Hukum pelaburan ASB, ASN harus

Hukum pelaburan ASB, ASN harus


Hukum pelaburan ASB, ASN harus

Posted: 03 Jul 2014 05:36 PM PDT

Sejak akhir-akhir ini masyarakat awam keliru dengan kedudukan hukum pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ini yang berpunca daripada tindakan pihak tertentu menggembar-gemburkan perbezaan pandangan antara Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah badan pengeluar dan penyelaras hukum hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang membabitkan kepentingan seluruh umat Islam.

Suruhanjaya Sekuriti pula adalah badan yang antara peranannya ialah membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak berdasarkan garis panduan yang mereka tetapkan.

Sejak tahun 2008, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membincangkan isu pelaburan dalam ASN dan ASB memutuskan hukum melabur dalam kedua-dua skim ini serta dividen atau bonus diterima adalah harus.

Perlu difahami bahawa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah dengan melihat ruang lingkup yang luas bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar terhadap sosioekonomi umat Islam.

Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syariyyah.

PNB tidak pernah buat permohonan
Penubuhan PNB dan dana unit amanah ASNB telah ditubuhkan lebih awal daripada Suruhanjaya Sekuriti (ditubuhkan pada Mac 1993) dengan mandat dan objektif yang diberikan oleh kerajaan untuk mengembang dan meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Kenyataan yang menyebutkan bahawa Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti sudah membuat keputusan bahawa ASB dan ASN tidak mematuhi Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti Berkaitan Pelaburan Unit Amanah Islam adalah tidak benar kerana PNB tidak pernah memohon untuk dibuat pengesahan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Tubuh majlis penasihat

Walaupun PNB tidak pernah menghantar permohonan untuk penilaian patuh syariah kepada Suruhanjaya Sekuriti, institusi itu sentiasa mengakui dan mengiktiraf peranan dan tanggungjawab Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti sebagai badan yang diberi mandat untuk memastikan Pasaran Modal Islam di negara ini mematuhi prinsip syariah.

Bagaimanapun, dengan mengambilkira peranan PNB sebagai sebuah instrumen kerajaan yang mempunyai peranan untuk membangunkan masyarakat Bumiputera majoriti beragama Islam di negara ini, pendekatan yang diambil dari sudut hukum perlu lebih menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan ummah dan negara secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, PNB mendapatkan pandangan dan nasihat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan penyelarasan hukum dalam isu-isu yang bersifat nasional yang melibatkan maslahah ummah seperti pelaburan ASN dan ASB ini.

PNB juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah bagi memberi nasihat dan pandangan kepada PNB mengenai urusan berkaitan pelaburan unit amanah seperti yang telah disarankan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Susulan BH bongkar lesen gerenti lulus: JPJ rombak sistem ujian

Posted: 03 Jul 2014 05:35 PM PDT

Susulan BH bongkar lesen gerenti lulus: JPJ rombak sistem ujian

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan merombak sistem ujian memandu tahun depan, dengan menggunakan teknologi pengesan kesalahan berkomputer bagi mengurangkan penyelewengan dalam prosedur itu.

Dengan teknologi baharu itu, semua kesalahan terutama dalam bahagian dua ujian praktikal membabitkan kemahiran calon memandu akan dikesan dan direkodkan secara automatik.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata sistem yang sedang dibangunkan itu dijangka siap April 2015 dan akan digunakan secara berperingkat di seluruh institut memandu bermula pertengahan tahun depan.

Rombakan terhadap sistem itu diumumkan selepas pembongkaran BH mengenai gejala sogokan yang berlaku dalam proses mendapatkan lesen memandu membabitkan pengajar dan pegawai penilai JPJ.

Teknologi pengesan kesalahan itu akan mengesan apa saja kesalahan calon ujian memandu. Contohnya, untuk ujian lesen motosikal, apabila calon ujian keluar atau jatuh dari papan, pengesan terus hantar rekod ke sistem komputer dan ditanda gagal.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Susulan BH bongkar warganegara ekspres: Dibayar RM200 izin sindiket guna MyKad

Posted: 03 Jul 2014 03:48 PM PDT

Kuala Lumpur: Rakyat tempatan dikatakan sanggup meminjamkan MyKad pada harga serendah RM200 kepada sindiket warganegara ekspres yang mengatur pasport tulen untuk warga asing.

Sumber memberitahu BH, mereka sanggup meminjamkan data peribadi dan identiti untuk digunakan warga asing yang mahu kerakyatan Malaysia bagi mencari perlindungan di negara ini.

Jual Mykad

Malah, ada rakyat Malaysia menjual MyKad mereka pada harga tertentu kepada sindiket dan kemudian melaporkan ia hilang.

Ada juga kes di mana pasport Malaysia turut digunakan kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI) dan pengganas Sulu.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

KL rapuh terletak atas batu kapur

Posted: 03 Jul 2014 09:38 AM PDT

KL rapuh terletak atas batu kapurKerja menimbus tanah giat dijalankan selepas terowong yang masih dalam pembinaan runtuh di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis

Kuala Lumpur: Mungkin ramai tidak menyedari Lembah Klang yang menjadi pusat pelbagai kegiatan bagi setiap lapisan masyarakat, sebenarnya berada di atas struktur batu kapur yang berisiko berlakunya mendapan tanah atau pasir jerlus.

Kira-kira 40 peratus dasar pusat bandar adalah batu kapur tahap Karst Melampau ditutupi aluvium terkacau (pasir) yang mempunyai risiko mendapan tanpa mengira kedalaman dan keluasan sejak 1960-an.

Keluasan terbabit menjadi Lembah Klang mudah terdedah kepada mendapan atau pasir jerlus sekali gus menyebabkan kerugian yang besar atau kecederaan dan lebih teruk, kehilangan nyawa.

Kejadian mendapan atau pasir jerlus membabitkan beberapa faktor iaitu pengaliran keluar air bawah tanah, bebanan melampau, pergerakan fizikal termasuk pembangunan persekitaran

Kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati kebanyakan kejadian yang berlaku di Lembah Klang tidak mempunyai kaitan dengan geologikal semula jadi atau keadaan persekitaran tetapi akibat kegiatan manusia.

Kebanyakan kawasan batu kapur yang ditutupi aluvium terkacau akan ditambak dengan beberapa lapisan batu, pasir dan tanah bagi membolehkan pembangunan yang tidak membabitkan penanaman perancah dilakukan tanpa menyedari ia tidak kukuh untuk tempoh panjang.

Pakar Geologi, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata Kuala Lumpur sebenarnya berada di atas sebahagian besar batu kapur dan sememangnya tanah yang berada di atasnya dianggap bermasalah hingga menyebabkan berlakunya mendapan.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkata kejadian boleh berlaku apabila batu kapur mempunyai banyak rongga seperti gua dan ia menyebabkan permukaan tanah seperti tergantung dan hanya menunggu masa untuk mendap apabila ia diganggu.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Berita gadis pilihan TMJ tersebar di FB

Posted: 03 Jul 2014 09:33 AM PDT

Berita gadis pilihan TMJ tersebar di FBGambar Tunku Ismail bersama Cik Khaleeda (kanan) diambil dari Facebook.

Kuala Lumpur: Walaupun tiada pengumuman rasmi, berita Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijangka melangsungkan perkahwinan pada Oktober depan, tersebar luas di laman sosial terutama Facebook, semalam.

Ini berikutan penyebaran surat edaran mengenai mesyuarat jawatankuasa santapan dan jamuan sempena istiadat perkahwinan Diraja, yang diadakan semalam yang turut terbesar di laman sosial.

Bakal isteri dari Gombak

Surat edaran itu turut menyatakan nama bakal isteri baginda, Cik Khaleeda Bustaman berasal dari Gombak, Selangor.

Desas-desus sejak beberapa bulan

Desas-desus mengenai perkahwinan Diraja itu sudah tersebar sejak beberapa bulan lalu tetapi setakat ini tiada pengesahan mengenainya sehingga semalam apabila surat mengenai mesyuarat itu tersebar.

Tunku Ismail, 30, dikatakan mula berkenalan dengan Cik Khaleeda, berusia lingkungan 20-an sejak tahun lalu.
Iringi majlis rasmi dihadiri Sultan Johor

Baginda dikatakan pernah membawa Cik Khaleeda yang masih menuntut di sebuah universiti, dalam majlis rasmi yang turut dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Bagaimanapun Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang dihubungi mengenai perkara itu enggan mengulas dan meminta menunggu pengumuman rasmi.

Saya sudah Islam

Posted: 03 Jul 2014 09:29 AM PDT

Saya sudah Islam

Kuala Lumpur: Bekas model majalah Playboy, Felixia Yeap, 28, mengaku memeluk Islam di hadapan empat saksi pada satu majlis tertutup di sini, semalam.

Dilaporkan memilih nama Islam, Rania, pelakon berkenaan yang membuat pengesahan itu melalui status di laman sosial, memaklumkan beliau mengucap dua kalimah syahadah di hadapan keluarga terdekat serta kenalan.

Saya yang sudah Islam di hati, kini akan mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan keluarga terdekat dan kenalan yang sering menyokong dan memberi galakan kepada saya supaya terus beristiqamah. Tiada sebarang media yang hadir.

Hari ini bukan saja hari lahir saya, tetapi hari kelahiran semula saya. Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang, katanya seperti dipetik di laman peminatnya semalam, namun bekas model itu gagal dihubungi untuk pengesahan berhubung proses pengislamannya.

Maklum kepada peminat

Felixia pada status laman Facebook miliknya, mengaku memaklumkan kepada peminat dan media bahawa beliau akan memeluk Islam pada hari kelima Ramadan, tetapi tidak pernah mengumumkan lokasi dan waktu majlis itu akan dilangsungkan.

Lafaz syahadah adalah di antara saya dan Maha Esa. Privasi saya hanyalah untuk saya mengucap (dua kalimah syahadah), katanya sambil menambah, jika timbul desas-desus berhubung lokasi dan waktu beliau akan memeluk Islam, ia bukan datang darinya.
Terdahulu, wakil media berkumpul di Pusat Yayasan Hidayah, Pusat Bandar Melawati, Hulu Klang kerana menyangka Felixia akan memeluk Islam di situ hingga membuatkan Penolong Pengurus Pentadbiran pusat itu, Siti Hamisah Manan terkejut.

Katanya, pihaknya hanya mengatur sidang media bagi mengumumkan program berbuka puasa, bukan bagi menganjurkan majlis pengislaman Felixia yang juga antara seorang ahli panel untuk majlis iftar perdana berkenaan yang akan diadakan pada 12 Julai ini.

Ada pihak salah faham

Bagaimanapun, kami dimaklumkan Felixia memeluk Islam hari ini (semalam), jadi beliau tidak dapat hadir. Mungkin ada pihak salah faham mengenai majlis yang kami adakan disebabkan kehadiran Felixia, katanya.

Siti Hamisah mengakui pihaknya ada kuasa mengislamkan individu yang mahu bertukar agama seperti ditauliahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), tetapi Felixia tidak berdaftar dengan pusat itu untuk proses pengislamannya.