya, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Malaysia akan memberi tumpuan untuk memperkukuhkan peranan PKS di rantau ini bagi menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti ekonomi, pasaran tunggal dan asas pengeluaran tunggal.

Secara purata, antara 95 dan 99 peratus perniagaan di negara ASEAN bersifat PKS, justeru amat penting untuk kita menghubungkan mereka (syarikat PKS) antara satu sama lain supaya berpeluang menjadikan ASEAN pasaran mereka, katanya.

PM ucap takziah keluarga mangsa nahas kereta perisai

Posted: 04 Jul 2014 11:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga anggota tentera yang meninggal dunia dalam kejadian kereta perisai terbalik di Kilometer 232.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Kuala Kangsar, kelmarin.

Perdana Menteri juga mendoakan anggota yang cedera dalam kejadian itu segera pulih.

Takziah kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam kemalangan di Kuala Kangsar, semalam (kelmarin), kata Najib dalam laman Twitternya semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, dua anggota tentera maut, manakala dua lagi parah apabila kereta perisai yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik.

Sarjan Bayong anak Burma meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Koperal Che Mohamad Fatonah Che Ismail meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

Dua anggota tentera yang parah, iaitu Koperal Sharifuddin Abdullah dan Lans Koperal Freedy anak Bernacbas, menerima rawatan di hospital sama.

Sementara itu, Najib meminta rakyat mengutamakan langkah pencegahan daripada dijangkiti demam denggi.
Beliau dalam catatan di laman Facebooknya semalam, antara lain mencadangkan pengurangan aktiviti luar pada waktu pagi iaitu antara jam 5.30 pagi dan 8 pagi serta waktu senja (5.30 petang hingga 8 malam) yang merupakan waktu aktif nyamuk untuk menggigit.

BERNAMA

Susulan KL tanpa pengemis, gelandangan: Masjid lubuk rezeki

Posted: 04 Jul 2014 11:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Gelandangan dan pengemis warga asing dan tempatan di bandar raya ini kini tidak lagi memilih lorong yang menjadi laluan orang ramai meraih sedekah, sebaliknya memilih institusi keagamaan sebagai lubuk utama mereka.

Tinjauan BH di sekitar Chow Kit di sini, mendapati ramai daripada golongan itu sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan keuntungan daripada sedekah orang ramai di dalam masjid selain tidak mahu dikesan ahli keluarga dan pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, jemaah warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang hadir ke masjid di sini turut menggunakan kesempatan itu untuk meraih sedekah tanpa rasa segan silu selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Seorang mualaf daripada gelandangan ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamik Pakistan, di Jalan Raja Muda, Suzana Manogari Abdullah, 56, berkata dia menjadikan kawasan itu sebagai lokasi wajib meraih sedekah pada setiap Jumaat demi meraih hasil sedekah lebih banyak.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Kementerian Kerjaraya sedia bantu

Posted: 04 Jul 2014 10:56 AM PDT

Kementerian Kerjaraya sedia bantu

Kuala Lumpur: Kementerian Kerjaraya bersedia menawarkan khidmat bantuan pakar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menangani baik pulih jalan mendap di tengah bandar raya itu.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya sentiasa boleh membantu DBKL dari segi kepakaran dan pengalaman jika ia perlu.

Kita ada pengalaman dan kepakaran mencukupi dalam menangani masalah mendap jalan raya. Sekiranya DBKL perlu bantuan, kita akan sentiasa membantu dari segi itu, katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Babit projek MRR2 saja

Mengulas mengenai kejadian mendapan sedalam enam meter di tapak projek pembinaan terowong di persimpangan Jalan Pudu-Jalan Hang Tuah-Jalan Imbi, Rabu lalu, Fadillah berkata, pihaknya hanya terbabit dalam projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) saja.

Pada masa sama, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) turut menyuarakan hasrat mereka untuk membantu kerajaan dalam menjalankan siasatan terhadap kejadian runtuhan terowong bawah tanah di persimpangan jalan terbabit serta beberapa kejadian yang sama di tempat lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam BEM mengambil berat terhadap kejadian runtuhan yang berlaku itu kerana ia memberi kesan terhadap keselamatan awam.
Sebaik saja punca keruntuhan itu ditentukan dan terdapat indikator menunjukkan jurutera terbabit di atas runtuhan berkenaan, BEM akan menjalankan siasatan ke atas tata laku jurutera itu mengikut Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Bahagian IV, Peraturan-peraturan Pendaftaran Jurutera 1990.

Selain itu, sekiranya terdapat perlanggaran akta berkenaan, tindakan akan diambil terhadap jurutera itu mengikut Seksyen 15 Akta yang sama, katanya yang turut menyarankan semua pihak menghubungi BEM bagi mendapat kenyataan dari sudut kejuruteraan.

Kesan dua jam awal

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan, DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd, berkata pihaknya menerusi syarikat kejuruteraan yang dilantik sudah mengesan kemungkinan berlaku mendapan di persimpangan terbabit dua jam lebih awal sebelum kejadian.

Pada jam 8 pagi (pada hari kejadian), seorang jurutera perunding yang dilantik DBKL maklumkan ada berlaku kebocoran di bawah tanah di tapak projek itu. Semua pekerja kontraktor di situ kemudian diarahkan keluar dari tapak pembinaan.

Pada jam 10 pagi, DBKL meminta kerjasama polis untuk tutup jalan berhampiran kawasan bocor itu demi keselamatan pengguna jalan raya. Kejadian mendap berlaku pada jam 10.38 pagi selepas itu, katanya.

Susulan daripada kejadian itu juga, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan kawasan itu ditutup serta-merta bagi kerja-kerja baik pulih selama dua minggu.

Susulan kereta perisai ATM terbabas: Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuh

Posted: 04 Jul 2014 10:53 AM PDT

Batu Pahat: Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas di Kilometer 232 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, sehingga mengorbankan dua anggota tentera, petang kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penubuhan jawatankuasa itu perlu bagi membolehkan laporan penuh kemalangan dibuat secara telus.

Kita sudah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat kejadian ini dan saya mahu laporan penuh dengan segera. Kita akan lihat dua aspek utama sama ada ia berpunca daripada kerosakan teknikal atau kecuaian manusia.

Laporan itu penting bagi dijadikan penilaian pembelian aset dan pengurusan sumber manusia kementerian pada masa depan, katanya ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran UMNO Batu Pahat, Sri Gading, Ayer Hitam dan Parit Sulong di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Sarjan Bayong Burma maut di tempat kejadian, manakala Koperal Che Mohamad Fatonah Che Ismail, 31, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar (HKK).

Dua lagi rakan mereka, Koperal Sharifuddin Abdullah, 36 dan Lans Koperal Freedy Anak Bernacbas, 29, pula cedera.

Aspek teknikal diteliti
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh, berkata selain kecuaian pemandu, aspek teknikal termasuk kenderaan dinaiki keempat-empat anggota terbabit dan laluan di kawasan kemalangan, turut diteliti.

Katanya, kereta perisai itu sudah ditunda dan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut.

Punca sebenar kejadian masih disiasat dan polis akan menyiasat secara menyeluruh kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Siasatan turut meliputi dakwaan yang melihat tayar kenderaan terbabit meletup dan tercabut kerana kita perlu tahu sama ada tayar itu meletup dan tercabut, sebelum atau selepas kereta perisai itu terbabas, katanya ketika ditemui di HKK, semalam.