'Hadiah hari jadi paling hebat'

'Hadiah hari jadi paling hebat'


'Hadiah hari jadi paling hebat'

Posted: 09 Jul 2014 04:14 PM PDT

'Hadiah hari jadi paling hebat'Aishah, Ammar (kiri), Arif dan Adam (kanan), berbual dengan bapanya yang baru dibebaskan di penjara Sweden melalui telefon, semalam. - Foto Fathil Asri

Anak pasangan ditahan di Sweden tak sabar tunggu bapa pulang

Kota Bharu: "Semalam (kelmarin) saya menyambut hari jadi ke-12, hari ini mendapat hadiah paling hebat iaitu 'daddy' dibebaskan."

Demikian kata Adam, anak Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin, 38, ketika mengetahui ayahnya dibebaskan dari penjara negara itu petang semalam.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu, Shalwati Norshal, 46, dijangka dibebaskan tiga bulan lagi.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm pada 28 Mac lalu menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati kerana didakwa memukul empat anaknya.

Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara apabila masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.

Kerinduan terlerai
Adam, anak ketiga daripada empat beradik berkata, kerinduan terhadap ayahnya sejak terpisah hampir sembilan bulan lalu, akhirnya terlerai selepas dibebaskan.
"Ini hadiah saya paling hebat dan saya tidak sabar untuk berjumpa 'daddy' pada Selasa ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Kakaknya, Aishah, 15, berkata penantian mereka empat beradik selama ini berakhir apabila bapanya dibebaskan.

"Walaupun masih belum berjumpa daddy, ia sudah cukup menggembirakan kami apabila daddy sudah dibebaskan.

Mahu peluk daddy

"Kami akan menyambut kepulangan daddy di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa ini dan perkara pertama yang kami akan buat adalah memeluk daddy.

"Saya akan mengucapkan "I love u daddy" (saya sayang ayah) berkali kali supaya daddy tahu betapa kami merindui dan sayangkannya," katanya.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Tiada kepemimpinan berkesan undang huru-hara

Posted: 09 Jul 2014 04:14 PM PDT

Tiada kepemimpinan berkesan undang huru-haraNajib bersalaman dengan felo, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan (kiri) sambil diperhatikan Muhyiddin pada Program Felo Perdana kepada Menteri-Menteri Kabinet di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Tiada kepemimpinan yang berkesan untuk menggalas tanggungjawab sebagai peneraju, boleh menyebabkan keadaan kucar-kacir yang boleh menjurus kepada kegagalan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Merujuk keputusan perlawanan separuh akhir pertama Piala Dunia 2014 awal pagi semalam yang menyaksikan Brazil diaibkan 1-7 oleh Jerman akibat barisan pertahanan yang kucar-kacir dan berkecamuk, Perdana Menteri berkata, kelemahan pimpinan atau tiada pemimpin yang baik, boleh membawa kepada kekalahan.

"Apa yang dapat saya simpulkan ialah kelemahan kepemimpinan atau tiada kepemimpinan yang baik menyebabkan kekalahan (Brazil). Kalau itu boleh berlaku kepada pasukan bola sepak, bayangkan kepada sebuah negara yang tiada kepemimpinan berkesan, yang tiada visi dan komitmen, yang mampu menjiwai aspirasi rakyat.

"Pasti nasibnya seperti pasukan bola sepak Brazil," katanya yang secara berseloroh, mengucapkan takziah kepada penyokong Brazil dan tahniah kepada penyokong Jerman selepas pemain negara berkenaan menunjukkan aksi cemerlang serta prestasi mengagumkan untuk layak ke perlawanan akhir.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan peserta Program Felo Perdana (PFP) kepada Menteri-Menteri Kabinet, di sini, semalam. Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Seramai 84 mahasiswa dan graduan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara diterima ke dalam PFP untuk ditempatkan di pelbagai kementerian. Mereka disaring daripada 1,200 permohonan yang diterima oleh Kementerian Belia dan Sukan, beberapa bulan lalu.

Persediaan terancang

Najib berkata, PFP ialah satu persediaan terancang bagi mempersiapkan barisan kepemimpinan generasi akan datang supaya apabila tiba masanya, akan ada barisan pemimpin yang terlatih, terdedah kepada pengalaman dan mampu membawa obor kepemimpinan negara ke tahap lebih tinggi.

"Saya yakin program ini mendapat sambutan menggalakkan kerana pada program pertama, kira-kira 600 orang memohon dan kali ini 1,200 orang. Mudah-mudahan ini adalah pemimpin generasi muda yang bermutu, yang boleh memikul amanah dan mewakili mereka untuk menimba pengalaman baharu.

"Kejayaan kita pada hari muka tidak bergantung kepada segulung ijazah, tetapi soal kematangan kita untuk berfikir, bertindak dan berinteraksi dengan orang lain. Ini hanya akan diperoleh kalau ada pengalaman dan tidak ada tempat yang lebih baik (menimba pengalaman), selain bersama anggota Kabinet dan pemimpin negara," katanya.

Pantau generasi muda sertai jihad

Posted: 09 Jul 2014 04:12 PM PDT

Putrajaya: Generasi muda negara ini yang mahu bersama kumpulan militan, kononnya untuk 'berjihad' di negara Islam bergolak, perlu diyakinkan bahawa keputusan mereka itu bukan langkah terbaik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata golongan itu perlu diyakinkan bahawa keputusan menyertai perjuangan militan bukan caranya untuk meneruskan pemahaman yang mereka ada mengenai Islam.

"Pergi berperang atau jihad bukan satu penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peserta Program Felo Perdana (PFP) kepada Menteri-Menteri Kabinet, di sini, semalam.

Ditanya punca yang mungkin menarik minat golongan tertentu menyertai kumpulan terbabit, Khairy berkata, kebanyakan mereka melihat jihad sebagai cara menyumbang kepada Islam.

Memperkasa ekonomi

"Justeru, kita perlu memberitahu mereka bahawa ada pelbagai lagi cara untuk memberi sumbangan kepada Islam, termasuk menerusi pendidikan atau memperkasa ekonomi, yang mana adalah lebih penting.
"Jihad tidak sepatutnya dilihat hanya terbabit dalam keganasan atau peperangan, sebaliknya lebih kepada jihad dalam memperkasa ekonomi, pendidikan dan pembinaan keupayaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan terhadap kegiatan kumpulan tertentu yang cuba merekrut anak muda negara menyertai pergerakan mereka.

"Ini adalah ancaman serius kerana kita sudah melihat beberapa rakyat kita menyertai pergerakan seumpama ini termasuk bersama kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL). Kita sentiasa berwaspada dengan usaha pihak tertentu cuba merekrut anak muda Malaysia menyertai gerakan radikal," katanya.

Kenduri nasi ambeng jika Jerman juara

Posted: 09 Jul 2014 04:12 PM PDT

Kenduri nasi ambeng jika Jerman juara MOHD Asri (empat dari kanan) bersama penduduk kampung bersorak di hadapan papan tanda Kampung Parit Jerman bagi meraikan kemenangan Jerman pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Kampung Parit Jerman, Pontian, semalam. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Pontian: Penduduk Kampung Parit Jerman, Telok Kerang di sini akan menganjurkan majlis jamuan kenduri nasi ambeng jika pasukan Jerman muncul juara Piala Dunia 2014, Isnin ini.

Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Ayer Masin Kampung Rangkaian Parit Jerman, Mohd Asri Ali, 48, berkata kira-kira 500 penduduk kampung itu tumpang berbangga apabila Jerman layak ke final Piala Dunia di Brazil.

Popularkan nama kampung

Katanya, kejayaan Jerman bukan saja menjadi kebanggaan penduduk yang majoritinya penyokong pasukan itu berikutan mempunyai nama yang sama dengan kampung mereka, ia turut mempopularkan lagi nama kampung kepada masyarakat luar.

"Pasukan bola sepak Jerman disifatkan sebagai pasukan paling digeruni sememangnya menjadi pasukan pilihan penduduk Kampung Parit Jerman sejak lebih 40 tahun setiap kali Piala Dunia.

"Tahun ini, kami yakin Jerman akan menjuarai Piala Dunia 2014 dan jawatankuasa kampung kami bercadang mengadakan kenduri nasi ambeng besar-besaran bagi meraikan kejayaan ini.

"Ini pastinya menjadi satu kegembiraan kepada penduduk kampung," katanya kepada BH, semalam.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Azmin hampir pasti kekal Timbalan Presiden PKR

Posted: 09 Jul 2014 04:09 PM PDT

Petaling Jaya: Penyandang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, hampir pasti mengekalkan jawatan kedua tertinggi parti selepas meninggalkan pesaing utamanya dengan majoriti 3,458 undi.

Berdasarkan keputusan terkini pemilihan sehingga 28 Jun lalu, Azmin memperoleh 21,066 undi berbanding Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 17,608 undi.

Seorang lagi calon, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pula terpaksa berpuas hati apabila hanya mendapat 9,994 undi.

Keputusan pemilihan parti yang dimuat naik dalam laman sesawang parti itu bagaimanapun tidak membabitkan cabang Kelana Jaya, Puchong dan Pensiangan.

Dua cabang iaitu Kelana Jaya dan Puchong dijadualkan melakukan pemilihan semula pada 10 Ogos depan, manakala keputusan untuk cabang Pensiangan masih belum disahkan.

Rafizi tersingkir
Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, tersingkir daripada senarai empat calon tertinggi apabila hanya memperoleh 17,461 undi, bagi jawatan Naib Presiden.

Ahli Parlimen Pandan itu yang sebelum ini konsisten pada tangga empat teratas, ketinggalan sebanyak 126 undi di belakang Dr Xavier Jayakumar yang berada pada kedudukan keempat dengan 17,587 undi.

Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua kekal menguasai pemilihan jawatan Naib Presiden apabila masing-masing memperoleh 27,031 undi dan 20,480 undi, manakala Shamsul Iskandar Mohd Akin pula 18,777 undi.

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, Amirudin Shari, memperoleh 4,107 undi berbanding Nik Nazmi Nik Ahmad (3,911).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul, berkata keputusan penuh termasuk tiga cabang terbabit akan diumumkan pada Kongres Nasional PKR, yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, bulan depan.

"Kami menjangkakan keputusan penuh pemilihan akan diumumkan antara 22 hingga 24 Ogos ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, semalam.

Diminta mengulas kos yang dikeluarkan sepanjang proses pemilihan parti, katanya, setakat ini hampir RM500,000 dibelanjakan.

Selangor kaji sampel tulang

Posted: 09 Jul 2014 04:03 PM PDT

Ladang ternakan ikan di Batu Arang, Kuang dipantau

Shah Alam: Tulang dipercayai dari haiwan yang ditemui di dua ladang ternakan ikan keli dan patin tidak berdaftar di negeri ini, masing-masing di Batu Arang dan Kuang, sudah dihantar untuk ujian makmal.

Pengarah Perikanan Selangor, Mohd Sufian Sulaiman, berkata tulang terbabit ditemui pihaknya selepas menjalankan pemeriksaan di sekitar dua lokasi itu, kelmarin.

"Kami jumpa tulang, tapi perlu jalankan kajian untuk memastikan ia tulang haiwan apa. Pada masa ini, kami sedang menunggu keputusan ujian DNA terhadap tulang yang ditemui itu.

Beri amaran

"Kami juga sudah memberi amaran kepada penternak supaya tidak melakukan kesalahan dan sekiranya amaran tidak diendahkan, tindakan tegas akan diambil termasuk menyita ladang mereka," katanya kepada BH, semalam.

Mohd Sufian berkata, di Selangor, terdapat lebih 10,000 kolam ternakan ikan yang berdaftar dan pihaknya akan terus membuat pemantauan ke atas semua kolam terbabit dengan lebih terperinci bagi memastikan ternakan yang diberi makan bangkai babi, tidak dijual kepada umum.
"Kami juga sedang mengenalpasti semula kolam ternakan yang ada di Selangor termasuk yang tidak berdaftar dan akan membuat pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, penternak perlu mematuhi Akta Makanan 1983, yang bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan menggunakan makanan serta perkara yang berkaitan dengannya demi memastikan hasil ternakan tiada unsur babi.