Nahas MH17: Najib, Borodai berunding

Nahas MH17: Najib, Borodai berunding


Nahas MH17: Najib, Borodai berunding

Posted: 21 Jul 2014 12:38 PM PDT

Nahas MH17: Najib, Borodai berundingNajib menghubungi Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mengenai perkembangan terkini tragedi MH17, malam tadi. - Foto BERNAMA

Putrajaya: Kumpulan yang menguasai kawasan pesawat MH17 jatuh ditembak, bersetuju menyerahkan dua kotak hitam kepada Malaysia selain membenarkan mayat mangsa dibawa keluar daripada kawasan berkenaan.

Selain itu, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan akses selamat bagi memulakan siasatan penuh di kawasan kejadian.

Persetujuan itu dicapai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap sendiri dengan ketua kumpulan berkenaan, Alexander Borodai malam tadi.

Najib berkata, sejak beberapa hari lalu kerajaan berusahadi belakang tabir untuk menghubungi kumpulan yang menguasai kawasan kejadian itu.

"Hubungan kini dicapai. Dalam keadaan sukar dan berubah-ubah, kami berbincang masalah yang membelenggu kita semua; mendapatkan bukti penting daripada pesawat, melancarkan penyiasatan bebas, dan mendapatkan semula mayat mangsa.

Capai persetujuan

"Pada malam ini (tadi), kami mencapai persetujuan mengenai perkara itu," katanya pada sidang akhbar di Seri Perdana malam tadi.
Najib berkata, melalui perjanjian itu semua 282 mayat yang kini berada di Torez akan dibawa menggunakan kereta api ke Kharkev sebelum diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat pengangkut C130 Hercules milik Belanda.

"Kereta api membawa mayat penumpang MH17 akan diiringi enam anggota pasukan penyelamat Malaysia sebelum diterbangkan ke Amsterdam.

Mayat rakyat Malaysia kemudian akan dibawa pulang selepas kerja forensik selesai.

"Dua kotak hitam pesawat MH17 akan diserahkan kepada pasukan penyelamat Malaysia yang baru tiba di Donetsk pada jam 9 malam waktu Ukraine dengan jaminan keselamatan ke atas pasukan penyiasat antarabangsa turut dibenarkan masuk ke lokasi tragedi, " katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiga persetujuan itu sudah dicapai, ada beberapa langkah perlu diselesaikan.

"Usaha diteruskan, ia bergantung kepada hubungan berterusan secara baik. Boradai dan kumpulannya, memberi kerjasama baik, " katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak dapat memberi kerjasama bagi memastikan perjanjian itu dihormati, mayat rakyat Malaysia dikembalikan, kotak hitam diserahkan dan pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi akses penuh ke kawasan kejadian.

"Kita perlu mengetahui apa yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas dan siapa yang bertanggung jawab agar keadilan dapat ditegakkan," katanya.

Nahas MH17: ‘Jet Ukraine dekat MH17’

Posted: 21 Jul 2014 12:33 PM PDT

Nahas MH17: ‘Jet Ukraine dekat MH17’Gambar fail pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang didakwa terbang berhampiran pesawat MH17 sejurus sebelum terhempas.

Moscow: Russia semalam menyatakan rekod penerbangannya menunjukkan sebuah pesawat pejuang Ukraine terbang hampir dengan pesawat MH17 sejurus sebelum ia terhempas dan Kiev pada masa itu mengaktifkan stesen radar untuk sistem peluru berpandu.

Moscow juga menafikan ia membekalkan pemisah Ukraine sistem peluru berpandu atau senjata lain, ketika ia berusaha menangkis dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa ia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia dengan 298 penumpang dan anak kapal itu.

Berbekalkan beberapa carta dan imej, dua pegawai tinggi tentera Russia membentangkan kes terhadap Ukraine pada satu taklimat khas di sini.

Lef Jen Andrei Kartopolov berkata, pesawat Malaysia itu tersasar ke utara dari laluan asal manakala pesawat pejuang SU-25 Ukraine yang biasanya dilengkapi peluru berpandu udara ke udara, dirakam berada hampir dengan pesawat Boeing 777 itu.

Beliau mendakwa, pesawat Malaysia itu 'tersasar dari laluannya ke utara. Jarak tersasar maksimum ialah 14 kilometer.

Jarak jet, MH17 tiga hingga lima kilometer

"Peningkatan ketinggian direkodkan bagi pesawat tentera Ukraine. Jaraknya dari Boeing Malaysia ialah tiga hingga lima kilometer.
"Apakah matlamat sebuah pesawat tentera terbang di laluan pesawat awam hampir pada masa sama dan pada ketinggian sama? Kami ingin mendapatkan jawapan kepada persoalan ini," katanya.

Kartopolov juga berkata, Kementerian Pertahanan Russia mengesan kegiatan luar biasa stesen radar yang digunakan untuk mengendalikan sistem peluru berpandu pada hari tragedi itu.

"Dari 17 Julai (Khamis) tahap operasi stesen radar Ukraine meningkat kepada maksimum," katanya.

Kartopolov berkata, tujuh stesen radar beroperasi hampir dengan kawasan tragedi pada Selasa, lapan pada Rabu dan sembilan pada hari nahas iaitu Khamis.

Sambil merujuk data, beliau berkata, selepas nahas itu hanya empat stesen radar beroperasi pada Jumaat dan hanya dua pada Sabtu.

Kartopolov juga menegaskan Russia tidak membekalkan puak pemisah Ukraine dengan sistem peluru berpandu Buk atau senjata lain. AFP

Nahas MH17: Apakah dosa mereka?

Posted: 21 Jul 2014 12:22 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Nahas MH17: Apakah dosa mereka?

Foto

Nahas MH17: Apakah dosa mereka?

Kuala Lumpur: Kira-kira 80 bayi, kanak-kanak dan remaja adalah antara 298 penumpang yang terbunuh dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Khamis lalu.

Daripada 80 mangsa kanak-kanak dan remaja itu, lapan adalah warga Malaysia.

Kebanyakan mangsa adalah mereka yang mahu bercuti atau pulang daripada percutian bersama keluarga. Ada antara mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air untuk menyambut Aidilfitri.

Antara rakyat Malaysia yang terkorban, termasuk empat beradik dari satu keluarga, iaitu Muhammad Afif, 19; Muhammad Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13. Keempat-empatnya adalah anak kepada pasangan Tambi Jiee, 49, dan Ariza Ghazali, 47.

Tambi, berasal daripada Kuching dilaporkan mahu memulakan kehidupan baharu selepas beliau diarahkan kembali bertugas di Kuala Lumpur selepas tiga tahun menetap di Kazakhstan.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Nahas MH17: Harapan tinggi bawa pulang mayat mangsa

Posted: 21 Jul 2014 12:19 PM PDT

Nahas MH17: Harapan tinggi bawa pulang mayat mangsaWaris keluarga Ariza Ghazalee mengambil inisiatif mengenang 298 penumpang dan anak kapal itu dengan memakai reben berwarna hitam pada pakaian masing-masing di Hotel Marriot, Putrajaya, semalam. - Foto SAIRIEN NAFIS

Kuala Lumpur: Keluarga mangsa pesawat MH17 menaruh harapan tinggi terhadap usaha Datuk Seri Najib Razak untuk membawa balik mayat rakyat Malaysia yang terkorban di Ukraine, sebelum Aidilfitri ini.

Malah, kenyataan Perdana Menteri mengenai usaha itu melegakan perasaan keluarga yang mengharapkan mayat dapat disempurnakan di Malaysia.

"Kami sekeluarga masih bersedih dan berharap Perdana Menteri dapat menunaikan hasrat untuk membawa pulang jenazah secepat mungkin.

"Kami juga tidak putus-putus berdoa dan mengadakan majlis tahlil setiap malam bagi mendoakan kesejahteraan arwah," kata Maznah Johan, 54, ibu saudara kru MH17, Muhamad Firdaus Abdul Rahim.

Maznah berkata, Muhamad Firdaus yang lebih dikenali sebagai Jaja di kalangan ahli keluarga, disifatkan sebagai seorang anak yang baik.

Keluarga sedia terima

Sementara itu, Aslinda Mohd Embran, 38, ibu saudara kru MH17, Azrina Yakob, turut menyatakan bahawa mereka sekeluarga bersedia menerima mayat Azrina dalam apa juga bentuk asalkan jenazah dapat disempurnakan di sini.
"Kami sekeluarga reda dengan kejadian berkenaan dan berharap supaya jenazah Azrina dapat dibawa pulang ke Malaysia sebelum Aidilfitri ini.

Mahu tatap jenazah

"Anak arwah, Arissa Raisha, 3, dan Aqil, 6, juga kelihatan baik-baik saja dan kini berada di Kota Bharu bersama bapa mereka, Muhamad Rafliz, 43," katanya yang sempat menziarahi mereka di Kota Bharu, baru-baru ini.

Adik penumpang MH17 Ariza Gazalee, Ruzaiman Gazalee, 43, amat berharap mereka sekeluarga dapat menatap jenazah enam beranak yang terbunuh dalam nahas berkenaan.

"Mangsa merancang untuk beraya di kampung (Petra Jaya, Kuching, Sarawak) tahun ini, namun hajat itu nampaknya tidak kesampaian apabila mereka sekeluarga turut terbabit dalam nahas pesawat berkenaan," katanya.

Nahas MH17: Keluarga mangsa boleh buat solat jenazah ghaib

Posted: 21 Jul 2014 12:17 PM PDT

Alor Setar: Keluarga mangsa nahas pesawat MH17 boleh melakukan solat jenazah ghaib jika mereka tidak yakin atau putus harapan jenazah ahli keluarga masing-masing di Ukraine tidak mampu dibawa pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Baderudin Ahmad, berkata jika masih ada harapan untuk melihat jenazah, mereka perlu menunggu untuk melaksanakan solat jenayah atau urusan lain yang berkaitan dengannya.

Tiada tempoh tertentu

Beliau berkata, tidak ada tempoh tertentu ditetapkan untuk menunggu dalam Islam dalam keadaan seperti ini, namun ahli keluarga dinasihatkan merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Ia terpulang kepada keluarga mangsa... jika mereka berasa tidak yakin ( jenazah boleh dibawa pulang) dan berbuat demikian (solat jenazah ghaib), namun akhirnya jenazah ahli keluarga dapat dibawa balik, ia tidak menjadi masalah.

"Ia tidak menjadi kesalahan kerana ahli keluarga masih boleh melakukan solat jenazah semula mengikut cara biasa yang diamalkan agama, walaupun sudah dibuat solat jenazah ghaib sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan hari raya di Dewan Seri Negeri di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 420 asnaf dari seluruh negeri menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM250 sebagai persiapan untuk menghadapi Aidilfitri.
Yang turut hadir ialah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, yang juga Pengerusi Jemaa Pemangku Sultan Kedah; Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Sultan Abdul Halim.

Nahas MH17: Waris penumpang, kru dapat bayaran

Posted: 21 Jul 2014 12:15 PM PDT

Sepang: Waris 15 anak kapal serta 12 dari 28 penumpang warga Malaysia pesawat MH17 layak menerima bayaran bulanan bermula RM475 berdasarkan tangga gaji di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem, berkata semua anak kapal layak mendapat bayaran di bawah Skim Bencana Pekerjaan kerana berada di dalam pesawat waktu bekerja.

"Bagi 12 penumpang pula mereka yang mencarum dengan PERKESO layak mendapat sama ada Skim Bencana Pekerjaan jika ketika dalam pesawat untuk urusan kerja atau Skim Pencen Ilat jika di dalam pesawat bukan untuk urusan kerja," katanya PADA sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Skim itu membolehkan waris atau tanggungan menerima bayaran harian antara RM30 hingga RM88.50 seorang atau antara RM10,950 dan RM32,302 setahun bergantung kepada tangga gaji pencarum.

Dapat faedah urusan mayat

Mengulas lanjut Richard berkata, skim berkenaan mencakupi penumpang warga Malaysia yang berada di dalam penerbangan itu atas urusan berkaitan pekerjaan masing-masing.

"Di bawah skim ini, waris juga mendapat Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500," katanya.
Berhubung penumpang yang berada dalam penerbangan atas urusan peribadi, beliau berkata waris atau tanggungan layak mendapat Faedah Pencen Penakat dengan syarat mereka (penumpang) perlu memenuhi kelayakan caruman dan belum mencapai usia 60 tahun ketika kejadian..

Faedah berkenaan jelas Richard, membolehkan waris atau tanggungan menerima bayaran Pencen Penakat sebanyak 50 hingga 65 peratus daripada gaji bulanan dengan kadar minimum RM475.

"Mereka juga berhak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500," katanya.