MISTERI 1.8 JUTA MYKAD HILANG

MISTERI 1.8 JUTA MYKAD HILANG


MISTERI 1.8 JUTA MYKAD HILANG

Posted: 06 Jul 2014 02:08 PM PDT

MISTERI 1.8 JUTA MYKAD HILANG

Susulan BH bongkar isu warganegara ekspres

Kuala Lumpur: Enam hingga tujuh orang daripada setiap 100 rakyat Malaysia melaporkan kehilangan MyKad sehari!

Mengikut statistik dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lalu, bilangan MyKad yang hilang meningkat setiap tahun, iaitu daripada 397,079 (2010), 413,068 (2011), 429,137 (2012) dan 565,157 (2013 sehingga 30 Oktober).

Ini bermakna lebih 1.8 juta MyKad dilaporkan hilang dalam tempoh 46 bulan atau purata 39,230 MyKad sebulan, bersamaan 1,307 MyKad yang hilang dalam tempoh sehari.

Persoalan yang timbul ialah betulkah kehilangan berlaku dan ke mana perginya 1.8 juta MyKad yang hilang itu.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Pertahan perpaduan, keamanan

Posted: 06 Jul 2014 02:00 PM PDT

Pertahan perpaduan, keamananMuhyiddin bersama Idris (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim dari Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan PAYASUM di Seri Bendahara, Ayer Keroh, semalam. - Foto Khairunisah Lokman

Perpecahan menyebabkan negara huru-hara, rakyat menderita: Muhyiddin

Ayer Keroh: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta umat Islam terus mempertahankan perpaduan dan mengelakkan sebarang perpecahan kerana ia menyebabkan negara huru-hara dan rakyat menderita.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wabak perpecahan yang kini melanda Libya, Syria, Iraq dan Mesir berpunca daripada persengketaan dan peperangan saudara kerana gagal mempertahankan perpaduan, sekali gus mengakibatkan rakyat sengsara.

Cabaran besar umat Islam masa kini adalah mempertahankan perpaduan dan keamanan. Banyak contoh negara yang gagal mempertahankan konsep itu sehingga menyebabkan rakyat menderita" Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri


Sehubungan itu, beliau menegaskan mengekalkan perpaduan adalah penting kerana ia dapat memperkukuhkan kekuatan umat Islam, khususnya di negara ini.

"Cabaran besar umat Islam masa kini adalah mempertahankan perpaduan dan keamanan. Banyak contoh negara yang gagal mempertahankan konsep itu sehingga menyebabkan rakyat menderita dan merana.

"Di Syria, 11 juta rakyat hilang tempat tinggal dan harta benda kerana perang saudara, manakala enam juta menjadi pelarian dan hidup miskin, selain ratusan ribu lagi termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak kehilangan nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Timbalan Perdana Menteri di Seri Bendahara di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bersama lebih 2,000 penduduk dan pemimpin masyarakat negeri ini.
Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan raya kepada 100 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin Sungai Udang (PAYASUM).

Nikmati kemajuan dalam suasana harmoni

Timbalan Perdana Menteri berkata, berbeza di negara ini, umat Islam masih hidup dalam keadaan suasana harmoni, malah menikmati kemajuan pembangunan dan ekonomi yang didukung kestabilan politik.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini timbul bibit perpecahan kalangan umat Islam disebabkan perbezaan pandangan dalam isu berkaitan agama Islam.

Ada pihak cuba ambil kesempatan

"Perpecahan itu kemudian diambil kesempatan oleh pihak luar untuk mengancam kedudukan Islam, malah ada pihak tertentu dalam negara juga cuba menangguk di air yang keruh.

"Sejak kebelakangan ini, wujud tekanan pelbagai pihak atas kedudukan Islam, seperti ada yang mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan pelaksanaan undang-undang oleh Mahkamah Syariah," katanya.

Sehubungan itu, sempena Ramadan, beliau menasihatkan umat Islam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan memperkukuhkan semangat kerjasama serta perpaduan, seterusnya mengekalkan Malaysia sebagai negara Islam contoh.

Zon Sifar Gelandangan lebih efektif, menyeluruh

Posted: 06 Jul 2014 01:58 PM PDT

Putrajaya: Cadangan penguatkuasaan Zon Sifar Gelandangan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan adalah permulaan kepada sistem pengurusan kebajikan yang lebih efektif untuk imej Bandar Raya Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar, Datuk Izudin Ishak, dalam satu kenyataan di sini, berkata pendekatan yang cuba diambil kementerian itu bukan bersifat menghukum, sebaliknya ia adalah penyelesaian secara menyeluruh.

Beliau berkata, ia membawa kebaikan bukan saja kepada golongan gelandangan malah semua masyarakat bandar, termasuk pengunjung dan pelancong untuk menikmati keindahan sebenar Kuala Lumpur.

"Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sudah disalah erti pihak tertentu sedangkan penguatkuasaan undang-undang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk zon bebas pengemis dan gelandangan itu turut mengambil kira pandangan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Konsep Anjung Singgah yang disarankan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dapat memberi ruang kepada sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan usaha murni mereka.

Sedia pemeriksaan kesihatan

"Pegawai Jabatan Kesihatan juga dapat ditempatkan bagi menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada golongan terbabit," katanya.
Sebelum ini kementerian menetapkan aktiviti pemberian bantuan kepada gelandangan tidak lagi dibenarkan di kawasan dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks beli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Peraturan itu bertujuan membersihkan ibu negara daripada pengemis dan gelandangan, dijangka bermula dua minggu lagi selain turut mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memberi sedekah kepada peminta sedekah bagi mengurangkan pengemis di jalanan.

Bagaimanapun, sehingga kini cadangan itu mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pihak.

Izudin berkata, isu pengemis dan gelandangan bukan isu terpencil yang hanya wujud di Kuala Lumpur saja, malah ia turut menjadi fenomena di bandar besar seluruh dunia.

"Lihat saja di Rio de Janeiro, Brazil isu gelandangan dan keciciran timbul akibat penganjuran Piala Dunia 2014.

"Antara faktor utama yang mengundang masalah ini adalah keciciran dalam arus pemodenan negara kerana terbabit dalam masalah sosial seperti dadah, tidak memiliki pekerjaan tetap selain mungkin menghidap penyakit sehingga sukar mencari rezeki," katanya.

Tambah beliau, permasalahan mengenai gelandangan adalah isu nasional yang memerlukan perhatian semua pihak di negara ini.

"Justeru, NGO dan masyarakat perlu berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu ini," katanya.

MH370: Fasa baharu pencarian guna KD Mutiara

Posted: 06 Jul 2014 01:54 PM PDT

MH370: Fasa baharu pencarian guna KD MutiaraHishammuddin menyerahkan topi cenderamata kepada anak ketua pramugara MH370, Maira Elizabeth Nari. Turut hadir isteri Hishammuddin, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah (tengah) dan Tiong Lai selepas melancarkan Pameran Foto MH370, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kuala Lumpur: Malaysia akan menggunakan kapal KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk fasa baharu pencarian Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kapal berkenaan memiliki keupayaan "multi beam echo sounder" yang membolehkannya membantu menggerakkan proses pemetaan dasar laut secara lebih agresif.

"KD Mutiara dijangka memulakan pelayaran 4 Ogos depan dan ini bermakna akan ada dua kapal milik TLDM di kawasan mencari.

"Kita sudah menghantar Bunga Mas 6 (BM6) sejak 20 April lalu yang sedang membantu urusan logistik dan penghantaran data di sekitar lokasi mencari," katanya selepas melancarkan Pameran Foto MH370, di sini, semalam.

Pameran inisiatif Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCC) itu diadakan khusus mengenang tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini masih menjadi satu misteri.

Pesawat yang sedang dalam penerbangan ke Beijing itu membawa bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal sewaktu kejadian.

Mengulas mengenai penggunaan aset komersial, Hishammuddin berkata PETRONAS dengan kerjasama DEFTECH dan Phoenix International akan menguruskan penghantaran "Prosas Side Scan Sonar" yang akan ditunda kepada kapal.
Syarikat turut bantu

"Saya juga diberitahu bahawa sebuah lagi syarikat iaitu Boustead Heavy Industries bersama iXBlue Australia akan menghantar pengesan sonar bersama "Remotely Operated Vehicle" yang akan ditunda pada kapal bernama John Lethbridge," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Hishammuddin berkata pameran itu dianggap sebagai simbolik dan tanda ingatan seluruh rakyat negara ini terhadap kejadian terbabit.

Ia katanya, menterjemahkan hasrat dan azam kerajaan yang tidak akan berhenti atau berputus asa dalam meneruskan misi pencarian pesawat itu.

"Kata-kata tidak dapat menzahirkan kesedihan dan keperitan yang ditanggung oleh semua ahli keluarga anak kapal dan penumpang MH370.

"Kita tidak mungkin dapat merasai keperitan yang dialami mereka, tetapi kami berikrar untuk meringankan beban ini dalam apa juga cara yang termampu dan ia termasuk dengan meneruskan misi pencarian sehingga semuanya ditemui," tegasnya.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahaya.

KDN temui pemimpin negeri kes judi haram

Posted: 06 Jul 2014 01:48 PM PDT

KDN temui pemimpin negeri kes judi haramAhmad Zahid (kanan) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim anggota PDRM pada majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri, di Alor Setar, semalam. - Foto Sharul Hafiz Zam

Alor Setar: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perjumpaan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi membincangkan mengenai sindiket perjudian haram yang dilihat semakin serius.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perjumpaan dengan pemimpin negeri termasuk di negeri pembangkang itu akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mendapatkan komitmen mereka dalam usaha membanteras kegiatan itu.

"Saya yakin negeri pembangkang juga menyokong usaha dilakukan kementerian dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Justeru, saya akan bertemu dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri berkenaan.

"Ini kerana saya fikir masalah perjudian haram terlalu serius (di negeri pembangkang)... saya fikir Selangor paling hebat (judi haram)," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim.

Sedia kertas mesyuarat

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kementerian juga akan menyediakan kertas mesyuarat untuk semua pemimpin negeri bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluarkan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK).
Katanya, inisiatif itu adalah komitmen kerajaan untuk membanteras kegiatan judi haram, selain turut mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan.

Ahmad Zahid berkata, kementerian juga akan mempertimbangkan cadangan untuk menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bukan hanya kepada KDN dan PDRM, tetapi diperluaskan kepada semua agensi Pusat dan negeri apabila undang-undang membanteras judi dilaksanakan.

Selain itu, katanya, kementerian juga mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu menyegerakan pindaan undang-undang berkaitan membanteras dan mencegah judi haram.

Kedudukan Khalid diputus PAS Pusat

Posted: 06 Jul 2014 01:47 PM PDT

Shah Alam: Kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang dibincangkan pada mesyuarat berkala PAS Selangor, semalam diserahkan kepada PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata kepemimpinan negeri memberikan maklum balas mengenai isu itu dan terpulang kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan.

"Sebarang keputusan akhir membabitkan kedudukan Abdul Khalid akan dibuat oleh PAS Pusat.

"Belum ada sebarang keputusan lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada PAS Selangor memihak kepada Abdul Khalid dalam isu berkenaan, Iskandar yang juga antara EXCO kerajaan negeri, enggan menjawab, sebaliknya menyatakan kepemimpinan PAS Selangor perlu menunggu keputusan yang akan dibuat oleh PAS Pusat.

"Apapun keputusannya, kami akan akur dengan keputusan kepemimpinan pusat. Malah, ada wakil kepemimpinan pusat hadir dalam mesyuarat pagi ini," katanya.

Iskandar turut menafikan perbincangan mengenai kedudukan Abdul Khalid tegang ketika isu itu dibangkitkan, sebaliknya mendakwa ia adalah perbincangan biasa.
Mac lalu, BH melaporkan, PAS Selangor menyelar kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.