ESSCOM distruktur semula |
- ESSCOM distruktur semula
- Melahirkan graduan minda usahawan
- 5 beradik yatim piatu terharu terima bantuan TPM
- Dosa berbuka puasa di premis jual arak
- Dua wakil kita ke Amerika runding pengecualian visa
- Tulang babi di kolam ikan
Posted: 08 Jul 2014 03:23 PM PDT Najib bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2014 di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail DATUK Seri Najib Razak bersalaman dengan Datuk Abd Rashid Harun yang dilantik sebagai Komander ESSCOM. - Foto Mohd Fadli Hamzah Putrajaya: Penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bertujuan memantapkan dan memperkemaskan pengurusan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri menjelaskan, penstrukturan merangkumi dua komponen iaitu Pengurusan Keselamatan dan Pertahanan serta Penguatkuasaan dan Tindakan Awam. "Komander akan dibantu oleh Timbalan Komander dalam aspek pentadbiran operasi. Komponen ini bertujuan untuk menggembleng sumber agensi keselamatan bagi tujuan mempertingkatkan keberkesanan operasi. "Sementara itu, komponen Penguatkuasaan dan Tindakan Awam akan diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO. Ada tiga bahagian yang diwujudkan iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penguatkuasaan dan Tindakan Awam serta Bahagian Khidmat Keurusetiaan," katanya pada sidang media, di sini semalam. Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohd Thajudeen Abdul Wahab serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM, Datuk Abd Rashid Harun. Najib berkata, komponen kedua akan melihat kepada pematuhan undang-undang negara yang berkaitan peraturan imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, peraturan kawalan barang-barang kawalan dan perkara yang berkaitan kesejahteraan rakyat. Mantapkan rantaian Selaras langkah mewujudkan perjawatan Komander Pasukan Keselamatan yang akan mengetuai semua perkara berkaitan Keselamatan, Operasi dan Pertahanan, beliau mengumumkan pelantikan Abd Rashid selaku Komander ESSCOM berkuat kuasa 15 Julai ini. Perdana Menteri berkata, kerajaan menambah baik pengurusan ESSCOM dengan memantapkan rantaian arahan atau chain of command, meningkatkan dan memastikan pembabitan sepenuhnya setiap peringkat rakyat bersama agensi keselamatan dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas daripada pencerobohan atau jenayah. Sementara itu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berbuka puasa dengan pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta warga universiti di Seri Perdana, malam tadi. Najib dan isteri turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim Rumah Pengasih Warga Prihatin dan pelajar Permata Pintar sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih. |
Melahirkan graduan minda usahawan Posted: 08 Jul 2014 03:18 PM PDT Putrajaya: Pelantikan 15 ahli Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional (MKPTN) baharu diharap dapat teruskan kejayaan program pembangunan keusahawanan institusi pengajian tinggi (IPT) negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri, dalam satu kenyataan semalam, turut berharap mereka mampu menyumbangkan idea dan memainkan peranan aktif dalam memberi input bagi membangunkan dasar berkaitan pembangunan keusahawanan IPT. "Kita perlu meningkatkan jalinan kerjasama dan pembabitan pihak industri dengan IPT untuk melaksanakan program berstruktur berteraskan keusahawanan bagi memperkasakan program perantis IPT," katanya. Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, mempengerusikan mesyuarat MKPTN, di sini semalam. Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli baharu MKPTN, termasuk Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang. Turut menerima watikah ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Datuk Norhalim Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Dzulkifli Fadzilah. Manfaat pengalaman ahli MKPTN Ahli MKPTN merangkumi pelbagai pihak berpengalaman dan berkepentingan serta mampu menyumbang kepada penjanaan idea, selain pembangunan keusahawanan IPT, yang dilantik untuk tempoh tiga tahun. Tempoh pelantikan ahli MKPTN bagi tahun 2011 berakhir pada 30 April tahun lalu. MKPTN ditubuhkan pada 15 Mac 2011 dengan objektif membantu kementerian menerusi peranan sebagai penggerak kepada perubahan jangka panjang budaya keusahawanan di IPT dan menjadi jambatan penghubung antara IPT dengan kerajaan, usahawan, industri serta alumni. Penyelaras pembangunan Majlis itu juga berperanan menyelaras dan mengawal selia pembangunan pendidikan keusahawanan di IPT bagi memastikan ia selari dengan dasar kerajaan. Sejak penubuhannya, MKPTN berjaya meningkatkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Projek Agenda Kritikal (CAP) Keusahawanan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Menerusi pelan ini, 4,060 lulusan IPT menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya mereka dalam tempoh tiga tahun selepas Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT dilancarkan pada tahun 2010. Di samping itu, lebih 30 peratus pelajar IPT didedahkan dengan ilmu dan kemahiran keusahawanan melalui pelbagai program pembudayaan dan kegiatan keusahawanan berstruktur dalam tempoh sama. |
5 beradik yatim piatu terharu terima bantuan TPM Posted: 08 Jul 2014 03:16 PM PDT Kuala Lumpur: Lima beradik yang yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan langgar lari di Jalan Loke Yew, di sini Mei lalu, tidak menyangka berpeluang bersemuka dan bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. Anak sulung pasangan Allahyarham Jefri Mohd Zain, 50, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, Mohd Haikal Jefri, 16, berkata dia bersama adiknya hanya dimaklumkan untuk menghadiri majlis berbuka dan penyampaian bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Balai Berita, di sini. "Apabila kami tiba (di Balai Berita), tak sangka ia sebenarnya majlis berbuka bersama pemimpin nombor dua negara. Lebih mengharukan, kesengsaraan kami turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri yang selama ini hanya kami lihat di televisyen dan akhbar. "Tak sangka kami berpeluang bersalaman dengannya, selain menerima bantuan untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Timbalan Perdana Menteri Bersama Media, yang dihoskan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), semalam. Jefri dan Noorsalawati maut dalam kemalangan pada jam 8 pagi 23 Mei lalu, selepas terjatuh dari motosikal yang dinaiki untuk ke tempat kerja kerana hilang imbangan. Pasangan itu digilis tayar belakang kenderaan berat dipercayai lori pasir yang berada di sebelah mereka. Pada majlis berbuka puasa yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu, Muhyiddin meluangkan masa bersolat jemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih di Balai Berita. Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar; Pengarah Urusan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorialnya, Datuk Shaharudin Latif; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali. |
Dosa berbuka puasa di premis jual arak Posted: 08 Jul 2014 03:14 PM PDT Kuala Lumpur: Umat Islam yang berbuka puasa di tempat yang menjual minuman keras turut mendapat dosa, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar). Justeru, beliau mengingatkan orang Islam supaya mengelak dari berbuka puasa di tempat sedemikian terutama yang diragui status halal. "Puasa mereka tidak batal tapi dia berdosa sebab reda dengan keadaan macam itu. Hukumnya sama juga dengan mereka yang minum, menghidang atau menjual arak," katanya kepada BH. Beliau mengulas tindakan umat Islam berbuka puasa di restoran menawarkan bufet Ramadan yang turut menjual minuman keras. Kelmarin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan serbuan di sebuah restoran di Jalan Yap Kwan Seng, di sini dan mendapati restoran yang mempromosi bufet Ramadan turut menjual minuman keras. Difahamkan restoran itu menjadi tumpuan umat Islam berbuka puasa kerana harga bufet adalah berpatutan iaitu RM75++ bagi dewasa dan kanak-kanak usia tiga hingga 13 tahun RM35++. Umat Islam juga, katanya perlu memilih restoran yang mematuhi syarak sekiranya mereka ingin berbuka puasa di luar. "Mencari yang halal itu suatu yang wajib, setiap orang kena pastikan mereka mendapat sumber yang halal dimakan. Oleh itu, kita minta umat Islam sensitif terhadap hukum itu kerana tuntutan halal itu wajib, kalau kita langgar hukumnya berdosa," katanya. Patuhi arahan Beliau juga meminta umat Islam mematuhi arahan pihak berkuasa agama Islam negeri yang mengarahkan peniaga Islam menjual makanan selepas jam 3 petang. "Apabila ada sesuatu peraturan dari pihak pemerintah, maka hukum itu wajib dipatuhi, kecuali kalau diminta buat benda maksiat," katanya mengulas tindakan kerajaan negeri Kedah yang akan menarik lesen perniagaan premis makanan yang menjual makanan sebelum jam 3 petang pada Ramadan ini. |
Dua wakil kita ke Amerika runding pengecualian visa Posted: 08 Jul 2014 03:12 PM PDT Kuantan: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd Yasin akan ke Amerika Syarikat (AS), September depan untuk rundingan awal mengenai pelaksanaan Program Pengecualian Visa. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata proses memuktamadkan program itu boleh diselesaikan dalam tempoh 16 bulan dan beliau sendiri akan ke sana bagi melihat semua sistem yang perlu diikuti Malaysia bagi menyertai program berkenaan. "Banyak benda kita kena tengok juga... ini termasuk mesyuarat membabitkan jawatankuasa tertinggi daripada kementerian yang terbabit dalam pelaksanaannya kelak. SOP Amerika tinggi "Selain itu, kita kena memperkukuhkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan ini penting kerana AS mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tinggi dalam hal membabitkan penyeludupan manusia ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan sebuah restoran di sini, malam tadi. Yang turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Katanya, KDN juga sedang berusaha agar imej negara di peringkat antarabangsa tidak terus berada di Tier 3 dengan mempertingkatkan sistem pemeriksaan penumpang (APSS) dan alat pengimbas dokumen. |
Posted: 08 Jul 2014 03:11 PM PDT Ipoh: Pemeriksaan Jabatan Perikanan Perak di sebuah kolam ternakan ikan patin yang kering berhampiran kawasan Lahat di sini, menemui rangka dan serpihan tulang haiwan dipercayai babi. Pemeriksaan diketuai oleh Pegawai Perikanan, Rohaizad Mustaffa bersama empat anggotanya di kolam itu pada jam 4 petang kelmarin, selepas penemuan dipercayai tulang dan tengkorak haiwan itu di kolam berkenaan yang terletak di Jalan Ipoh-Batu Gajah tersebar di media sosial dan blog. Siasatan awal mendapati terdapat beberapa rangka dan tulang yang ditemui mirip tulang dan rangka babi terdampar di dasar kolam yang kering kerana masalah sistem saliran. Susulan itu, sampel serpihan tulang berkenaan diambil untuk pengesahan lanjut. Ketua Cawangan Pembangunan Akuakultur Pejabat Perikanan negeri, Noraisah Hashim, berkata pihaknya menerima laporan itu pada jam 2 petang kelmarin susulan penyebaran berita itu secara meluas di laman sosial Facebook. "Buat masa ini, kami belum dapat mengesahkan sama ada ia tulang babi, namun berdasarkan anatomi dan bentuk struktur beberapa rangka ditemui, kami percaya ia adalah kepunyaan haiwan itu. "Kami menghantar sampel tulang itu untuk siasatan lanjut. Mungkin kita akan dapat mengenal pasti jenis tulang itu tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas meninjau kolam berkenaan, semalam. Noraisah berkata, kolam seluas satu hektar itu juga didapati menggunakan sumber air bukit sebagai punca airnya dan daripada bangkai ikan yang ditemui, pihaknya percaya pemilik kolam berkenaan menternak patin sebagai ternakan utama walaupun pemantauan turut mendapati ikan tilapia, belida dan haruan turut ditemui di sekitar dasar kolam. Sementara itu, individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat berhubung isu berkenaan, Mohamad Khirul Adnan Hamid, 26, berkata dia pergi ke kolam itu selepas mendapat maklumat mengenai kerosakan kolam berkenaan pada jam 2 petang kelmarin. Katanya, setibanya di sana dia melihat orang ramai mengerumuni kolam itu selepas ikan mula kelihatan di permukaan dasar kolam kerana air surut. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |